Marco Bezzechhi Cemerlang di Mandalika
Marco Bezzecchi mencuri tumpuan apabila menjuarai Grand Prix Indonesia di Litar Antarabangsa Mandalika, sekali gus menghidupkan semula cabarannya dalam perebutan gelaran dunia MotoGP 2026.

Pelumba Itali daripada pasukan Aprilia Racing itu menamatkan perlumbaan di hadapan Raul Fernandez daripada pasukan Trackhouse MotoGP, manakala rakan sepasukannya, Jorge Martín, melengkapkan podium di tempat ketiga. Keputusan itu menyaksikan Martín kembali menduduki tangga teratas kejuaraan dunia dengan kelebihan dua mata ke atas Marc Márquez, yang hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat keenam.


Perlumbaan bermula dengan Fernandez memberikan tentangan hebat di barisan hadapan. Walaupun Bezzecchi memulakan perlumbaan dengan baik, Fernandez berjaya merampas kedudukan pertama dan mengekalkannya untuk sebahagian besar perlumbaan. Bezzecchi terus memberikan tekanan dari belakang sambil menunggu peluang untuk melakukan serangan. Kesabarannya membuahkan hasil apabila dia memintas Fernandez di selekoh pertama ketika berbaki sembilan pusingan.


Pelumba Itali itu berjaya membina jurang dengan pencabarnya dengan agak selesa dan mengekalkan kelebihan sehingga melintasi garisan penamat. Bezzecchi menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 4.260 saat berbanding Fernandez, sekali gus meraih kemenangan kelimanya musim ini. Kemenangan itu juga menandakan kebangkitannya selepas gagal menamatkan perlumbaan di Mandalika pada musim sebelumnya.



Fernandez mencuri perhatian menerusi persembahan luar biasa untuk menerima kibaran bendera penamat di tempat kedua walaupun mengalami keretakan pada dua jarinya. Pelumba pasukan Trackhouse MotoGP itu menunjukkan ketahanan fizikal dan mental yang tinggi untuk mempertahankan kedudukannya daripada tekanan Bezzecchi. Bagaimanapun, dia akhirnya terpaksa berpuas hati dengan kedudukan naib juara selepas dipintas sembilan pusingan sebelum perlumbaan berakhir.
Martin pula melengkapkan podium di tempat ketiga. Keputusan itu amat penting buat pelumba Sepanyol berkenaan kerana membolehkannya kembali mendahului kedudukan keseluruhan kejuaraan dunia.



Juara dunia bertahan, Marc Marquez, berdepan perlumbaan yang sukar walaupun memulakan aksi dengan baik. M. Marquez pada awalnya berjaya berada dalam kelompok tiga teratas selepas permulaan perlumbaan. Namun, dia kemudian kehilangan kedudukan kepada beberapa pencabar, termasuk Martin, ketika persaingan semakin sengit.

Márquez akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat keenam, di belakang Acosta yang menduduki tempat kelima. Walaupun gagal menaiki podium, keputusan itu membolehkannya mengutip mata penting dalam perebutan kejuaraan. Namun, Martin berjaya mengambil semula kedudukan pendahulu dengan kelebihan tipis dua mata. RR
Popular




