Zontes 552H Sah Masuk Malaysia Pada Tahun 2027
Kemunculan Zontes 552H di pentas pameran motosikal antarabangsa EICMA 2026 di Milan, Itali menjadi antara tarikan menarik menerusi pengenalan sebuah skuter maksi berkonsepkan sport yang hadir dengan enjin dua silinder. Model berkenaan dijangka memasuki pasaran Malaysia pada suku kedua 2027.


Zontes 552H merupakan sebahagian daripada siri keluarga Zontes 552 yang turut merangkumi beberapa varian lain seperti 552G, 552S dan 552Z. Setiap varian menawarkan karakter tersendiri, namun 552H tampil lebih menumpukan aspek prestasi dan pengendalian menerusi penggunaan kerangka aluminium serta dimensi yang lebih kompak.


Model ini didatangkan dengan enjin dua silinder sebaris 531cc, 4-lejang bersama sistem penyejuk cecair. Enjinnya mampu menghasilkan kuasa 46.9hp pada 7,250rpm dan tork sekitar 56Nm pada 5,500rpm. Enjin pada skuter ini dipadankan dengan transmisi jenis CVT bagi memberikan kemudahan untuk tunggangan harian. Selain itu, Zontes 552H turut mematuhi piawaian emesi Euro5+.


Zontes 552H dilengkapi kerangka jenis aluminium yang menyumbang kepada pengurangan berat keseluruhan. Dengan berat sekitar 185kg menawarkan pengendalian yang lebih lincah terumata di kawasan urban. Sistem brek terdiri daripada cakera berkembar 310mm di hadapan dan cakera tunggal di belakang.


Antara kelengkapan lain seperti paparan mete TFT, fork USD, penyerpap hentak belakang monoshock, lampu-lampu LED, dashcam depan & belakang, tinggi pelana 760mm, tayar hadapan 120/70R15, tayar belakang 160/60R15, tangki bahan api 15 liter, ABS dua saluran, sistem kunci pintar, cermin penghadang angin boleh laras secara automatik, traction control dan cruise control.


Zontes 552H dijangka menjadi antara model yang menarik dalam segmen skuter maksi apabila memasuki pasaran Malaysia pada suku kedua 2027. Walaubagaimanapun, harga jualan serta spesifikasi khusus untuk pasaran tempatan masih belum diumukan. Namun, pihak Zontes Malaysia menyatakan harga mungkin dibawah RM40k. RR




