Voge DS800X Rally Sudah Berada di Pengedar Mforce Seluruh Negara
Selepas diperkenalkan pada bulan Mei lalu di MAEPS, Serdang sempena Malaysia Bike Show menerusi Mforce MotoXperience 2026, Voge DS800X Rally secara rasminya mendarat ke pasaran negara. Model berkonsepkan adventure rally ini ditawarkan pada harga asas bermula RM39,888 (tanpa cukai jalan & insurans).

Model ini dikuasakan bersama enjin 798cc, 2 silinder, DOHC dengan sistem penyejuk cecair yang menawarkan hantaran kuasa setinggi 94hp pada 9,000rpm dan tork 8Nm pada 6,500rpm. DS800X Rally turut dilengkapi transmisi 6-kelajuan dengan pacuan akhir jenis rantai serta sistem slipper clutch. Terdapat juga dua mod tunggangan iaitu Eco dan Sport.


Dari segi suspensi, bahagian hadapan jenis teleskopik USD boleh dilaras manakala belakang disempurnakan dengan penyerap hentak tunggal yang juga boleh dilaras. Sistem brek cakera terdiri dari cakera berkembar 310mm untuk roda hadapan dan cakera tunggal 240mm di belakang. Turut terdapat sistem ABS dua saluran yang boleh dimatikan.


Sebagai sebuah jentera yang juga sesuai untuk tunggangan lasak, DS800X Rally didatangkan dengan rim-rim jenis jejari bersama tayar hadapan bersaiz 90/90-R21 dan belakang 150/70-R18. Ketinggian pelana ditetapkan pada 850mm manakala kelegaan tanah sekitar 220mm yang sangat sesuai untuk laluan tidak berturap.


Antara kelengkalan lain seperti lampu-lampu LED, paparan meter TFT 7-inci, berat kering 213kg, tangki bahan api 24 liter, traction control, TPMS, pemanas pendikit serta pelana, damper boleh laras dan kamera dashcam di hadapan.


Voge DS800X Rally hadir dalam tiga pilihan warna iaitu Onyx Black, Zenith White dan Flash Yellow. Setiap pembelian model ini disertakan dengan waranti selama dua tahun atau 20,000km (yang mana tiba dahulu) bagi perlindungan komprehensif. Sekiranya jarak perjalanan melebihi 20,000km dalam tempoh dua tahun, komponen enjin masih dilindungi menerusi waranti perjalanan tanpa had untuk baki tempoh waranti yang berkenaan. RR


Popular




