Isu Terkini

Februari 2024

Personaliti / 10 Ogos 2016

Ah Hoi : Bermotosikallah Dengan Bijak & Selamat

Bagi pemilik motosikal berkuasa tinggi, nama Ah Hoi sudah tidak asing lagi. Dia dikenali sebagai antara penunggang motosikal dan pemilik kedai motosikal yang cukup berpengalaman. Nama sebenarnya ialah En. Chua Chern Kwang, berumur 50 tahun dan sudah berkeluarga dengan tiga orang cahaya mata.

“Minat saya dalam dunia motosikal bermula sejak dari kecil lagi. Ketika itu saya melihat sebuah motosikal polis yang besar dihidupkan dengan suis penghidup kecil. Dari situ saya bertekad untuk mendalami selok belok motosikal kerana cukup tertarik dengan kemampuannya.”

Selepas tamat persekolahan, Ah Hoi mula bekerja sebagai seorang mekanik motosikal di Singapura kerana ketika itu bilangan motosikal berkuasa tinggi di Singapura jauh lebih banyak berbanding di Malaysia. Maka, Ah Hoi lebih terdedah dengan selok-belok enjin dan cara-cara membaik pulih motosikal-motosikal superbike.

“Saya akhirnya berjaya memiliki dua buah motosikal idaman saya iaitu Yamaha RXK dan Yamaha Daytona 400. Memang cukup berharga dan mengujakan memiliki motosikal yang kita inginkan ketika itu.”

Selepas dua tahun mencari pengalaman di negara orang, Ah Hoi kembali ke kampung halamannnya di Muar dan meneruskan tugasnya dalam bidang motosikal. Pada tahun 1989, Ah Hoi membuat keputusan untuk bekerja di Kuala Lumpur dan menyertai sebuah syarikat di Petaling Jaya yang betul-betul mendekatkannya dengan dunia mesin berkuasa tinggi.

“Pada tahun 1991, saya berpeluang berkonvoi ke Bangkok, Thailand dengan menaiki Honda VFR750. Ya…. perjalanan sejauh 1,500 kilometer itu sememangnya memberikan satu pengalaman menunggang dan pendedahan terbaik buat saya sebagai pencinta motosikal.”

Sejak dari saat itu, Ah Hoi sentiasa akan melakukan pengembaraan bermotosikal ke luar negara bersama rakan-rakannya. Suatu perkara yang dia sedar setiap kali berada di negara orang ialah proses menyesuaikan diri dengan secepat mungkin berdasarkan keadaan dan cara kehidupan masyarakat di sana. Pada awal tahun 1990an, jumlah superbike dari Malaysia ke sana amat sedikit, tidak seperti sekarang ini.

Katanya, “Masyarakat di sana ketika itu tidak begitu tahu akan perbezaan kuasa dan kelajuan sebuah motosikal berkuasa tinggi. Ini cukup bahaya dan boleh menyebabkan kemalangan. Dengan itu saya dan rakan-rakan akan menunggang dengan lebih perlahan dan lebih berhati-hati setiap kali tiba di sana.”

Dunia superbike di Malaysia semakin hari semakin berkembang dengan pesatnya dan memberikan semangat buat Ah Hoi untuk menubuhkan syarikatnya sendiri iaitu Sunway Cycle pada tahun 1995. “Saya amat cintakan motosikal dan enjiin. Saya suka jika segala pengalaman dan pengetahuan dalam dunia motosikal dapat dikongsi bersama setiap penunggang motosikal. Kami mengutamakan keselamatan dan sentiasa ingin memberi pendidikan kepada pemilik motosikal bagaimana untuk mengenal pasti jentera mereka sendiri.”

Selepas lima tahun berdiri teguh dalam industri permotoran, Ah Hoi membuat keputusan untuk melengkapkan kedai motosikalnya dengan mesin talaan prestasi enjin (Dyno) berharga ratusan ribu ringgit dan ia adalah yang pertama di Malaysia.

“Bagi mereka yang inginkan prestasi lebih mantap pada jentera masing-masing selalunya akan membuat pengubahsuaian seperti menukar ekzos, komponen prestasi dan lain-lain lagi. Selepas pengubahsuaian ini dilakukan, kadar suhu dan jumlah pancitan bahan api telah berubah. Tidak lagi sempurna seperti mana talaan asal. Jika penunggang tidak membuat talaan baru, campuran petrol dan udara dengan keadaan suhu enjin yang tidak tepat akan menyebabkan hantaran kuasa hambar dan tidak mencapai tahap optimum.”

Kepakaran Ah Hoi dalam membuat talaan ini telah mendapat kepercayaan hampir 70% pasukan lumba yang bersaing dalam perlumbaan Malaysian Super Series (MSS) dan bagi Ah Hoi ia adalah satu pencapaian yang sangat tinggi.

“Sebagai seorang penunggang motosikal, kita perlu tahu dan kenal tahap kuasa, ciri-ciri keselamatan dan kemampuan diri sendiri. Setiap pengeluar motosikal akan sentiasa menghasilkan pelbagai jenis motosikal agar kita dapat memilih sesebuah mesin itu mengikut kemampuan diri dan kegunaannya.”

“Pengeluar motosikal juga akan mempertingkatkan tahap keselamatan dari masa ke semasa cuma apa yang penting ialah kita perlu menunggang atau menggunakan jentera ini dengan betul. Kalau salah guna... naik motosikal kecil pun boleh mengundang padah.”

“Saya amat mengagumi dengan para pencipta motosikal yang telah berusaha gigih menghasilkan pelbagai jenis motosikal untuk digunakan,” kata Ah Hoi. Ketika motosikal supercharge keluaran Kawasaki, H2 diperkenalkan ke pasaran negara, Ah Hoi merupakan antara pemilik terawalnya.

Dengan jentera ini dia bersama-sama 16 orang rakan lain berkonvoi ke Thailand. “Tujuannya ialah untuk melihat keupayaan H2 ini. Saya dapat menikmati kemantapan kuasa hantarannya ketika di lebuhraya, merasakan kestabilannya di jalanan biasa dan keselesaannya ketika di dalam bandar. Saya amat berpuas hati dengan jentera ini. Walaupun ianya sangat berkuasa tetapi menawarkan pengendalian yang mudah.”

Jika ada masa terluang, Ah Hoi akan kembali melakukan pengembaraan bermotosikal. Pada tahun 2010, dia bersama rakan-rakannya berkonvoi ke London yang mengambil masa selama dua bulan. Dalam perjalanan yang terpaksa merentasi 18 buah negara itu, dia dan rakan-rakannya bukan sahaja dapat memperoleh pengalaman berharga tetapi juga kemantapan kawalan tunggangan yang tinggi.

“Jalan-jalan di negara-negara 'stan' seperti Turkmenistan atau di Tajikistan memang jauh lebih teruk berbanding di negara kita. Kita perlu menghargai tahap jalan raya di sini. Ia selamat, banyak stesen minyak dan tempat rehat berbanding di negara-negara luar. Bercerita mengenai stesen minyak, ia mengingatkan saya pada pengalaman menunggang dari Myanmar ke India.”

“Dari Tachileik, kami terpaksa melalui satu kawasan di mana jalannya sangat-sangat sukar. Ia tanah... baru lepas hujan... berlumpur yang sangat dalam. Kami terpaksa meminta bantuan penduduk tempatan untuk melalui kawasan itu. Jentera Kawasaki Versys milik kami jatuh beberapa kali tetapi ia terus mantap. Kami mengambil masa dua hari hanya untuk satu perjalanan sejauh 120 kilometer.”

Oleh kerana bekalan petrol, makanan dan minuman telah habis, mereka terkandas di tengah-tengah jalan yang juga berhutan. Pemandu pelancong mereka terpaksa berjalan hampir empat jam sebelum tiba di sebuah penempatan yang membolehkan mereka mendapat segala bekalan yang diperlukan.

Pada tahun 2013, Ah Hoi terlibat dalam kemalangan di luar negara yang menyebabkan kakinya cedera. Insiden ini berlaku kerana kecuaian orang lain tetapi apa yang ingin dikongsi oleh Ah Hoi ialah betapa pentingnya seseorang penunggang itu dilindungi dengan insurans tidak kira ketika menunggang di dalam atau di luar negara. Segala proses yang berkaitan pihak hospital dapat diselesaikan dengan mudah, pantas dan selesa.

Selain itu, setiap pengembara motosikal juga perlu tenang dalam semua situasi dan keadaan kerana tekanan fikiran boleh menyebabkan seseorang penunggang itu boleh hilang kawalan. “Jika anda seorang penunggang yang baik, selenggarakanlah jentera dengan sebaik-baiknya. Jika berada dalam situasi cemas, jentera kita dapat bertindak dengan sempurna yang mampu menyelamatkan nyawa. Itulah yang kami di SC Premium (nama syarikat ditukar) sentiasa tekankan seperti mana tagline kami, You Ride, We Care.

“Motosikal adalah alat perhubungan yang sangat penting. Biarlah kita dapat pergi ke mana sahaja dan kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat. Enjoy... tetapi utamakan keselamatan. Kalau nak pecut dengan laju....litar adalah jawapannya, bukan di jalan raya.” RR

Isu Pada

Ogos 2016

Popular

  • Model Baru

    KTM 990 RC R Versi Jalanan Sah Masuki Pasaran

  • Warta Roda

    Kemalangan Motosikal Dengan Pacuan 4 Roda, Penuntut IPT Maut

  • Warta Roda

    Warna Baru Untuk Yamaha MT-15

  • Warta Roda

    Yamaha MT-25 2024 Hadir Dengan Warna Baru

  • Warta Roda

    'We Ride As One' 2024: Ducati Menggegar Bandar!

Artikel berkaitan

Pelumba Muda, Dharwin Lingam Lebih Semangat Harungi Musim Baru

Rewi Hamid Bugo - Usahawan & Pencinta Motosikal Sejati

Khairulamirin Yahaya - Pelumba Supermoto Negara

Md. Mikail Razlan - Terus Buru Kegemilangan

Bob Eden - Ingin Menabur Bakti Buat Pengguna Motosikal

Gary, Tina & Sam Sharman - Pencinta Motosikal Sejati

Azlan Shah Kamaruzaman: Semangat Juang Tidak Pernah Padam

Kenny Tan Kee Hooi: Cinta Pada Dua Roda Tak Pernah Padam

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Lambretta Kembali Ke Pasaran Malaysia. Bakal lancarkan model X250 dan G350 tidak lama lagi...

Lambretta telah mengumumkan kehadirannya secara rasmi di Malaysia. Sebagai ikon yang menggabungkan keanggunan klasik Itali dengan tema moden-retro yang bergaya, rangkaian skuter Lambretta menawarkan stail yang berkekalan sepanjang zaman.

Warta Roda

Tunggang Uji Ringkas Suzuki Avenis 125 dan Burgman Street 125 EX

Suzuki Malaysia telah mengadakan sesi tunggang uji bersama pihak media baru-baru ini dengan menampilkan dua buah skuter terbaru mereka iaitu Suzuki Avenis 125 dan Burgman Street 125 EX.

Dari Litar

SS600: Azroy Hakeem Bangkit Raih Kemenangan

Pelumba dari pasukan IDEMITSU Boon Siew Honda Racing Team, Azroy Hakeem Anuar meraih kemenangan di tempat pertama.

Dari Litar

KTM RC8 2024 - Edisi 'Perlumbaan' Terhad Diperkenalkan. Hanya 100 unit dipasarkan

KTM memperkenalkan model Edisi Perlumbaan Terhad yang menawarkan prestasi sebenar jentera kegunaan di litar (prestasi Moto2) yang mendapat kelulusan Grand Prix membolehkan jentera ini benar-benar layak digelar READY TO RACE.