Isu Terkini

Februari 2024

Warta Roda / 3 Oktober 2023

Pengalaman Pertama Di Rimba Raid 2023: Satu Cabaran Yang Menguji Mental, Fizikal & Stamina

Dalam edisi kelapan Rimba Raid, buat pertama kalinya saya menyertai RR23 ini dengan menunggang sebuah Husqvarna 701 Enduro. Persediaan yang dibuat kepada motosikal ini tidaklah begitu meluas. Sistem ekzos ditukar kepada jenama Wings, spring untuk fork dan saspensi belakang ditukar kepada kadar spring yang lebih secucuk dengan berat badan saya dan modifikasi paling penting (pada pendapat saya) ialah memuatkan sistem Tubliss kepada kedua-dua tayar.

Persiapan pada diri sendiri pula, tersangatlah sederhana. Trail ataupun litar latihan yang saya gunakan merupakan 90% fast trail yang secara amnya terdiri daripada tanah berkerikil serta jalan laluan lori kelapa sawit. Program latihan yang lebih intensif tidak dapat dilaksanakan kerana pada hujung bulan Jun saya telah pergi untuk menyahut seruan ke tanah suci (alhamdulillah) dan sang isteri telah memesan supaya menjaga diri dan meninggalkan apa-apa aktiviti lasak dari bulan Mei lagi.

PROLOGUE

Perlumbaan prologue diadakan pada hari Jumaat, sehari sebelum perlumbaan dan bertujuan untuk menetapkan aturan pelepasan pelumba pada esoknya. Dalam erti kata lain, pelumba paling laju dalam prologue akan dilepaskan terawal sekali, bersama-sama dengan pelumba yang kedua terlaju. Lima saat kemudian, pelumba ketiga dan keempat, dan seterusnya setiap selang lima saat.

Untuk mengelakkan daripada bersesak di waktu pagi, saya bersama rakan lumba saya, Syaiful Anuar (Epul) memilih untuk menunggu sehingga tengahari sebelum berlumba. Setelah melengkapkan sesi prologue, pada malam itu keputusan diterbitkan dan saya hanya berjaya mendapat tempat 243 daripada 269 pelumba … Agak corot.

Tetapi tidak mengapa, kata saya kepada diri sendiri, kerana niatnya bukanlah untuk menang atau mendapat podium. Niatnya ialah untuk melengkapkan perlumbaan Rimba Raid 2023 yang sejauh 200km ini sepenuhnya, untuk menjadi seorang “Finisher.”

Tidur tiba menyapa kira-kira pukul 12 malam, dan menghilangkan diri semula pada pukul 5 pagi. Gementar, sungguh gementar. Risau, tersangat risau. Tetapi nekad, tetap nekad.

PERLUMBAAN

Kami berkumpul di Tekoma Resort pada pukul 7 pagi, untuk bergerak secara konvoi ke tapak permulaan. Kerana kecorotan turutan permulaan saya, giliran saya dilepaskan hanyalah lebih kurang pada pukul 9.15 pagi.

Setelah bendera dikibarkan untuk melepaskan saya dan pelumba bersebelahan, maka sahlah saya menjadi seorang racer Rimba Raid 2023!

Keadaan trail pada peringkat permulaan ini sudah memberikan gambaran kepada saya bahawa ia tentunya tidak seperti kawasan latihan saya di Rawang! Ianya lebih mencabar bagi seorang yang berkebolehan sederhana seperti saya ini.

Lebih kurang 200 meter di hadapan, Epul sedang menanti untuk bersama-sama dengan saya, sebagai teman, pengiring dan penasihat di sepanjang perlumbaan (dia menyudahkan prologue di tempat 191, walaupun sebenarnya dia berusaha untuk perlahankan lagi supaya rapat dengan masa saya....)

Tidak sampai pun 1km, kami tiba ke sungai pertama. Di sini jugalah lokasi “kesesakan” yang pertama. Pelumba-pelumba yang di hadapan saya sedang menunggu giliran mereka untuk menyeberangi sungai yang agak dalam dan tidak sedikit lebarnya.

Pada malam sebelumnya, ketika Datuk Kapten Nik Huzlan sedang memberikan taklimat perlumbaan, saya bertanya kepada veteran Rimba Raid, Tuan Haji Naim Hasan jika beliau mempunyai apa-apa kata mutiara untuk seorang peserta baru seperti saya. Katanya, “Apabila tiba ke lintasan sungai, cara paling senang ialah turun dan tolak motosikal ke seberang. Jangan peduli kata orang, tidak perlu malu. Biarkan enjin berjalan, letakkan motosikal di dalam gear satu dan berjalan disamping motosikal menyeberangi sungai itu.” Dan itulah yang saya praktikkan pada sungai pertama ini.

Sememangnya ini adalah taktik yang bernas. Ketika menyeberangi sungai dengan menyusur di tempat yang saya anggarkan cetek, terlihat sebuah Harley Davidson Pan America yang terbalik di sisinya, tenggelam sehingga hanya nampak bar hendalnya sahaja. Pelumba itu berjaya mendirikan jenteranya semula, tetapi tidak berjaya untuk menyalakan enjinnya kembali. Perlumbaannya itu tamat di sungai itu, tidak 10 minit pun dari tapak permulaan.

Saya bersama Epul (yang menunggang sebuah KTM 450 EXC-F 6-Days) meneruskan perjalanan sehingga sampai ke kesesakan kedua. Di sini ada satu lagi sungai, tetapi sangat kecil, tidak lebih lebar dari parit yang mengalir di depan rumah arwah nenek saya di Parit Keroma, Muar. Akan tetapi, tebingnya tinggi dan curam di kedua-dua belah.

Sudah ramai pelumba yang melalui sungai parit ini sebelum kami sampai, tebing di kedua-dua belah juga telah “ditoreh” sehingga menjadi lurah-lurah selebar tayar. Lurah-lurah ini pula tanah merah yang licin seperti selut - ah, sememangnya selut - kerana dibajak oleh tayar-tayar motosikal yang telah melaluinya.

Maka melintas sungai parit ini pun menjadi satu operasi yang bukanlah boleh dilakukan senafas oleh pelumba-pelumba corot seperti saya. Tetapi lepas juga, lebih senang dari yang saya sangkakan, dan kami meneruskan perjalanan.

Trail setelah sungai parit jika nak dikirakan tidaklah susah, tidaklah mustahil tetapi memerlukan tumpuan penuh pelumba. Ini adalah kerana kerap kali hanya terdapat satu sahaja “barisan” lorong yang paling selamat dilalui, dengan kiri dan kanan barisan itu lurah, atau dipanggil ruts dalam bahasa Inggeris. Jika satu tayar terjatuh ke dalam lurah itu, jika pelumba tidak tersedia, tentunya akan tumbang.

Kami tiba ke kesesakan seterusnya. Kali ini sungai yang mempunyai dua pilihan laluan. Pilihan pertama: sebuah jambatan yang terdiri daripada 3 batang kayu papan disusun sebelah menyebelah, sepanjang 2 meter di bahagian paling sempit sungai itu. Pilihan kedua: turun ke dalam sungai itu, menyusur tebing sejauh lebih kurang 15 meter sebelum mendaki tebing untuk menyambung perjalanan.

Saya memilih pilihan pertama, dan berjaya ke seberang dengan pertolongan marshal Rimba Raid yang bertugas di situ. Sungguh sempit jambatan tiga papan itu!

Sudah lebih satu jam kami menunggang, dan hanya baru melepasi 3.5km! Tidak jauh daripada itu, kami sampai ke bukit pertama yang nampak lebih mencabar dan curam daripada bukit-bukit yang telah kami lalui sebelum ini. Kami berhenti buat sementara, bersama-sama beberapa pelumba yang lain. Kelihatan dari kaki bukit, saya meneka sebuah Ducati Desert X - telah terbabas di pertengahan bukit itu, dan penunggang sedang berusaha untuk mendirikannya kembali. Oleh kerana jentera terbabas secara melintang, tidak ada laluan sama ada di sebelah kiri atau kanannya. Bukit yang curam itu juga sempit.

Setelah beliau berjaya menegakkan motosikalnya, maka terbukalah ruang untuk motosikal kami yang ingin mencuba dakian itu. Alhamdulillah, bukit itu berjaya didaki pada percubaan pertama! “Padu Doc!” jerit Epul yang menunggu di puncak bukit itu. Saya tersenyum sendirian, dan meneruskan perjalanan. Semakin mendaki, bukit-bukit kecil, lorong-lorong yang sempit.

Kami sampai ke kawasan mendatar di mana berada beberapa buah motosikal sedang berhenti. Saya berhenti juga di situ kerana lampu enjin terlampau panas mungkin kerana terlalu lama di dalam gear rendah dan RPM yang tinggi. Kami masih lagi sentiasa mendaki pada ketika itu.

Salah seorang yang berhenti, menunggang sebuah BMW R 1200 GS, berkata “ada kesesakan besar di hadapan, dan tanpa momentum, akan menjadi sukar untuk kita mendaki bukit.”
Saya tidak berapa memahami maksudnya, kerana pada ketika saya memanjangkan tengkuk dan cuba meninjau ke hadapan, tidaklah nampak seperti akan terlalu sesak. Saya menjawab, “tak ada nampak pula macam nak sesak di depan tu.”

Dia membalas, “menurut marshal yang memesan kami untuk menunggu di sini, sesak.” Saya mengangkat bahu tanda kesangsian dan mengisyarat kepada Epul bahawa kita perlu bergerak. Sampai sahaja di kaki bukit, kami berhenti. Kerana memang betul, sesak. Sangat sesak di hadapan, sepanjang bukit itu.

Mungkinkah ini permulaan “Tangga Derita” yang disebutkan oleh Datuk Kapten Nik malam semalam?

Kami berhenti, dan saya memanjat turun dari motosikal saya. Buka sarung tangan, pelindung mata dan kemudiannya membuka topi keledar saya. Saya terperasan yang tali pengikat topi keledar saya basah kuyup dan memikirkan mungkin juga kerana naik air ketika menyeberangi sungai tadi.

Badan sudah mula rasa kepenatan di ketika itu. Tetapi saya menolak perasaan itu kerana baru sahaja menunggang sejauh 4km!

Saya dan Epul memerhati keadaan sesak mendaki Tangga Derita pertama itu (jika benar itu Tangga Derita … sebenarnya saya tidak pasti kami telah sampai ke tempat itu). Senario di hadapan mata umpama medan pertempuran dengan motosikal bergelimpangan setelah kecundang untuk mendaki bukit itu.

Ada yang menyebut, jika terbabas di pertengahan bukit, maka cara paling baik ialah untuk turun semula ke kaki, dan menjana kembali momentum supaya berjaya ke puncak. Secara teori, memang betul. Tetapi di Tangga Derita 1, dengan motosikal yang terkandas di hadapan dan di belakang, berikutan pula pelumba-pelumba lain yang sampai kemudiannya (termasuk saya), agak mustahil untuk turun ke bawah dahulu.

Maka ramai pelumba yang motosikalnya masih lagi boleh bergerak mencuba untuk mendaki Tangga Derita dengan kuasa yang sedia ada, tanpa momentum. Usaha yang perit bagi ramai pelumba yang menunggang motosikal seperti Ducati Desert X, Yamaha Tenere 700, Harley Davidson Pan America, KTM 1050 Adventure dan BMW R 1250 GS untuk melepasi “tangga” itu.

Tangga Derita sepanjang 3km, mungkin lebih, merupakan beberapa dakian di mana laluannya terdiri daripada tanah dan batu-batu besar dan kecil yang longgar menyebabkan kehilangan genggaman pada tayar. Di antara dakian tersebut akan ada tanah datar. Maka siri dakian dan tanah datar ini umpama anak-anak tangga, dan batu-batuan longgar yang menyahkan genggaman tayar membawa derita. Nah, Tangga Derita!

Ada kenderaan yang berjaya melepasi kemelut mereka dan mendaki ke puncak, dan ada juga yang tewas dengan kerosakan mekanikal seperti klac terbakar atau masalah sistem elektrik.
Setelah kesesakan nampak reda, saya kembali ke motosikal sendiri, dan mula memakai topi keledar, pelindung mata dan sarung tangan kembali. Walaupun dapat “berehat” selama lebih sejam, saya tetap berasa keletihan. Saya menyatakan ini kerana di ketika itu, saya berasa pelik. Mengapa keletihan jika hanya 4km lebih?

Tiba giliran saya pula untuk mendaki Tangga Derita yang pertama ini. Saya berjaya naik mungkin 70% sebelum motosikal tersangkut di antara tanah lembut dan batu besar. Membuka pendikit dan cuba menolak hanya berjaya membuang lebih banyak tanah dan menggali lubang yang lebih dalam.

Seorang marshal datang kepada saya pada saat itu dan berkata, “berikan motosikal kepada saya, saya akan bawanya ke atas.” Ini adalah kesalahan, melanggar peraturan perlumbaan Rimba Raid klausa 6.5.4 yang menyatakan pelumba akan dibatalkan keputusannya jika pada bila-bila masa beliau tidak mempunyai motosikal di bawah kuasanya sendiri.

Akan tetapi, pada ketika itu, tidak ada maknanya untuk saya membantah dari diberikan pertolongan, kerana jelas sekali saya sedang dalam kesusahan. Marshal itu dengan jayanya membawa motosikal saya ke puncak dakian itu, sambil saya memanjat dengan kaki.

Sampai sahaja ke kenderaan saya, saya mengambil masa beberapa minit untuk mengembalikan nafas … di ketika ini keletihan semakin terasa. Tidak sampai pun 10 minit kami menunggang, kami berhenti sekali lagi, kerana terdapat satu lagi kesesakan. Tetapi tidak berapa lama menunggu, kerana kebanyakan motosikal di hadapan kami telah berjaya mendaki bukit itu.

Epul pergi dahulu ke hadapan untuk meninjau bukit itu dan kembali menyatakan ianya tidaklah sukar. Kata Epul, “Sekali jalan sahaja, Doc. Pulas pendikit beberapa kali di tengah untuk mendapatkan genggaman di tayar. Boleh ni.”

Saya mengangguk sahaja. Air di dalam takung air di beg galas saya hampir habis, air peluh di dalam topi keledar saya pun makin mengalir (yang basah tadi bukan air sungai, rupanya) dan yang letih tadi mula bertukar kepada lesu.

Epul bergerak dahulu, laju dan nampak bersahaja sehingga ke kemuncak. Giliran saya pula, pulas pendikit dan mula memanjat. Agak-agak 20% peratus lagi ke puncak, saya tersalah pilih laluan dan tayar belakang jatuh ke dalam lurah di tepi. Motosikal terbabas dan saya terhumban ke tepi. Tiada kecederaan, saya bangkit kembali dan mengangkat motosikal. Letih, tetapi nekad.

Sekali lagi untuk mendaki, cuma kali ini momentum telah tiada. Epul turun bukit dan menolong saya untuk menempatkan motosikal di atas laluan yang kurang berlurah. Saya menyalakan enjin dan membuka pendikit sambil melepaskan klac. Bergerak ke hadapan sedikit tetapi kemudiannya tayar hilang genggaman dan tergelincir.

Terbabas sekali lagi, cuma kali ini kaki kiri saya tersepit di antara lengan-ayun dan batang pendiri motosikal. Di masa itulah saya menghargai but lasak enduro yang berat dan keras yang saya pakai di waktu itu.

Setelah terbabas kali kedua itu, saya merasakan seperti daya tenaga saya sudah pergi sepenuhnya. Terdapat beberapa pelumba di kaki bukit yang mengisyaratkan kepada saya supaya turun ke bawah dan daki semula. Saya juga menyedari itulah cara yang sebaiknya. Tetapi … tenaga telah lesap.

Epul mengambil motosikal saya dan berkata, “tak apa Doc, saya akan turun dan naik semula dengan motor Doc ni.” Hanya dapat mengangguk dan mendaki dengan kaki sendiri ke atas bukit sambil Epul turun ke bawah semula dan naik.

Tiba di atas bukit, saya rebah. Di manakah tenaga? Tidak mungkin hanya 5.5km sahaja dan ianya telah hilang? Saya melihat di jam Garmin Forerunner 935 saya, denyutan nadi pada tahap 180. Kepala terasa ringan. Apabila saya menundukkan kepala dan pejamkan mata, terasa seperti ingin tidur. Saya melihat kembali jam tangan. Ketika itu hampir pukul 12:30 tengahari.

Berlepas pada pukul 9:15, hanya 5.5km dalam masa 3 jam?

Epul, yang masih penuh bertenaga berkata kepada saya, “Doc, rehat dulu saya pergi tengok di depan keadaan jalan bagaimana.” Beliau pun menderu ke hadapan, ketika saya masih cuba mencari nafas untuk menjawab.

Dalam beberapa minit kemudian, denyutan nadi saya telah turun ke 130 denyutan seminit, tetapi masih lagi terasa seperti di awang-awangan. Seorang penunggang yang bersama kita dalam perjalanan ke perlumbaan ini, Amir Dubai (saya tidak ingat nama penuhnya, cuma ingat namanya ialah Amir, dan dia bekerja di Dubai), tiba di atas bukit.

Dia duduk di sebelah saya dan berkata, “macam tak larat dah ni.” “Bukan ‘macam’ lagi dah ni, bro,” jawab saya. “Memang dah tak larat!”

Tidak berapa minit selepas itu Epul kembali, “sesak lagi kat atas tu, Doc. Ada satu lagi Tangga Derita, dan masih banyak motosikal yang sangkut di situ!”

Jarak dari permulaan perlumbaan ke Sandbank, persisiran pasir Sungai Tembeling yang menjadi hentian tepi untuk menambah minyak petrol dan makanan serta minuman, adalah 70km. Dari Sandbank ke Gate of Despair (Pintu Pagar Putus Asa) adalah 35km. Di Gate of Despair, pintu pagar akan ditutup pada pukul 3 petang. Ini adalah kerana sesiapa yang hanya berjaya sampai ke Gate of Despair selepas waktu itu dikhuatiri akan gagal untuk menghabiskan perlumbaan sebelum matahari terbenam. Ini adalah kerana jarak dari Gate of Despair ke garisan penamat adalah lebih kurang 90km.

Saya melihat semula jam tangan saya. Hampir pukul 1.00 tengahari. Masih lagi di Tangga Derita kedua (atau mungkin belum pun di Tangga Derita sebenar!). Tiada peluang langsung untuk ke Sandbank sebelum pukul 3, apatah lagi ke Gate of Despair. Saya mengambil keputusan untuk patah balik.

“Jom, kita gerak balik,” kata saya kepada Epul dan Amir. “Epul, kalau hang nak terus, pergilah. Tapi saya dah cukup, tak boleh lagi dah ni.”

“Saya pergi mana Doc pergi,” kata Epul. “Kita kan satu pasukan. Dan tugas saya juga memastikan Doc selamat.” Saya menganggukkan kepala tanda terima kasih.

Walaupun denyutan nadi saya telah turun ke 130 ke bawah, setiap pergerakan saya membawanya naik kembali. Saya pernah melalui keadaan ini sebelum ini, ketika menunggang basikal di dalam satu acara sejauh 120km di Selangor. Denyutan nadi yang tinggi dan tidak boleh dikawal, keringanan kepala seolah-olah di awangan, dan terasa hendak tertidur setiap kali menutupkan mata. Bagi yang biasa dengan kayuhan ekstrem dan endurance, mereka mengenali keadaan ini sebagai bonk.

Tetapi saya perlu mencari tenaga semula untuk perjalanan pulang ke garis permulaan. Air minuman yang telah habis sebelum ini telah ditambah semula dengan derma dari seorang lagi pelumba yang juga telah berkeputusan untuk pusing balik dan ingin meringankan beban beg galasnya. Beliau menyerahkan sebotol air 1.5 liter kepada saya.

Makanan roti diberikan oleh Epul, beserta separuh botol air 100 Plus. Gel tenaga High 5 telah ditelan, untuk menaikkan lagi paras gula di dalam badan. Tetapi lesu, masih lesu.
Saya kembali ke atas motosikal dan berpusing ke arah kita datang. Turun bukit, datar, turun, datar … jika sebelum ini banyak tenaga digunakan untuk mengawal kenderaan di laluan yang mencabar selaju yang boleh, kini tenaga digunakan untuk mengawal kenderaan cukup untuk tidak terbabas sekali lagi.

Tabung tenaga diri yang sememangnya kosong itu mula berhutang. Entah bagaimana, berjaya saya turun daripada Tangga Derita (yang sedikit itu, bukan yang sepenuhnya) tanpa terhumban walau sekali pun.

Kami mengorak langkah sehingga sampai di sungai yang terakhir dilintasi awal tadi. Di sana, sedang “berkubang” di dalam sungai itu adalah rakan-rakan yang saya kenali dari acara Iron Man Rally di Ubon Ratchathani pada awal tahun ini.

“Doc!” jerit Din Penaga, “mai join kami. Syok ni!” Walaupun keletihan, saya, Epul dan Amir Dubai terus turun dan duduk di dalam sungai itu … Masya Allah … nikmatnya tidak terkata.
Air sungai yang sejuk itu membawa kepada penurunan suhu badan, seterusnya penurunan denyutan nadi saya sehingga hampir 100 denyutan seminit sahaja. Keringanan kepala sebelum ini hilang, perasaan ingin tidur lenyap dan baki tenaga yang negatif sebelum ini kembali naik ke alam positif.

Salah seorang daripada rakan yang berkubang di dalam sungai itu berkata, “Tadi kita di Tangga Derita, kini kita di dalam Sungai Gembira!” Setelah hampir 30 minit, kami keluar kembali dari sungai itu untuk meneruskan perjalanan pulang ke garis permulaan.

Jika pembaca masih ingat, di sungai ini pada awalnya mempunyai 3 papan sebagai jambatan, tetapi kini telah tiada. Maka kami semua terpaksa mengharungi sungai ini dengan kenderaan kita untuk ke seberang.

Tetapi kerana tenaga telah kembali, walaupun tidak sepenuhnya, menyebe-rangi sungai ini tidaklah terlalu mencabar (walaupun saya terjatuh sekali lagi di tebing sebelah sana setelah selesai menyeberangi). Sungai parit dilalui tanpa peristiwa, begitu juga di sungai yang pertama kerana saya menunggang dengan perlahan.

Tiba di garisan permulaan, kami kembali ke jalan biasa, sejauh 20km balik ke tempat penginapan. Dengan itu tamatlah perlumbaan Rimba Raid saya yang pertama, sejauh 5.5km daripada 195km (11 km jika perjalanan balik diambil kira).

POST MORTEM

Setelah mandi dan perut diisi dengan macam-macam lagi juadah, minda mula berfikir. Untuk Rimba Raid 2024, jika ada rezeki untuk kembali, saya perlu latihan yang cukup dalam 4 perkara:

1. Kekuatan otot, kerana tenaga diperlukan untuk menggerakkan motosikal di halangan-halangan yang susah, dan juga untuk mengangkat kembali (mungkin berkali-kali) motosikal yang rebah, di tanah, di selut, di dalam sungai.

2. Kekuatan kardiovascular, atau stamina kerana ianya sangat diperlukan apabila di litar yang sepanjang 200 km.

3. Teknik menunggang yang betul membawa kepada kecekapan untuk mengatasi halangan-halangan serta jalan yang berlurah dan berlubang, serta keadaan jalan yang terlalu kasar maupun terlalu lembut.

4. Kelajuan kerana namapun dalam perlumbaan.

Kerana terlalu gementar dan risau, hampir keseluruhan 5.5km yang saya tempuhi itu kerap saya menurunkan kedua-dua belah kaki demi menstabilkan diri. Jika berpandukan ajaran daripada pakar-pakar Enduro dan Off-road, lebih susah dilihat halangan di hadapan. Lebih penting kita berdiri (dengan cara yang betul) supaya dapat mengawal motosikal dengan lebih baik.

Ketika menunggu di Tangga Derita yang pertama, ada beberapa pelumba (terutama yang menunggang motosikal jenis Enduro) yang berjaya melepasinya walaupun jalan itu penuh dengan jentera-jentera lain yang bergelimpangan. Sebab utama mereka berjaya ialah teknik dan tenaga. Tiada formula yang lebih kompleks dari itu, cuma teknik dan tenaga.

Di Tangga Derita yang kedua, di mana saya terbabas dua kali sebelum menyerah diri, sebenarnya tidaklah jauh lebih sukar daripada dakian ke air terjun Batu Bertenggek di Kerling yang telah saya lalui berulang kali sebelum ini. Tetapi kerana kelesuan, jika lebih senang daripada itu pun, kemungkinan akan terbabas juga. Selain daripada kekurangan tenaga dan stamina, saya juga telah tewas dari segi mental sebelum bendera pelepasan dikibarkan untuk saya. Kerana terlalu risau dan gementar, sebelum bermula lagi saya telah menjadi seperti seorang yang baru belajar menunggang.

Salah satu prinsip utama dalam menunggang motosikal biarpun di jalan berturap dengan tar ataupun di dalam hutan ialah untuk sentiasa memandang ke hadapan, dan memandang ke mana anda ingin menuju - kerana motosikal anda akan pergi ke mana anda memandang. Kerap kali, terutama pada permulaan, pemerhatian saya bertumpu terlalu dekat di hadapan, tidak jauh daripada tayar, kerana risaukan halangan.

Di litar-litar yang saya biasa, di dalam ladang kelapa sawit di Rawang, dan Bukit Tagar, di dalam perjalanan ke Kerling, saya dapat mempraktikkan amalan ini. Di Taman Negara, dengan perasaan gementar yang mengambil alih diri, yang paling nampak ialah yang paling dekat di hadapan.

Saya bercerita tentang “ketewasan” ini kepada seorang kenalan saya yang sememangnya pakar dalam bidang Enduro dan dia berkata persediaan mental ini juga akan datang jika cukup persediaan fizikal. Keyakinan diri itu akan datang secara semulajadi sekiranya latihan fizikal sentiasa dilakukan.

Ya, memang semudah itu.

Satu lagi yang ingin saya nyatakan ialah pentingnya mengenali jentera yang akan ditunggang. Untuk perlumbaan Rimba Raid ini, saya menggunakan tayar Vee Moto Evolution (saiz 80/100-21 di hadapan dan 120/100-18 di belakang) tanpa mengujinya dahulu. Kerana kegawatan masa, tanpa sempat menguji keupayaan tayar ini, saya ke perlumbaan Prologue (yang mengambil masa kurang daripada 3 minit di litar tertutup yang kering dan datar) dan ke perlumbaan utama tanpa mengenali karakter dan kebolehan tayar ini.

Adakah tayar ini tidak elok? Tidak berkebolehan? Tidak, saya yakin tayar ini cukup padu dan sesuai untuk perlumbaan ini. Tetapi diri saya yang tidak berkebolehan semulajadi ini perlukan masa untuk mengenalinya, karakternya, di mana dia mencengkam dan di mana dia hilang cengkamannya. Sebenarnya ini juga merupakan satu halangan mental yang perlu saya atasi.
Saya yakin motosikal yang sama, dengan tayar yang sama di tangan Epul ataupun Hj Naim Hasan boleh ke garis penamat biarkan kali pertama mereka menunggangnya, tetapi bukan bagi saya.

Akhir kata, inilah satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan, dan saya berharap ini merupakan cuma satu babak dalam usaha saya mencapai status Finisher di Rimba Raid yang akan datang, jika tidak di tahun hadapan, insyaAllah satu tahun nanti. RR

oleh: Dr. Yusseri.

Nota kaki: Penyertaan saya ini ditaja sebahagiannya oleh RodaRoda, Motomaniac Travel Adventures Sdn Bhd, Totachi Malaysia, OKO Sealant Malaysia dan Bikerzone Sdn Bhd. Terima kasih kepada semua.

Isu Pada

Oktober 2023

Popular

  • Warta Roda

    Boon Siew Honda (BSH) di Malaysia Autoshow 2024 - Bakal Lancar ADV350, CB750, XL750 dan NX500

  • Penunggang Motosikal Maut, Terlanggar Khinzir di Tengah Jalan

  • Warta Roda

    Ducati Monster Senna Edisi Terhad: Penghormatan Buat Ayrton Senna

  • Warta Roda

    Penunggang Motosikal Dihempap Pokok!

  • Warta Roda

    Blueshark Kembangkan Rangkaian Pengedar ke Seluruh Negara

Artikel berkaitan

Boon Siew Honda (BSH) di Malaysia Autoshow 2024 - Bakal Lancar ADV350, CB750, XL750 dan NX500

Ducati Monster Senna Edisi Terhad: Penghormatan Buat Ayrton Senna

Penunggang Motosikal Dihempap Pokok!

Blueshark Kembangkan Rangkaian Pengedar ke Seluruh Negara

Kemalangan Ngeri Tiga Kereta & Sebuah Motosikal, Tiga Cedera Parah...

Keselamatan Diendah: Sekumpulan Individu 'Berkelah', Masak & Makan Di Stesen Minyak

Konvoi 'High Speed Hill Journey' Bersama Pengedar Yamaha Taiwan

Kemalangan Motosikal Dengan Pacuan 4 Roda, Penuntut IPT Maut

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Akid Raih Kemenangan Kedua Musim Ini

Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing, Md Akid Aziz meraih tempat pertama di litar Tangkak.

Model Baru

KTM Lancar 4 Model Duke Baru...Harga Bermula RM22,500...

KTM Malaysia baru-baru ini telah melancarkan bukan satu..bukan dua...tetapi empat model terbaru yang terdiri daripada siri Duke iaitu 250 Duke, 390 Duke, 990 dan 1390 Super Duke R.

Model Baru

Harley-Davidson Tobacco Fade 'Enthusiast Collection'

Untuk tahun ini, satu lagi siri Edisi Terhad telah diperkenalkan oleh Harley-Davidson (H-D) iaitu Tobacco Fade Enthusiast Collection untuk tiga model iaitu H-D Low Rider ST, Ultra Limited dan Tri Glide Ultra.

Dari Litar

WorldSBK 2024: Race Pertama, Tempat Pertama - Pilihan Tayar Terbaik oleh Nicholas Spinelli!

Tindakan berani Nicholas Spinelli (Barni Spark Racing Team) di Litar TT Assen dalam Perlumbaan 1 menggunakan tayar jenis 'Intermediate' telah menyumbang kepada gelaran juara dalam perlumbaan pertamanya di WorldSBK.