Isu Terkini

Oktober 2024

Kembara / 14 Januari 2025

900 Kilometer Dengan Suzuki Hayabusa

Ini adalah pengakuan jujur... model panjang dan besar dari Suzuki iaitu Hayabusa memang antara motosikal idaman aku dari remaja lagi. Untuk menggegarkan pasaran motosikal dunia, Suzuki perlu hasilkan sebuah jentera yang mempunyai rekabentuk dan spesifikasi enjin cukup padu yang sukar dicabar oleh para pengeluar lain, betul tak? Tahun 1999 Suzuki Hayabusa dikeluarkan dan serta merta ia meraih gelaran Motosikal Terpantas Dunia dengan kelajuan maksimum 312km/j.

Tahu tak apa maksud Hayabusa? Ia adalah nama bagi Burung Helang Peregrine atau Falko Belalang yang terkenal sebagai pemangsa efisien kerana mempunyai badan aerodinamik untuk pergerakan yang pantas dan stabil.

Melihatnya di majalah pun dah buat kaki menggeletar kerana bila sebut sahaja Hayabusa, 100% kita terbayang rekaan bodynya yang besar dan sudah pasti betapa laju motor tu boleh 'terbang'. Apabila mempunyai sedikit keupayaan (RM), dapat juga membeli 'videotape' keluaran Fast Bikes Magazine yang membuat perbandingan di antara Honda BlackBird, Yamaha R1, Kawasaki ZZR1100 dan Suzuki Hayabusa. Legend betul video tu....

Dari 'kisah & review' itulah saya betul-betul jatuh hati dengan model Suzuki ini. Kali pertama saya menunggang Hayabusa ialah pada tahun 2007 atau 2008 milik dua orang kenalan, pangkat 'abang' di Batu Caves. Masa tu saya menunggang Kawasaki ZX7R dan Hayabusa adalah segala-galanya.

Hayabusa ada banyak versi... banyak peningkatan, sesuai dengan peredaran zaman. Yes... walaupun namanya GAH, Hayabusa tetap perlu seiring dengan peredaran masa atau Suzuki akan ketinggalan. Antara pencabar terdekatnya sekarang ini ialah Kawasaki ZX14 dan Kawasaki Ninja H2. Dari 'top speed' pula, mungkin tak Ducati Panigale V4 dan BMW S1000RR boleh masuk senarai?

Terbaru, saya akhirnya sekali lagi mendapat peluang untuk menunggang jentera idaman. Perasaan duduk di atas pelananya memang berbeza berbanding menunggang ujinya dulu. Perasaan lebih santai... lebih relaks. Macam dapat jumpa 'crush' lama rasanya.

Hayabusa yang saya tunggang adalah model dua tahun yang lalu. Bila tengok dari dekat.... rekabentuknya tak pernah berikan rasa jemu. Tidak berapa jauh daripada ibu pejabat Suzuki, saya berhenti lagi. Hanya untuk melihat sebuah jentera yang cukup ikonik berada di depan mata. Seperti yang dikatakan tadi, sukar untuk diucap betapa specialnya setiap detik bersama jentera pujaan.

Ramai kawan-kawan katakan sukar untuk mengendalikannya di dalam kesibukan kota, saya tidak pula rasa sedemikian – mungkin jawapan ini agak bias memandangkan saya peminat motosikal 'Helang' ini? Model ini mempunyai geometri tepat khususnya bagi penunggang berketinggian seperti saya. Nak berhenti kat mana pun tak ada masalah. Kaki kemas memijak permukaan jalan – tak susah langsung!

Minat untuk mengembara dengan Hayabusa sudah lama dan apabila harinya tiba, hari itu cukup sempurna. Hayabusa tak cantik langsung kalau dipasang box, maka beg pakaian saya ikat (boleh pakai jaring, boleh pakai bungee cord) pada pelana pembonceng.

Puchong – Batu Caves – BHP Karak, sekejap je dah sampai. Memang sedap 'gile' memecut dengan motor ini dan yang paling syiok tu, semua big bike bagi kita jalan dulu. Biasalah.... KING kan!

Puas atas lebuhraya, saya 'kona' masuk jalan kampung. Lincah dan tangkas betul meratah setiap selekoh di depan mata. Saya tak bawa laju... santai saja kerana benar-benar nak puas bawa Hayabusa. Rugi pula rasanya tak singgah di Benta waktu musim durian. Takpelah... (saya pujuk diri) sambil mata melilau mencari tempat hilangkan kering tekak.

Macam biasa, pergilah ke mana saja.... Hayabusa ini menjadi perhatian, kegilaan anak muda terutamanya lelaki. Hampir setiap peminat motosikal kenal dengan motor ini. Tak kira umur... tak kira bangsa. Lepas makan ikan patin di Temerloh, saya dan 'member baik' terus ke Marang untuk bermalam. Selepas hampir 400 kilometer, Episod 1 perjalanan saya pun selesai.

Dalam hati nak teruskan perjalanan sampai ke Kuala Terengganu tetapi cuti pula tak panjang. Kalau dapat naik Hayabusa ni di tepian pantai memang 'ummmpph' betul. Tak apa lah, tak ada rezeki kali ini. Saya buat keputusan ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah. Memang cantik dan menarik cuma saya sampai terlalu awal, gajah pun belum sarapan lagi rasanya tapi sempat jugalah berbual dengan beberapa kakitangan di sana.

Maka.... saya ke Karak melalui Jalan Bolok – Mempaga. Sebagai perkongsian, saya banyak guna Mod B di sepanjang perjalanan, Mod A sesekali di atas lebuhraya, Mod C tak pakai langsung. Anda semua akan terkejut (mungkin tidak setuju) jika saya katakan betapa selesanya pelana dan posisi tunggangan yang sesuai buat saya menunggang. Sempat juga singgah 'pekena' makanan ringan beberapa kilometer sebelum pekan Karak.

Hari dah makin petang... saya masuk lebuhraya, pulas enjin 1300cc ini, macam peluru dia terbang! Itu yang paling 'padu', dari 30km/j – 230km/j hanya sekelip mata. Tau-tau dah sampai. Kalau nak tutup cerita, saya boleh je teruskan perjalanan sampai Gombak... ambil Penchala Link untuk ke Puchong tapi sayang benar nak tinggalkan 'teman' baik ini.
Saya ikutkan perasaan hati untuk kembali ke laluan biasa. “Biar jauh... biar lambat... janji aku puas dengannya!”

Lebuhraya... dalam bandar... dalam kampung... tepi kebun... main 'corner'.... akhirnya semua dah rasa. Ya... tak sampai 1,000 kilometer tetapi saya dapat jugalah simpan memori dengan motosikal idaman sampai bila-bila. Setiap kali aku matikan enjin... aku akan tengok Hayabusa puas-puas. Mungkin ada yang faham.. mungkin ada juga yang tak faham perasaan sebegitu. Mana tahu.... ada rezeki boleh sambar 'sebijik' suatu hari nanti! Amin.

Untuk maklumat yang lebih terperinci mengenai Hayabusa yang saya naiki ini, sila dapatkan majalah RR keluaran bulan Mei 2022. RR

Popular

  • Warta Roda

    WMOTO Griffin 205 Sudah Berada di Pusat Pengedar Mforce Smartshop

  • Warta Roda

    Art of Speed 2026: 15 Tahun Menyatukan Jiwa Kustom

  • Warta Roda

    Honda ADV160 Edisi Terhad Versi Spider-Man Dilancarkan - Bermula RM14,149

  • Berita Kelab

    Kembara Road Rider Crew Taiping 3.0 Sempena Ulang Tahun Kelab ke-4

  • Dari Litar

    Hakim Danish Kutip Mata Berharga Walaupun Berdepan Cabaran di Sachsenring

Artikel berkaitan

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Dari Malaysia ke London, Bing Moto Jelajah 26 Buah Negara

Ride Santai Bersama Yamaha XMAX 250

BATAM RIDE 2025

TM Bikers Ride ke Philippines 2025

Kembara RSX-RS Crew Taiping 2025 – Menjelajah Keindahan Pahang

Versys Explore The Unexplored (ETU) 2025: Bukan Sekadar 'Ride & Camp'!

Loop 700km Kembara Jakarta Bandung Indonesia

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Art of Speed 2026: 15 Tahun Menyatukan Jiwa Kustom

Selama 15 tahun, festival ini berkembang daripada sebuah perhimpunan kecil komuniti kustom kepada acara gaya hidup yang menjadi tumpuan peminat automotif bukan sahaja di Malaysia, malah dari seluruh Asia.

Warta Roda

Advenduro-X Meriahkan Moto Test Fest 2026

Advenduro-X merupakan perlumbaan sukan permotoran lasak yang mendapat pengiktirafan daripada Motorsports Association of Malaysia (MAM).

Dari Litar

Penantian 10 tahun Malaysia, Hakim Danish Cipta Sejarah Baru

Hakim Danish Ramli melakar sejarah apabila meraih kemenangan sulungnya dalam Kejuaraan Dunia Moto3 selepas muncul juara di GP  Republik Czech.

Dari Litar

Ai Ogura Terpantas di Sesi Latihan Pertama

Ai Ogura memulakan kempen GP Republik Czech dengan cemerlang apabila mencatat masa terpantas pada sesi hari Jumaat.