Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 10 Februari 2018

Triumph Street Triple S & RS Sama Tapi Tak Serupa

Menunggang jentera ini memang ada kelainannya terutamanya dari segi gaya dan perasaan dan ia hadir kerana terteranya lambang Triumph di tangki. Sebuah jenama motosikal British yang telah berada di pasaran motosikal dunia sejak tahun 1902 lagi. Dengan testimoni ini, sudah pasti kita sedar akan ketulenan cinta para pencipta, jurutera, pemasang... sehinggalah pengedarnya pada jenama ini.

Model yang diuji ialah Triumph Street Triple S dan Street Triple RS. Ketika ia dilancarkan di Litar Antarabangsa Sepang tahun lalu, kami sempat juga menikmati keduadua model ini (model S untuk tiga lap, model RS untuk lima lap) – memang cukup teruja dengan prestasi, kebolehan dan betapa mudahnya ia dikawal.

Selain kedua-dua model ini (S & RS), Triumph turut memperkenalkan model R yang dihasilkan dengan pelana lebih rendah (780mm), tubuh badan lebih pendek (2045mm) tetapi masih dilengkapkan dengan hampir kesemua ciri-ciri hebat Street Triple. Setiap model ini memiliki talaan enjin yang tersendiri dan ECU yang menawarkan penghantaran kuasa, karaktor dan prestasi mengikut gaya corak tunggangan seseorang penunggang itu.

RUPABENTUK:

Sekali imbas, kedua-dua memang nampak sama. Ia didatangkan dengan dua buah lampu utama serba baru yang dilengkapkan dengan lampu LED Daytime Running Lights (DRL). Memang cantik, nampak ada class dan mudah dilihat dari hadapan walaupun pada jarak yang agak jauh kerana DRL ini 28 kali lebih cerah berbanding lampu posisi biasa. Cermin sisi model S seperti kebanyakan motosikal lain manakala cermin sisi RS pula dipasang di hujung pendikit. Unik sikit!

Ruang lutut, jarak di antara penunggang dan bar hendal yang luas memudahkan kawalan walaupun di kawasan terhad. Kebolehan Triumph ini tidak hanya dikhususkan untuk penunggang biasa tetapi juga bagi mereka si kaki panjang juga tidak terkecuali.

Bahagian sisi tidak banyak beza melainkan model RS dikemaskan dengan adanya pelindung bawah enjin atau digelar 'sampan' bagi rakan-rakan motor. Lingkaran rim RS lebih cantik dengan warna merah manakala model S tetap dengan warna hitam. Bagi mereka yang lebih terperinci, pastinya tulisan Nissin dan Brembo menjadi tumpuan. Ya... S didatangkan dengan brek hadapan 310mm (Nissin) dan model RS dengan brek 310mm jenis Brembo M50.

Duduk sahaja di atas kedua-dua model ini, kita pasti sudah tahu akan perbezaan utama kedua-duanya iaitu pelana RS lebih tinggi berbanding model S dengan perbezaan 15mm (RS:825mm, S:810mm). Street Triple S dan RS juga menggunakan panel meter yang berbeza. S didatangkan dengan meter digital LCD yang memaparkan infoinfo utama seperti tahap kelajuan, posisi gear, mod tunggangan, jarak perjalanan, tahap bahan api, trip, jam, suhu enjin dan tahap putaran rpm.

Model RS pula ternyata membawa kita ke alaf baru dunia motosikal dengan panel meter TFT berwarna dengan beberapa paparan yang boleh ditukar-tukar mengikut kesukaan pemiliknya. Tak ubah seperti sebuah komputer kecil dan inilah era kini dunia motosikal. Semakin canggih dan semakin menarik.

Layout boleh ditukar kepada beberapa jenis paparan, siap ada beberapa Tema (Theme) dan Gaya (Style) dengan pelbagai jenis paparan. Untuk memudahkan kita melihat paparan ini dalam semua cuaca dan keadaan, tahap kecerahannya juga boleh dikawal mengikut kemahuan kita (High atau Auto).

Lebih mengagumkan, meter model RS ini disempurnakan dengan beberapa paparan dan ciri-ciri terbaru seperti purata kadar penggunaan minyak, tahap bekalan petrol sebelum habis, mod tunggangan, info servis, tanda amaran dan lap timer. Nak kawal atau buat talaan juga sangat mudah dengan hanya menggunakan Joystick yang terdapat pada bahagian kiri bar hendal.

PRESTASI:

Walaupun pada asasnya keduadua model ini menggunakan enjin 765 dan dimensi yang sama, talaan untuk model S dan RS sangat berbeza. Model S menawarkan kuasa 111bhp pada 11,250rpm dan tork 73Nm pada 9,100rpm  manakala RS memiliki kekuatan 121bhp pada 11,700rpm dan tork 77Nm pada 10,800rpm.

Untuk tunggangan mantap di selekoh dan ketika memecut laju, kerangka Street Triple dibuat daripada aluminium yang bertegaran tinggi dan ringan. Ini membenarkan kita melayarkan jentera ini ke kiri dan ke kanan tanpa perlukan tenaga yang banyak. Proses masuk/keluar selekoh menjadi mudah dan begitu yakin membuatkan sesiapa sahaja cepat serasi dengan Triumph ini.

Walaupun kelincahan keduadua model ini di dalam bandar sama handal, RS memecut ke hadapan dengan lebih tangkas dalam mana-mana kedudukan gear. Sistem transmisi yang lembut dan tepat adalah kekuatan yang dimiliki oleh jentera-jentera Triumph ini tetapi sistem Assist Clutch yang terdapat pada RS membantu proses penukaran gear lebih pantas dan lebih lancar. Penukaran gear tanpa klac memang sangat menyeronokkan lebih-lebih ketika berada di litar atau di laluan berselekoh.

Keunggulan jentera British ini sudah tentu hadir menerusi ketepatan respon dan hantaran kuasanya yang boleh ditala dengan adanya mod tunggangan yang digabungkan dengan ABS dan Traction Control. Model S didatangkan dengan dua mod tunggangan iaitu Rain dan Road. Perbezaan ketara di antara kedua-dua mod ini jelas dirasakan apabila kita memutar pendikit dan menarik kuasanya dengan keras. Hantaran kuasa lebih tenang dan lembut dalam mod Rain dan serta merta bertukar menjadi lebih galak apabila kita tukar kepada mod Road.

Bagi model kelas paling tinggi dalam siri Street Triple ini, RS dilengkapkan dengan lima mod tunggangan iaitu Rain, Road, Sport, Rider Programmable dan Track yang kesemuanya mempunyai karaktor peribadi yang unik. Semakin banyak kilometer di atas jentera ini, para penunggang akan lebih memahami cara-cara dan talaan terbaik yang perlu digunakan apabila berada di suatu tempat dan keadaan jalan.

Mungkin kerana lebih selesa dengan RS, kami dapat memecut jentera ini hampir mencecah 200km/j manakala model S sekitar 170km/j. Dalam kelajuan tersebut, tiada dirasakan gegaran pada bahagian hendal dan di mana-mana bahagian yang lain cuma ketiadaan cermin pengadang udara menyebabkan angin menampar tubuh kita dengan kuat jika tidak membongkokkan badan.

Ketika menyerang 15 buah selekoh di SIC dan di jalanan biasa, sistem saspensi yang didatangkan untuk model S dan RS membantu kita kekal selamat di laluannya. Walaupun keduadua jentera ini sudah cukup baik pengendaliannya, namun prestasi RS lebih mantap. Ini kerana ia disempurnakan dengan fork hadapan Showa 41mm jenis terbalik dengan omboh besar (BPF) manakala segala hentakan di belakang dikawal oleh penyerap hentak mono Ohlins STX400. Model S didatangkan dengan fork hadapan Showa 41 jenis terbalik dengan fungsi berasingan (SFF) dan penyerap hentak Showa piggyback reservoir.

Mendaki ke puncak Genting Highlands ternyata bukan sahaja menguji pengalaman penunggang tetapi juga sistem brek dan tayar. Kami masih dapat mengekori jentera-jentera sportbike baru yang pantas dan dinamik. Kalau di laluan lurus jentera sport memang ‘champion’ tetapi di selekoh-selekoh tajam, Triumph memiliki kelebihan. Kepantasan S memperlahankan kelajuan dibantu oleh sepasang brek cakera 310mm dengan angkup Nissin dan cakera 220mm dengan angkup Brembo.

Sistem brek model RS lebih efisien, ia menggunakan sepasang brek cakera 310mm dengan angkup monobloc radial Brembo di depan dan brek cakera 220mm dengan angkup Brembo. Pakej hebat brek-brek ini mengigit tayar Pirelli yang dipadankan padanya (S: Pirelli Diablo Rosso Corsa, RS: Pirelli Diablo Supercorsa SP). Menariknya tayar ini ialah prestasi tidak pernah mengecewakan walaupun ketika berada di permukaan jalan yang sejuk – ia menggigit dengan sempurna.

Walaupun pelbagai mod tunggangan diguna serta corak tunggangan yang ada kalanya agak agresif, Triumph ini cukup jimat bahan api dengan kadar penggunaan kami lebih daripada 200 kilometer untuk sekali isi tangki sebesar 17.4 liter. Ternyata Triumph pastinya berdiri megah dengan adanya barisan Street Triple 765. Ia lincah, berkualiti, anggun dan pantas.

Triumph Street Triple S kini ditawarkan pada harga tawaran cukup menarik iaitu RM49,900 (harga biasa RM52,900), model R pula RM59,900 dan model RS boleh dimiliki pada harga RM66,900. Untuk melihatnya dengan lebih dekat, kunjungilah Triumph Malaysia di Petaling Jaya atau di beberapa lagi cawangan seperti  Pulau Pinang, Johor, Bukit Mertajam, Kuching dan Kota Kinabalu.. RR

Isu Pada

Februari 2018

Spesifikasi

Enjin3 silinder, DOHC, sistem penyejuk cecair
Isipadu765 cc
Gerek x Lejang78 x 53.4 mm
Nisbah mampatan12.65:1
Kuasa maksimumRS : 12bhp pada 11,700 rpm / S:111bhp pada 11,250 rpm
Tork maksimumRS : 77Nm pada 10,800 rpm / S:73Nm pada 9,100 rpm
Tinggi pelanaRS : 825 mm / S: 810 mm
Isi Tangki17.4 liter
Berat166 kg
PengedarFast Bikes Sdn Bhd

Popular

  • Warta Roda

    WMOTO Griffin 205 Sudah Berada di Pusat Pengedar Mforce Smartshop

  • Warta Roda

    Art of Speed 2026: 15 Tahun Menyatukan Jiwa Kustom

  • Warta Roda

    Honda ADV160 Edisi Terhad Versi Spider-Man Dilancarkan - Bermula RM14,149

  • Berita Kelab

    Kembara Road Rider Crew Taiping 3.0 Sempena Ulang Tahun Kelab ke-4

  • Dari Litar

    Hakim Danish Kutip Mata Berharga Walaupun Berdepan Cabaran di Sachsenring

Artikel berkaitan

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Hampir 1000 kilometer Dengan Aveta NOVA 250 - Apa Rasanya?

Media Test Ride Kawasaki Z900: Glenmarie ke Sekinchan - Bukan Sekadar Kuasa

SYM ADXTG 400: Skuter Adventure Santai Tapi Padu

BMW F900 GSA: Jelajah Tanpa Batasan

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Hakim Danish Kutip Mata Berharga Walaupun Berdepan Cabaran di Sachsenring

Hakim Danish Ramli terus mengutip mata berharga dalam saingan Moto3 apabila menamatkan GP Jerman di Litar Sachsenring di kedudukan ke-12

Dari Litar

Hakim Danish Terus Perkukuhkan Kedudukan di Moto3

Dengan kemenanhan di tempat ketujuh melonjakkan lagi kedudukan Hakim Danish di tangga keenam secara keseluruhan.

Warta Roda

Mforce Smartshop Pertama Perak Dirasmikan

Sekalung tahniah buat Sin Lean Huat Trading Sdn Bhd yang kini dengan rasminya merupakan cawangan pengedar rasmi Mforce Smartshop yang pertama di negeri Perak.

Dari Litar

Penantian 10 tahun Malaysia, Hakim Danish Cipta Sejarah Baru

Hakim Danish Ramli melakar sejarah apabila meraih kemenangan sulungnya dalam Kejuaraan Dunia Moto3 selepas muncul juara di GP  Republik Czech.