Isu Terkini

Februari 2024

Kembara / 15 Julai 2021

Pengembaraan Di Norway, Bagaikan Syurga Dunia Keindahan Yang Mempersonakan!

Norway merupakan sebuah negara yang boleh saya katakan umpama syurga dunia dan ini bukan sahaja disebabkan keindahan. Dengan rizab minyak dan populasi penduduk yang rendah (lima juta orang) sahaja, ia boleh dikatakan sebuah negara yang benar-benar kaya di dunia ini. Ketika banyak negara di Eropah sedang bergelut dengan masalah ekonomi, Norway telah membuat pelaburan dengan bijak menggunakan rizab minyak dan gas memberikan pulangan yang sangat tinggi.

Selain kebijaksanaan, kekayaan dan keindahan, Norway juga dikenali sebagai negara yang menghasilkan lukisan terkenal 'The Scream', orang Vikings, glasier, perikanan, makhluk trolls dan keunikan matahari di tengah malam. Jalan-jalan di sini sangat baik, diapit pula suasana dan pemandangan alam yang sukar digambarkan dengan kata-kata – sememangnya untuk menikmati keindahan ini memerlukan masa yang cukup lama.

Saya berkesempatan berada di negara indah ini selama seminggu selepas menerima pelawaan sahabat baik saya, Svein Berli yang sudah sekian lama memujuk. Dia juga merupakan seorang wartawan permotoran – memang serasi. Saya mengambil masa lebih kurang seminggu untuk membuat keputusan bermotosikal di sana . Saya juga amat yakin ia adalah suatu pengalaman hebat lebih-lebih lagi melihat akan pelbagai jenis bentuk glasier dengan air terjunnya yang jatuh dari lekukan batu-batu yang memberikan suatu perasaan dramatik ketika melihatnya di depan mata mahu pun di dalam gambar.

Kerana kesuntukan masa, saya terpaksa terbang dari UK untuk bertemu dengan Svein yang sudah sedia menyewa sebuah BMW R1200RT siap berkotak barang di sisi kiri dan kanan untuk saya. Motor ini disewa daripada rakannya Owe Rovik, seorang pengedar motosikal BMW terbesar di Norway.

Kami memulakan perjalanan di Stavanger, salah sebuah bandar penting di Norway dan juga pusat kepada industri minyak di negara ini. Bangunan-bangunan di sini menunjukkan betapa mewah kehidupan masyarakatnya yang kebanyakan mendapat hasil daripada Lautan Atlantik. Apabila menunggang BMW, ingin saya kongsikan bahawa carta jenama motosikal paling laris dijual di sini ialah BMW (No.1), Harley Davidson (No.2) diikuti oleh Yamaha di tempat ketiga.

Dari Stavanger, kami bergerak sejauh 20 kilometer untuk singgah di Sandnes yang dahulunya pernah menjadi tempat lahir satu-satunya motosikal asli keluaran Norway iaitu Tempo. Ia diasaskan pada tahun 1931 tetapi menemui jalan buntu pada tahun 1983 selepas jentera dari Jepun menguasai pasaran. Mesin Tempo ini dikuasakan oleh enjin dari pelbagai jenama seperti Villiers, CZ dan Sachs.

Kami juga berhenti di Kronen Gaard Hotel yang dibina pada tahun 1898 oleh seorang pembalak bernama Gabriel Block. Deretan pokok-pokok di sini memberikan pemandangan yang cukup hebat terutama di musim luruh. Bercakap mengenai musim, bulan Jun adalah masa terbaik buat para pelancong untuk melawat Norway – waktu ini pemandangan di sini sangat mengagumkan.

Bryggen, gudang diperbuat daripada kayu menerima pengiktirafan sebagai tapak warisan dunia.
Bryggen, gudang diperbuat daripada kayu menerima pengiktirafan sebagai tapak warisan dunia.


Kalau berkunjung ke sini pada bulan Ogos, kebanyakan harinya hujan manakala pada bulan Julai pula lalu lintas darat dan air sering sesak kerana ia adalah bulan kemerdekaan – kadang-kadang tu nak menyeberangi kawasan kecil dengan menaiki feri mengambil masa sehingga dua jam. Bagi mereka yang sukakan cuaca sejuk, suhu menurun bermula pada bulan September.

Ketika berada di atas motosikal, saya sempat melihat dua tiga buah kereta elektrik mewah dari US, Tesla dan sejak hari itu saya mula mengira. Selepas lima hari perjalanan, tidak kurang daripada 137 buah kereta itu dapat saya kesan berada di Norway. Hebat...dan jumlah kenderaan ini menunjukkan peningkatan kenderaan elektrik dan hybrid yang berjaya dijual.

Selain mendapat subsidi yang tinggi daripada pihak kerajaan untuk pembelian kenderaan elektrik, pemilik juga tidak perlu membayar cukai jalan, tidak perlu bayar tol, tiada bayaran untuk mengecas dan boleh menggunakan hampir kesemua laluan jalan termasuk laluan bas. Rasa agak bersalah kalau datang ke sebuah stesen minyak di kawasan-kawasan luar bandar tanpa mengisi petrol sebaliknya berjalan dengan santai untuk singgah membeli makan tengahari.

Beberapa buah sungai yang melata dari kawasan pergunungan memberikan para penduduk di sini menikmati kadar penggunaan elektrik yang cukup murah menerusi sistem hidroelektrik yang cemerlang sekali. Dalam keseronokan menunggang di sini, kami perlu mematuhi tahap kelajuan yang agak rendah iaitu 110km/j walaupun di lebuhraya dengan empat laluan. Kalau berada di kawasan dua laluan, kelajuannya menurun kepada 80km/j sahaja. Hasil daripada sistem undang-undang ini, Norway merupakan negara membangun yang mempunyai kadar kemalangan yang paling rendah. Lagi pun...hanya menunggang dengan perlahan baru kita dapat menikmati setiap pemandangan yang berada di depan mata.

Apa yang sukar untuk saya membiasakan diri ialah ketiadaan bar di bandar-bandar besar seperti Oslo dan Bergen, kelab malam atau pub yang beroperasi di waktu malam. Hampir seluruh kawasan kampung, perumahan dan bandar bersaiz sederhana tidak beroperasi bermula jam 4.30 petang – lebih kurang semasa para pekerja mula pulang ke rumah.

Kalau ingin berhenti untuk makan tengahari di kafe tepi jalan memang agak sukar untuk dijumpai kecuali di stesen minyak. Jika bernasib baik, anda akan jumpa juga dengan kafe tetapi kebanyakannya akan tutup sekitar jam 3.00 petang dan minuman beralkohol juga sukar didapati di sini. Ini mungkin kerana harganya yang mahal, lebih kurang Euro7.50 untuk segelas 0.40 liter untuk beer buatan tempatan, Tou. Norway memang tidak menggalakkan minuman ini dan hukuman yang cukup berat menanti jika didapati seseorang itu menunggang atau memandu dalam pengaruh alkohol. Lebih baik jangan cuba berani mengambil risiko.

Rumah asli berusia 400 tahun di Muzium Folk Bygland.
Rumah asli berusia 400 tahun di Muzium Folk Bygland.

Selepas berehat sebentar di hotel, kami pun keluar ke bandar yang mempunyai jumlah penduduk seramai 1,200 orang untuk mencari makanan – memang tiada kedai yang buka. Kami meneruskan perjalanan dan nasib baik kami ternampak sebuah bar kecil di kawasan loading bay sebuah syarikat pengangkutan. Hanya air minuman sahaja, tiada makanan. Terpaksalah pulang semula ke hotel tetapi sekali lagi nasib kami baik apabila dapat menikmati ikan yang baru ditangkap berserta segelas jus epal... kenyang.

Kekurangan kafe di kawasan ini menyebabkan masyarakat setempat lebih gemar membawa makanan dan minuman sendiri jika berpiknik atau melancong ke tempat-tempat menarik. Betul tu...beli 'stok' banyak-banyak baru mulakan perjalanan, selamat!

Kami menuju ke utara dari Stavanger dengan menggunakan lebuhraya E9 menghala ke Bergen dan sepanjang jalan ini kami dapat melihat pemandangan jalanraya yang menghubungkan pulau-pulau di atas Lautan Atlantik yang cukup popular dengan gelaran Norway Atlantic Road dan paling menarik tentulah terowong-terowong yang memang banyak di Norway. Bergen bererti pergunungan atau gunung-gunung. Sesiapa yang datang menunggang di sini dinasihatkan agar tidak mengenakan topi keledar bercermin gelap kerana kita akan melalui berdozen terowong, jambatan dan feri setiap hari.

Sebenarnya untuk menaiki kenderaan laut di sini tidak memerlukan sebarang tempahan melainkan anda ingin berada di fjord-fjord. Info: Fjord merupakan bentuk mukabumi yang terjadi daripada fenomena pergerakan glasier bersaiz mega jutaan tahun yang lalu. Ia adalah lembah di dalam lautan yang berbentuk 'U' dan selalunya lembah-lembah ini dikelilingi oleh gunung-gunung yang sangat indah. Ya...untuk melihat fjord-fjord di Norway memang perlu membuat tempahan atau anda akan kecewa kerana kapal sentiasa penuh dengan pelancong.

Zeva Jelnikar & anaknya, Anya.
Zeva Jelnikar & anaknya, Anya.

Langit semakin mendung apabila kami menghampiri Bergen dan akhirnya hujan...tidak mengejutkan kerana di Norway hujan turun hampir 250 hari dalam setahun. Perkara wajib yang perlu kita lakukan jika ke Bergen ialah dengan menaiki Fløbanen (lebih kurang seperti kereta kabel di Pulau Pinang). Apabila sampai di puncak gunung, kita dapat melihat dengan jelas bandar-bandar di sini yang dikelilingi oleh lautan yang seluas mata memandang. Cukup hebat!

Di bawah gunung ini terletaknya Radisson Blu Royal Hotel yang terletak bersebelahan dengan 17 buah gudang kayu digelar Bryggen yang menerima pengiktirafan sebagai lokasi World Heritage Site. Bangunan bersejarah ini telah ditukarkan kepada tempat para pelancong mendapatkan cenderahati untuk disimpan sebagai kenangan – paling popular ialah baju sejuknya. Apa pun, jangan terlepas singgah di Baker Brun untuk merasai betapa sedapnya roti kayu manis yang telah dimasak dengan menggunakan resepi yang berusia ratusan tahun lamanya.

Tarikan utama di pelabuhan ini ialah Statsraad Lehmkuhl – sebuah kapal layar lama hasil tangan orang Jerman yang dibina pada tahun 1914. Walaupun kapal-kapal layar nampak tua, ia sangat gagah sehingga masih mampu menyertai perlumbaan Tall Ship yang diadakan setiap tahun.

Di kawasan ini juga terdapat beberapa kedai yang menjual kraftangan dan barang kemas yang diperbuat daripada perak yang boleh didapati di lombong Kongsberg yang terletak dalam perjalanan menuju ke Oslo. Salah seorang pengusaha itu ialah Zeva Jelnikar, bekas warganegara Slovenia yang kini sedang menurunkan segala ilmu pada anaknya, Anya.

“Norway adalah sebuah negara konservatif. Segalanya di sini perlu dibuat dengan sempurna, tidak boleh main-main kerana orang di sini semuanya kaya-kaya belaka dan mampu membeli hampir segalanya. Memang tiada kemiskinan di negara ini kerana adanya program sosial yang cukup aktif. Ia tempat yang cukup aman dan sempurna terutamanya bagi mereka yang ingin membesarkan anak-anak,” kata Zeva.

Memang segalanya mahal belaka di sini. Harga untuk satu tin coke dengan ayam goreng di stesen petrol atau di atas feri boleh mencecah Euro17. Bagi sebuah negara yang berasaskan bahan api sebagai sumber ekonomi, kita akan merasakan harga petrol di sini murah tetapi hakikatnya ia tidak begitu. Ini kerana pihak kerajaan mengenakan cukai yang tinggi demi penjagaan alam sekitar – satu lagi sebab mengapa Tesla popular di sini. Purata pendapatan penduduk Norway ialah sekitar Euro50,000 setahun dengan cukai pendapatan sekitar 23%.

Keesokan harinya kami berkunjung ke pasar ikan Fisketorget, saja..nak tengok hasil tangkapan para nelayan malam tadi dan kembali memanjat motosikal untuk melihat keindahan pemandangan dari Hardangerfjord, sebuah lokasi pergunungan yang 'ajaib'. Berada di hujung tebing memberikan perasaan bagaikan sedang terbang di udara.

Walaupun terdapat pelbagai jenis dan bentuk air terjun di sini, kita pastinya akan 'ternganga' dan bagai orang kerdil apabila melihat Steinsdalsfossen, air terjun yang setinggi 46 meter. Kita boleh berjalan melalui air terjun ini, tapi jangan pula merungut apabila dipercik oleh air-air yang sejuk membeku.

Statsraad Lehmkuhl - sebuah kapal layar lama.
Statsraad Lehmkuhl - sebuah kapal layar lama.

Kami kemudiannya mengambil feri untuk ke Utne dan menyambung perjalanan di Soerfjord. Kami dapat melihat 40 buah trak vintaj yang mempunyai warna merah dengan rekacorak grafik seperti api. Kebanyakannya daripada model-model tahun 60an hingga 70an – seperti Volvo, Scania dan DAF Euro-Tractor. Wow...saya sangat sukakannya. Memang betul-betul custom!

Apabila sampai sahaja di Sauda, kami ternampak sebuah litar motocross dan berkenalan dengan keluarga Solberg yang menunggang mesin KTM, rupa-rupanya hari ini ayah mereka sedang bercuti. Empat orang anaknya yang berumur dari enam hingga 12 tahun asyik menguji kehandalan masing-masing manakala emak mereka pula umpama pegawai penjaga bendera. Memang seronok!

“Saya tidak menunggang tetapi inilah masa yang sesuai buat anak-anak saya mempertingkatkan skil masing-masing kerana minggu hadapan kami akan adakan perlumbaan sesama penduduk kawasan rumah saya,” kata Bjorn.

Sukan permotoran sedang berkembang dengan pesatnya di Norway terutamanya mesin motocross tetapi buat masa ini cuma terdapat tiga buah litar sahaja dalam negara ini iaitu dua di Oslo manakala satu lagi di sebelah utara iaitu Arctic Circle Raceway.

Kami bermalam di Ryfylke Fjordhotel di Sand. Keesokan paginya, kami dihidangkan sarapan ala buffet yang cukup lazat sekali – bagus juga, tak perlu lagi keluarkan duit yang banyak untuk membeli makanan luar. Perjalanan diteruskan menuju ke Forsand untuk menaiki feri panjang ke Lysefjord. Pemandangannya sekali lagi saya katakan tanpa jemu ianya sungguh mempesonakan!

Lysebotten tawarkan tunggangan di kawasan yang memerlukan kita mendaki dan jalannya di sini pula berselekoh. Kami berdepan dengan 35 selekoh 'hairpin' termasuk terowong berbentuk bulat yang agak menakutkan. Terowong ini beroperasi pada tahun 1950an lalu, memang gelap, bahaya dan sangat suram. Apabila keluar daripada terowong itu, saya cukup gembira kerana sepanjang perjalanan tidak berdepan dengan kenderaan yang datang dari hadapan.

Anak-anak Solberg.
Anak-anak Solberg.

Dari terowong yang menakutkan itu, kami tiba di laluan yang cukup terkenal iaitu Borsteinen dan Suleskar yang memberi peluang kita untuk menunggang di tengah-tengah dinding ais yang setinggi sepuluh meter. Di kawasan ini juga terdapat laluan yang hanya dibuka tiga minggu sebelum dan selepas kumpulan-kumpulan rusa (reindeer) melintasinya, ini mungkin berbahaya jika kenderaan masih dibenarkan melaluinya.

Kelajuan kemudiannya dapat dipertingkatkan di sepanjang perjalanan dari Setesdal ke Hotel Revnes yang terletak bersebelahan dengan Byglandfjord. Hotel ini memiliki kapal wap kayu api asli yang dibuat pada tahun 1866. SS Bjoren ini bukan sahaja masih cantik dan utuh tetapi juga boleh beroperasi dengan hebat seperti yang pernah disediakan.

Kami ingin kembali ke Stavanger dengan menggunakan jalan Kristiansand dan laluan tepi pantai, tapi sebelum itu kami singgah sebentar di Bygland Folk Museum yang menempatkan rumah-rumah asli di Norway sejak 400 tahun lalu. Masih banyak rumah di negara ini dibuat menggunakan kayu yang cukup berkualiti tinggi. Saya singgah di tempat memotong balak-balak dan bau umpama minyak wangian cedar yang betul-betul memikat. Berada di muzium ini memang bagus kerana banyak ilmu dapat dipelajari terutamanya mengenai pembinaan rumah dulu dan kini.

Perjalanan terhenti lagi di Jossingfjord – tapak peninggalan Perang Dunia II (WW2), tempat berlakunya insiden Altmark. Pada tahun 1940, kapal perang pihak German yang diberi nama Altmark sedang dalam perjalanan pulang ke tanahairnya dengan membawa seramai 299 tahanan perang yang terdiri daripada askar British. Tanpa sedar, mereka telah melanggar undang-undang peperangan apabila menggunakan perairan Norway tetapi ketika itu hubungan antara Norway dan Hitler masih baik.

Selepas dipintas oleh kapal pemusnah British, HMS Cossack, Altmark cuba melarikan diri tetapi usaha itu gagal. Cossack dapat menawan kapal itu seterusnya menyelamatkan tawanan. Tindakan ini menimbulkan kemarahan Hitler yang akhirnya membuat keputusan untuk menakluk Norway pada April 1940. Ramai tentera Norway yang terkorban dalam peperangan ini dan sememangnya peperangan hanya memberi kerugian dan kerosakan. Sisa dan baki peperangan tersebut masih dapat dilihat dengan cukup jelas di sini.

Ryfylke Fjordhotel di Sand.
Ryfylke Fjordhotel di Sand.

Di sini juga terletaknya rumah kayu lama yang dibina pada tahun 1800 yang digelar Helleren. Ia merupakan rumah kayu lama, terletak di bawah formasi batu yang cukup unik. Selain daripada itu, Norway akan terus dikaitkan dengan sektor agrikultur, ikan-ikan segar dan pembinaan kapal-kapal yang memerlukan bahan mentah seperti kayu balak dan aluminium. Apa pun...saya ingin ucapkan lagi dan lagi dan lagi...ia adalah sebuah negara yang sungguh cantik. Itu sudah mencukupi. RR

Oleh : Alan Cathart
Foto : Svein Berli

Isu Pada

April 2015

Popular

  • Model Baru

    Royal Enfield Lancarkan Model Baru Bullet 350. Harga asas dari RM23,500

  • Warta Roda

    Tiga Warna Baru Yamaha Y15ZR

  • Warta Roda

    Yamaha Tenere Off-Road Experience - Beri Pendedahan & Latihan Laluan Lasak

  • Model Baru

    Lambretta Kembali Ke Pasaran Malaysia. Bakal lancarkan model X250 dan G350 tidak lama lagi...

  • Warta Produk

    GIVI ASIA Lancarkan Kotak Simpanan Baru “THE MATTERHORN"

Artikel berkaitan

Sabah 360 Ride 1,800KM Loop (Bahagian II)

Ride Berdua ke Siam

Sabah 360 Ride 1,800km Loop (Bahagian 1)

Ride Ihya Ramadhan TM Bikers Ke Gua Musang, Kelantan

Kembara Epik ke Lebuhraya Karakoram

Ride & Camp - Round 360 Sabah

Kembara Royal Alloy GP180 ke Betong

Konvoi Honda Klasik 1000KM Dari Kuala Terengganu Ke Hatyai

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Padu! Hakim Danish Raih Podium di Sepanyol

Memang padu! Tunggangan yang penuh bertenaga dari pelumba negara, Hakim Danish dalam Perlumbaan 2 saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup semalam hampir benar memberikannya takhta juara.

Dari Litar

Pusingan Pembuka Tirai Red Bull MotoGP Rookies Cup, Hakim Danish Sudah Bersedia

Pelumba negara, Hakim Danish sudah bersiap sedia untuk memberi cabaran dalam pusingan pembuka tirai Red Bull MotoGP Rookies Cup di Jerez.

Dari Litar

Bimota Bakal Kembali Dalam WorldSBK 2025

Pengeluar jenama motosikal ikonik Itali, Bimota bakal kembali ke pentas perlumbaan dunia pada tahun 2025 dengan menyertai Kejuaran Dunia Superbike (WorldSBK).

Model Baru

Honda CB1300 SuperFour SP & Super Bol D'or SP 2024 - Tetap Dengan Gaya Retro!

Untuk tahun 2024, Honda Japan mengembalikan nostalgia dengan melancarkan Honda CB1300 SuperFour (SF) dan Super Bol D'Or yang memiliki rupa paras cukup anggun dan spesifikasi enjin yang mantap.