Brixton Moucca 250 & ARIIC TOUCH 250 Sudah Berada di Pasaran
Skuter gaya retro, Brixton Moucca 250 dan skuter maksi moden,, ARIIC TOUCH 250 kini telah rasmi berada di pasaran negara. Kedua-dua model ini telah pun dilancarkan bersempena acara Malaysia Bike Show (Mforce MotoXperience 2026) pada 29 Mei 2026 lalu bersama 15 model baru yang lain.

Majlis pelancaran rasmi model ini telah diadakan bersempena majlis perasmian Mforce Best Shop KW Keat Wei Motor Sdn. Bhd. yang beroperasi di Kuala Ketil. Majlis tersebut turut dihadiri barisan pengurusan KW Keat Wei Motor Sdn. Bhd. serta wakil pengurusan Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd., termasuk Ketua Pegawai Operasi Mforce, Encik Asri Ahmad dan Pengurus Kanan Jualan, Encik Tang Hai Teik.


Brixton Moucca 250 dikuasakan oleh enjin 244 cc satu silinder, 4 lejang, 4 injap dengan sistem penyejukan cecair, yang menghasilkan kuasa maksimum 24.4hp pada 8,250 rpm dan tork maksimum 24 N.m pada 6,500 rpm. Model baru ini juga dipadankan bersama sistem transmisi automatik CVT bagi memastikan penghantaran kuasa yang lancar. Tangki bahan api bersaiz 12 liter pula cukup praktikal untuk tunggangan harian mahupun perjalanan jarak sederhana.

Brixton Moucca 250 baru ini dilengkapi dengan fork hadapan jenis teleskopik serta penyerap hentak berkembar di bahagian belakang yang memberikan penyerapan optimum dan kestabilan ketika menunggang. Model ini hadir dengan saiz tayar yang sama iaitu 120/70-12 di depan dan belakang, dipertingkatkan dengan Sistem Brek Anti Kunci (ABS) dwi saluran dan sistem Traction Control.

Model ini turut dilengkapi dengan ruang simpanan hadapan dan ruang simpanan bawah pelana dan untuk lebih praktikal, model ini turut didatangkan dengan sistem sambungan Bluetooth terus ke telefon pintar. Paparan meter jenis TFT yang cukup jelas, dipadankan dengan sistem kunci pintar serta port pengecas USB Type-A dan Type-C.


Moucca ditawarkan pada harga harga RM12,888 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans) dengan empat pilihan warna iaitu Mint Green, Backstage Black, Clockwork Orange dan Enduro White.
ARIIC Touch 250: Model ini telah kami uji di China sebelum ini dan pada sesi yang agak terhad itu, prestasi enjin model ini cukup mengagumkan. Pulas sahaja pendikit, ia meluncur dengan lancar dan padu. Model ini disempurnakan dengan enjn 249cc, silinder tunggal, sistem penyejukan cecair yang menghasilkan kuasa maksimum 16.5 kW pada 8,000rpm dan tork maksimum 23.5N.m pada 5,000rpm.

ARIIC TOUCH 250 hadir dengan paparan meter jenis TFT, sistem kunci pintar (keyless) serta port pengecas USB Type-A dan Type-C. Turut disediakan ialah suis keselamatan tongkat sisi serta sistem pencahayaan LED untuk lampu hadapan, lampu belakang, lampu isyarat dan lampu kecemasan.



Dari spek teknologi terkini pula, ia hadir dengan kamera hadapan serta pelindung angin (windsheild) yang boleh dilaraskan secara automatihk, sistem sambungan Bluetooth dengan telefon pintar memberikan beberapa kelebihan seperti Sistem Navigasi.

Tayar model ini bersaiz 120/70-14 di hadapan dan 130/70-13 di belakang yang dipadankan dengan sistem ABS dan sistem Traction Control. Perjalanan juga lebih meyakinkan dengan adanya fork hadapan jenis teleskopik dan penyerap hentak berkembar di belakang.
Spesifikasi Ringkas:
- Enjin: 249cc, silinder tunggal, sistem penyejuk cecair.
- Tinggi pelana: 760mm
- Isi tangki: 13 liter
- Berat kering: 147kg
- P x L x T: 1,950 x 760mm dan 1,400mm


Dengan setiap pembelian Brixton Moucca 250 dan ARIIC TOUCH 250, para pembeli boleh menikmati waranti selama 2 tahun. Perlindungan komprehensif penuh merangkumi tempoh 2 tahun atau sehingga 20,000 km (yang mana terdahulu). Sekiranya perbatuan melebihi 20,000 km dalam tempoh 2 tahun tersebut, komponen enjin kekal dilindungi di bawah waranti perbatuan tanpa had bagi baki tempoh waranti yang ada. RR




