Isu Terkini

Oktober 2024

14 Mei 2017

Sasitharen Mengejar Gelaran Juara

Bagi pencinta dunia perlumbaan motosikal khususnya cub prix, kita sudah biasa dengan nama M. Meganathan, M. Munisparan dan K. Sivanesan. Ketiga-tiga nama ini cukup 'besar' dalam sirkit kebangsaan kerana ketiga-tiganya adalah antara jaguh lumba yang cukup hebat di zaman mereka. Pada era baru ini, seorang lagi pelumba yang cukup berbakat sedang terus mencipta nama dan dia ialah Sasitharen Sukumaran, pelumba berusia 26 tahun yang berasal dari Puchong Selangor.

Sasitharen atau lebih mersa dengan panggilan Sasi merupakan anak kedua daripada dua adik beradik dan mula berkecimpung dalam dunia motosikal kira-kira 14 tahun yang lalu. “Masa itu, terdapat litar minibike yang dibina berdekatan dengan rumah saya dan itulah yang menarik minat saya untuk berlumba. Saya membayar RM10 untuk menyewa motor dan terus berlumba. Saya menang... dapat nombor satu. Perlumbaan selepas itu pun saya dapat nombor satu jadi ayah terus membeli sebuah Polini untuk tunggangan saya. Sejak dari saat itu, hampir setiap pusingan saya menang sehingga digelar juara minibike pada tahun tersebut.”

Raja Kapcai atau Wazi terlebih dahulu memanggil Sasi untuk diuji dan dilatih tetapi kemudiannya dia disunting oleh Shahrol Yuzy untuk menunggang bersama pasukannya dalam saingan kategori MZ One Make Race pada tahun 2003 dan berjaya menaiki podium di tangga kedua pada perlumbaan pertama. Yuzy banyak memberi tunjuk ajar tentang selok belok berlumba dan ketika itu M. Meganathan turut memberinya semangat untuk menjadi seorang pelumba yang berjaya.

Kemudian, Sasi mewakili pasukan Ah Hong Motor pada tahun yang sama dalam kelas Wira dan mempamerkan tunggangan yang cukup mengagumkan. Pada musim pertamanya dalam kelas ini, Sasi telah berjaya meraih tempat ketiga keseluruhan. Nama Sasi mula disebut-sebut sebagai pengganti para juara berketurunan India dan sememangnya itulah yang diimpikannya.

“Saya cukup bertuah kerana mempunyai seorang ayah yang cukup sporting. Dia tidak pernah marah walaupun saya gagal menamatkan perlumbaan dan sering mengatakan ia bukan rezeki saya pada persaingan itu lalu menyuruh untuk terus berusaha. Untuk kekal cergas, saya rajin bersenam dan berlatih di gimnasium serta mengawal pemakanan.”

Pada tahun 2004, Sasi meneruskan cabarannya bersama pasukan Top-N Racing dan berjaya mendapatkan apa yang diimpikan pada perlumbaan di Sabah. Sasi ternyata di antara tiga pelumba terbaik dalam kelas Wira pada tahun itu tetapi masih belum berjaya untuk meraih juara keseluruhan.

Sasi juga dipilih untuk mewakili negara dalam persaingan Asia Road Racing (ARRC) bersama pasukan Yuzy dan merupakan antara 10 pelumba terbaik dalam kelas 130 underbone. Selain dapat berlumba dan mewakili negara, mereka yang benar-benar serius dalam bidang ini juga berpeluang untuk mengunjungi pelbagai destinasi. Sasi telah pernah berlumba di Thailand, China, Qatar, Jepun, Indonesia dan India.

Sebagai seorang pelumba motosikal, kemalangan memang sudah menjadi lumrah hidup. Sasi juga pernah terlibat dalam kemalangan yang agak teruk. Ia berlaku pada perlumbaan cub prix di Sarawak. Sasi yang bermula dari petak pertama, terlibat dalam kemalangan dan terbabas. Walaupun kakinya cedera namun ia tidak mematah semangat Sasi untuk meneruskan perlumbaan dan berjaya menamatkan cabarannya di tempat kelima.

Daripada jentera 130cc dan 150cc, Sasi juga pernah berlumba dengan menggunakan jentera supersport CBR600RR dalam perlumbaan Suzuka 4 Hour Endurance Race dan MSS. Perlumbaan di Jepun itu telah menaikkan namanya dan Rozaiman selepas berjaya meraih tempat ketiga bersama-sama pasukan Boon Siew Honda Racing Malaysia. Pada tahun 2009, Sasi juga telah terpilih untuk menjalani ujian bagi pemilihan pelumba wildcard negara untuk saingan Moto3. Sasi menamatkan cabarannya di tempat ketiga, di belakang Zulfahmi Khairuddin dan Elly Idzlianizar.

“Pelumba negara yang saya kagumi ada ramai. Antaranya ialah Azlan Shah, Fazli Sham, Zaqhwan, Fazrul Sham, Elly Idzlianizar, Zamri Baba dan ramai lagi. Azlan Shah seorang juara yang cukup merendah diri dan tidak pernah kedekut untuk berkongsi ilmu. Begitu juga dengan pelumba yang lain. Azlan mempunyai kekuatan mental yang sukar dijumpai pada mana-mana pelumba lain dan saya banyak mendapatkan kekuatan itu daripada nasihatnya.”

Bersama keluarga tercinta.
Bersama keluarga tercinta.

“Zamri Baba pula mempunyai semangat juang yang sangat-sangat tinggi. Untuk menang, dia berani lakukan apa sahaja dan ini menyebabkan ramai pencabarnya berasa gerun setiap kali berentap dengan Zamri. Dia selalu katakan... aku makan nasi, engkau pun makan nasi dan tiada sebab mengapa engkau tak boleh kalahkan aku.”

Tahun ini, Sasitharen bersaing dalam kelas prima CP150 bersama-sama pasukan GIVI Honda Yuzy Racing dan semestinya mempunyai sasaran iaitu untuk meraih posisi terbaik dan mendapatkan gelaran juara. “Sememangnya saya seronok bersama pasukan ini. Zaqhwan banyak membantu saya untuk mencatatkan masa sebaik mungkin kerana membuat talaan jentera CP150 memerlukan kebijaksanaan. Dari segi saspensi, jentera baru ini sangat mantap berbanding model 130 lalu. Saya dapat 'melayangkan' jentera ini dengan lebih pantas dan lebih meyakinkan.”

Gambar kenangan Sasi di Phuket, Thailand.
Gambar kenangan Sasi di Phuket, Thailand.

Sememangnya impian Sasi ialah untuk bergelar juara dan pada usia 26 tahun ini, segalanya tidak mustahil. Dia juga mengagumi semangat lagenda MotoGP, Valentino Rossi yang masih ghairah mencari kemenangan dan mampu bersaing di kelompok hadapan walaupun pada usia 37 tahun.

“Bagi mereka yang ingin bergelar pelumba. Kemahiran menunggang bukanlah satu-satunya aset yang diperlukan. Pelumba yang baik perlu mempunyai disiplin yang tinggi, bijak mencari kelainan, boleh memberi maklum balas kepada para mekanik dengan baik, tidak berbohong, sentiasa merendah diri dan jangan sekali-kali sombong,” kata Sasitharen menutup bicara. RR

Isu Pada

Mei 2017

Popular

  • Warta Roda

    BSH Umum Tiga Warna Baru Honda ADV160

  • Warta Roda

    Pelajar Sekolah Maut Selepas Motosikal Dinaiki Rempuh Lori

  • Model Baru

    Hanway Heritage, Jentera Gaya Bobber Dilancarkan!

  • Model Baru

    ARIIC 318GT Secara Rasmi Dilancarkan – RM 22,888

  • Dari Litar

    Fabio Quartararo Kembali Julang Yamaha di Podium. Alex Marquez Raih Kemenangan Pertama

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

BSH Umum Tiga Warna Baru Honda ADV160

Boon Siew Honda memperkenalkan tiga warna baharu untuk skuter Honda ADV160 ke dalam pasaran negara.

Model Baru

BMW Motorrad Malaysia Memperkenalkan BMW S 1000 RR dan F 900 GS Adventure Baru. Harga bermula dari RM95,500

BMW Motorrad Malaysia telah memperkenalkan model sport terkini untuk siri BMW S 1000 RR dan jentera pengembaraan lasak iaitu BMW F 900 GS Adventure. Ketibaan kedua-dua model ini sudah pasti ditunggu-tunggu oleh para pecinta dua roda khususnya peminat tegar BMW.

Model Baru

Sah! SYM TTLBT Masuk Pasaran Negara Hujung 2025 atau Awal 2026 - Harga Anggaran RM50K

SYM TTLBT 508 bakal menemui para peminat skuter 'Sport Touring' pada hujung 2025 atau awal 2026.

Warta Roda

Midnight Black, Warna Terbaru Untuk Yamaha MT-15

Para peminat Yamaha MT-15 kini boleh memilih untuk mendapatkan model jalanan ini yang kini berada di pasaran dengan warna serba baru. Ya... MT-15 yang paling 'fresh' berada di pasaran hadir dengan warna Midnight Black.