Isu Terkini

Februari 2024

Warta Roda / 10 Februari 2015

Pengembaraan Ke Thailand Dengan SYM Bonus 110

Tahniah diucapkan kepada pasangan Rusli Osman dan Yongsuzi Ramli yang berjaya melakukan pengembaraan sejauh 4,192km dalam lapan hari dari Batu Gajah, Perak ke Petchaburi, Thailand dengan menunggang jentera SYM Bonus SR110. Untuk memberikan penghargaan dan sokongan kepada Rusli dan Yongsuzi, pihak Mforce Bike Holdings Sdn Bhd telah menganjurkan sidang media khas pada akhir Disember 2014 lalu untuk meraikan pencapaian mereka berdua.

 Pengembaraan sejauh 4,192km diharungi dengan penuh semangat.
 Pengembaraan sejauh 4,192km diharungi dengan penuh semangat.


“Sememangnya program sebegini sentiasa mendapat sokongan daripada pihak SYM kerana ia membuktikan keupayaan jentera kami dan pada masa yang sama turut mempromosikan produk-produk keluaran SYM. Untuk pengembaraan kali ini, pihak kami telah memberi sokongan dari segi kewangan dan servis,” kata Dato' Seri Arifudin M.Shah, Pengarah Urusan Malaysian Formula Bikes Sdn Bhd yang bertanggung jawab dalam pemasangan jentera-jentera SYM.

Dari kiri: En. Fabian Ong (Ketua Pegawai Operasi Mforce Bike Holdings Sdn Bhd) bersama Pn. Yongsuzi Ramli,En. Rusli &Dato’ Sri Arifuddin M.Shah(Pengarah Urusan) bersama meraikan kejayaan Pengembaraan ke Thailand dengan SYM Bonus 110.

Rusli dan isterinya Yongsuzi sememangnya peminat tegar SYM. Selain Bonus SR110, mereka turut memiliki dua buah VTS200 dan sebuah Jet Power 125. Pengembaraan bermotosikal telah menjadi sebahagian daripada minat utama pasangan ini. Mereka berdua sering berkonvoi bersama di dalam dan luar negara tidak kiralah secara berasingan atau membonceng bersama.


“Saya boleh dikatakan sudah biasa mengembara ke Thailand tetapi semuanya dengan jentera berkuasa tinggi dan inilah masa yang sesuai untuk mencuba SYM Bonus kerana ingin benar merasakan satu pengalaman baru dan ketahanan jentera ini,” kata Rusli.

Rusli dan Yongsuzi memulakan perjalanan bersejarah mereka pada tanggal 26 November lalu, bermula di Batu Gajah, Perak. Untuk memudahkan perjalanan mereka, Rusli membuat sedikit persiapan dari pelbagai segi seperti menghafal nombor jalan, nama bandar, nama simpang, menguasai beberapa perkataan penting dalam bahasa Thailand, menghubungi kenalan di sana dan membawa bersama kit tayar pancit.


Rusli melakukan perjalanan sekitar 450-600 kilometer sehari manakala pengembaraan dengan motosikal kecil ini lebih menyeronokkan kerana lebih mudah berhenti, lebih banyak kawasan baru diterokai dan pastinya lebih mudah mendapatkan alat ganti jika jentera mengalami masalah. “Ketika menunggang menggunakan jentera berkuasa tinggi, kita pastinya memecut laju menyebabkan beberapa lokasi yang cantik dan restoran yang lazat terlepas begitu sahaja. Kali ini kami dapat menikmati setiap ceruk kawasan dengan seronoknya.”

Cantiknya pemadangan di sini.
Cantiknya pemadangan di sini.

Walaupun masalah perbezaan bahasa sering berlaku tetapi sifat murni dan keramahan masyarakat Thailand ternyata memberikan keselesaan kepada semua pelancong ke sana. Menurut Rusli kenderaan berat di Thailand juga amat menghormati pengguna motosikal, kita hanya perlu memberi isyarat dan pastinya mendapat laluan untuk membelok dengan selamat. Keadaan jalan raya yang kini sudah jauh lebih baik dan bersih turut menjadi punca utama mengapa lebih ramai penunggang motosikal memilih untuk bercuti dan mengembara ke sana.


“Kami sering menunggang bersama dengan motosikal masing-masing. Kadangkalanya, saya akan membonceng di belakang. Pada tiga hari pertama kami di Thailand, bahagian belakang badan saya terasa cukup sakit menyebabkan terpaksa mencari ubat di farmasi. Di sana saya dinasihatkan supaya memakai penyokong belakang (back supporter), hasilnya memang menakjubkan! Saya dapat menikmati setiap detik perjalanan dengan selesa,” cerita Yongsuzi.

Tempat penginapan yang cantik & selesa.
Tempat penginapan yang cantik & selesa.


Pastinya pengembaraan sebegini memberikan 1001 pengalaman berharga. Antaranya ialah ketika dalam perjalanan Loei – Taman Negara Nam Nao – Lomsak – Phu Tab Berg – Khao Kho. “Kawasan Loei seperti perkampungan orang asli yang menawarkan cuaca cukup dingin dan segar. Kami lebih teruja apabila tiba di Taman Negara Nam Nao kerana ia terkenal dengan penempatan lebih daripada 100 spesis burung. Tetapi perjalanan ke sana memang cukup sunyi. Sunyi sangat!”

Menunggang secara bergilir dapat mengurangkan keletihan.
Menunggang secara bergilir dapat mengurangkan keletihan.


“Pagi itu, hanya kami berdua sahaja di jalan itu. Pada mulanya tak ada rasa apa-apa tetapi selepas nampak 'hasil buangan' gajah yang masih segar....panik jugalah nak habiskan jalan di Taman Negara ini.” Taman Negara Nam Nao ini juga sering dilawati kerana ia terletak di kawasan bersuhu sejuk dengan catatan tahunan sekitar 25 darjah manakala suhu ini mampu turun ke 0 darjah pada bulan November (sumber: Wikipedia)

Sempat singgah di Hua Hin Bike Week 2014.
Sempat singgah di Hua Hin Bike Week 2014.


Pha Tab Berg pula menawarkan pemandangan yang cukup luar biasa. Menurut Rusli dan isterinya, ia adalah antara lokasi paling cantik pernah dilawatinya dan amat sesuai dipilih sebagai destinasi berbulan madu. “Walaupun saya tidak pernah ke Eropah dan melihat pemandangan di sana tetapi saya yakin kawasan ini memang setanding dek kerana keindahan dan suhunya yang memang berbaloi untuk dilawati. Kawasan lembah yang luas dan dalam di kawasan ini memang memberikan pemandangan yang menakjubkan.”


Apabila tiba di Khao Kho, tempat ini mengingatkan Rusli pada tanah tinggi Cameron Highlands tetapi di sini mereka mempromosikan hotel-hotel ala rumah kampung dan juga penginapan dalam khemah yang lengkap dengan segala prasarana. Harganya pula tidaklah terlalu tinggi dan inilah cara penginapan yang digemari oleh para pelancong terutamanya dari luar negara.

Pengembaraan Rusli dan Yongsuzi turut menemukan mereka dengan kenalan-kenalan baru dari serata dunia seperti dari Korea dan Eropah. Apa yang kelakarnya ialah kesemuanya mengatakan “You are crazy man!” apabila perbualan tertumpu tentang cara dan bagaimana pasangan ini tiba di Thailand.

Pemandangan berkabus, nyamannya.
Pemandangan berkabus, nyamannya.
Perjalan yang sunyi dan sejuk.
Perjalan yang sunyi dan sejuk.

Walaupun untuk ke tempat-tempat ini memerlukan tunggangan yang cukup mencabar, SYM Bonus SR110 yang menggunakan bahan pelincir PJ1 menunjukkan prestasi yang sangat-sangat hebat. Hampir setiap hari dia memerah pendikitnya di tahap maksimum dan sering kali menggunakan gear-gear rendah untuk pendakian, namun jenteranya tidak pernah sekali pun bermasalah sebaliknya terus 'berlari' dengan gagahnya.

Ladang bunga matahari seluas mata memandang.
Ladang bunga matahari seluas mata memandang.

Pengembaraan pasangan kental ini merangkumi beberapa kawasan yang cukup anggun dan menarik. Perjalanan hebat ini bukan sahaja mengeratkan lagi hubungan Rusli dan Yongsuzi tetapi juga berjaya membuktikan keupayaan jentera SYM Bonus SR110. Menurut pihak SYM, Bonus SR110 dan Bonus E adalah antara model yang paling diminati dengan penjualan bulanan sekitar 3,000 hingga 4,000 unit. RR

Isu Pada

Februari 2015

Popular

  • Warta Roda

    Penunggang Motosikal Dihempap Pokok!

  • Warta Roda

    Blueshark Kembangkan Rangkaian Pengedar ke Seluruh Negara

  • Warta Roda

    Kemalangan Ngeri Tiga Kereta & Sebuah Motosikal, Tiga Cedera Parah...

  • Warta Roda

    Keselamatan Diendah: Sekumpulan Individu 'Berkelah', Masak & Makan Di Stesen Minyak

  • Dari Litar

    GP Perancis: Giliran Jorge Martin Loncat Gembira!

Artikel berkaitan

Penunggang Motosikal Dihempap Pokok!

Blueshark Kembangkan Rangkaian Pengedar ke Seluruh Negara

Kemalangan Ngeri Tiga Kereta & Sebuah Motosikal, Tiga Cedera Parah...

Keselamatan Diendah: Sekumpulan Individu 'Berkelah', Masak & Makan Di Stesen Minyak

Konvoi 'High Speed Hill Journey' Bersama Pengedar Yamaha Taiwan

Kemalangan Motosikal Dengan Pacuan 4 Roda, Penuntut IPT Maut

Warna Baru Untuk Yamaha MT-15

Yamaha MT-25 2024 Hadir Dengan Warna Baru

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Konvoi 'High Speed Hill Journey' Bersama Pengedar Yamaha Taiwan

Seramai 13 wakil pengedar dan pemilik Yamaha dari Taiwan telah menikmati pengalaman menunggang di Malaysia baru-baru selama 4 hari 3 malam dengan jarak perjalanan sejauh 1,050 kilometer.

Warta Roda

'We Ride As One' 2024: Ducati Menggegar Bandar!

Tahun 2024 merupakan penganjuran acara 'We Ride As One' untuk kali ketiga yang dikhususkan untuk para pemilik Ducati.

Dari Litar

Pusingan Pertama Penuh Cabaran Buat Danish & Danial

Secara keseluruhannya, prestasi yang ditunjukkan oleh para pelumba negara dalam saingan pembukan tirai FIM JuniorGP World Championship 2024 cukup membanggakan.

Dari Litar

SS600: Azroy Hakeem Bangkit Raih Kemenangan

Pelumba dari pasukan IDEMITSU Boon Siew Honda Racing Team, Azroy Hakeem Anuar meraih kemenangan di tempat pertama.