KTM 790 Adventure 2027 Bakal Dibawa Masuk Ke Malaysia
Selain 790 Duke, KTM Malaysia turut merancang untuk menawarkan sebuah lagi model dalam keluarga motosikal adventure kelas pertengahan iaitu KTM 790 Adventure 2027 ke pasaran tempatan. Model ini dijangka menjadi pilihan kepada peminat motosikal yang mahukan sebuah jentera berkuasa tinggi untuk kegunaan harian, perjalanan jarak jauh dan tunggangan di laluan lasak.


KTM 790 Adventure 2027 merupakan kesinambungan daripada model sedia ada yang menggunakan enjin LC8c. Model ini turut dipamerkan sempena pameran motosikal EICMA 2026 di Milan, Itali. Untuk tahun 2027, KTM memberikan penampilan baharu menerusi pilihan warna hitam yang menggantikan warna oren dan putih sebelum ini. Bagaimanapun, model ini masih mengekalkan spesifikasi utama generasi terdahulu.
Jentera adventure ini hadir dengan enjin Parallel-Twin, 799cc, empat lejang, DOHC, lapan injap dengan sistem penyejukan cecair. Enjin daripada keluarga LC8c itu menghasilkan kuasa 70kW (95PS) pada 8,000 rpm dan tork 87Nm pada 6,600 rpm pada . Ia dipadankan dengan transmisi enam kelajuan serta sistem suntikan bahan api elektronik Bosch EMS yang menggunakan teknologi Ride-by-Wire (RBW).


KTM 790 Adventure menggunakan kerangka keluli Chrome-Molybdenum yang menjadikan enjin sebahagian daripada struktur utama casis. Sistem suspensi terdiri daripada fork USD WP APEX 43mm di hadapan dengan pelarasan mampatan serta lantunan. Manakala penyerap hentak WP APEX Monoshock di belakang menyediakan pelarasan pra-beban dan lantunan.. Kedua-duanya menawarkan jarak travel suspensi 200mm.


Sistem membrek pula dipadankan dengan cakera berkembar 320mm di hadapan dan belakang pula menggunakan cakera tunggal 260mm. Sistem keselamatan turut dibantu teknologi Bosch Cornering ABS dengan Off-road ABS Mode serta Motorcycle Traction Control (MTC) bagi membantu mengawal cengkaman tayar ketika melalui permukaan jalan yang licin atau tidak rata.
Antara ciri lain adalah penggunaan tangki bahan api berkapasiti 20 liter, berat 203kg, rim-rim jenis jejari, meter TFT 5-inci, tayar hadapan Pirelli Scorpion Rally STR 90/90R21, tayar belakang Pirelli Scorpion Rally STR 150/70R18, tinggi pelana 840/860mm, kelegaan tanah 233mm, jarak roda 1,509mm dan mod tunggangan.


Perancangan membawa masuk KTM 790 Adventure 2027 dilaporkan sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan pilihan model adventure KTM dalam segmen pertengahan. Bagaimanapun, tarikh pelancaran, harga jualan dan spesifikasi khusus untuk pasaran tempatan masih belum diumumkan secara rasmi. RR






