Aveta Nova 250 G Elite Edition Diperkenalkan! Harga asas RM14,888
Aveta Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran motosikal Malaysia menerusi pembukaan rasmi G Elite Motor – Aveta Elite Centre di Shah Alam, Selangor. Pembukaan ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam peluasan rangkaian pengedar jenama Aveta khususnya, sekali gus memperkukuh komitmen untuk menyediakan pengalaman pemilikan yang lebih mudah diakses dan menyeluruh kepada penunggang di Malaysia.

Aveta Elite Centre baharu ini menempatkan pusat pameran khusus, pusat servis serta kemudahan alat ganti di bawah satu bumbung. Kemudahan bersepadu ini membolehkan pelanggan mengenali rangkaian motosikal Aveta dengan lebih dekat serta mendapatkan sokongan selepas jualan yang diperlukan dengan lebih pantas.



Majlis pembukaan ini turut menyaksikan pengenalan Aveta Nova 250 G Elite Edition, edisi eksklusif yang hanya ditawarkan menerusi G Elite Motor dan terhad kepada 128 unit sahaja. Aveta Nova 250 G Elite Edition menampilkan skema warna eksklusif, grafik unik serta nombor siri individu dan menawarkan nilai pemilikan tersendiri kepada penunggang yang menginginkan kelainan daripada Nova 250 standard.


Nova 250 G Elite Edition ditawarkan pada harga RM14,888, tidak termasuk cukai jalan dan insurans. Pengenalan edisi eksklusif bersempena dengan pembukaan ini turut mencerminkan kerjasama antara Aveta Malaysia dan G Elite dalam menyediakan tawaran istimewa kepada pelanggan, di samping mengukuhkan kehadiran jenama dalam pasaran motosikal tempatan. RR




