Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 28 Mac 2021

Lightning Strike Prototaip

Sejak kebelakangan ini, dunia jentera dua roda berkuasakan elektrik telah menampakkan kemajuan yang cukup pesat. Ini dibuktikan dengan peningkatan jumlah pengeluarannya dari pelbagai jenama, prestasi enjin yang lebih mantap, kepelbagaian jenis dan kadar kecepatan mengecas. Namun begitu, kadar pertumbuhan jumlah pengeluaran jentera seperti ini tidak memberikan kesan kepada harganya - ia masih tinggi.

Sebagai contoh, BMW C-evolution dijual di Amerika pada harga $14,895 (termasuk harga keahlian), model keluaran Amerika iaitu Zero SR pula berharga $16,495 untuk model standard atau meningkat kepada $22,285 untuk Power Tank dan Charge Tank. Tidak lupa juga kita pada Harley Davidson LiveWire yang akan berada di pasaran pada tahun 2020, dikatakan ia berharga $29,700. Itulah... nak selamatkan dunia pun mahal sekarang ini.

Pengasas dan CEO Lightning Motorcycle Corp, Richard Hatfield’s telah menghasilkan E-Superbike lebih lama daripada orang lain dan telah pun membuktikan hasil ciptaannya itu menerusi pelbagai perlumbaan yang disertainya. “ Dalam tempoh lima tahun, syarikat yang berpengkalan di California ini telah pun memasarkan model LS-218 streetbike yang dicipta berasaskan model Lightning yang memiliki rekod World Land Speed untuk jentera elektrik. Sebanyak 40 unit setakat ini telah sedia untuk dihantar ke para pelanggan mereka yang berada di Africa Selatan, China, Guam dan paling banyak di US,” kata Hatfield.

Para pelanggan mempunyai tiga pilihan untuk model ini. Paling murah iaitu model berkuasa 12kWh (versi asas) yang mampu bergerak sejauh 161 kilometer, versi pertengahan berkuasa 15kWh yang boleh bertahan untuk perjalanan sejauh 193 kilometer dan versi paling tinggi berkuasa 20kWh cukup untuk jarak 241 kilometer. Kesemuanya dikira menerusi perjalanan di lebuhraya dengan kelajuan yang dibenarkan. Dari segi harga pula, LS-218 dijual pada harga bermula $38,888 (versi asas), $42,888 (pertengahan) dan $46,888 untuk model berkuasa 20kWh.

Kini, Richard sedang menyiapkan sebuah mesin yang akan keluar daripada zon selesanya dan menjadikan jentera elektrik lebih kompetitif dari segi harga dan prestasi enjin. Untuk itu, lahirkan Lightning Strike yang bersaiz seperti jentera 600 Supersport dengan kemampuan beraksi bagaikan jentera Superbike LS218. Harganya juga cukup menarik, $12,988 untuk versi asas yang memiliki hantaran kuasa rendah sedikit daripada LS218 iaitu 96bhp pada 15,000rpm. Terdapat satu lagi versi yang berkuasa 120bhp tetapi harga masih belum diberitahu lagi.

Model Strike dikatakan mampu bergerak sekitar 192 kilometer di dalam kawasan bandar dengan menggunakan pek bateri 18kWh dan dalam lingkungan 120-140 kilometer jika ditunggang di lebuhraya. Hatfield juga menegaskan tahap mengecas untuk model ini memang hebat. Kuasa bateri dapat dicas dari 5% hingga 95% dalam masa hanya 40 minit menggunakan pengecas DC.

Strike juga lebih ringan berbanding LS-218 dengan perbezaan keberatan sekitar 20kg – Strike seberat 206kg. Hatfield juga perlu mengeluarkan wang untuk membayar pihak Harley Davidson apabila mahu menggunakan nama Lightning Strike kerana nama tersebut telah pun didaftarkan pada model Buell yang kini sudah tidak dipasarkan lagi. “Harganya agak tinggi daripada jangkaan kami tetapi tidaklah mencecah nilai yang menakutkan.”

Dengan nilai $12,988 untuk E-Strike, harga memang cukup tepat untuk berada di dalam pasaran jentera Supersport 600cc – Yamaha YZF R6 dijual di US pada harga $12,188. Persoalannya, bagaimana harga model ini boleh diturunkan sebegini rendag? Menurut Hatfield, ianya adalah disebabkan syarikat ini telah distruktur semula dengan pengenalan dua lagi kilangnya bersaiz 20,000 kaki persegi.

Kilang pertama didirikan di San Jose, California yang hanya sejauh 32 kilometer dari Kampus Apple di Cupertino dan kilang ini lima kali ganda lebih besar berbanding kilang asal Lightning yang terletak di Cas Carlos. Kilang kedua pula terletak di Quzhou, China – 400 kilometer arah Selatan dari Shanghai. Kilang ini berdekatan dengan kilang QJ Benelli, KTM, CFMoto dan HQ Zhongneng.

“Sebab utama kami membuka kilang di China ialah kerana perlu mengeluarkan jentera yang boleh dipasarkan pada harga cukup kompetitif dan dalam jumlah yang mampu menyaingi motosikal biasa. Kami menyempurnakan kejuruteraan dan pembangunan produk di California tetapi proses pembuatannya akan dilakukan di China sebelum menghantarkannya kembali ke USA untuk tujuan pemasangan pula.”

Semua pengedar di US akan menerima model ini sebagai jentera CKD manakala pengedar-pegedar di luar negara pula perlu mempunyai kemampuan untuk membuat pemasangan sendiri. Kilang di China turut mengeluarkan model sempurna sifat untuk pasaran yang sesuai dengan corak geografi mereka. China sudah pasti akan menjadi salah satu pengeluar motosikal elektrik tersebar dunia berbanding skuter untuk beberapa tahun akan datang dan India juga kini ke arah yang sama.

India memiliki masalah persekitaran yang perlu diselesaikan dan hal berkaitan dengan cara-cara untuk menjaga alam sekitar sibuk dibincangkan di dalam hal ehwal politik. Mereka akan lebih mengetatkan kadar pengeluaran emisi untuk setiap kenderaan termasuk motosikal dan ia memberi tekanan buat pengeluar motosikal biasa. Kedua-dua negara besar ini akan menjadi tumpuan dunia motosikal elektrik suatu hari nanti dan Lightning sudah bersedia untuk semuanya!

Ketika menunggang uji LS-218 empat tahun lalu, saya dapat merasakan keterujaan dan saat mendebarkan apabila memacunya di Lebuhraya Mulholland yang cukup terkenal tetapi untuk Strike, saya tidak lagi dibawa ke sana kerana berlakunya kebakaran yang trajis di Malibu. Oleh itu, laluan lain perlu dipilih dan saya merupakan orang pertama di luar syarikat Lightning yang diberi peluang mengujinya.

Laluan yang dipilih ialah ke Glendora yang disempurnakan dengan jalan raya motosikal cukup indah di Los Angeles. Laluan ini berbukit, curam dan mempunyai selekoh-selekoh yang tajam – memberi peluang E-bike ini menunjukkan kemampuannya. Walaupun masih belum sempurna, Lightning Strike ini langsung tidak mengecewakan.

Ketika menunggang model ini, ia masih di dalam fasa pembangunan dan model prototaip Strike diasaskan daripada model LS-218 dengan pakej casis yang sama termasuk brek dan sistem saspensi. Inilah sebabnya Hatfield 'menutup' rekabentuknya dengan pita pelekat walaupun semua orang akhirnya akan tahu ia adalah sebuah jentera prototaip. Sepanjang lima jam menunggang, saya hanya berselisih dengan 17 buah kereta dan dua buah motosikal sahaja – sayang sekali! Tidak adalah posting 'Motor prototaip' di FB seperti yang Hatfield harapkan.

Sememangnya seronok menunggang Strike ini tetapi Lightning perlu melakukan banyak lagi penambahbaikan sebelum model ini menemui pelanggan. Casis dan lengan ayun Strike ini dibuat menggunakan mesin CNC berteknologi tinggi di China. Untuk versi paling tinggi, Strike akan dilengkapkan dengan sistem saspensi Ohlins boleh laras dan untuk versi rendah sedikit, ia akan dilengkapkan dengan Showa. Strike juga akan dipasangkan dengan brek Brembo Monobloc – sama seperti LS-218. Hatfield juga akan menggunakan brek Brembo berspesifikasi sederhana pada model-model biasa.

Panjat sahaja ke atasnya, Strike dirasakan lebih rasional dan memiliki posisi menunggang yang lebih ideal berbanding LS-218. Tinggi pelananya juga tidak berubah, dikekalkan pada 813mm cuma saya agak tergelungsur sedikit ke depan dek kerana pelananya yang agak curam. Mereka perlu tegakkan sedikit posisi ini. Tempat pemijak juga terlalu tinggi tetapi tayar-tayar Pirelli Diablo Supercorsa yang dilengkapi pada rim aluminium bertempa memang menggigit permukaan jalan dengan sangat cemerlang. Untuk model biasa pula, Strike akan menggunakan Pirelli Angel GT yang juga mempunyai daya cengkaman yang baik.

Pada ketinggian 5'10”, ruang bergerak motor ini sangat kecil sehinggakan kaki saya hampir kejang – agak mengganggu terutamanya ketika ingin mendapatkan posisi terbaik untuk berada di selekohselekoh Glendora. Posisi menunggang yang perlu dibaiki ini menyebabkan saya juga sukar untuk mencapai tuas brek hadapan dan hanya bergantung kepada keberkesanan brek belakang.

Casis Strike ini juga perlu dibuat semula tetapi saya amat kagum dengan kadar pecutan yang dimiliki oleh jentera ini – walaupun penciptaan E-Bike bukanlah begitu mementingkan tahap kepantasan, Strike dan LS-218 ternyata memilikinya. Apa pun, arah pembikinan jentera Lightning kini tidak hanya tertumpu pada kepantasan atau kehebatan prestasi enjin tetapi lebih cenderung kepada betapa mudahnya ia ditunggang.

“Kami menyasarkan untuk menerima pelanggan daripada sektor motosikal 650800cc dan inilah yang boleh mereka miliki dengan Strike. Jika dibandingkan dengan LS-218, model ini lebih murah dan lebih mudah. Model asas kami menggunakan sistem Level Two dengan kuasa 3.3kWh yang boleh dicas dari 5% hingga 95% dalam masa 3 jam setengah. Kami juga menawarkan pengecas 12kWh yang boleh merendahkan kadar mengecas kepada hanya satu jam atau gunakan pengecas DC pantas dengan kadar sekitar 40 minit.”

“Untuk memuaskan hati para pelanggan, kami akan menawarkan pakej tertentu buat mereka agar dapat disesuaikan dengan kehendak. Kami juga akan menawarkan model jalanan/naked yang cukup menarik – rasanya ia boleh jadi model paling popular. Lightning juga kini sedang membangunkan E-Bike entry level yang bersamaan dengan jentera 400cc. Untuk itu, kadar keuntungan haruslah dikurangkan demi mengejar kadar produksi berskala besar. Apa pun, projek ini tidak akan berlaku pada masa yang singkat ini,” kata Hatfield lagi.

Jentera prototaip ini masih boleh diberi pujian terutamanya dari segi pecutan dan kawalan ketika mahu meluncur terus dari kelajuan rendah. Nikmati kadar kuasa jentera ini yang hadir cukup linear dari rpm rendah hingga mencecah 15,000rpm – cukup mengagumkan.

“Kami ingin memberikan respon pendikit untuk model ini cukup tepat dan lancar. Untuk itu, 50% untuk pergerakan pendikit di peringkat awal, hanya 30% kuasa tork digunakan dan selepas pendikit ini terus dipulas barulah kuasa yang lebih progresif dapat dirasakan di setiap masa.”

Model ini juga dilengkapkan dengan Regen – sistem dari E-Bike yang mirip dengan brek enjin jentera biasa. Sayangnya talaan untuk model yang saya tunggang ini terlalu kuat sehinggakan cukup mengganggu ketika menurunkan kelajuan – sampai tak stabil dibuatnya. Terdapat pakej RbW untuk model ini yang memberikan kepada tiga mod tunggangan iaitu Street, Rain dan Sport.

Lightning Strike mampu mengubah dunia motosikal elektrik sepenuhnya dengan melahirkan pelbagai model yang bijak dan inovatif pada harga mampu milik. Tahniah buat mereka dan jujurnya saya sentiasa menunggu penuh sabar versi sempurna yang sedang disiapkan di kilang mereka. RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Kevin Wing

Isu Pada

April 2019

Spesifikasi

Enjin150V, sistem penyejuk cecair
BateriBateri kuasa tinggi 18kWh dengan sistem pengurusan bersepadu thermal
Kadar mengecas40 minit dengan pengecas DC
Kuasa maksimum96bhp pada 15,000 rpm
Tork maksimum95Nm daripada 1 rpm ke atas
KerangkaAluminium monocoque
Tinggi pelana813 mm
Kelajuan maksimum241 km/j
Berat206 kg
PengedarLightning Motorcycles, San Jose, Carlifornia

Popular

  • Warta Roda

    Pelajar Sekolah Maut Selepas Motosikal Dinaiki Rempuh Lori

  • Model Baru

    Hanway Heritage, Jentera Gaya Bobber Dilancarkan!

  • Model Baru

    ARIIC 318GT Secara Rasmi Dilancarkan – RM 22,888

  • Dari Litar

    Fabio Quartararo Kembali Julang Yamaha di Podium. Alex Marquez Raih Kemenangan Pertama

  • Warta Roda

    Kemalangan di Lebuhraya Karak. Penunggang Motosikal Dikesan Polis

Artikel berkaitan

Ducati 125 Regolarita: Rangka Di Dalam Almari

Ride Santai Bersama Yamaha PG-1: Aku dan Kebebasan

MODA Sporter-S 250: Sesuai Untuk Kegunaan Bandar

Suzuki V-Strom 800DE: Sesuai Untuk Perjalanan Jauh & Dekat

Santai Bersama Yamaha: MT-09 Syok Ke Mana Sahaja!

Honda XL750 Transalp: Antara Jentera Kembara 'Middle Weight' Yang Terbaik?

Bajaj Freedom 125 CNG: Bukti Bahan Api 'Gas' Lebih Praktikal

MODENAS Z250 ABS – Senang, Selesa, Sempoi!

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Pasukan Honda HRC Castrol Masih Mencari Rentak

Peningkatan telah dilakukan untuk jentera RC213V tahun ini. Paling utama tentulah enjin 1,000cc, 4 lejang V4 yang sangat bertenaga dan mampu memecut lebih daripada 360km/j.

Warta Roda

Yamaha Masuk Malaysia Autoshow? Ye ke? Lancar XMAX baru ke?

Dengarnya Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) akan sertai pameran automotif, Malaysia Autoshow (MAS) 2025 yang bakal diadakan di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) pada 9hb hingga 15hb Mei nanti.

Warta Roda

Motosikal dihanyut banjir. Mujur mangsa selamat.

Seorang peneroka melalui pengalaman cemas apabila motosikal ditunggangnya terbalik dibawa arus ketika cuba meredah laluan dinaiki banjir di Felda Air Tawar 3 di sini.

Warta Roda

Honda Vario 160 Terima Tiga Warna Baru - Bermula RM10,198

Boon Siew Honda (BSH) telah memperkenalkan tiga warna terbaru untuk Honda Vario 160 iaitu Yellow, Matte Red dan Silver.