Topi Keledar GIVI M33.0 Aria diperkenalkan

GIVI Asia Sdn Bhd telah melancarkan rangkaian topi keledar terbaru iaitu M33.0 Aria ke pasaran negara. Topi keledar baru ini menepati piawaian homologasi keselamatan ECE R22.06 yang lebih ketat. Bagi mencapai standard ECE R22.06, terdapat beberapa ujian lasak yang perlu dilakukan seperti penembusan, impak kelajuan tinggi dan rendah serta impak di bahagian sisi dan atas helmet.
M33.0 Aria ini cukup ringan! Ia hanya seberat 1220 gram, dikemaskan dengan 'inner' dalam yang selesa, lembut dan mudah ditanggalkan untuk tujuan cucian. Produk terbaru GIVI ini juga menggunakan bahan anti alahan (allergy) untuk kesesuaian semua jenis kulit.
Setiap kali memakai topi keledar ini termasuklah ketika berpeluh dalam cuaca panas, kami rasa cukup selesa sekali. Terdapat dua sistem pengaliran udara di depan dan satu lubang pengekstrak belakang yang memastikan pengurangan haba ketika menunggang.
Visor untuk model ini adalah jenis Anti-Calar cuma apa yang agak kurang menarik ialah ketiadaan 'double-visor' yang bagi kami agak penting khususnya bagi mengelak masalah silau ketika menunggang di waktu siang. Namun begitu, kemungkinan visor jenis 'smoke' untuk M33.0 Aria ini akan diperkenalkan kelak.
GIVI M33.0 Aria boleh didapati dalam saiz S hingga XL dan terdapat enam pilihan warna/rekacorak menarik iaitu Graphic Rush Blue Turquoise, Graphic Rush Red Blue, Graphic Union Black Blue, Graphic Union Grey Yellow, Dark Blue dan Dark Grey.
Harga? Untuk pasaran semenanjung negara, topi keledar GIVI ini ditawarkan pada harga RM195 (tanpa Grafik) dan RM220 (Grafik). Harga jualan untuk Sabah dan Sarawak pula ialah RM215 (tanpa Grafik) dan RM245 (Grafik). RR
Popular