Isu Terkini

Jun 2024

Pandu Uji / 18 Januari 2024

Combat Wraith 132ci - Inovasi Yang Direka Semula

Pada tahun 2018 yang lalu Confederate Motors telah mencipta kejutan besar apabila sebuah syarikat pengeluar motosikal terbesar Amerika yang beroperasi di selatan Mason-Dixon Line menjenamakan semula dirinya sebagai pengeluar motosikal elektrik mewah. Ia sudah tentu menandakan perubahan yang sangat ketara daripada produk asalnya seperti ICE Hellcat, Fighter, Bomber dan Wraith di masa lalu.

Sejak berada di pasaran kira-kira 25 tahun yang lalu, Confederate telah membina sejumlah 1,300 unit motosikal powercruiser dengan enjin V-kembar yang direka sangat unik dan dijual pada harga yang tinggi. Pelanggan mereka bukan calang-calang orang, hampir kesemuanya VVIP termasuk ramai selebriti Hollywood yang kaya dan terkenal.

Selepas sekian lama terkenal sebagai pengeluar motosikal yang mempraktikkan Art of Rebellion atau lebih tepat sejak 1992 lalu, akhirnya mereka berubah arah. Daripada rangkaian jentera berenjin padu dan berbunyi agresif, mereka memperkenalkan pula jentera elektrik yang tidak berbunyi... senyap! Inilah arah terkini motosikal Amerika awal abad ke-20. Tetapi itu tidak bermakna bahawa Confederate Motors tidak lagi beroperasi, atau Art of Rebellion tidak lagi wujud.

Presiden Confederate, Matt Chambers kemudiannya menjual jenama tersebut kepada salah seorang pelanggannya yang paling setia iaitu Ernest Lee yang juga merupakan pemilik Hellcat G2 Speedster dan P51 Fighter. Oleh itu Lee akhirnya memperoleh keseluruhan pakej Confederate - termasuk tanda dagangan, semua harta intelek seperti reka bentuk, jig bingkai dan lain-lain.

Dia juga mendirikan sebuah kilang baru yang mampu menghasilkan setiap aksesori atau alat ganti yang diperlukan. Pada 2021, beliau memulakan semula proses pembuatan beberapa model paling ikoniknya, yang kemudiannya dijenamakan semula di bawah nama Combat untuk mengelakkan kontroversi dengan nama asal syarikat sebelum ini. Ini termasuklah model yang sentiasa menjadi perhatian ramai seperti mana mereka mentakrifkan Confederate dulu yang didatangkan dengan fork jenis girder – ciptaan ikonik perekacita asal, J.T Nesbitt.

Saya sendiri merupakan salah seorang yang pernah melihat model Wraith prototaip asal di kilang Confederate pada Oktober 2004 – menunggu tanpa jemu bilakah saya dapat menunggangnya ketika itu. Sememangnya jentera unik ini mempunyai nilai istimewa yang tersemat dalam memori.

Hakikatnya, setelah selesai kerja sepanjang malam, hari silih berganti, kami agak bersemangat untuk membinanya secara literal menggunakan enjin berkembar 45° V serba baru. Enjinnya degil dan enggan untuk dihidupkan kerana didapati injapnya telah bengkok. Ini menjadikannya salah satu detik yang paling mengecewakan dalam kerjaya kewartawanan saya.

Empat bulan kemudian saya masuk semula ke Louisiana untuk percubaan kedua, kali ini pada hari musim sejuk yang cerah tetapi sangat sejuk. Saya diberi peluang untuk menguji jentera eksklusif ini buat pertama kalinya dengan mengelilingi Bayou Country di barat daya Big Easy, tempat datangnya juru elektrik Confederate dan pelumba Bonneville iaitu Chris Roberts bertugas sebelum beliau meninggal dunia.

Sesi tersebut sangat bermakna. Saya dapat membuat laporan 'Tunggang Uji' untuk majalah Motorcyclist dan pada masa yang sama meyakinkan saya bahawa, ia cukup
dinamik dari sudut visual dan prestasi enjin. Wraith mewakili hala tuju baharu untuk jentera pengembaraan V-twin di Amerika.

Apa yang saya kurang berpuas hati, kedudukan pelananya yang ganjil dan diganggu pula dengan rekaan tangki bahan apinya yang tidak boleh dikepit dengan lutut saya. Selepas saya dapat atasi masalah itu, barulah dapat dirasakan bahawa jentera ini boleh dikendalikan dan dikemudi dengan sangat baik. Ia kelihatan patuh kepada pergerakan sistem saspensi serta kualiti tunggangan yang dipertingkatkan mengikut piawaian sebuah Cruiser.

Ernest Lee
Ernest Lee

Terdapat beberapa ujian, masalah dan sedikit halangan sebelum proses penghantaran 36 unit Wraith ini kepada para pelanggannya. Antara ujian-ujian tersebut: No.1 ialah bencana Taufan Katrina, yang melanda New Orleans pada Ogos 2005 telah merobohkan kilang gabungan dan memaksa syarikat itu berpindah ke Birmingham, Alabama. Mereka terpaksa menerima tawaran murah daripada George Barber untuk menggunakan ruangan di dalam kilang tanpa sebarang bayaran sewa.

J.T.Nesbitt berasa dia perlu tinggal di New Orleans untuk membantu dengan pembersihan dan pemuliharaan akibat bencana taufan itu, tetapi Brian Case mengambil tugas untuk membawa Wraith kepada pengeluaran. Pada tahun 2007, dia dan Matt Chambers bergaduh besar, menyebabkan Case meninggalkan Wraith dan memulakan syarikat motosikalnya sendiri (Motus) serta meninggalkan anak didiknya Andrew Cathcart – ya, anak sulung saya.

Ini bermakna para pelanggan kini akhirnya dapat menikmati keseronokan dan menunggang jentera yang paling unik di dunia dahulu dan sekarang. Saya lebih cenderung untuk gunakan jentera ini sebagai kenderaan pengembaraan termasuklah menunggangnya pada pagi Ahad di sepanjang Mulholland Drive laluan LA Basin’s Racer Road menuju ke Rock Store. Di sana, saya sempat bertemu dengan Jay Leno untuk mempamerkan Wraith ini buat kali pertama padanya.

Versi Gen 3.0 untuk Wraith kini dalam pengeluaran, tetapi kini di bawah nama Combat dan dikuasakan oleh enjin S&S X-Wedge tetapi sayangnya, pengeluaran enjin ini terpaksa dihentikan kerana ia tidak dapat melepasi piawaian Euro 5.

Atas sebab ini Ernest Lee telah menyatakan bahawa mereka hanya akan dapat mengeluarkan tidak lebih daripada 17 unit Combat Wraiths berharga $155,000, atau model anodisasi Black Knight yang berharga $10,000 lagi. Pada masa lawatan saya ke kilang Combat di Birmingham, Alabama untuk menunggang jentera tersebut, menurut Lee mereka telah membina enam Wraith seperti ini dan ada tiga pesanan lagi belum siap. Apabila dikira ketika itu, mereka masih mempunyai stok enjin yang mencukupi untuk membina lapan unit lagi.

Model Combat Wraith terbaru menanti saya untuk menghabiskan masa seharian. Saya akan menunggangnya di laluan indah berselekoh di kaki bukit Alabama, di timur Birmingham. Wraith disempurnakan dengan enjin 132ci (2,163cc), sistem penyejukan udara/minyak, S&S X-Wedge, OHV, V-kembar dengan dua injap setiap silinder yang cukup bertenaga.

Enjin Wraith menjalankan nisbah mampatan konservatif 9.75:1 memberikan nisbah mampatan dengan kuasa maksimum 111 bhp pada 4,500 rpm dan tork 194Nm/143ft-lb memuncak pada hanya 2,500rpm. Era motosikal tegap (musclesbikes) yang hebat mungkin akan berakhir, tetapi ia tidak akan dilupakan.

Model Wraith sentiasa didominasi oleh reka bentuknya yang sangat unik. Rim roda hadapan model ini adalah daripada jenis karbon BST enam jejari buatan Afrika Selatan yang dipadankan dengan brek Beringer Perancis terunggul, dengan sepasang cakera hadapan terapung Aeronal 230mm keluli tahan karat pada setiap sisi dicengkam oleh empat omboh satu angkup jejari Aerotec. Terdapat sepasang lagi cakera Beringer di bahagian belakang, dicengkam oleh empat angkup jejari omboh.

Jarak roda 62.5in /1,588mm, dan geometri stereng dengan rake 27.5° dan trail 106mm adalah lebih mirip kepada rekaan sebuah model sportbike berbanding jentera pengembaraan. Model ini masih belum dilengkapi dengan sistem ABS, tetapi Ernest Lee sedar bahawa dia perlu membuat pelaburan yang besar untuk membangunkan sistem sedemikian bersama-sama dengan Bosch atau Continental untuk mendapatkan Euro 5.

Saya telah menunggang uji beberapa versi Wraith yang berbeza selama bertahun-tahun untuk dapat membuat perbandingan yang sah. Pelananya berketinggian 784mm cukup praktikal dan rasa yang lebih baik daripada versi sebelum ini. Tempat pemijaknya juga boleh laras, ini bererti para pelanggan boleh memilih mana-mana daripada tiga lokasi tempat letak kaki yang berbeza, depan, tengah atau belakang, sama ada secara bersendirian atau dengan dua daripada kedudukan tersebut digabungkan.

Bar hendal rata dan agak lebar manakala posisi penunggang yang sedikit bersandar (sesuai untuk perjalanan jauh). Terdapat sedikit gegaran daripada enjin X-Wedge, walaupun apabila diputarkan pada 4,000 rpm atau lebih sedikit dan laju maksimum untuk model ini ialah sekitar 130km/j.

Tuas gear dirasakan agak keras, sukar juga untuk saya membuat penukaran gear sehinggakan saya berharap akan memakai but kerja yang keras dan bukannya kit menunggang Kushitani yang lebih lembut. Saya terpaksa benar-benar bersandar untuk menukar gear dengan kaki kiri saya manakala gear neutral macam mustahil untuk ditemui sama ada semasa berehat atau ketika berhenti.

Di bahagian hadapan, Wraith kekal dengan fork hadapan double-wishbone parallelogram gentian karbon dan ini adalah ilham dari Nesbitt untuk memberi penghormatan kepada perekaciptanya John Britten yang telah menjadikan bentuk rangka kelihatan lebih ringan dan menjimatkan berat badan.

Bilah aluminium bermesin CNC kini dihiasi dengan bingkai karbon yang cantik dan memiliki jalur pencahayaan yang berfungsi sebagai isyarat arah, ditambah pula dengan lampu DRL (lampu nyalaan siang hari).

Kita akan berpuas hati dengan pakej brek hadapan Beringer yang berfungsi dengan baik untuk menurunkan kelajuan dengan pantas. Penyerap hentak Race-Tech juga menjadikan tunggangan lebih cemerlang dalam apa juga keadaan. Anda akan dapati bahagian hadapan sistem Duolever diilhamkan dari Fior (tetapi tidak serupa) dengan sistem BMW – atau seperti Britten V-1000.

Pemindahan bebanan ke bahagian hadapan apabila kita melakukan brek dengan keras selalunya boleh menjejaskan pengendalian tetapi rekacipta Wraith memang wajar dipuji kerana ia mampu menangani situasi tersebut dengan baik.

Talaan saspensi belakang benar-benar cemerlang – membantu menjadikan kualiti tunggangan menjadi lebih sempurna walaupun untuk jentera seperti ini. Saya dapat merasakan bahawa tayar belakang yang gemuk menggigit permukaan jalan dengan baik tidak seperti mana-mana Wraith sebelumnya.

Akhirnya Combat mempunyai sesuatu rekaan yang boleh menahan lutut saya semasa membuat belokan dan ini memberikan perbezaan yang besar kepada cara kita mengendalikan sesebuah jentera dengan baik.

Sukar untuk saya katakan tetapi sejak sekian lama saya mengenali dan menguji jentera Wraith (sejak 19 tahun lalu), kali ini barulah dirasakan rekaan ini sudah hampir sempurna, selesa ditunggang dan kekal bergaya. Enjin X-Wedge tidak lagi dapat digunakan dan masalah terkini ialah ia terlalu panas. Semoga Wraith 4.0 dengan enjin baru S&S 124ci akan diwujudkan kerana gabungan rekabentuk yang unik dan prestasi enjin yang mantap adalah satu impian oleh setiap pemilik motosikal. RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Phil Hawkins

Isu Pada

September 2023

Spesifikasi

EnjinV-Kembar, 4 lejang, sistem penyejuk cecair/udara OHV
Isipadu2,163cc
Kuasa maksimum111bhp pada 4,500rpm
Tork maksimum194Nm pada 2,500rpm
Tayar120/70ZR19 - Pirelli Angel GT II (depan) & 240/45ZR17 - Pirelli Diablo Rosso III (belakang)
SaspensiFork parallelogram fork-double-wishbond (depan) & Lengan ayun aluminium swingarm dengan penyerap hentak tunggal cantilever RaceTech (belakang)
Brek2 x 230mm Beringer (depan) & 1 x 240mm Beringer (belakang)
Tinggi pelana784mm
Isi tangki17 liter
PengeluarCombat Motors

Popular

  • Dari Litar

    Jentera WorldSBK Yamaha R1 Baru Ada 'Wings'!

  • Model Baru

    Kamax Motorcycles Perkenalkan Siri Cub Pro Baru

  • Dari Litar

    Azlan Shah Umum Persaraan Daripada Sukan Permotoran Dua Roda

  • Warta Roda

    Bukan N-Max.. Bukan NVX tapi A-Max & NVH!

  • Warta Roda

    Penunggang Motosikal Terlibat Dalam Kemalangan Maut!

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Personaliti

Cikgu Offroad, Mohd Halim "Yang Kental Pasti Sampai Pos Balar"

Di media sosial pula, Cikgu Halim lebih dikenali dengan nama panggilan Cikgu Offroad.

Dari Litar

ASB1000: Azlan Shah Raih Tempat ke-2 di Sepang

Azlan Shah Kamaruzaman menamatkan perlumbaannya di tempat ke-2 di pelumbaan 1 di ARRC pusingan kelima kelas ASB1000.

Dari Litar

CP125: Shafiq Berazam Untuk Berada di Tempat Tiga Teratas

Pelumba pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing, Md Shafiq Ezzariq akan meningkatkan lagi usahanya untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan terbaik.

Warta Roda

BMW S1K Mega Gathering 2024 - Himpun 430 Peserta

BMW S1K Mega Gathering yang berlangsung di Le Chavelier Ballroom, Colmar Tropicale, Bukit Tinggi, Pahang berjaya menghimpunkan lebih 430 peserta.