Isu Terkini

Disember 2023

Pandu Uji / 27 Mac 2024

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Kalau anda seorang yang inginkan perhatian tidak kira di mana sahaja, memiliki Ducati Hypermotard 950 RVE mungkin salah satu daripada jawapannya. Itulah yang kami rasa sepanjang beberapa hari menunggang jentera dari Itali ini yang ternyata memiliki aura yang lain daripada motosikal lain. Mungkin kerana jenama... atau rekabentuk... atau bunyinya? Hakikatnya ke mana sahaja Ducati Hypermotard RVE ini dibawa, kami mesti dapat kawan atau kenalan baru.

Dalam siri Hypermotard, terdapat dua versi lain iaitu SP dan standard. Secara keseluruhannya memang tidak banyak bezanya cuma versi SP lebih ringan (-2kg), rim Marchesini dan beberapa komponen gentian karbon. Harga asas untuk Hypermotard 950 RVE ialah RM90,900, Hypermotard 950 SP RM128,900 dan Hypermotard 950 pula RM85,900.

Kita akan menghargai para perekanya dari setiap sudut kerana rekaan motor Ducati ini memang gempak betul.... ganas! Lampu depan jenis LED tapi 'simple' saja – digabungkan dengan 'paruh' yang menterjemahkan sifat dan karaktornya – macam burung pemangsa yang ingin menyerang pun ada. Tangki (14.5 liter) dibuat cukup bijak untuk kita mengepit dengan selesa ketika mencari posisi terbaik di selekoh.

Secara peribadi, saya sukakan kerangka trellis berwarna silver itu menonjol di bahagian sisinya lebih-lebih lagi sebelah kiri yang nampak cukup 'garang' bila dipadankan dengan lengan ayun aluminium tunggalnya itu!

Ducati meyakini adalah relevan untuk mereka mengenakan corak dan skima warna 'Grafiti' pada versi RVE ini dengan tujuan bersesuaian dengan sifat lincah dan jiwa mudanya! Untuk itu, pelana versi RVE ini juga direka dua tona seperti logo Ducati. Betul jugak tu....“Not bad!” Jangan kata anda semua tak kagum melihat warna rimnya! Separuh hitam... separuh merah... memang 'jahat' betul perekanya.

Ducati Hypermotard ini setinggi 890mm tetapi ia mudah untuk dipanjat dan dikawal. Ia mempunyai posisi menunggang yang tinggi dan tegak, sesuai untuk meratah setiap selekoh dan 'menari' lincah di dalam kota. Kita tahu, penciptaan keseluruhan Hypermotard ini adalah dengan 'meminjam' sifat jentera 'offroad' kemudiannya diolah untuk kegunaan jalanan biasa. Maka penunggangnya akan dapati, Hypermotard ini cukup mudah untuk dibawa.

Tempat pemijak di depan cukup baik walaupun untuk penunggang yang berkasut saiz 10. Walaupun setinggi 178cm, Hypermotard ini membuatkan saya menjengket sedikit. Panel meter TFT pada model ini memberi maklumat yang cukup baik. Kita dapat memilih mod tunggangan dengan penggunaan suis talaan di sebelah kiri hendal. Terdapat tiga pilihan iaitu Sport, Touring dan Urban dengan hantaran kuasa dan respon yang berbeza untuk kita dapat membuat talaan mengikut kehendak dan keupayaan diri.

Enjin Hypermotard bersesaran 937cc, Testastretta 11 darjah, L-kembar, 4 injap, Desmodromic, sistem sejukan cecair yang berkuasa 84kW (114hp) pada 9,000rpm dan tork 96Nm pada 7,250rpm. Melihat kepada spesifikasinya, memang mantaplah. Jadi, kali pertama menekan suis penghidupnya agak memeranjatkan. Bunyi 'letupan' dari enjin Ducati ini menambah keterujaan yang bercampur sedikit kegerunan.

Musim hujan yang 'menemani' warga negara yang bermula sejak akhir Oktober lalu sedikit sebanyak menyumbang kepada beberapa kes kemalangan di seluruh negara. Jarak penglihatan yang terhad dan keadaan jalan yang licin adakalanya menyebabkan seseorang penunggang/pemandu itu tersalah membuat keputusan.

Awalnya saya juga kurang 'seronok' untuk menunggang sebuah motosikal berkuasa 114hp di waktu yang kelam, basah, licin dan sejuk. Namun begitu, otak dan hati 'berperang' menyatakan evolusi dunia dua roda menjadikan motosikal kini jauh lebih selamat. Okay, saya tukarkan mod tunggangan kepada Urban dengan khudrat enjinnya diturunkan kepada 75% dan dalam mod ini juga sistem DTC dan ABS juga berada di tahap tertinggi.

Pengendaliannya di luar jangkaan – memang cukup mudah manakala hantaran kuasanya cukup tenang. Tidak sekali pun terasa kuasa torknya memberikan tekanan walaupun ketika menunggang perlahan dan bersesak-sesak dari Petaling Jaya menuju ke bandar Puchong. Tuas klac dan brek yang lembut juga banyak membantu pergerakan.

Versi Hypermotard 950 RVE ini dipadatkan dengan pelbagai sistem elektronik terkini. Antaranya ialah Ducati Quick Shift (DQS) EVO, Bosch Cornering ABS, Ducati Traction Control Evo (DTC EVO) dan Ducati Wheelie Control (DWC) EVO.

Hari kedua bersama Ducati ini jauh lebih menyeronokkan. Langit yang cerah mengajak kami keluar lebih awal dari biasa. Mod tunggangan ditukar kepada Sport, kami semakin tidak sabar untuk merasakan hamburan kuasanya apabila berada di laluan terbuka.

Kita bagaikan 'makhluk asing' apabila berhenti di persimpangan jalan. Mungkin orang kita sekarang ini sudah biasa dengan jentera sportbike, naked atau touring yang bilangannya semakin bertambah tetapi model 'lasak' berkuasa tinggi macam Hypermotard ni memang jarang sekali dapat dilihat. Kadar bunyi dari sistem ekzos padu dan kuat tetapi sedap didengar. Pergi dan berhentilah di mana sahaja, semua orang serentak memaling pandangan pada Ducati ini.

Dalam mod Sport, respon cukup tajam yang menjadikan kita dapat memecut dengan lebih pantas. Sistem Quickshifter membenarkan kita untuk menukar gear tanpa perlu menarik tuas klac – memang nikmat betul. Menerusi panel meternya, saya cukup teruja melihat nombor-nombor (kelajuan) itu meningkat dengan pantas. Untuk mencapai kelajuan 180-200km/j memang tak ada masalah buat Motard ini cuma kita perlu memaut bar hendalnya lebih kuat kerana tamparan angin dari depan.

Posisi tempat pemijak juga sesuai untuk penunggang tinggi atau sederhana tinggi cuma apabila menunggang di dalam bandar atau berhenti agak lama di lampu isyarat, bahang panas sistem penyenyap yang direka di bawah pelana cepat betul sampai ke kulit peha. Pembonceng juga merungut hal yang sama.

Menyusuri laluan berselekoh yang adakalanya perlu mendaki sedikit memang sangat menyeronokkan. Kerangka jenis trellis yang dimiliki oleh Ducati ini cantik, ringan dan bertegaran tinggi. Saya dapat rasakan betapa mudah kita arahkannya untuk miring ke kiri dan ke kanan dengan cepat.

Hypermotard ini dilengkapkan dengan fork hadapan Marzocchi jenis terbalik berdiameter 45mm. Pergerakan di belakang pula disokong oleh lengan ayun aluminium sisi-tunggal dengan penyerap hentak mono yang mampu memikul beban dan memberi keterujaan sesiapa sahaja yang menunggangnya. Tak kira 'owner' kurus atau gempal orangnya. Seperti yang tertulis dalam lagu ciptaan Too Phat: “Ada berisi, ada yang kurus. Ada melencong, ada yang lurus...” Sama juga seperti menunggang motosikal, kalau naik elok-elok memang best, tapi kalau naik tak tentu hala memang susahlah orang nak tegur!

Ketika menuruni kawasan berbukit, saya dapati sistem brek dan ABSnya cukup efisien. Tidak merasakan sebarang gegaran atau kekacauan sewaktu kita membrek dengan keras. Itulah dia kewibawaan sesebuah motosikal apabila sistem breknya disepadukan dengan teknologi Cornering ABS. Nanti baca spesifikasi yang disediakan untuk mengetahui Hypermotard ini pakai brek apa?

Kami juga menikmati prestasi enjin yang sama dengan mod Touring yang pada dasarnya tidak mempunyai perbezaan yang sangat ketara. Apa pun, apabila menunggang sebuah jentera berprestasi tinggi seperti Hypermotard ini, isi tangki memang cepat kering kerana keterujaan menikmati hantaran kuasanya.

Tidak wajar membandingkan prestasi Hypermotard 950 RVE ini dengan jentera-jentera lain kerana model ini berada di dalam kelasnya yang tersendiri. Apa yang pasti, bila menunggang sebuah jentera semantap ini, kita sentiasa seronok menyebabkan masa dirasakan 'memecut' dengan lagi laju daripada biasa. Lima hari hilang sekelip mata, sudah tiba masanya untuk kembalikannya semula ke Ducati Malaysia. “Molte Grazie Ducati Hypermotard!” RR

Isu Pada

Disember 2023

Spesifikasi

EnjinTestastretta, L-Twin, 4 injap, Desmodromic, sistem penyejuk cecair, Euro4
Isipadu937cc
Kuasa maksimum114bhp pada 9,000rpm
Tork maksimum96Nm pada 7,250rpm
saspensifork aluminium, Marzocchi jenis USD (depan) & lengan ayun sisi tunggal dengan penyerap hentak tunggal Sachs (belakang)
Tayar120/70 ZR17 (depan) & 180/55 ZR17 (belakang)
Brekcakera 320mm dengan angkup Monobloc Brembo (depan) & cakera tunggal dengan sistem Cornering ABS (belakang)
Berat kering178kg
Tinggi pelana890mm
Isi Tangki14.5 liter

Popular

  • Warta Roda

    Seorang Penunggang Motosikal Berkuasa Tinggi Maut Atas Kecuaian Orang Lain

  • Warta Roda

    Tunggang Uji Ringkas Suzuki Avenis 125 dan Burgman Street 125 EX

  • Warta Roda

    Castrol Tawar Program Insurans Percuma Buat Penunggang Motosikal

  • Dari Litar

    Pusingan Pembuka Tirai Red Bull MotoGP Rookies Cup, Hakim Danish Sudah Bersedia

  • Dari Litar

    Bimota Bakal Kembali Dalam WorldSBK 2025

Artikel berkaitan

Selepas 4 Tahun, Andrea Iannone Makin Bersemangat

Combat Wraith 132ci - Inovasi Yang Direka Semula

KTM RC 8C 2023 - Maestro Kelas Pertengahan

Triumph Tiger 1200 GT Pro - Jentera Kembara Sensasi

Royal Enfield Super Meteor 650

CMC Buccaneer 250i - Gaya Retro Masa Kini

Ducati Streetfighter V2 - Garang & Berkuasa

Brough Superior Nefud - Jentera Dual-Purpose 'Desert Storm'

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Pusingan Pembuka Tirai Red Bull MotoGP Rookies Cup, Hakim Danish Sudah Bersedia

Pelumba negara, Hakim Danish sudah bersiap sedia untuk memberi cabaran dalam pusingan pembuka tirai Red Bull MotoGP Rookies Cup di Jerez.

Warta Produk

Arai Europe Persembahkan Topi Keledar Edisi Terhad, RX-7V EVO IOM TT 2024

Arai Helmet mempersembahkan topi keledar edisi terhad RX-7V EVO Isle of Man TT 2024 yang ke-15.

Warta Roda

Sepasang Suami Isteri Maut, Motosikal Terbabas Ke Laluan Bertentangan

Sepasang suami isteri maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka terbabas ke laluan bertentangan.

Warta Roda

Had Laju Diturunkan Sempena Sambutan AIdilfitri

Had kelajuan di Jalan Persekutuan seluruh negara akan diturunkan daripada 90 kilometer sejam (km/j) kepada 80 km/j bermula dari 8hb sehingga 14hb April ini bersempena dengan sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri.