Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 10 Januari 2018

KYMCO Downtown 250i Nyaman, Santai dan Bergaya

Pada penghujung tahun 2016, EMOS telah melancarkan Kymco Downtown 250i ke dalam pasaran Malaysia dengan merancakkan lagi pasaran motosikal tempatan terutamanya bagi kategori skuter. Dengan pelbagai pilihan model sedia ada, kapasiti enjin yang berbeza dan nilai wang yang dipertaruhkan adalah sukar untuk mengatakan model ini atau model itu lebih baik. Adakalanya ia digunakan hanya pada hujung minggu dan sudah kelaziman penggunaan harian lebih diberikan tumpuan.

Secara amnya, Kymco ini tidak banyak beza dari model skuter-skuter yang lain tetapi jika diamati dari dekat, ia amat berlainan. Dari hadapan, ia tampak agak garang dengan sedikit mirip seperti seekor burung hantu. Rekabentuk aliran angin pada bahagian hadapan memberikan kelancaran pergerakan udara ketika menyusuri jalan-jalan biasa mahu pun di lebuhraya pada kelajuan tinggi.

Anda bagaikan merasa seperti tiada beban padanya walaupun berat keseluruhan mencapai 191kg. Hanya pulas pendikit dan mengemudikan sahaja dengan baik, Kymco ini 'berlari' dengan kencang dan stabil. Amat memberangsangkan.

Suis kunci dilengkapi dengan penutup kunci keselamatan. Sistem keselamatan lain masih dikekalkan iaitu semasa tongkat sisi dalam kedudukan menegak, maka enjin pada jentera ini tidak dapat dihidupkan. Ketika kunci diputar untuk dihidupkan, panel meter bersepadu memberikan bacaan yang terang dengan mod-mod berbeza. Terdapat paparan bacaan voltan bateri, penggunaan petrol secara perkilometer atau pun keseluruhan perjalanan dan jam.

Dengan kedudukan panel meter pada ketinggian bersesuaian, penunggang akan merasakan tiada kesulitan pemerhatian pemanduan, jalan dan meter. Cermin sisi lebar dan tegap. Ini penting di masa tunggangan dengan peralihan mata kiri dan kanan sebaris pandangan jalan. Suis – suis isyarat, lampu penghidup dan pemati jua mudah digunakan.

Di fairing hadapan terdapat kotak penyimpanan di kiri dan kanannya. Bahagian kiri terdapat soket 12V bagi kemudahan mengecas gajet. Bahagian depan pelana pula diletakkan ruang mengisi petrol dengan kapasiti 13 liter yang boleh memberikan perjalanan sejauh 260km. Kami hanya mampu memberikan sedikit bacaan tangki simpanan sekitar 35km sebaik sahaja indikator petrol menyala. Indikator petrol pada takometer agak sukar kelihatan terutama ketika cuaca terang benderang. Walau bagaimanapun indikator petrol digital mampu mengatasi masalah tersebut.

Tiada beza di antara kebanyakan skuter terutama di bahagian pelana. Keselesaan, lebar dan empuk menjadikan ia sesuai bagi perjalanan dekat mahupun jauh. Cuma bagi mereka yang mempunyai ketinggian badan kurang dari 5'5” agak mengecewakan kerana terpaksa menjengket ke hadapan.

Di bawah pelana ruang penyimpanannya besar..... memang cukup besar - boleh memuatkan dua buah topi keledar biasa dan masih ada ruang untuk pelbagai barangan lain dan ianya tidak mudah dimasuki air. Ini terbukti kerana kami menunggangnya ke Pulau Pinang yang secara kebetulan pada hari terjadinya bencana banjir di sana pada awal November lepas.

Dengan posisi tunggangan bersahaja dibantu dengan cengkaman tayar hadapan 120/80-14 dan 150/70-13 belakang, sistem brek ABS kami menyusuri jalan basah sepanjang jalan dari Selama ke Taiping melalui Pekan Ijok dan Batu Kurau dalam hujan yang cukup lebat tanpa sebarang masalah.

Fungsi brek yang baik dalam keadaan basah memberikan ketenangan pemanduan tanpa keraguan. Tuas brek hadapan dan belakang mudah dicapai dan diselaraskan. Lampu hadapan memberikan sinaran cahaya cukup terang manakala lampu belakang LED  yang sporty jelas walaupun dari jarak yang jauh. Ini amat penting ketika menunggang di dalam keadaan  mendung, hujan dan malam.

Kelancaran enjin bermula sebaik sahaja ia dihidupkan. Putaran takometer pada kadar 1,800rpm meningkat pantas dan tanpa disedari anda berada di tokok 7,000rpm dengan kelajuan 120km/j bila pendikit dipulas. Enjin Downtown 250i menawarkan kuasa tertinggi 17.1kW pada 7,750rpm dan tork 23.1Nm pada 6,000rpm yang cukup mantap ketika mengendalikannya di dalam kota.

Dengan kelajuan ini sudah memberikan tunggangan yang santai semasa di lebuhraya. Sama ada tunggang anda secara bersahaja atau pun dengan gaya 'rakus', kuasa enjin 4-lejang, silinder tunggal dengan 246 cc, sejukan cecair dan suntikan bahan api memberikan kuasa pecutan dan kepuasan bagi mereka yang meminati skuter.

Apa yang sedikit mengecewakan ialah kelajuan Kymco ini bagaikan tersekat (cut-off) ketika putaran mencecah 7,000rpm atau pada kelajuan 120km/j125km/j. RR pernah menunggang model yang hampir sama (Kymco Downtown 300i) di Taiwan dan merasakan model tersebut mampu bergerak jauh lebih pantas. Diharap agar pihak Modenas dapat mengatasi masalah ini
kerana Kymco ini sudah cukup selesa untuk sebarang perjalanan tetapi pastinya ia lebih 'ummph' jika mampu berlari lebih pantas.

Kymco ini juga dilengkapkan dengan brek hadapan (260mm) dan belakang (240mm) yang cemerlang sekali. Walaupun ketika menggunakan jalan lama dari bandar Selama ke Taiping dalam cuaca yang kurang baik, keberkesanan brek-brek ini memberikan kepuasan dan keyakinan untuk tiba ke destinasi dengan selamat. Tidak perlu bersusah payah, satu jari sudah mencukupi untuk memperlahankan kelajuannya!

Suspensi belakang boleh laras menyokong keutuhan tunggang tanpa goyang di selekoh – selekoh tajam manakala fork hadapan jenis teleskopik membantu kita menikmati jalanjalan kurang sempurna dengan selesa tanpa rasa tekanan pada bahagian lengan. Secara keseluruhannya, kepuasan tunggangan memberikan merit yang tinggi berbanding pelaburan yang dikeluarkan dan nyata berbeza.

Selain kelajuan maksima yang dirasakan boleh dipertingkatkan, Kymco Downtown 250i adalah sebuah mesin automatik yang selesa untuk tunggangan dalam bandar mahu pun untuk tujuan pengembaraan. Ia lincah, mudah, jimat dan menawarkan rupabentuk yang menarik minat semua. Kymco ini ditawarkan pada harga RM21,500 tanpa GST. RR

Isu Pada

Januari 2018

Spesifikasi

Enjin4 lejang, silinder tunggal, DOHC sejukan cecair
Isipadu246 cc
Gerek x Lejang72 x 66 mm
Nisbah mampatan10.8:1
Kuasa maksimum17.1kW pada 7,750 rpm
Tork maksimum23.1Nm pada 6,000 rpm
Tinggi pelana780 mm
Isi Tangki12.5 liter
Berat191 kg
PengedarEdaran Modenas Sdn Bhd

Popular

  • Warta Roda

    GLOBAL: Haojue GSX500 - Kemas dan Cantik

  • Warta Roda

    Dua Gadis Meninggal Dunia Dirempuh Lelaki Disyaki Pengedar Dadah

  • Pandu Uji

    Clutchless....Stressless.. Honda CBR650R & CB650R E-Clutch Memang Best!

  • Dari Litar

    Ujian Rasmi Litar Aragon: Hasil Positif Untuk Pasukan Honda HRC Castrol

  • Dari Litar

    SAH! Juara WSBK, Toprak Razgatliolu Tanda Tangan Kontrak Dengan Yamaha

Artikel berkaitan

Clutchless....Stressless.. Honda CBR650R & CB650R E-Clutch Memang Best!

Aveta Vanguard 250 SE: Prestasi Di Luar Jangkaan

MODENAS Z650 - Antara Jentera Jalanan Paling Berbaloi?

Ducati 125 Regolarita: Rangka Di Dalam Almari

Ride Santai Bersama Yamaha PG-1: Aku dan Kebebasan

MODA Sporter-S 250: Sesuai Untuk Kegunaan Bandar

Suzuki V-Strom 800DE: Sesuai Untuk Perjalanan Jauh & Dekat

Santai Bersama Yamaha: MT-09 Syok Ke Mana Sahaja!

Disyorkan untuk anda

MotoGP: Jorge Martin Tinggalkan Aprilia?

Memandangkan kecederaan yang dialami oleh pelumba Sepanyol itu cukup serius, ia telah menyukarkan posisinya setakat ini. Terbaru, Martin telah menyatakan untuk keluar daripada pasukan.

Warta Roda

Perlumbaan Lasak Rimba Raid X Dilancarkan!

Bagi para peminat dunia motosikal lasak di Malaysia, Rimba Raid tidak perlu lagi diperkenalkan. Bermula dari tahun 2015, saingan Rimba Rais bukan sahaja berjaya menarik minat para pesaing dari dalam negara sahaja malah hampir dari serata dunia di Malaysia ialah Taman Negara Kuala Tahan, Kampung Janda Baik dan yang terkini ialah di Lenggong, Perak Darul Ridzuan.

Dari Litar

Suzuki Bakal Beraksi di ARRC 2025 Pus. Kedua

Adam Norrodin bakal bersaing dalam saingan Idemitsu FIM Asia Road Racing Championship 2025 (ARRC) bersama pasukan AMI Suzuki Motorsport sebagai pelumba wildcard.

Kembara

Loop 700km Kembara Jakarta Bandung Indonesia

Berpegangkan tema di mana bumi di pijak di situ kami ride kali ini, trip seterusnya adalah ke Pulau Jawa, Indonesia di mana targetnya adalah Loop Jakarta – Bandung sejauh 700km.