Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 16 April 2025

MODA Sporter-S 250: Sesuai Untuk Kegunaan Bandar

Selepas diperkenalkan pada awal bulan Januari lalu, ketibaan model ini di pasaran negara memang agak 'panas'. Macam-macam riaksi yang diterima memandangkan ia adalah jenama terbaru yang diperkenalkan oleh Mdua Motor Sdn. Bhd., anak syarikat kepada AFY Mobility Industries (AMI).

Sebaik sahaja model ini dipertontonkan di platfrom media sosial, warga maya yang sememangnya sudah menunggu tidak sabar-sabar lagi untuk melihat kemampuan skuter ini. Ya... kita sekarang di zaman skuter, anda boleh kira sendiri betapa banyak model yang dilancarkan saban hari.

Pihak MODA cepat-cepat menganjurkan sesi tunggang uji bersama media kira-kira tiga minggu selepas dilancarkan. Dalam sesi tersebut, jarak perjalanan yang ditempoh hanyalah sekitar 30 kilometer.

Menurut pengalaman Redzuan (kakitangan RR) yang menyertai sesi tersebut, apa yang sempat dikongsikan ialah pelananya lembut/empuk, rekabentuknya moden (ala superbike), cermin pengadang angin boleh laras (secara manual), hantaran kuasa boleh tahan, panel meter TFT jelas.

“Ketika saya menyertai sesi tunggang uji itu, prestasinya memang agak mantap. Sesi ringkas tersebut melalui jalan-jalan biasa dan lebuhraya KLIA yang merangkumi jarak perjalanan lebih kurang 32 kilometer. Ia bermula dari LakeSide@SIC Sepang melalui Jalan Pekeliling 2 - Jalan Pekeliling - Lebuhraya KLIA dan kembali semula ke LakeSide@SIC,” kata Redzuan.

RR kemudiannya diberi peluang sekali lagi untuk menikmati skuter ini selama dua minggu dan dari segi prestasi, penggunaan bahan api dan keselesaan jangka masa itu sudah agak mencukupi. Lampu belakangnya juga jenis LED dan boleh saya katakan antara 'design' paling kemas dan paling cantik. Baik siang atau malam, lampu belakangnya membuatkan skuter ini cukup senang untuk dilihat.

Ya... Setuju dengan Redz, rekabentuk keseluruhan Sporter-S ini memang padu...menarik dan garang. Ia menggabungkan Skuter Maksi & Superbike. Lampu depan jenis LED ala superbike itu menjadi tarikan utama – suluhannya cukup terang! Lampu isyarat depan juga dipasangkan bersepadu dengan cermin sisi.

Ya, cermin pengadang angin untuk Sporter-S ini boleh dilaras kepada beberapa ketinggian. Caranya mudah...tolak ke atas atau tekan ke bawah. Tak ada menggunakan sebarang 'alat' untuk menaikkan/menurunkan skrin ini. Cara terbaik untuk melaras, kepit tayar depan..pegang cermin dan tolak sahaja ke atas. Nak turunkan juga begitu tetapi saya rasa lebih senang.

Masalah pertama yang saya dapati sebaik sahaja memanjat ke atas Sporter-S ialah kedudukan kaki. Memandangnya saya setinggi 178cm, saya perlukan ruang kaki yang luas untuk berlunjur lebih-lebih lagi dalam perjalanan jauh. Dengan Sporter-S, saya terpaksa letakkan kaki di tepi sedikit dan mengubah posisi sedikit ke belakang. Ngam-ngam di antara pembahagian pelana – penunggang dan pembonceng.

Wow...memecut dengan Sporter-S memang puas! MODA dipadankan dengan enjin bersesaran 244cc, Euro4, silinder tunggal, SOHC dengan sistem penyejuk cecair yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 24.8hp pada 8,500rpm dan tork 22.5Nm pada 6,500rpm.

Laju maksimum yang kami dapat capai ialah sekitar 150km/j. Ada juga rakan media lain yang katanya dapat cecah 155km/j. Namun begitu, ada yang best...dan ada juga yang kurang best apabila skuter ini dipecut sebegitu laju.

Paling best tentulah dari segi hantaran kuasanya yang dapat kita rasa cukup bertenaga dengan lancar. Walaupun pakai sistem CVT, tak ada langsung rasa sebarang sentapan atau gangguan.

“Pulaih ja...dia pi bukan main laju lagi!”.

Dari segi pengendaliannya juga tidak merisaukan, bar hendal yang direka dengan ketinggian dan lebar yang sesuai untuk semua jenis penunggang. Sayangnya, apabila skuter ini dibawa laju, cermin sisinya pula bergegar dengan kuat sehinggakan kami tak dapat melihat keadaan trafik di belakang.

Unit yang kami uji berwarna merah putih atau nama komersialnya Sporty Red. Ada satu lagi warna iaitu Meteor Grey yang tidak kurang anggunnya juga. Secara peribadi, saya suka pada 'layout' panel meternya yang ringkas dan mudah dibaca. Menerusi panel meter ini juga kita dapat menala sistem Traction Control dan memantau tahap tekanan tayar. Kalau berkurangan atau berlebihan...lampu amaran akan berkelip-kelip.

Sistem saspensi depan boleh diberi pujian. SPORTER-S tampil dengan saspensi hadapan jenis USD yang menawarkan penyerapan hentakan dengan baik tetapi tahap penyerapan di belakang tidak sebaik di depan. Diharap pihak Mdua Motor dapatlah mengatasi masalah ini dengan segera kerana ia mengganggu keseronokan menunggang.

Apa pun, bila sampai di tengah-tengah kotaraya. Segala yang dirasakan kurang sempurna sebelum ini tidak lagi menjadi rungutan. Sporter-S cukup tangkas meredah kesesakan lalu lintas, tak ada sebarang rasa bahang pada mana-mana bahagian dan tak sempat pula nak rasa gegaran kerana pergerakan dalam bandar cepat! Kejap-kejap stop...kejap-kejap pecut.

Ruang simpanan bawah pelana bersaiz 10 liter yang hanya boleh memuatkan satu topi keledar sahaja. Bagi kami sebagai sebuah skuter 250cc agak kecillah ruang tersebut.

Tayar MODA bersaiz 120/70-15 (depan) dan 140/60-14 (belakang) yang mencengkam permukaan jalan cukup sempurna. Pemilik skuter ini juga akan menikmati kuasa sistem keselamatan pada model ini juga disempurnakan dengan brek cakera berkembar 260mm di bahagian hadapan manakala belakang menggunakan cakera tunggal 240mm. Jentera ini juga didatangkan dengan sistem ABS dua saluran dan Traction Control.

Casis yang bertegaran tinggi menyumbang kepada keyakinan dan kestabilan tinggi sewaktu skuter dimiringkan setiap kali masuk ke selekoh serta di laluan lasak. Cuma berat 186kg itu dan sudut putaran yang terhad berjaya menakutkan saya pada awal-awal menunggang skuter ini.

Pada harga RM17,888 itu, ada beberapa ciri-ciri yang masih boleh dipermantapkan. Paling utama tahap gegaran yang cukup terasa pada sistem saspensi belakang. Kami yakin ia akan diperbaiki dalam masa yang terdekat.

Tahniah buat para jurutera MODA yang berpengkalan di utara tanahair. Selaku pencinta dua roda, kami sanjungi usaha kalian yang sentiasa komited untuk memenuhi keperluan dan kehendak penunggang tempatan khususnya. RR

Popular

  • Model Baru

    Cyclone RT5 Tampil Dengan Ciri Premium - Bermula RM16,888

  • Model Baru

    Cyclone RT2S Kini Rasmi Di Pasaran Malaysia - RM13,888

  • Dari Litar

    Irfan Haykhal Raih Kemenangan Sulung di CP150

  • Model Baru

    MODA Sporter S SKII Tampil Dengan Beberapa Ciri Pembaharuan

  • Warta Roda

    Program Penggantian Muffler QJMOTOR AX200S Diteruskan

Artikel berkaitan

Honda CRF1100L Africa Twin 2026: Pengembaraan Baru Bermula

Honda CBR650R E-Clutch - Sebuah Supersport Mesra Pengguna?

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Hampir 1000 kilometer Dengan Aveta NOVA 250 - Apa Rasanya?

Media Test Ride Kawasaki Z900: Glenmarie ke Sekinchan - Bukan Sekadar Kuasa

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

KARNIVAL GENBLU YAMAHA 2026

Dari Litar

Hakim Danish Kekal di Moto3 Bersama MSI RACING TEAM

Hakim Danish terus diberi kepercayaan untuk mengharungi saingan Moto3 bagi musim hadapan.

Model Baru

Triumph Motorcycles Malaysia Perkenalkan TRACKER 400 & THRUXTON 400 Baharu

Triumph Motorcycles Malaysia memilih acara Art of Speed baru-baru untuk melancarkan dua model terbaru untuk tahun 2026 iaitu Triumph Tracker 400 dan Thruxton 400.

Warta Roda

Hakim Danish, Duta Taman Tema Genting SkyWorlds

Taman Tema Genting SkyWorlds hari ini secara rasmi melantik bintang perlumbaan motosikal negara, Hakim Danish, sebagai Duta Taman Tema.