Kawasaki KLE500 - Dari Lebuhraya ke Laluan lasak
Sempena penganjuran Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026, pihak media turut diberi peluang menyertai acara edisi kedua itu dengan menunggang Kawasaki KLE500. Bagi kami, inilah peluang terbaik untuk mengenali dengan lebih dekat motosikal adventure terbaharu Kawasaki yang ditawarkan di Malaysia. Pengembaraan selama tiga hari dua malam ke Gerik, Perak ini bermula seawal pagi dari Kawasaki Training Centre, Glenmarie, Shah Alam. Seramai tujuh wakil media menyertai perjalanan tersebut, termasuk kami dari RodaRoda. Terima kasih juga kepada Kawasaki Puncak Alam atas pinjaman KLE500 yang digunakan sepanjang pengembaraan ini.
Kalau tahun lalu kami menaiki van untuk ke lokasi acara, kali ini ceritanya berbeza apabila semua wakil media menunggang motosikal masing-masing. Konvoi diketuai Sdr. Zulfar, manakala En. Husaini mengikuti dari belakang dengan kereta sokongan yang membawa barangan peserta, minuman dan makanan ringan. Perjalanan ke Gerik ini juga menjadi peluang untuk kami merasai sendiri kemampuan KLE500 yang bermula dari lebuh raya sehinggalah ke laluan off-road sebagai cabaran utama pada hari kedua.


Sekali pandang, KLE500 memang mempunyai penampilan sebuah motosikal adventure yang cukup menarik. Bahagian hadapannya kelihatan agresif dengan lampu LED dan cermin penghadang angin yang boleh dilaras. Untuk pasaran Malaysia, model ini ditawarkan dalam satu varian standard. Ketinggian pelananya 870mm mungkin agak tinggi bagi sesetengah penunggang, tetapi pelana yang lebar memberikan sokongan yang baik ketika perjalanan jauh. Posisi tunggangan yang tegak juga membuatkan kami selesa ketika berada di atas motosikal. Bar hendal yang lebar pula memudahkan kawalan terutama ketika membuat pusingan U. Cuma, bagi penunggang yang lebih rendah, ketinggian pelana ini perlu diambil kira sebelum membuat keputusan untuk memilikinya.
Perjalanan dari Shah Alam diteruskan melalui Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menuju ke Ipoh untuk makan tengah hari di Restoran Pokok Belacan. KLE500 menggunakan enjin dua silinder selari 451cc, DOHC, empat lejang dengan sistem penyejukan cecair. Enjin ini menghasilkan kuasa 44.8hp pada 9,000rpm dan tork 42.6Nm pada 6,000rpm, dengan transmisi enam kelajuan. Ketika berada di lebuh raya, prestasinya cukup memadai untuk mengekalkan kelajuan perjalanan. KLE500 terasa stabil ketika bergerak laju dan posisi tunggangan yang tegak tidak membuatkan badan cepat letih.


Cermin penghadang angin di bahagian hadapan turut membantu mengurangkan tekanan angin ketika menunggang. Namun, proses pelarasannya perlu dilakukan secara manual menggunakan peralatan yang sesuai. Tangki bahan api berkapasiti 16 liter juga sesuai untuk perjalanan jauh kira-kira 250 kilometer dengan sekali isian bergantung pada gaya tunggangan. Satu lagi perkara yang menarik perhatian kami ialah lampu belakang LED yang cukup jelas. Jentera ini mudah dilihat oleh pengguna jalan raya lain walaupun ketika menunggang pada waktu siang. Selepas makan tengah hari, kami meneruskan perjalanan ke Gerik untuk daftar masuk hotel. Ketika melalui kawasan trafik sesak, badan KLE500 yang agak ramping memudahkan kami mencelah di antara kenderaan. Bagaimanapun, kedudukan bar hendal dan cermin sisi tetap perlu diberi perhatian ketika menghampiri van, MPV, SUV dan trak pikap.
Ada satu perkara yang mula kami sedari apabila baru sahaja memulakan perjalanan sekitar 50 kilometer aitu gegaran pada bahagian bar hendal. Gegaran ini menyebabkan tangan terasa mudah kebas apabila menunggang terlalu lama tanpa henti. Walaupun tidak sampai menjejaskan keseluruhan pengalaman, masalah ini agak mengganggu bagi mereka yang gemar melakukan perjalanan jarak jauh. Selepas hampir seharian menunggang, kami akhirnya tiba di Gerik dan terus berehat di hotel. Perjalanan ke Gerik hanyalah permulaan. Hari kedua bakal menjadi ujian sebenar apabila kami perlu membawa KLE500 keluar dari jalan berturap untuk menyertai Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026.


Cabaran hari kedua melibatkan laluan off-road sekitar 150km yang merangkumi jalan hutan, kawasan berbukit, laluan balak, permukaan berbatu dan lintasan sungai. Di sinilah kami dapat melihat sejauh mana KLE500 mampu menghadapi laluan yang lebih mencabar. Dari segi suspensi, model ini menggunakan fork terbalik (USD) 43mm di hadapan dan Uni-Trak dengan penyerap hentak tunggal di belakang yang mempunyai pelarasan prabeban. Gabungan ini membantu menyerap hentakan ketika melalui permukaan tidak rata.
KLE500 turut menggunakan rim jejari dengan tayar dual-purpose bersaiz 90/90-21 di hadapan dan 140/70-17 di belakang. Saiz tayar ini sesuai untuk kegunaan di jalan raya dan laluan offorad. Kedua-dua tayar masih memeberikan cengkaman meyakinan di jalan-jalan lasak dan berbatu. Jarak kelegaan tanah sekitar 185mm pula membantu ketika melalui bonggol, halangan kecil serta melepasi laluan sungai. Bagaimanapun, apabila laluan semakin curam dan teknikal, berat motosikal sekitar 194kg mula dirasai. Ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dikendalikan, tetapi penunggang perlu tahu cara mengawal pendikit menggunakan brek dan mengimbangkan badan dengan betul. Lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan laluan bukit yang mempunyai permukaan tidak sekata.


Antara cabaran yang paling kami ingat berlaku selepas kira-kira 20km menunggang di laluan off-road. Kami tiba di satu laluan mendaki bukit yang pada mulanya nampak macam mudah sahaja. Sebaik sahaja mula mendaki, barulah kami sedar bahawa laluan itu bukan semudah yang disangka. Dalam percubaan pertama, RR turut terjatuh ketika mendaki bukit berkenaan! Walaupun nampak mudah dari bawah, laluan itu sebenarnya memerlukan teknik yang betul dari segi kawalan pendikit, penggunaan brek dan imbangan badan. Mujur percubaan kedua berjaya selepas kami memperbaiki teknik tunggangan serta mengurangkan angi tayar belakang supaya lebih mencengkam ketika memecut di atas permukaan tanah yang berpasir. Laluan bukit inilah antara cabaran paling sukar sepanjang acara apabila ramai peserta tersangkut sehingga berjam-jam untuk melepasi halangan tersebut. Keadaan ini menyebabkan perjalanan kumpulan semakin lewat daripada jadual asal.
Untuk sistem brek, KLE500 menggunakan cakera tunggal 300mm di hadapan dan 230mm di belakang, lengkap dengan ABS yang boleh diaktifkan atau dinyahaktifkan mengikut keperluan. Sistem breknya memberikan tindak balas yang baik ketika memperlahankan motosikal semasa menuruni bukit dan memasuki selekoh. Namun, penunggang tetap perlu berhati-hati apabila melalui permukaan basah, berlumpur atau berbatu kerana cengkaman tayar boleh berubah mengikut keadaan laluan.


Memandangkan masa terlalu lama dihabiskan untuk melepasi pendakian tadi dan kumpulan tidak lagi dapat tiba di check point pertama mengikut jadual terpaksa keluar daripada laluan tersebut atas faktor keselamatan. Walaupun kami tidak dapat menghabiskan keseluruhan laluan yang dirancang, pengalaman ini cukup untuk memberikan gambaran tentang cabaran sebenar membawa KLE500 ke kawasan off-road.
Pada sebelah malam, suasana kembali santai dengan acara barbeku, makan malam, penyampaian hadiah dan cabutan bertuah. Lebih menarik, hadiah utama yang ditawarkan ialah sebuah Kawasaki KLE500! Hari ketiga pula menandakan berakhirnya pengembaraan kami di Gerik apabila semua peserta bersurai untuk pulang ke destinasi masing-masing.


Secara keseluruhan, KLE500 merupakan sebuah motosikal yang menarik untuk mereka yang gemar mengembara dan sesekali mahu mencuba laluan off-road. Prestasinya di lebuh raya memadai, posisi tunggangan selesa dan suspensinya membantu ketika melalui jalan tidak berturap. Namun, gegaran pada bar hendal, ketinggian pelana dan berat motosikal ketika melalui laluan yang lebih teknikal perlu diambil kira. Dengan harga asas bermula RM32,900, KLE500 boleh dipertimbangkan oleh mereka yang mencari motosikal adventure kelas pertengahan untuk kegunaan harian, perjalanan jauh dan pengembaraan hujung minggu. RR






