Isu Terkini

Disember 2023

Personaliti / 22 Januari 2022

Khairulamirin Yahaya - Pelumba Supermoto Negara

Khairulamirin Yahaya atau lebih mesra dengan panggilan Rin merupakan seorang pelumba professional dan juga merupakan pelajar diploma dalam bidang Outdoor Recreation di Management & Science University (MSU), Kampus Shah Alam.

Rin menceburi dunia permotoran pada usia 14 tahun dan bermula dengan belajar menunggang motosikal di sekitar taman perumahannya di Klang. Penglibatan Rin secara serius dalam sukan bermotor bermula pada tahun 2016 selepas dipilih menyertai sesi pemilihan Asia Talent Cup di Litar Antarabangsa GoKart Sepang. Meskipun tidak terpilih selepas sesi tersebut telah menyemarakkan semangatnya untuk belajar menjadi pelumba profesional.

Pada tahun 2017, Rin telah menyertai satu perlumbaan di Litar USJ Speedway PLUS dalam kategori MiniGP 150cc dan berkenalan dengan Eddy Erman, seorang jurulatih daripada Edderz Motorcycle Riding Instructor (Edderz MRI) yang ketika itu turut menyertai perlumbaan MiniGP tersebut. Eddy Erman telah bersetuju untuk melatih Rin hingga ke hari ini.

Boleh dikatakan hampir setiap minggu, Rin akan bersama-sama Eddy Erman berlatih di kawasan tempat letak kereta dan juga di trek. Sebagai permulaan, bapa Rin telah membeli sebuah motosikal terpakai, iaitu Kawasaki KLX150 yang kemudiannya diubahsuai menjadi motosikal motard (supermoto) sebagai jentera latihan.

Menerusi konsep latihan di bawah Edderz MRI, Rin telah dibawa oleh Eddy Erman untuk menyertai beberapa perlumbaan di peringkat kelab di sekitar Lembah Klang. Hal ini bukan sahaja dapat meningkatkan teknik perlumbaan Rin, malah menjadi platform pembelajaran pantas bersama-sama pelumba yang berpengalaman.

Usaha gigih Rin akhirnya membuahkan hasil, apabila Rin berjaya melayakkan dirinya menyertai perlumbaan Yamaha Petronas Super Series di bawah Malaysian CubPrix (MCP) 2018. Walaupun hanya mengumpul enam mata sehingga tamat musim perlumbaan 2018, dia telah banyak belajar khususnya dari segi pelarasan asas sebuah jentera perlumbaan, teknik berkomunikasi dengan mekanik, memberikan respons jentera dan mengawal tekanan emosi.

Pada tahun 2019, Rin memutuskan untuk berlumba di trek bertaraf antarabangsa. Rin menyertai kejohanan Malaysian Superbike Championship (MSBK) musim 2019 dalam kategori MSBK250 menggunakan jentera Yamaha R25 (persendirian). Segala kos perlumbaan ditanggung oleh keluarganya.

Rin turut menyertai kejohanan Braaap Track Attack (BTA) 2019 anjuran Braaap Motorsports dalam kategori SB250.

Pada Disember 2019, Rin telah dihubungi oleh pasukan Supermotoland Husqvarna Junior Talent Team yang berpangkalan di Bullas, Murcia, Sepanyol untuk berlumba di Eropah. Setelah berbincang dan meneliti kontrak perlumbaan tersebut, akhirnya Rin bersetuju.

Menerusi kontrak tersebut, Rin akan berlumba sepenuh masa di kejohanan RFME Spanish Supermoto Championship dalam kategori SM Road 450.

Di Eropah, kejohanan Supermoto sememangnya amat popular dan mempunyai beberapa pembaharuan. Di Eropah, sebuah kategori yang dikenali sebagai SM Road atau pun S4 telah diperkenalkan dalam kejohanan kebangsaan serta dunia.

Kategori SM Road dan S4 ini akan menggunakan litar asfalt sepenuhnya tanpa sektor lompatan dan tanah. Kategori ini telah berjaya menarik lebih ramai penyertaan pelumba daripada kategori road racing dan menjadikan perlumbaan ini semakin meriah.

Proses permohonan dokumentasi perlumbaan Rin agak mencabar kerana beliau warganegara Malaysia pertama yang akan beraksi di kejohanan supermoto di Sepanyol. Dalam hal ini, RFME (Persatuan Sukan Bermotor Sepanyol) dan Motorsports Association of Malaysia (MAM) telah banyak membantu serta memudah cara permohonan lesen perlumbaan yang boleh diguna pakai di Sepanyol.

Rin pada asalnya dijadualkan terbang ke Sepanyol pada Mac 2020 untuk menyertai pusingan pertama. Namun begitu, pandemik Covid-19 telah menyebabkan kejohanan di Eropah ditangguhkan sehingga Julai 2020. Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tiada apa-apa yang boleh dilakukan oleh Rin selain meneruskan latihan fizikal di rumah serta meneruskan pengajiannya di MSU secara dalam talian.

Musim 2020 merupakan tempoh yang sukar di samping melibatkan perbelanjaan kewangan yang tinggi. Memandangkan ini merupakan tahun pertama Rin mengembara di Sepanyol, keluarganya terpaksa memutuskan agar Rin pergi pada minggu perlumbaan sahaja. Situasi ini amat memenatkan Rin serta menelan belanja yang mahal.

Pada tahun 2020, Rin yang kini berumur 19 tahun berkelana ke Eropah hanya bertemankan seorang sahabatnya yang lebih dewasa. Hal ini disebabkan keluarga Rin tidak boleh menemaninya di sana akibat kekangan kewangan dan tugas semasa. Pengalaman hidup bersendirian di Eropah telah banyak mendewasakan Rin di samping membolehkannya bertutur dalam bahasa Sepanyol (walaupun masih belum fasih).

Pengalaman yang sangat berharga tidak dapat dilupakan oleh Rin dan keluarga ialah ketika kes Covid-19 yang naik mendadak pada bulan Oktober 2020. Pada ketika itu, Rin tinggal di Sepanyol untuk tempoh satu bulan bagi meneruskan saingan perlumbaan pusingan ketiga dan keempat. Namun begitu, kes jangkitan begitu tinggi hingga menyebabkan kerajaan Sepanyol membatalkan semua kejohanan.

Keadaan ini memaksa Rin pulang awal. Atas bantuan Kedutaan Malaysia, semua urusan pulang berjalan dengan baik meskipun ada sesetengah wilayah di Sepanyol telah berstatus hitam dan mula terdapat sekatan penerbangan.

Musim 2021 menjadi agak mudah memandangkan Rin dan keluarganya sudah mempunyai pengalaman sebelum ini. Kali ini, Rin terbang bersama-sama Eddy Erman pada Mac 2021, iaitu tiga minggu awal sebelum bermulanya pusingan pertama kejohanan. Ini bagi membolehkan Rin mengadaptasi litar, keadaan cuaca di samping membuat ujian terhadap jentera perlumbaannya. Eddy hanya berada di sana untuk satu pusingan sahaja.

Rin seterusnya meneruskan semua perlumbaan dan meskipun jauh di Eropah, Rin tetap meneruskan pengajiannya di MSU. Rin tetap menghadiri kelas dan peperiksaan selain menyiapkan kertas kerja dan tugasan mengikut waktu yang ditetapkan. Pihak pengurusan tertinggi MSU juga mengiktiraf Rin sebagai atlet negara yang belajar di universiti mereka.

Rin terlibat dengan kemalangan sebelum perlumbaan pusingan akhir kejohanan di Sepanyol.
Rin terlibat dengan kemalangan sebelum perlumbaan pusingan akhir kejohanan di Sepanyol.

Pada 11 Jun 2021, ketika menjalani latihan bebas sebelum perlumbaan pusingan akhir kejohanan di Sepanyol, Rin telah ditimpa kemalangan ngeri. Rin mengalami kecederaan patah tulang pelvis dan pendarahan dalaman. Dia sangat bertuah kerana dirawat dengan baik di Hospital Vithas 9 Octobure di Valencia, Sepanyol.

Beberapa siri pembedahan dilakukan bagi membolehkan tulang pelvis Rin dibentuk semula. Selama 46 hari Rin terlantar di wad tanpa ditemani ahli keluarga. Sekatan perjalanan ke luar negara, kos yang sangat tinggi menyebabkan Rin reda dan hanya dihubungi keluarga menerusi panggilan video.

Plet & skru pada tulang pelvis Rin.
Plet & skru pada tulang pelvis Rin.
Bergambar bersama jururawat di Hospital Vithas 9 Octobure, Valencia.
Bergambar bersama jururawat di Hospital Vithas 9 Octobure, Valencia.

Berikutan dengan kecederaan itu, Rin tidak dapat berlumba dalam pusingan akhir kejohanan Sepanyol. Namun yang paling menyedihkan ialah, tertutupnya peluang Rin untuk berlumba dalam kategori S4 di pusingan pertama. Kejohanan S4 merupakan kelas perlumbaan tertinggi di peringkat dunia bagi kategori SM Road yang disertai ramai pelumba S4 ternama dari seluruh Eropah.

Perjalanan pulang ke Malaysia bukan mudah. Rin perlu ditemani doktor peribadi daripada pihak FIM sepanjang perjalanan, malah perlu mendapatkan tiket kelas perniagaan memandangkan fizikal Rin yang masih lemah. Rin masih belum boleh berjalan dan hanya mampu bergerak dengan kerusi roda. Pihak pengurusan tertinggi MSU juga telah mengaturkan penangguhan sementara pengajian Rin akibat kecederaan tersebut.

Sesi fisioterapi di Physiomobile, Bandar Baru Bangi.
Sesi fisioterapi di Physiomobile, Bandar Baru Bangi.

Rin terus menjalani proses fisioterapi yang intensif sebanyak tiga kali seminggu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 20 kali. Proses fisioterapi sangatlah menyakitkan, namun banyak membantu memulihkan semula fizikal Rin. Hanya dalam tempoh dua kali proses fisioterapi, Rin sudah boleh berjalan tanpa tongkat. Rin sudah dapat mengembalikan kekuatan fizikalnya semula meskipun hanya 20% sahaja berbanding kekuatan asal.

Pada 1 Oktober 2021, Rin memutuskan untuk kembali berlumba dalam pusingan akhir kejohanan S1GP di GP of Lombardia, Itali pada 16 dan 17 Oktober 2021. Walaupun bukan senang, atas prinsip DO OR NEVER, semua pihak termasuk MAM bersetuju untuk membenarkan Rin kembali berlumba walaupun baru empat bulan beliau menjalani proses rehabilitasi. Pasukan Supermotoland sendiri telah bertungkus lumus menyediakan jentera perlumbaan yang pada asalnya tiada perancangan untuk Rin kembali seawal ini.

Sesi coaching di Litar Lumba Rakyat Kuala Selangor.
Sesi coaching di Litar Lumba Rakyat Kuala Selangor.

Hampir dua minggu kemudian, Rin selamat tiba di bumi Itali dan kali ini, beliau hanya berseorangan tanpa teman. Ketika sesi latihan, barulah Rin merasai kesakitan pada bahagian pelvis beliau selain mengalami kekejangan otot pada bahagian pinggang. Perkara ini sangat membataskan pergerakan Rin di atas jentera sekali gus merencatkan gaya tunggangannya.

Pada hari perlumbaan, dengan suhu serendah 17 darjah celcius, memerlukan Rin mengambil ubat penahan sakit bagi mengurangkan kesakitan. Semua perlumbaan berjalan dengan baik dan Rin mendapat pujian ramai pelumba senior atas komitmennya. Rin telah melayakkan dirinya berada di tempat ke-14 keseluruhan daripada 19 pelumba terbaik S4 di seluruh Eropah.

Kini, Rin telah berada di Malaysia dan telah memulakan pengajiannya secara bersemuka di kampus MSU Shah Alam. Selain itu, Rin juga mengambil peluang untuk bercuti dan meluangkan masa bersama-sama keluarganya. Latihan fizikal dan senaman kardiovaskular Rin juga berjalan seperti sebelum ini bagi persediaan musim 2022 kelak. RR

Isu Pada

Disember 2021

Popular

  • Warta Roda

    Seorang Penunggang Motosikal Berkuasa Tinggi Maut Atas Kecuaian Orang Lain

  • Warta Roda

    Tunggang Uji Ringkas Suzuki Avenis 125 dan Burgman Street 125 EX

  • Warta Roda

    Castrol Tawar Program Insurans Percuma Buat Penunggang Motosikal

  • Dari Litar

    Pusingan Pembuka Tirai Red Bull MotoGP Rookies Cup, Hakim Danish Sudah Bersedia

  • Dari Litar

    Bimota Bakal Kembali Dalam WorldSBK 2025

Artikel berkaitan

Pelumba Muda, Dharwin Lingam Lebih Semangat Harungi Musim Baru

Rewi Hamid Bugo - Usahawan & Pencinta Motosikal Sejati

Md. Mikail Razlan - Terus Buru Kegemilangan

Bob Eden - Ingin Menabur Bakti Buat Pengguna Motosikal

Gary, Tina & Sam Sharman - Pencinta Motosikal Sejati

Azlan Shah Kamaruzaman: Semangat Juang Tidak Pernah Padam

Kenny Tan Kee Hooi: Cinta Pada Dua Roda Tak Pernah Padam

Ezuin Esa : Cinta Pada Motosikal Perlu Keberanian

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

WorldSBK 2024: Race Pertama, Tempat Pertama - Pilihan Tayar Terbaik oleh Nicholas Spinelli!

Tindakan berani Nicholas Spinelli (Barni Spark Racing Team) di Litar TT Assen dalam Perlumbaan 1 menggunakan tayar jenis 'Intermediate' telah menyumbang kepada gelaran juara dalam perlumbaan pertamanya di WorldSBK.

Warta Produk

Arai Europe Persembahkan Topi Keledar Edisi Terhad, RX-7V EVO IOM TT 2024

Arai Helmet mempersembahkan topi keledar edisi terhad RX-7V EVO Isle of Man TT 2024 yang ke-15.

Dari Litar

Lagenda MotoGP, Dani Pedrosa Bakal Beraksi Di GP Sepanyol!

Bagi peminat 'The Little Samurai' atau Dani Pedrosa, tahun ini kita akan melihat aksinya dalam perlumbaan MotoGP sebenar dalam Pusingan 4, GP Sepanyol yang akan diadakan di Litar Antarabangsa Jerez penghujung bulan ini.

Model Baru

Bila Agaknya Yamaha PG-1 Masuk Malaysia?

Model kembara, Yamaha PG-1 yang dipertonton di beberapa buah negara Asean tahun lalu sekali lagi ditampilkan di acara Bangkok Motorshow 2024 baru-baru ini.