Kemalangan Maut Selepas Larikan Kenderaan Majikan

SUNGAI PETANI – Suspek lelaki yang dikatakan mencuri kenderaan majikan maut dalam kemalangan selepas dilanggar sebuah lori ketika melarikan sebuah lagi motosikal curi dalam kejadian di Jalan Sungai Lalang-Bukit Selambau, di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, suspek yang juga pembantu kedai makan, terlibat dalam dua kejadian kemalangan dan melarikan dua buah kenderaan termasuk kereta Perodua Kancil mili majikan serta sebuah motosikal milik orang awam.

,Menurutnya, lelaki berasal dari Pattani berusia 20 tahun itu terlebih dahulu melarikan kereta majikannya dari Bedong sehingga terbabit dalam kemalangan pertama dengan sebuah kereta jenis Perodua Viva di Ambangan Heights.
Ketika orang ramai berhenti untuk melihat kemalangan, suspek kemudian keluar dari kenderaan dan melarikan sebuah lagi motosikal milik pengguna lain.
"Suspek kemudian terlibat dalam kemalangan kali kedua di Jalan Sungai Lalang-Bukit Selambau yang berjarak kira-kira 10 kilometer pada jam 5.50 petang dengan sebuah lori dari arah bertentangan ketika menunggang motosikal terbabit," katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila suspek dipercayai telah hilang kawalan dan masuk ke lorong bertentangan setelah melalui selekoh.
Pemandu lori telah cuba mengelak ke kanan namun oleh kerana jarak terlalu dekat, kenderaan itu telah melanggar tepat bahagian hadapan motosikal sebelum diseret lebih kurang 20 meter ke hadapan.

"Akibat kemalangan, lelaki terbabit mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Mayat telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani bagi proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. RR