Isu Terkini

Februari 2024

Berita Kelab / 23 Julai 2021

Santapan Dari Alam Semulajadi

Kebiasaannya kita akan berkonvoi beramai-ramai di jalan raya dan berhenti di destinasi, mengambil menu, memesan makanan dan menunggu makanan dihidangkan. Setelah kenyang menjamu selera, kita akan bergerak pulang. Oleh kerana sudah terlalu biasa dengan aktiviti rutin cara begini, kami telah melakukan sesuatu yang ada sedikit kelainan.

Kami dari Balai Ringin Motocross (BRMC), daerah Serian di Sarawak, yang juga pengemar offroad akan berkongsikan perjalanan lasak dengan juadah makanan yang berkonsepkan dari sumber alam semulajadi. Segala sumber makanan akan diambil dari dalam hutan dan dimasak sendiri apabila tiba di destinasi nanti. Memandangkan majoriti adalah dari kaum berbangsa Bidayuh, tukang masak juga orang Bidayuh, maka masakan utama nanti adalah makanan kaum Bidayuh.

Dari kiri: Sarb, Zam, Aziz, Jalal, & Thomas.
Dari kiri: Sarb, Zam, Aziz, Jalal, & Thomas.
Bertemu dua lagi sahabat iaitu Mas & Marida.
Bertemu dua lagi sahabat iaitu Mas & Marida.

Destinasi kami adalah ke sebuah air terjun yang tidak diketahui ramai yang terletak di dalam hutan Bedup di Serian, Sarawak.

Jam sudah 8.30 pagi, kami berkumpul di sebuah kedai kopi di Gedong untuk bersarapan pagi. Setelah selesai, semua bersiap, beri sedikit taklimat dan terus bergerak ke Petronas Gedong untuk mengisi minyak. Kali ini kami berlapan.

Pokok tumbang yang menghalang laluan menyukarkan perjalanan.
Pokok tumbang yang menghalang laluan menyukarkan perjalanan.

Cuaca yang baik memberi kelebihan pada kami. Senang untuk kami mencari bahan makanan di dalam hutan nanti, dan mudahlah untuk kami menyalakan api menggunakan kayu. Di sini, kami hanya membawa badan sahaja, cuma di pertengahan jalan di hutan nanti, mungkin sesetengah dari kami akan menggalas beban di bahu dan menempuh perjalanan di dalam hutan yang kita sedia maklum, lasak dan sukar!

Perjalanan bermula. Untuk sampai ke destinasi akan mengambil masa sekitar dua hingga tiga jam. Kami melalui banyak denai kecil dan kadangkala menggunakan jalan sawit. Sesekali kami akan melintas perkampungan di hutan pedalaman. Untuk mengelakkan sebarang kesulitan, Mas, selaku ketua kumpulan kami telah menulis surat kepada Ketua Kampung Merian Bedup sebagai tanda hormat, memohon kebenaran dan sebagai makluman.

Sebelah kanan saudara Masturi (Mas), sebagai ketua untuk ride lasak ini.

Perjalanan yang mencabar menguji mental & fizikal seseorang.
Perjalanan yang mencabar menguji mental & fizikal seseorang.

Bermain dengan laluan berlumpur adalah perkara biasa bagi pengemar offroad. Laluan sawit tidaklah menjadi masalah. Tapi laluan denai kecil ini sesekali sukar diduga. Ini disebabkan ia sangat jarang dipakai, semak samun dan lalang ada, yang tinggi-tinggi belaka.

Walaupun dalam keadaan berwaspada, tiba-tibasahaja tayar motosikal masuk ke lopak yang dalam, bertakung dan berlumpur. Tenang, ia berjaya diatasi. Setelah tiga jam merasai nikmat dan penatnya bermain lumpur, meredah denai, meredah lopak, parit, sungai sehinggakan ada di antara kami 'Lompat Katak' (istilah kami untuk mereka yang terjatuh dari motosikal). Mujurnya tiada sebarang masalah teknikal dialami.

Ikan talapia merah yang ditangkap di kolam berhampiran.
Ikan talapia merah yang ditangkap di kolam berhampiran.
Tekoyong Bukit atau siput sedut yang diambil di sungai berhampiran.
Tekoyong Bukit atau siput sedut yang diambil di sungai berhampiran.

Kami sampai di satu pondok kecil milik penduduk di situ. Di kawasan sekitarnya ada sungai yang jernih, kolam ikan dan tumbuhan hutan. Kami berhenti rehat, dan bermulalah misi mencari bahan-bahan makanan untuk dimasak di air terjun hutan Bedup nanti.

Marida ditugaskan mencari ikan di kolam berhampiran. Mas ditugaskan mencari buluh dan rebung. Manakala yang lain-lain ditugaskan untuk mencari tekoyong bukit iaitu siput sedut jika di semenanjung. Manakala penulis dan Sarb, leka bermain dengan musang jinak yang bernama 'Mat' yang dipelihara oleh tuan pondok tersebut. Sangat jinak. Suka memanjat di belakang semua orang dan turut sama minum kopi yang disediakan oleh tuan pondok kepada kami. Jalal bersungguh-sungguh memujuk tuan punya musang untuk menjual 'kawan'nya itu. Tapi sayangnya 'Mat' bukan untuk dijual.

Daun dan buah sabong untuk campuran pansuh.
Daun dan buah sabong untuk campuran pansuh.
Daun empareh, sebagai pengganti ajinomoto.
Daun empareh, sebagai pengganti ajinomoto.

Ikan sudah ditangkap. Tekoyong bukit sudah dikutip dan dibungkus dengan daun. Buluh dan rebung juga sudah siap dipotong. Semua bekalan tersebut dimasukkan ke dalam bakul rotan dan digalas di bahu. Manakala bahan-bahan sampingan untuk penambah perisa masakan nanti akan dicari di sekitar air terjun Bukit Bedup.

Air terjun bukit Bedup.
Air terjun bukit Bedup.

Kami meneruskan perjalanan. Untuk sampai ke puncak bukit Bedup, memakan masa selama setengah jam lagi. Cantik, terpelihara dan tidak terusik. Itulah yang dapat diungkapkan apabila menjejakkan kaki di air terjun bukit Bedup. Airnya cukup jernih dan sejuk. Hanya segelintir penduduk tempatan sahaja yang mengetahui tempat ini. Ia adalah khazanah berharga yang wajib dipelihara dan dijaga.

Sdr. Asri bersama dengan musang jinak bernama Mat.
Sdr. Asri bersama dengan musang jinak bernama Mat.
Buah kandis diguna untuk menggantikan asam keping dalam masakan.
Buah kandis diguna untuk menggantikan asam keping dalam masakan.

Seperti biasa, Jalal memang pantang berjumpa dengan air. Terus berseluar pendek dan terjun berenang. Manakala yang lain mencari kayu api, Zam membersihkan ikan yang ditangkap, manakala Aziz mencari sumber hutan lain untuk perasa tambahan dalam masakan.

Mas membawa bekalan makanan yang digalas di bahu.
Mas membawa bekalan makanan yang digalas di bahu.

Ternyata kaum Bidayuh banyak mengunakan sumber asli dari hutan sebagai bahan masakan. Contohnya daun Empareh digunakan sebagai pengganti Ajinomoto, daun dan buah sabong sebagai sayur tambahan dalam masakan, daun dari pokok simpur pula digunakan untuk membalut nasi dan buluh digunakan sebagai periuk untuk memasak.

Tempat meletak makanan, senduk dan chockstick yang diperbuat daripada buluh.
Tempat meletak makanan, senduk dan chockstick yang diperbuat daripada buluh.
Membersihkan ikan Talapia yang ditangkap.
Membersihkan ikan Talapia yang ditangkap.

Untuk makan tengahari kami kali ini, kami akan memasak ikan pansuh, tekoyong rebung pansuh da ikan talapia bakar. Pansuh ini sebenarnya adalah makanan yang dimasak di dalam buluh. Mas dan Sarb menyalakan api untuk membakar pansuh. Aziz sibuk membuat bahan-bahan campuran untuk dimasukkan ke dalam pansuh. Manakala yang lain sama-sama menghidupkan api untuk bakar ikan. Bila buat sama-sama, kerja jadi cepat dan mudah.

Sambil menunggu makanan siap dimasak, ada yang mengambil kesempatan untuk turut serta menyejukkan diri, mandi di air terjun tersebut. Setelah sejam, semua makanan siap sedia untuk dimakan.

Bahan campuran diletakkan ke dalam buluh untuk dimasak.
Bahan campuran diletakkan ke dalam buluh untuk dimasak.
Siap dimasak. Ikan bakar, ikan pansuh dan tekoyong rebung pansuh.
Siap dimasak. Ikan bakar, ikan pansuh dan tekoyong rebung pansuh.
Nasi dibungkus menggunakan daun pokok simpur.
Nasi dibungkus menggunakan daun pokok simpur.

Kerana kelaparan, kami semua menikmati makan tengahari dengan penuh nikmat. Sehingga sunyi sepi, hanya terdengar bunyi kunyahan di mulut. Ternyata, dengan hanya berbekalkan sumber asli dari hutan, daun-daun yang dipetik dari hutan, keenakan rasa makanan kaum Bidayuh ini sangat enak dan tiada cacat cela dari segi rasa.

Rasanya cukup seperti masakan di sebuah restoran yang mempunyai bahan-bahan perisa yang serba lengkap. Setelah kekenyangan, ada yang sambung mandi dan yang lain membersihkan kawasan sekitar. Dalam pukul 4 petang, kami bersiap sedia untuk pulang.

Beramai-ramai menjamu selera.
Beramai-ramai menjamu selera.
Meredah hutan yang belum diterokai mencari jalan pintas untuk pulang.
Meredah hutan yang belum diterokai mencari jalan pintas untuk pulang.

Perjalanan balik rupanya lebih mencabar. Untuk mencari jalan pintas, kami meredah laluan baru yang tidak pernah dilalui oleh sesiapa pun. Berbekalkan parang dan berpandukan arah oleh Mas yang tahu mengenai selok belok di hutan ini, kami tekad meneruskan cabaran.

Dengan bukit yang tinggi, kesemua motosikal terpaksa meredah hutan di sekeliling dan terpaksa ditarik dengan tali bila tiba di kawasan berbukit. Di sini lah kami kagum dengan kudrat dan stamina luar biasa Mas. Orangnya kecil, tapi beliau bertenaga menarik kesemua lapan buah motosikal yang tersangkut di bawah.

Sebelum pulang, singgah mandi di kolam.
Sebelum pulang, singgah mandi di kolam.

Lebih kurang dua jam kemudian, kami ternampak jalan raya utama untuk kami berpatah balik ke Gedong iaitu di tempat pertemuan kami. Di situ, kami berjabat tangan dan pulang ke rumah masing-masing. Bagi penulis yang berasal dari semenanjung, ini satu pengalaman di Sarawak yang tidak dapat dilupakan. Banyak keunikan di negeri ini dan masih banyak tempat perlu diterokai kerana Sarawak mempunyai banyak suku kaum yang berlainan tata cara hidup dan keunikan masakan kaum itu sendiri. Tak kenal maka tak cinta. RR

- Mohd Asri

Isu Pada

Jun 2021

Popular

  • Warta Roda

    Boon Siew Honda (BSH) di Malaysia Autoshow 2024 - Bakal Lancar ADV350, CB750, XL750 dan NX500

  • Penunggang Motosikal Maut, Terlanggar Khinzir di Tengah Jalan

  • Warta Roda

    Ducati Monster Senna Edisi Terhad: Penghormatan Buat Ayrton Senna

  • Warta Roda

    Penunggang Motosikal Dihempap Pokok!

  • Warta Roda

    Blueshark Kembangkan Rangkaian Pengedar ke Seluruh Negara

Artikel berkaitan

Ride Santai Selepas Kerja

Mega Gathering CBR-RR Malaysia ke-10

Kawasaki Lady Bikers Group Ride Ke Phuket

'RE' Tour De Langkawi Bersama Otai Royal Enfield Malaysia

Malaysia International Classic Bikes Festival 2023

Ride Elak Kepanasan Mentari

Otai Royal Enfield Malaysia Jelajah Pulau Pangkor

Otai Riders Anjur Konvoi Ke Kedah & Perlis

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Blueshark Kembangkan Rangkaian Pengedar ke Seluruh Negara

Blueshark, anak syarikat perintis Sharkgulf Technologies Group dan pengeluar skuter elektrik pintar di dunia iaitu Blueshark R1, mengumumkan pengembangan rangkaian pengedarnya di seluruh Malaysia.

Warta Roda

Kemalangan Motosikal Dengan Pacuan 4 Roda, Penuntut IPT Maut

Seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di sini maut selepas motosikal ditunggang terbabit nahas dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Semambu.

Warta Roda

'We Ride As One' 2024: Ducati Menggegar Bandar!

Tahun 2024 merupakan penganjuran acara 'We Ride As One' untuk kali ketiga yang dikhususkan untuk para pemilik Ducati.

Model Baru

Royal Enfield Lancarkan Model Baru Bullet 350. Harga asas dari RM23,500

Royal Enfield Malaysia melancarkan model terbaru iaitu Bullet 350 yang ditawarkan pada harga dari RM23,500.