Isu Terkini

Disember 2023

Personaliti / 6 Jun 2021

Bob Eden - Ingin Menabur Bakti Buat Pengguna Motosikal

"Nama sebenar saya ialah Rosli bin Zainal Abidin tetapi dalam dunia motorsport memang dikenali dengan panggilan Bob Eden. Nama panggilan itu datangnya ketika mula-mula saya nak ceburi bidang perlumbaan. Oleh kerana mendapat tentangan daripada keluarga, saya perlu menyamar. Ini kerana saya adalah satu-satunya anak lelaki daripada empat adik beradik," kata Personaliti RR bulan ini.

Bob Eden, 55 tahun dan berasal dari Sabak Bernam memulakan kariernya dalam dunia perlumbaan pada tahun 1990 dengan menunggang Yamaha RXZ di Litar Batu 3 Shah Alam. Apabila melihat kemantapan dan saingan hebat dalam cub prix, Bob Eden tidak ragu-ragu lagi untuk melangkah masuk dan menggalas cabaran bersama pasukan Motorcycle Sales Centre dengan menunggang jentera Suzuki Best 110. Perlumbaan pertamanya ialah di litar Mergong, Kedah pada tahun 1992.

Bob Eden menamatkan pengajian di sebuah kolej sebelum berkhidmat di Public Bank. Minatnya pada motosikal memang berputik dari kecil dan walaupun turut mempunyai bakat dalam bolasepak, motosikal adalah segala-galanya.

Pada tahun 1993, Bob Eden bersama pasukannya Ninja Motor menyertai perlumbaan satu jenama Suzuki dan telah berjaya menjadi juara keseluruhan. Baginya, ia adalah satu pencapaian yang sangat membanggakan kerana beliau yang ketika itu hanya menunggang sebuah Suzuki RC80 berjaya menewaskan para pencabar lain yang menggunakan Suzuki Best 110.

“Saingan itu diadakan sebanyak lima pusingan dan saya berjaya meraih tempat yang cukup baik setiap kali bersaing sehinggalah kemuncaknya iaitu di pusingan terakhir yang berlangsung di Kluang, Johor. Memang model RC80 tunggangan saya nampak biasa saja tetapi power sehinggakan dapat menewaskan Allahyarham Amran Shuib, Azman Shah, Amirul dan ramai lagi.”

Selepas menempa kejayaan pada tahun 1993, Bob Eden berpindah ke khemah pasukan Yamaha sebagai back-up rider setahun kemudian bersama Sifu YY Pang dalam pasukan Ah Hong Motor. Ia adalah tahun yang memberi pendedahan tentang selok belok dunia perlumbaan buat Bob Eden yang ketika itu menunggu masa terbaik untuk turun ke litar.

“Aktiviti perlumbaan saya akhirnya dapat dihidu oleh tempat bekerja dan apabila mendapati ia berisiko tinggi, saya diminta untuk tidak menyertainya. Saya akur dengan kehendak mereka demi kerjaya. Niat saya pun bukanlah sepenuh masa, lebih cenderung sebagai hobi. Pada tahun 1996, Maju Motor pula menjemput saya bersama pasukan mereka bagi memberi saingan dalam perlumbaan Honda EX5 Endurance di Batu Tiga. Walaupun sudah setahun tidak berlumba, saya berjaya mencatat masa terpantas.”

Ia adalah perlumbaan tahan lasak selama empat jam. Bob Eden ketika itu digandingkan dengan Ibrisham Daub, seorang lagi 'otai' dunia perlumbaan. Prestasi jentera Bob/Ibrisham cukup cemerlang di sebelah pagi tetapi sayangnya bahagian compressor mula rosak apabila menjelang petang menyebabkan proses menukar tayar menjadi sukar. Mulanya Bob Eden berjaya meninggalkan pencabarnya Tan Seng Kooi/Barry Leong sejauh 22 saat tetapi masalah teknikal itu menyebabkannya jatuh ke tempat kedua dengan ketinggalan hanya dua saat di belakang.

Pada tahun yang sama, beliau menyertai cabaran perlumbaan cub prix Marlboro Castrol sekali lagi bersama pasukan Maju Motor dengan menunggang Yamaha SS110. “Kenangan bersaing bersama Halim Zahid, Rosli Mat Sudin memang seronok tetapi sebagai pelumba back-up, saya hanya dibenarkan untuk mengikut rentak dan berjaya menamatkan cabaran di tangga ketiga keseluruhan. Pada masa itu juga Bob Eden aktif dalam perlumbaan Yamaha RXZ135 dan Yamaha TZM150.

Apabila sering mendapat liputan berita, gambarnya mula terpampang di dada-dada akhbar negara dan ketika itulah segala rahsia yang disimpan telah terbongkar. Bob Eden segera menjelaskan pada ibunya bahawa dia masih bekerja dan menganggap dunia permotoran sebagai hobi. Larangan untuk Bob Eden 'mendekati' dunia dua roda sebenarnya berpunca daripada kemalangan teruk yang beliau alami ketika berumur 17 tahun.

“Ketika sedang berlumba di kampung pada masa itu, saya terbabas dalam keadaan posisi 'superman' pada kelajuan 175km/j. Oleh kerana mempunyai asas gimnastik, saya gulungkan badan dan bergolek-golek untuk jarak yang jauh. Kecederaan memang teruk. Tangan, kepala, depan dan belakang badan habis. Itulah sebabnya ayah saya melarang sama sekali untuk menunggang motosikal sedangkan dia jugalah yang menghadiahkan sebuah Yamaha RXS selepas meraih keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.”

Bob Eden menamatkan kariernya sebagai seorang pelumba pada tahun 1998 di usia 32 tahun dan meneruskan kerjayanya dalam dunia perbankan untuk tempoh dua tahun lagi. Bob Eden kemudiannya beralih arah dalam urusan insurans dan ketika itulah beliau mendapat panggilan daripada Tuan Haji Wazi untuk menumpukan perhatian dalam bimbingan keselamatan jalan raya. Hj Wazi menjelaskan bahawa ramai penunggang motosikal di Malaysia kurang arif dengan kecekapan mengawal dan mengendalikan jentera yang mereka naiki dengan sebaiknya.

“Saya dan Hj Wazi mendapat kepercayaan Castrol untuk memberi pendedahan tentang keselamatan ini di sekolah-sekolah seluruh negara. Kami juga mendapat kelulusan KBS untuk program kurikulum dan saya bertugas untuk memberi penerangan dan penghuraian tentang selok belok menunggang motosikal. Bermula dari saat itulah saya terus memberi tumpuan untuk melatih penunggang motosikal ke arah yang lebih baik. Saya juga sempat menjadi pengurus pasukan dalam saingan cub prix – jiwa lumba tidak pernah hilang.”

Permintaan untuk klinik tunggangan semakin tinggi tetapi kebanyakannya terpaksa ditolak oleh Bob Eden kerana sangat sibuk dengan urusan di litar. Akhirnya Bob Eden dan Hj Wazi bersetuju untuk tinggalkan perlumbaan pada tahun 2007. Bob Eden dan Hj Wazi sempat mendapat nasihat dan pandangan daripada Allahyarham Tuan Guru Dato' Ismail Kamus untuk menabur bakti kepada penunggang motosikal khususnya. Antara agensi yang menggunakan khidmat mereka ialah GIVI, Tenaga Nasional Berhad dan PLUS.

“Kebanyakan penunggang motosikal sekarang ini memilih motosikal untuk mengelak kesesakan sedangkan mereka sudah lama tidak bermotosikal dan amat kurang mahir dalam pengendalian. Rata-rata penunggang motosikal di bandar-bandar besar sangat tergesa-gesa yang menyebabkan tumpuan hilang sepenuhnya. Mereka tidak cekap mengawal pergerakan motosikal dan cara betul membrek. Selepas membuat tinjauan dan latihan, purata penunggang bermasalah ialah dari umur 30 hingga 50 tahun. Jangan terkejut ya apabila kebanyakannya berjawatan tinggi.”

“Sasaran kami hanyalah inginkan setiap pengguna motosikal tahu dan mahir mengendalikan jentera masing-masing. Dengan adanya Malaysian Motorcycle Racer Association (MMRA) dibarisi oleh para dan bekas pelumba seperti Fazli Sham, Fazrul Sham, Rozaiman dan ramai lagi yang akan berkongsikan kepakaran bersama masyarakat. Mereka menyambut baik hasrat ini kerana ia adalah tanggungjawab dan kewajiban terhadap negara.” RR

Isu Pada

Mei 2021

Popular

  • Warta Roda

    Seorang Penunggang Motosikal Berkuasa Tinggi Maut Atas Kecuaian Orang Lain

  • Warta Roda

    Tunggang Uji Ringkas Suzuki Avenis 125 dan Burgman Street 125 EX

  • Warta Roda

    Castrol Tawar Program Insurans Percuma Buat Penunggang Motosikal

  • Dari Litar

    Pusingan Pembuka Tirai Red Bull MotoGP Rookies Cup, Hakim Danish Sudah Bersedia

  • Dari Litar

    Bimota Bakal Kembali Dalam WorldSBK 2025

Artikel berkaitan

Pelumba Muda, Dharwin Lingam Lebih Semangat Harungi Musim Baru

Rewi Hamid Bugo - Usahawan & Pencinta Motosikal Sejati

Khairulamirin Yahaya - Pelumba Supermoto Negara

Md. Mikail Razlan - Terus Buru Kegemilangan

Gary, Tina & Sam Sharman - Pencinta Motosikal Sejati

Azlan Shah Kamaruzaman: Semangat Juang Tidak Pernah Padam

Kenny Tan Kee Hooi: Cinta Pada Dua Roda Tak Pernah Padam

Ezuin Esa : Cinta Pada Motosikal Perlu Keberanian

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Castrol Tawar Program Insurans Percuma Buat Penunggang Motosikal

Castrol dengan bangganya telah memperkenalkan satu inisiatif khas buat penunggang motosikal iaitu "Program Insurans Percuma".

Dari Litar

Pusingan Pertama Penuh Cabaran Buat Danish & Danial

Secara keseluruhannya, prestasi yang ditunjukkan oleh para pelumba negara dalam saingan pembukan tirai FIM JuniorGP World Championship 2024 cukup membanggakan.

Warta Roda

GWM Bakal Perkenal Jentera Kembara 2000cc

Pengeluar kenderaan empat roda, Great Wall Motor (GWM) bakal melancarkan model kembara eksklusif yang hadir dengan enjin 2000cc, 8 silinder dan dikatakan memiliki susunan formasi seperti enjin Honda Gold Wing.

Warta Roda

Empat Produk Honda Menang Anugerah 'THE RED DOT DESIGN AWARD'

Honda telah mengumumkan empat produk mereka iaitu EM1 e: Moped Elektrik, Motocompacto: skuter elektrik kompak boleh lipat, BF350: enjin bot dan Miimo: Mesin rumput robotik telah menerima anugerah Red Dot Design tahun ini dalam kategori 'Product Design'.