APRILIA RS 457 GP Replica Dilancarkan. Harga RM35,900
Didi Group, pengimport dan pengedar tunggal Aprilia di Malaysia, memperkenalkan model istimewa Aprilia RS 457 GP Replica sempena PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang pada 30 Oktober lalu. Lebih istimewa, majlis pelancaran tersebut turut diserikan dengan kehadiran pelumba Aprilia Racing MotoGP, Marco Bezzecchi.

Ditawarkan pada harga RM35,900, model ini hadir dengan penampilan yang diinspirasikan daripada jentera perlumbaan Aprilia RS-GP. RS 457 GP Replica menerima kemasan warna hitam dengan kombinasi grafik perlumbaan, selain komponen rangka aluminium, lengan ayun dan bar hendal berwarna gelap. Bahagian belakang turut dilengkapi penutup tempat duduk pembonceng (single-seat rear cowl) bagi memberikan penampilan lebih agresif.


Antara peningkatan utama ialah sistem Aprilia Quickshifter yang kini ditawarkan sebagai kelengkapan standard, selain pad brek hadapan yang dinaik taraf. Dari segi spesifikasi, model ini masih menggunakan enjin dua silinder selari, bersesaran 457cc yang menghasilkan kuasa maksimum 47.6hp pada 9,400rpm dan tork 43.5Nm pada 6,700rpm. Model ini juga hadir dengan sistem transmisi enam kelajuan.

Antara ciri-ciri menarik lain termasuk suspensi hadapan USD 41mm, sistem ABS dua saluran, Aprilia Traction Control serta panel meter TFT lima inci. Dengan pelana yang hanya setinggi 800mm, model ini mudah 'dipanjat' oleh semua jenis penunggang tidak kira lelaki atau wanita. Tangki bahan api 13 liter manakala beratnya adalah sekitar 175kg. Untuk kecekapan proses menurunkan kelajuan, RS 457 GP ini dilengkapkan dengan brek jenis cakera di depan (320mm) dan belakang (220mm).

Pada harga RM35,900, Aprilia RS 457 GP Replica menawarkan sebuah jentera gabungan gaya perlumbaan MotoGP, prestasi enjin yang padu dan pelbagai ciri-ciri menarik yang pastinya menarik minat ramai pencinta dua roda. RR




