Honda BigWing : Pusat Eksklusif Motosikal Berkuasa Tinggi Honda
Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) dengan rasminya memperkenalkan Honda BigWing di Malaysia, pusat sehenti jualan dan servis untuk motosikal berkuasa tingginya daripada 250cc ke atas. Bersama-sama dengan rangkaian Honda sedia ada yang selama ini memberi tumpuan kepada jentera-jentera di bawah enjin bersesaran 250cc. Dengan penumpuan kepada semua model Honda, BSH bersedia untuk memenuhi kehendak pasaran yang pelbagai di Malaysia.
Majlis pengenalan ini telah diadakan bersempena Pameran Auto Malaysia dan ini adalah tahun pertama pihak BSH menyertai acara ini dengan kerjasama Honda Malaysia.
“Dengan memperkenalkan Honda BigWing, ia menyaksikan kecintaan BSH untuk memupuk minat dan nilai kepada pelanggan, maka kami bukan sahaja memberi produk dan perkhidmatan yang terbaik malah mewujudkan pengalaman kepada pelanggan menerusi pelbagai aktiviti,” kata En. Nobuhide Nagata, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BSH.
Diperkenalkan sebagai 'Destinasi untuk Penunggang', Honda BigWing terdiri daripada pusat pameran terkini, pusat servis, sudut alat ganti dan aksesori serta bilik istirehat pelanggan. Konsep menyeluruh yang tersendiri dan istimewa ini telah direka untuk memberi persekitaran yang bergaya, canggih dan premium. Untuk memastikan pengalaman yang menyeluruh, kesemua pusat Honda BigWing dilengkapi dengan peralatan khas dan kemudahan yang diluluskan BSH serta pegawai jualan dan mekanik yang telah dilatih secara profesional.
Pada separuh pertama tahun 2017, BSH telah berjaya mencecah rekod jualan 400 unit dan menjana kenaikkan 12% jualan motosikal berkuasa tinggi berbanding tahun 2016. Selepas pengenalan Honda BigWing, BSH menyasarkan pertumbuhan sebanyak 30% (1600 unit) dalam pasaran motosikal berkuasa tinggi pada tahun hadapan.
Honda BigWing akan dibuka di empat buah bandar utama iaitu Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor, dan Johor. Dengan pembukaan ini, ia akan menyumbang kira-kira 75% daripada jualan motosikal berkuasa tinggi Honda di Malaysia. Pusat Honda BigWing pertama akan dilancarkan di Kuala Lumpur pada Januari 2018 oleh Ee Tiong Motorsports Sdn. Bhd, diikuti Taycon Motor Sdn. Bhd. di Pulau Pinang, Welly Team Cycle Sdn. Bhd. di Selangor dan Additional Growth Sdn. Bhd. di Johor. RR
Popular




