Isu Terkini

Februari 2024

Dari Litar / 10 Januari 2016

World MotoGP Bike Legends Bermulanya Suatu Babak Yang istimewa?

Jika kita bercerita mengenai persaingan klasik GP, selalunya ia dikaitkan dengan jentera-jentera tahun 60an seperti Manx Norton dan Matchless G50 yang merupakan antara 'bintang utama' di perlumbaan tahunan Goodwood Revival atau Lansdowne Series. Tetapi segalanya telah berubah menjadi lebih hebat, lebih 'hidup dan lebih teruja apabila satu perlumbaan istimewa telah dipertontonkan di Litar Jerez pada tahun lalu. Tidak dapat digambarkan keseronokan mendengar bunyi-bunyi yang terhasil daripada enjin 500 V4 jentera lumba 80an serta enjin GP dua lejang era 90an bergema di udara... memang menarik!

Lebih hebat lagi apabila setiap jentera ini ditunggang oleh 'tuan' asalnya sendiri yang pernah menjalani zaman kegemilangan kembali menyarung baju perlumbaan dan berentap di litar. Wayne Gardner, Freddie Spencer dan Kevin Schwantz berjaya menaiki podium selepas menewaskan nama-nama besar lain seperti Christian Sarron, Phil Read, Graeme Crosby, Tady Okada, Didier de Radiguès, Steve Parrish, Gary Lingham, José Cardoso dan Niggi Schmassmann yang berani 'turun' ke litar bersama jentera-jentera hebat 500GP yang tiada tolok tandingnya.

Acara yang sangat istimewa ini juga memberikan peluang kepada ribuan peminat motosikal berbaris lebih daripada setengah jam untuk bertemu dan mendapatkan tandatangan pelumba idola mereka. Ia memang satu saat yang indah buat para pelumba lagenda ini. Para pengunjung juga dihiburkan dengan pertunjukan aksi stunt, jentera trial dan persembahan hiburan oleh Ratu Rock Bonnie Tyler dan bekas juara WSBK, James Toseland.

Tumpuan utama pesta selama dua hari itu tentulah pada perlumbaan motosikal yang melibatkan hero-hero GP yang bergelar lagenda berada di petak permulaan masing-masing. Turut dianjurkan ialah perlumbaan sokongan yang terdiri daripada jentera-jentera 250/350cc dan mesin dua lejang 125cc yang kemudiannya dimenangi oleh juara dunia empat kali, Jorge 'Aspar' Martinez. Kehebatan beliau suatu ketika dulu ialah membuat keputusan untuk berlumba menggunakan 

Aprilia RS125 dan pada masa yang sama memiliki sebuah pasukan yang bersaing dalam kelas MotoGP.

Manuel 'Champi' Herreros, bekas juara GP 80cc, Basque dan Juara SBK Sepanyol dan Herri Torrontegal kesemua menunggang Honda RS125. Pemenang tempat pertama perlumbaan kelas 250 dan 350cc diungguli oleh pelumba Sepanyol, Carlos Cardus manakala pelumba yang terbang jauh dari Venezuela, Carlos Lacado bersama jentera Yamaha TZ250nya tamat di tempat keempat. Walaupun tidak bersaing, kehadiran pelumba lagenda Angel Nieto ketika acara perarakan mendapat tepukan yang sangat gemuruh oleh para pencinta penunggang motosikal yang hadir.

Turut diadakan ialah International Classic Grand Prix Series (ICGP) yang dianjurkan oleh bekas juara Perancis, Eric Saul yang berjaya mengumpulkan sebanyak 32 buah jentera dua lejang dari tahun 1974 hingga 1984. Kedua-dua perlumbaan ini dimenangi oleh juara British SBK, Scotsman Ian yang menunggang Yamaha TZ350 diikuti rakan senegaranya, Mike Edwards dan George Hoghton-Rusling yang menunggang jentera yang sama. Mengekori rapat dari belakang ialah pelumba Perancis, Guy Bertin yang menunggang Kawasaki KR350.

Pada perlumbaan 500 V4 pertama yang diadakan pada hari Sabtu, Wayne Gardner muncul di tempat pertama dengan menunggang mesin Randy Mamola Cagiva V589 menewaskan Didier de Radigues (Suzuki XR88 RGV500) dan Kevin Schwantz bersama jentera XR84 yang sama digunakan ketika muncul juara sedunia pada tahun 1994. Kedua-dua jentera Suzuki itu dimiliki oleh pengumpul jentera Suzuki, Steve Wheatman. Perebutan tempat kedua di antara Christian Sarron dan Freddie Spencer memang cukup sengit, menghiburkan setiap pengunjung yang memenuhi hampir setiap ruang litar Jerez.

Sememangnya untuk mendapatkan jentera lama yang mampu beraksi di litar bukanlah perkara yang mudah dan inilah yang terjadi pada Wayne Gardner yang terpaksa melupakan hasrat menunggang jentera Honda sebaliknya memacu jentera merah (Cagiva V589). Freddie Spencer menunjukkan kehebatannya memacu jentera pasukan Sarron tahun 1988 manakala Christian Sarron pula menunggang jentera milikinya, sebuah Yamaha YZR500 model tahun 1989.

Perlumbaan hari kedua agak berbeza, kali ini menunjukkan prestasi Fast Freddie yang jauh lebih mantap walaupun diberi saingan sengit oleh Kevin. Ini juga merupakan kemenangan pertama Freddie Spencer bersama Ducati sejak tahun 1999 ketika bersaing dalam perlumbaan AMA Superbike di Laguna Seca. Freddie dan Schwantz saling memintas dan walaupun sudah berusia, kelasakan dan keupayaan kedua-dua lagenda meratah setiap selekoh menerima sorakan gemuruh daripada penonton-penonton Sepanyol.

“Ia memang suatu nikmat buat kami untuk berada di atas jentera 500cc ini sekali lagi tidak kiralah jenama apa. Saya menunggang jentera yang sama ketika berlumba pada tahun 80an dulu dan di sini dapat kita lihat hubungan yang cukup baik di antara kami para pelumba, para pencinta motosikal yang membuat koleksi jentera ini dan pastinya para peminat yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk melihat aksi istimewa ini. Saya ingin melihat bagaimana seterusnya penganjuran ini pada masa hadapan dan berbesar hati untuk bersamanya,” kata Freddie Spencer.

Antara lokasi lain yang dicadangkan untuk penganjuran acara hebat ini ialah di UK, Itali, USA, Sepanyol dan Australia. World GP Bike Legends ini dijalankan oleh Goose Live Events di mana CEOnya, Nick Wigley mempunyai rekod penganjuran yang cukup hebat. Acara The Silverstone Classic yang dijalankannya merupakan acara permotoran terbesar di dunia dengan penyertaan sebanyak 1,125 buah kereta lumba. “Ia menjadi kebanggaan saya membawa para pelumba lagenda ke hadapan anda. Amat berterima kasih kepada setiap orang yang menjayakan acara ini terutamanya Wayne Gardner atas kesudiannya sebagai duta menjemput rakan-rakan pelumba yang lain,” kata Wigley.

“Melihat akan keterujaan dan semangat para penonton yang hadir memang sesuatu di luar dugaan dan tidak mustahil potensi yang besar untuk membawa acara ini ke peringkat global,” tambahnya lagi dan ya.... sememangnya ucapan terima kasih itu wajar diberikan kepada Wayne Gardner.

“Nick Wigley dan saya berjumpa di pesta Goodwood beberapa tahun yang lalu dan mula berbincang mengenai pelumbaan seperti ini. Mulanya kami sekadar ingin anjurkan perlumbaan Manx Norton seperti mana yang orang lain anjurkan. Tetapi saya akhirnya berjaya meyakinkannya memberi tumpuan supaya mengadakan perlumbaan mesin dua lejang klasik yang dipacu oleh para pelumba asal,” komen Wayne.

Tidak ada lagi perlumbaan jentera dua lejang dapat dilihat sekarang ini dan ia juga belum lagi diperkenalkan dengan dunia elektronik seperti sekarang ini. Penonton suka mendengar bunyi enjin dua lejang dan itulah faktor terpenting dalam kejayaan perlumbaan GP Legends ini.

“Pada asalnya saya berharap dapat kumpulkan sebanyak 25 buah jentera GP500cc tetapi akhirnya hanya dapat 18 buah sahaja. Saya rasa ia sudah cukup baik sebagai permulaan. Ketika sedang mencari pelumba dan pemilik jentera lumba ini, saya dapati masih ada mesin lumba 125cc, 250cc dan 350cc yang masih boleh memberi saingan lalu menyuarakan hasrat ini pada Nick untuk memberikan peluang kepada mereka,” kata Wayne lagi.

Kejayaan penganjuran ini sebenarnya memberikan satu cabaran besar iaitu mendapatkan jentera lumba yang sesuai untuk bertanding, masih berada dalam keadaan baik serta jumlahnya juga sedikit. Percayalah, bagi si peminjam seperti Chris Wilson dan Steve Wheatman pastinya tidak begitu setuju jentera-jentera sangat istimewa ini terus digunakan lagi.

“Perasaan berada di litar semula memang menakjubkan, mengingatkan saya dengan memori lampau tetapi malangnya saya telah merosakkan sebuah jentera milik Steve Wheatman hari ini. Saya minta maaf tetapi mujurlah dia masih mempunyai sebuah lagi jentera yang sama. Beraksi bersama rakan-rakan lama di hadapan ribuan pencinta motosikal sangat mengujakan,” jelas Steve Parrish.

Masalah ini memang sukar diatasi kerana pihak pasukan kilang juga tidak membenarkan jentera mereka memecut di litar seperti mana yang berlaku di Suzuka pada Mei 2015 apabila Yamaha tidak membenarkan jentera juara dunia tiga kali YZR500 dihidupkan. Harapan tetap ada untuk menjalankan siri perlumbaan ini dan mungkin jalan terbaik ialah mengikut cara sama dalam perlumbaan Manx Nortons yang terdiri daripada jentera-jentera lama dengan alat ganti baru atau jentera replika yang dihasilkan sama seperti asal. Ini setidak-tidaknya membantu mereka yang berada di dalam industri alat ganti motosikal lama yang sentiasa menyokong dunia perlumbaan jentera klasik.

Bekas juara, Hubert Rigal kini sedang mengeluarkan sebuah enjin baru Yamaha YZR500 dan apabila siap, menghasilkan rekabentuk keseluruhan motosikal lumba ini tidak lagi sukar. Tetapi itu baru satu pengeluar sahaja, mana boleh mesin Freddie Spencer sahaja berada di litar! Tetapi Nick Wigley tidak mahu jentera replika menyertai perlumbaan lagenda ini tetapi mungkin pendiriannya akan berubah jika nanti timbul masalah ketiadaan alat-alat ganti buat jentera-jentera lumba ini.

Cara seterusnya ialah dengan mengikut cadangan pengumpul jentera lama, Chris Wilson yang meletakkan tiga buah jenteranya di Jerez kali ini. “Saya tidak begitu setuju dengan penggunaan jentera ini untuk berlumba kerana ia boleh memudaratkan mesin itu sendiri tambahan pula alat gantinya sudah tiada. Kita sokong penganjuran ini tetapi jika ada mereka yang ingin membuat jentera replika, saya mungkin akan membelinya bagi tujuan perlumbaan. Untuk jentera asal, kita hanya lakukan pusingan demo sahaja, tidak lebih daripada itu,” kata Wilson.

Wilson turut mencadangkan agar pihak penganjur menggunakan siri motosikal 600 atau 675cc yang diwarnakan dengan rekacorak GP seperti Kevin dengan nombor 34nya, Wayne dan Freddie rekacorak Rothman's Honda, Yamaha berwarna biru Sonauto untuk jentera Christian dan lain-lain lagi. Mereka akan berlumba dengan jentera baru tetapi masih mengekalkan corak-corak seperti yang asal. Program bermula dengan tunggangan demo menggunakan jentera asal 500GP kemudian bermula dengan mesin-mesin sport yang baru.

Betul...ia adalah satu cadangan yang menarik dan paling penting telah berjaya mendapat persetujuan daripada Kevin Schwantz. Kita tunggu dan lihat. RR

Laporan: Alan Cathcart Kredit
Foto: Goose Live Events

Isu Pada

Januari 2016

Popular

  • Warta Roda

    Boon Siew Honda (BSH) di Malaysia Autoshow 2024 - Bakal Lancar ADV350, CB750, XL750 dan NX500

  • Penunggang Motosikal Maut, Terlanggar Khinzir di Tengah Jalan

  • Warta Roda

    Ducati Monster Senna Edisi Terhad: Penghormatan Buat Ayrton Senna

  • Warta Roda

    Penunggang Motosikal Dihempap Pokok!

  • Warta Roda

    Blueshark Kembangkan Rangkaian Pengedar ke Seluruh Negara

Artikel berkaitan

GP Perancis: Giliran Jorge Martin Loncat Gembira!

Red Bull MotoGP Rookies Cup (Pusingan 2): Podium Kedua Buat Hakim Danish!

MSBK1000: Azroy Menang Dengan Bergaya

Akid Raih Kemenangan Kedua Musim Ini

Pecco Juara GP Sepanyol...Tapi Marquez Sudah 'Kacau'!

Padu! Hakim Danish Raih Podium di Sepanyol

Pusingan Pembuka Tirai Red Bull MotoGP Rookies Cup, Hakim Danish Sudah Bersedia

Bimota Bakal Kembali Dalam WorldSBK 2025

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Red Bull MotoGP Rookies Cup (Pusingan 2): Podium Kedua Buat Hakim Danish!

Litar Le Mans: Tahniah Danish atas kejayaan menaiki tangga ketiga dalam Perlumbaan 2, Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2024.

Dari Litar

MSBK1000: Azroy Menang Dengan Bergaya

Azroy Hakeem Anuar dari pasukan BOON SIEW HONDA RACING TEAM dalam kategori MSBK1000 A mendapatkan kemenangan kedua di pusingan satu MSBK 2024.

Model Baru

KTM 990 RC R Versi Jalanan Sah Masuki Pasaran

Berita 'sah'nya kehadiran model KTM 990 RC R versi jalanan pastinya memberi senyuman dan keterujaan buat para peminat jentera sportbike.

Dari Litar

Bimota Bakal Kembali Dalam WorldSBK 2025

Pengeluar jenama motosikal ikonik Itali, Bimota bakal kembali ke pentas perlumbaan dunia pada tahun 2025 dengan menyertai Kejuaran Dunia Superbike (WorldSBK).