Isu Terkini

Disember 2023

Kembara / 10 Disember 2022

Kembara Royal Alloy GP180 ke Betong

Hari Malaysia yang lalu, jam 3.00 petang, 16 September 2022, pengembaraan saya ditemani seorang rakan sekerja lama di Bank of Commerce, Johor Bahru. Kami sama-sama membeli motosikal jenis yang sama iaitu sebuah Kawasaki KR-R150 suatu masa dahulu.

Setelah masing-masing 'terpisah' oleh sebab kesibukan kerja dan haluan masing-masing, namun begitu minat bermotosikal tidak pernah padam dari hati. Dari motosikal kecil hinggalah berkapasiti melebihi 1000cc telah saya miliki, kini adalah masanya untuk memiliki jentera automatik yang kecil dan lincah. Maklumlah usia dah meningkat tetapi sebenarnya atas sebab kesihatan.

Kami bertolak dengan disaksikan oleh isteri dan anak perempuan saya yang juga peminat jentera dua roda. Cuaca amat mencabar sepanjang perjalanan. Sekejap hujan, sekejap panas, disambung pula dengan hujan renyai dan kemudiannya hujan lebat membasahi badan tetapi hanya seketika. Tibanya di R&R Tapah, kami berhenti untuk mengisi minyak. Pada ketika itu cuaca sudah agak terik, panas petang.

Seterusnya kami berhenti seketika selepas tol di Kuala Kangsar. Jam menunjukkan hampir 6.30 petang. Maka akan bermulalah jalan yang digemari oleh para bikers iaitu jalan kampung dan berliku-liku. Lebuhraya bosan kata semua bikers.

Jalan lurus, tiada cabaran. Namun di kejauhan, langit sangat gelap lagi menakutkan sudah kelihatan. Kami tetap teruskan perjalanan. Ya... seperti yang dijangka, hujan lebat menjadi teman kami sehingga sampai ke Grik. Dalam keadaan basah kuyup, kami terus makan di restoran terdekat yang kami nampak di pekan itu.

Kami bermalam di sebuah homestay di sini yang telah ditempah beberapa minggu lebih awal oleh rakan saya, Rahmat atau Papa Mat. Rumah tersebut amat luas, boleh memuatkan 8 hingga 9 orang penghuni oleh yang demikian banyak pilihan untuk bilik.

Keesokan harinya, ketika jam sudah hampir 7.00 pagi, kami mulakan perjalanan ke Thailand. Teruja sangat dibuatnya setelah sekian lama tidak dapat ke luar negara. Bertahun lamanya… Hahaha!

Setibanya di Pengkalan Hulu, saya terperanjat kerana stesyen minyak Petronas tutup atas sebab kerja-kerja baik pulih. Biasanya itulah satu-satunya stesyen minyak di pekan tersebut. Mujur ada papan tanda menunjukkan stesyen Petron 500 meter ke hadapan. Lega!

Saya terpaksa singgah di Balai Polis Ayer Panas untuk mendapatkan cop geran fotostat saya. Maklumlah beli Royal Alloy bayaran ansuran dengan Chear Motor. Rakan saya tiada masalah sebab dia membawa geran original.

Kemasukkan kami di sempadan Thailand amat mudah disebabkan kami telah buat persediaan terlebih awal untuk segala dokumen termasuk insurans dari seorang ejen insurans beberapa minggu sebelum kami bertolak. Acara bergambar di sempadan tidak dilupakan. Itu kemestian!

Setibanya di pekan Betong, saya membawa rakan saya yang pertama kali ke bumi Thailand terus ke kedai RS Boutique Collection, Betong Route 410. Kami merupakan pelanggan pertama mereka pada pagi itu. Dapatlah kami menikmati diskaun tambahan. Terima kasih ye!

Selesai check-in, misi penting seterusnya ialah mencari sarapan pagi. Saya membawa rakan saya ke tempat yang biasa saya pergi, malangnya roti canai sudah habis padahal jam baru menunjukkan pukul 8.00 pagi waktu tempatan. Tidak mengapa, macam-macam menu lagi ada di situ termasuklah kegemaran saya iaitu telur separuh masak yang dihidangkan di dalam gelas. Mudah untuk diminum terus.

Dari situ, kami menyambung perjalanan menuju ke Ai Yerweng atau popular dengan nama Awan Nano - semua orang Malaysia gelarkannya. Kami bukanlah teruja benar nak tengok awan atau matahari terbit tetapi sekadar hendak recee jalan ke sana supaya keesokan pagi dalam keadaan suasana yang gelap, kami tidak sesat. Dulu saya pernah pergi tetapi selepas 3 tahun, dikhuatiri jalan sudah berbeza.

Dalam perjalanan, kami berhenti di banyak tempat menarik untuk mengambil gambar kenangan. Hari itu, saya bagaikan seorang pemandu pelancong untuk rakan saya. Jam 12.00 tengahari waktu tempatan, kami pun memasuki bilik hotel. Penat namun muka ceria tersenyum memanjang. Apa taknya, makan semuanya sedap, membeli-belah pun murah - siap beli pelbagai rempah kari Siam dan juga ubat gigi yang tidak terdapat di Malaysia selain buah mata kucing kering dan kacang gajus.

Pada malamnya, kami meronda-ronda sekeliling pekan dengan skuter kami. Pemandangan sungguh indah dengan lampu berwarna-warni di sana sini. Pasar malam juga amat meriah dengan kedai-kedai hiburan. Maklumlah Sabtu malam Ahad.

Ahad 18 September - awal-awal pagi kami dah bergerak ke Ai Yerweng. Suasana masih gelap namun kami memang dah bersedia. Jentera masing-masing dipasang dengan spotlight, baru cerah! Dalam perjalanan kami dipintas oleh sekumpulan bikers dari Singapura sebanyak 20 buah motosikal yang kebanyakannya menunggang BMW GS.

Setibanya di Ai Yerweng, semua kenderaan persendirian terpaksa ditinggalkan di lot parkir dan hanya kenderaan sewa tuk-tuk dibenarkan membawa pelancong ke Skywalk. Ini sesuatu yang baru. Kami pilih untuk menaiki tuk-tuk. Cuaca amat sejuk sekali dan berkabus.

Ketika tiba di puncak, terkejut kami apabila melihat sudah ada ramai orang beratur untuk naik ke Skywalk. Selain pelancong asing, terdapat juga para pelancong tempatan. Disebabkan kesesakan, kami memilih untuk tidak naik ke Skywalk. Mungkin alasan untuk kami datang lagi nanti.

Secara tiba-tiba hujan turun. Semakin ditunggu, semakin lebat. Angin juga semakin kuat. Mujur ada sebuah kafe di atas sana, maka dapatlah kami berteduh seketika sambil menikmati secawan coklat panas. Namun ianya tidak dapat menghangatkan badan kami. Sejuknya suhu ketika itu sehingga menyucuk tulang. Tiga setengah jam kemudian setelah hujan reda, kami pun turun ke parkir motosikal.

Di Betong, kami buat last minute shopping kerana esok pagi kami akan tinggalkan negara ini. Setelah makan tengahari, kami pun balik berehat di hotel. Untuk makan malam, kami hanya pergi ke restoran yang terdekat dengan hotel kami. Jalan kaki sahaja. Itupun beberapa langkah sahaja. Jadilah, penat mula dirasa.

Untuk santapan malam terakhir, saya memilih mee sup daging dan juga Phat Thai. Orang sebesar saya, mana cukup satu pinggan makanan. Kami menghabiskan masa agak lama di restoran ni sambil berbual mengenai pengalaman kami dan sambil melihat gelagat penunggang motosikal tempatan yang hampir semuanya tidak bertopi keledar. Selain itu, skuter merupakan pilihan ramai dan skuter mereka pula bermacam warna yang menawan.

Pagi Isnin, kami terus beredar. Sekali lagi semua urusan imigresen dan kastam di kedua-dua negara berjalan lancar. Syukur. Semuanya selamat. Jam 7.30 pagi waktu Malaysia, kami dah jejak kembali ke bumi tumpahnya darah ini. Isi minyak dulu dan seterusnya sarapan pagi di Pengkalan Hulu. Apa pilihan saya? Nasi lemak telur mata, roti canai dan semestinya teh tarik lah!

Di warung tersebut, ramai pula yang tertarik dengan skuter Royal Alloy saya termasuk seorang Pakcik yang agak berumur. Katanya, dia pernah memiliki sebuah Lambretta dan sebuah Vespa selama 35 tahun. Rekabentuk Royal Alloy ini mengimbaukan kembali kenangan lama buatnya.

Syukurlah, kami berdua selamat tiba di rumah masing-masing di Kuala Lumpur pada jam menghampir 3.00 petang sama seperti waktu kami bertolak ke Thailand tiga hari yang lalu. RR

- Fino, Presiden Royal Alloy Scooter Club Malaysia (RASCM).

Isu Pada

Disember 2022

Popular

  • Warta Produk

    GIVI ASIA Lancarkan Kotak Simpanan Baru “THE MATTERHORN"

  • Dari Litar

    Pecco Juara GP Sepanyol...Tapi Marquez Sudah 'Kacau'!

  • Warta Roda

    Ducati Riding Experience (DRE) Road Academy: Tingkatkan Kemahiran Penunggang

  • Dari Litar

    Padu! Hakim Danish Raih Podium di Sepanyol

  • Model Baru

    Triumph Speed 400 & Scrambler 400 X Masuki Pasaran Negara

Artikel berkaitan

Sabah 360 Ride 1,800KM Loop (Bahagian II)

Ride Berdua ke Siam

Sabah 360 Ride 1,800km Loop (Bahagian 1)

Ride Ihya Ramadhan TM Bikers Ke Gua Musang, Kelantan

Kembara Epik ke Lebuhraya Karakoram

Ride & Camp - Round 360 Sabah

Konvoi Honda Klasik 1000KM Dari Kuala Terengganu Ke Hatyai

Projek Menawan 5 Puncak Bersama Vexcom

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Pusingan Pertama Penuh Cabaran Buat Danish & Danial

Secara keseluruhannya, prestasi yang ditunjukkan oleh para pelumba negara dalam saingan pembukan tirai FIM JuniorGP World Championship 2024 cukup membanggakan.

Dari Litar

Lagenda MotoGP, Dani Pedrosa Bakal Beraksi Di GP Sepanyol!

Bagi peminat 'The Little Samurai' atau Dani Pedrosa, tahun ini kita akan melihat aksinya dalam perlumbaan MotoGP sebenar dalam Pusingan 4, GP Sepanyol yang akan diadakan di Litar Antarabangsa Jerez penghujung bulan ini.

Warta Roda

Sepasang Suami Isteri Maut, Motosikal Terbabas Ke Laluan Bertentangan

Sepasang suami isteri maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka terbabas ke laluan bertentangan.

Warta Roda

Kemalangan 4 Buah Motosikal, Dua Pelajar Tingkatan Tiga Maut

Dua pelajar tingkatan tiga maut dalam kemalangan membabitkan empat motosikal di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Kapar, Jalan Haji Abdul Wahid di sini, malam tadi.