Mahindra Kini Milik B.S.A

BSA adalah satu nama lagenda motosikal British yang sentiasa berada di hati peminat tegar motosikal klasik. Berita terbaru, syarikat dan nama BSA ini telah dimiliki oleh konglomerat terbesar di India, Mahindra Group yang beroperasi di Mumbai.
Mahindra merupakan sebuah syarikat pengeluar pelbagai jenis kenderaan di India dan juga pengeluar traktor terbesar di dunia. Sejak tahun 2008 lagi, syarikat ini cuba untuk berdiri kukuh dalam industri dua roda dan mereka berjaya. Kini, menerusi haluan dan rancangan baru, mereka telah menandatangani perjanjian bersama David Bennett, CEO Regal Engineering berpengkalan di UK. Regal Engineering kini memegang tanda dagangan BSA dan ternyata, Mahindra telah memberi isyarat mengenai sasaran mereka di dalam sektor premium industri motosikal.
Asalnya BSA ini adalah sebuah syarikat yang menghasilkan senjata pada tahun 1861 dengan nama Birmingham Small Arms. Pada tahun 1880, halatuju perniagaan ini bertukar kepada pengeluaran basikal dan berjaya menghasilkan motosikal pertama mereka pada tahun 1910. Pada tahun ini juga BSA membeli syarikat pengeluar kereta Daimler.
BSA menjadi pengeluar motosikal terbesar di Britain pada awal tahun 1960an dengan kapasiti 20,000 orang pekerja di kilangnya yang terletak di Small Health, Birmingham. Kilang ini mampu menghasilkan sebanyak 50,000 unit motosikal setiap tahun, mengatasi jumlah pengeluaran pengeluar lain seperti Triumph (30,000), AJS/Matchless (20,000) dan Nortons (5,000).
Antara tahun 1948 dan 1971, BSA berjaya mengeluarkan sebanyak 400,000 unit model Bantam yang bersesaran 125cc, dua lejang dan ia antara model yang paling laris. Jentera BSA sentiasa mendapat permintaan yang tinggi kerana ia mampu milik, tahan lasak, prestasi enjin yang cukup memuaskan dan khidmat lepasan jualan yang bermutu tinggi. Para pengedar BSA sentiasa memperoleh keuntungan ya ng tinggi dan mempunyai rakan niaga di negara-negara Eropah yang mantap.
Mereka juga tidak bertujuan untuk bertanding dengan Norton dan Triumph tetapi jentera produksi BSA yang diubahsuai ternyata cukup pantas dan berjaya di litar. Pada tahun 1954, BSA mendominasi perlumbaan Daytona 200 melalui pelumba mereka, Bobby Hill manakala empat lagi pemenangnya turut menunggang BSA.
Pada era 1950an, para pelumba BSA Gold Star telah memenangi perlumbaan Isle of Man 350cc Clubman TT sebanyak lapan kali berturut-turut dan tiga kali dalam kelas 500cc. Selepas 1956, perlumbaan jentera produksi dihentikan kerana dominasi BSA terlalu kuat. Jaguh MX, Jeff Smith dengan jentera B4 BSAnya turut cemerlang dalam MX World Championship 500cc pada tahun 1964 dan 1965. Pada tahun 1971, Dick Mann yang memacu BSA Rocket (enjin tiga silinder, kerangka Rob North) memenangi perlumbaan Daytona 200.
Turut berkongsi kejayaan ialah John Cooper yang menang dalam perlumbaan Ontario 200 juga dengan menunggang model yang sama dan lebih hebat apabila berjaya menewaskan Agostini yang ketika itu menunggang MV Agusta 500GP Racer.
Pada tahun berikutnya, BSA dilanda bencana apabila syarikat ini mempunyai pihak pengurusan yang sangat teruk disebabkan kekurangan ahli lembaga pengarah yang diketuai oleh Sir Bernard Docker, Eric Turner dan Lionel Jofeh. Perancangan dan polisi pembangunan terhadap model-model BSA ini tidak pernah berjaya dan ini menyebabkan jentera ini semakin tidak menarik dan hilang kualitinya.
BSA akhirnya 'jatuh' selepas dua tahun mempunyai masalah pengeluaran. Dua kali mereka terlepas waktu puncak pembelian yang dikenali sebagai America's Early-Spring Buying Period – amat merugikan. Mereka selepas itu bagaikan hilang panduan dan keadaan semakin parah apabila mereka cuba memperkenalkan pula model moped, Ariel-3 yang gagal mendapat sambutan. Akhirnya BSA terpaksa ditutup pada tahun 1972.
Penutupan tersebut ternyata memberikan peluang untuk jenama lain memperkenalkan produk-produk mereka. Untuk membantu mempertingkatkan industri motosikal, pihak kerajaan British telah memperkenal sebuah syarikat baru iaitu VNT yang menggabungkan dua buah jenama iaitu Triumph dan Norton-Villers. Projek ini diketuai oleh Dennis Poore, beliaulah yang menutupkan kilang BSA, Small Health Factory selepas itu.
Pada tahun 1977, nama BSA kembali di pasaran motosikal dan ini merupakan hasil usaha dua orang rakan kongsi iaitu Bertie Goodman dan Bill Colquhon. Mereka memasang jentera BSA ini dengan enjin dari Itali tetapi hanya dalam jumlah yang sedikit dan memasarkannya di beberapa lokasi terpilih, sebelum BSA digabungkan pula dengan Andover Norton, sebuah syarikat alat ganti di Hampshire yang kemudiannya membentuk BSA Group Ltd.
Pada tahun 1994, BSA dijual kepada Regal Engineering, sebuah syarikat dalam pengkhususan rekacipta jentera prototaip dan jurutera sub-kontrak dalam industri aerospace dan automotif. Regal Engineering diasaskan oleh keluarga Bennett pada tahun 1965 di Southampton, bersebelahan dengan kilang pembuatan kapal selam yang terkenal dengan WW2 Spitfire Fighter.
Menerusi gabungan terbaru itu, BSA-Regal berjaya menghasilkan ratusan model 400/500cc BSA Gold SR yang berasaskan enjin Yamaha untuk pasaran Jepun. Dengan perolehan tahunan sebanyak 7.5 juta dan 100 orang pekerja, syarikat ini semakin berjaya. Tiba-tiba saja, Mumbai Stock Exchange mendedahkan bahawa anak syarikat Mahindra Group, Classic Legends Pvt. Ltd telah memperoleh kesemua saham BSA Co. Ltd sebanyak 120,000 saham dengan nilai GBP23.88 setiap satu dan jumlah keseluruhan transaksi bernilai GBP3.4 juta.
Classic Legends turut menandatangani lesen jenama eksklusif dengan sebuah pengeluar motosikal, JAWA dari Czech. Walaupun begitu, ia bukanlah satu pengambilalihan cuma untuk membenarkan nama Jawa di India.
Jentera dua lejang Jawa diperkenalkan di India pada tahun 1960 dan dihasilkan di Mysore sehingga tahun 1996. Jentera ini menerima maklum balas yang baik dan permintaan terhadapnya berterusan hingga ke hari ini terutamanya buat para pengumpul motosikal. Mahindra juga merupakan pemegang saham terbesar 51% di Peugeot Motorcycles dengan nilai Euro 28 juta. Walaupun begitu, masih belum kelihatan sebarang perubahan besar yang telah dilakukan pada syarikat ini selain penjenamaan semula Mahindra Moto3 kepada Peugeots pada musim 2016 yang lalu.
Ketika di majlis sidang media pada 25 Oktober lalu, Pawan Goenka (Pengarah Eksekutif Mahindra) telah menerangkan tujuan pembelian BSA ini. “Rancangan kami ialah untuk menumpukan perhatian dalam segmen motosikal klasik premium di samping untuk terus maju ke hadapan. Kami ingin mencipta sebuah syarikat yang bergaya hebat dan membenarkan para pelanggan mengenang kembali pengalaman memiliki sebuah jentera lama.” komennya.
Rakannya, Rajesh Jejurikar yang juga merupakan Ketua Eksekutif dan Presiden Mahindra Two-Wheelers/MTW menegaskan bahawa jenama Jawa akan digunakan pada produk-produk di pasaran domestik manakala BSA pula digunakan secara eksklusif untuk produk-produk pasaran luar negara. Dalam masa dua tahun ini, Mahindra sedang merancang untuk melancarkan beberapa model Jawa yang dibangunkan di kilangnya, Madhya Pradesh. Pada masa itu, nama Mahindra akan terus digunakan pada produk-produk PTW (Powered Two-Wheeler).
Model Jawa dan Mahindra pula akan dijual secara berasingan oleh para rangkaian pengedar Mahindra. Pastinya akan lebih menarik jika nama Peugeot digantikan dengan BSA atau Jawa dalam perlumbaan Moto3 musim hadapan. Mahindra masih belum lagi mengumumkan sebarang rancangan mengenai pembangunan model-model BSA tetapi berhasrat untuk membina pusat R&D di U.K termasuklah mengeluarkan jentera ini di negara asalnya.
Pengambilalihan BSA dan kebenaran penggunaan nama Jawa (pada model buatan India) menunjukkan kemampuan mereka dari segi kewangan untuk memainkan peranan besar dalam industri motosikal di dunia. Berapa dalam 'poket mereka?' Mahindra Two Wheelers (MTW) merupakan nama terkecil di antara lima pengeluar motosikal tempatan di India selain Hero, TVS, Bajaj dan Royal Enfield. India juga merupakan negara kedua terbesar dalam industri PTW.
Nilai jualan produk MTW ternyata mengalami penurunan yang agak drastik pada tahun lalu. Mereka berjaya memasarkan sebanyak 194,516 unit atau 22.4%. Angka nilai yang sangat kecil berbanding Hero dengan jumlah penjualan sebanyak 6,296,920 unit. Prestasi yang ditunjukkan oleh Mahindra ini agak berbeza dengan kenaikan industri PTW di India yang sebanyak 1.2% atau dalam jumlah 15,404,026 buah motosikal pada tahun lalu.
MTW adalah anak syarikat Mahindra Group yang bernilai $17.8 billion bersama beberapa lagi anak syarikat lain dalam industri berbeza seperti automotif, aeroangkasa, peralatan ladang, kewangan dan konglomerat hartanah. Ini melayakkan mereka (Mahindra Group) tersenarai di antara 20 syarikat terbaik di dalam indeks India Fortune 500. Syarikat ini memiliki 200,000 orang pekerja di 100 buah negara dan telah diasaskan pada tahun 1945 ketika di era zaman pemerintahan pihak British.
Bermula dengan perdagangan keluli, syarikat ini kemudiannya memasang jip berjenama Willy dan ya.. ia masih dibuat hingga ke hari ini. Selepas kemerdekaan, Mahindra mengembangkan 'sayap' mereka dengan industri pengeluaran traktor, lampu komersial dan kenderaan pihak tentera. Dengan pantasnya Mahindra bertukar menjadi sebuah syarikat gergasi – sebagai pengeluar SUV terbesar dunia dan pengeluar kenderaan utiliti. Keupayaan syarikat ini turut dibuktikan dengan kemampuan untuk menghasilkan traktor di China.
Pada tahun 2011, Mahindra Group berjaya memperoleh pengeluar kereta Korea, Ssangyong dan juga Australian Airvan (syarikat kapal terbang) yang telah mengeluarkan GippsAERO sejak 2008 lagi. Pada tahun yang sama, Mahindra terus memperluaskan perniagaannya dengan membeli syarikat Kinetic, sebuah pengeluar skuter kecil di India yang kini memiliki hak untuk menggunakan produk dari skuter Italjet. Sehingga kini, Mahindra Group telah pun melabur sebanyak $200 juta kepada MTW termasuk pembinaan kilang baru mereka yang terletak Pithampur. Kilang ini mampu mengeluarkan sebanyak 500,000 unit setahun.
Nilai jualan MTW meningkat dengan pesatnya selepas mereka menumpukan perhatian dalam dunia skuter tetapi sayangnya model Stallio 110 yang diperkenalkan pada tahun 2010 tidak begitu memberangsangkan. Stallio mempunyai banyak masalah terutamanya pada sistem transmisinya yang akhirnya memerlukan jentera ini terpaksa dipanggil semula untuk dibaik pulih.
Ini telah merencatkan pelancaran model berprestij, Mojo 300 yang mempunyai spesifikasi cukup mantap. Enjin 292cc, DOHC, kerangka jenis perimeter, enam kelajuan dan ia adalah model pertama buatan India dengan spesifikasi moden berkuasa melebihi 250cc. Model ini dibangunkan di Itali oleh Engines Engineering yang beroperasi di Castenaso, Bologna. Mahindra Group turut membeli ekuiti syarikat ini sebanyak 70% pada Jun 2008.
Engines Engineering (EE) diasaskan oleh Alberto Strazzari pada tahun 1979 dan berfungsi sebagai pusat R&D untuk pembangunan model-model baru di Eropah dan di Asean seperti Ducati, Benelli, Beta, Gilera, Honda, Yamaha termasuklah Malaguti. Selepas Mahindra menjadi pemegang majoriti EE, mereka terus berbelanja dengan besar untuk menjadi pengeluar India pertama yang mempunyai pasukan di dalam perlumbaan motosikal grand prix.
Tujuan utamanya ialah untuk menonjolkan diri di dalam dunia pasaran. Pasukannya EE diwakili oleh Danny Webb (UK) dan Marcel Schrotter (Jerman) yang menggunakan enjin 125cc dua lejang hasil kebijaksanaan EE. Tahun itu juga merupakan musim terakhir perlumbaan jentera 125cc dijalankan tetapi sayangnya keputusan yang dicapai tidak begitu memberangsangkan. Tidak ada sekali pun mereka berjaya mendapatkan kedudukan dengan cemerlang.
Mereka tidak mudah mengalah. Mahindra dan EE kemudiannya mengeluarkan jentera untuk saingan Moto3 bermula pada tahun 2012. Jentera baru ini bersesaran 250cc, empat lejang dan satu silinder. Enjin Moto3 ini dikeluarkan oleh bekas ketua bahagian teknikal pasukan Ferrari F1, Ing. Mauro Forghieri dari Oral Engineering yang beroperasi di Modena. Sayangnya... percubaan ini juga tidak begitu berjaya.
Ini amat mengecewakan EE kerana kegagalan untuk mengeluarkan sebuah jentera lumba kompetitif atau pun sebuah jentera jalanan yang boleh dipercayai. Mahindra Group akhirnya menjual semula 70% saham mereka kepada Strazzari – yang kemudiannya menjalin hubungan dengan peneraju pasaran dua roda, Hero MotoCorp. Hero MotoCorp ketika itu baru sahaja 'bercerai' dengan Honda selepas bekerjasama buat sekian lama.
Pada tahun 2013, Mahinda memperolehi rakan baru dalam dunia perlumbaan iaitu Suter Racing Technology dari Switzerland. Kerjasama ini bertujuan untuk menghasilkan sebuah jentera baru untuk saingan Moto3. Kerjasama ini berjaya! Gabungan dengan pasukan Suter ini berjaya mendapatkan posisi yang jauh lebih baik menerusi Efren Vasquez dan Miguel Oliveira (yang sudah pernah memacu mesin berenjin Honda).
Persaingan yang konsisten dengan Honda dan KTM ternyata memberi keputusan yang baik buat Mahindra dengan kemenangan pertama mereka di Litar Assen pada bulan Jun lalu oleh Francesco Bagnaio dan kemudiannya di Malaysia pada Oktober. Kejayaan ini ternyata menaikkan nama Mahindra dari segi komersial dan ianya memang cukup penting buat mereka.
Empat tahun lalu, syarikat ini telah mengeluarkan modal sebanyak $15 juta untuk mendirikan sebuah pusat R&D di Pune. Produk pertamanya ialah Centuro yang dilancarkan pada Julai 2013 dan telah mendapat respon yang cukup positif di kalangan pengguna motosikal di India. Kini, Mahindra Two Wheelers (MTW) mempunyai dua model motosikal jalanan iaitu Centuro dan Mojo serta tiga model skuter iaitu Gusto, Rodeo dan Duro.
Walaupun begitu, MTW telah mengalami kerugian sebanyak $148 juta sejak tujuh tahun kewujudannya. Dengan kemerosotan sebanyak 24% dari tahun ke tahun, pihak syarikat perlu memikirkan jalan untuk kembali pulih. Pembelian BSA dan perjanjian dengan Jawa adalah salah satu daripadanya.
Pengerusi Mahindra Group, Anand Mahindra terus bersemangat untuk berada di pasaran motosikal memandangkan ia adalah satu perniagaan jangka panjang. Mereka perlu belajar daripada kesilapan ini dan sentiasa bersedia untuk mencuba sesuatu yang baru. Ketika ditemuramah oleh akhbar The Economic Times, Anand Mahindra ingin MTW terus maju dan menyasarkan penjualan sebanyak 1 juta unit menjelang tahun 2020 sesuai dengan jumlah anggaran keseluruhan PTW ketika itu yang berjumlah 30 juta unit motosikal. RR
Oleh: Alan Cathcart
Popular