YAMAHA XV950R BOLT : Gabungan Dulu, Kini & Selamanya
Tidak dinafikan, Yamaha antara pengeluar motosikal yang sentiasa menawarkan produk-produk terbaik dalam semua segmen untuk semua jenis pencinta motosikal. Anda minat mesin pantas? YZF R1 adalah pilihannya. Kalau nak mengembara, FJR 1300 paling sesuai. Panjat pula Super Tenere untuk lebih mencabar. Pilih TMax atau Nouvo jika anda suka menunggang skuter dan bagi 'kaki motor' yang ingin kelihatan bergaya... model bobber terbaru, XV950R Bolt tersedia untuk menjadi teman! Bolt diperkenalkan ke pasaran Malaysia pada bulan Oktober lalu dan menurut pihak Hong Leong Yamaha Motor (HLYM), kumpulan pertama jentera ini telah pun berjaya dijual pada harga asas termasuk GST RM52,500. Tahniah!
Peluang untuk menunggang jentera ini hadir pada akhir Mac lalu dan sememangnya ia merupakan sebuah jentera bobber yang mempunyai rekabentuk ranggi dan seksi. Keperibadian jentera merupakan gabungan di antara model old school dan moden yang ditonjolkan dengan jelas menerusi enjin v-kembar serta tangkinya yang ramping. Kotak pembersih udara yang kompak terletak di sisi kanan enjin ini turut membantu menjadikan Bolt tampak sasa apabila dilihat dari bahagian sisi. Gaya dan rekaan baru pembersih udara ini telah mempertingkatkan kualiti hantaran kuasa XV950R ini ketika berada dalam putaran enjin yang rendah. Untuk mengekalkan rekabentuk retro, Bolt telah dilengkapkan dengan sistem ekzos panjang 2-1 yang berwarna hitam.
Walaupun rendah (690mm), pelananya yang agak keras tidak begitu kami gemari kerana ia bakal memberikan rasa kurang selesa untuk suatu perjalanan jauh. Jarak antara bar hendal yang ideal memudahkan kita mengendalikan jentera ini dalam semua kelajuan – walaupun untuk membuat pusingan 'U'. Bobber Yamaha ini didatangkan dengan lampu hadapan, meter dan lampu belakang berbentuk bulat. Ya... ia untuk menyerlahkan lagi konsep sebenar Bolt ini. Panel meter XV950R Bolt ini sangat ringkas sehinggakan beberapa info penting seperti tahap bahan api dan posisi gear tidak dilengkapkan bersama. Walaupun tujuannya untuk kelihatan ringkas, Yamaha perlu sedar betapa pentingnya bacaan tahap bahan api untuk sebuah motosikal. Tanpa petrol... mana nak pergi?
Sebaik sahaja enjinnya dihidupkan, bunyi-bunyi yang 'tersembur' keluar daripada sistem ekzosnya cukup sedap, tidak bingit dan cukup lancar. Apabila putaran enjin ditingkatkan, barulah sifat garangnya dapat kita rasakan. Pakai jaket, cermin mata hitam untuk lebih bergaya, sarung tangan dan pilih destinasi, Bolt ready untuk menemani kita. Walaupun mempunyai tapak roda yang panjang (1,570mm), Bobber ini mudah untuk dipacu tidak kira anda seorang penunggang yang tinggi atau rendah. Posisi bar hendalnya yang direka cukup tepat memudahkan segala pergerakan dilakukan.
Dengan gerek dan lejang bersaiz 85.0 x 83.0mm, kuasa pecutannya sangat mantap dirasakan terutama dalam tiga gear terawal. Gear dua mampu memecut sehingga 50km/j dan oleh kerana tidak dilengkapkan meter rpm, penunggang perlu mengenal pasti bilakah masa terbaik untuk menambah gear – senang, tambah gear bila enjin dirasakan mengerang! Gear ketiga cukup lancar sehingga 100km/j dan kelajuan ini terus meningkat hingga menggunakan gear tertinggi.

Tenaga enjin 942cc ini jelas dapat dirasakan sebaik sahaja kita memulas pendikit – ia lembut tetapi sangat galak menarik kita maju ke hadapan. Tuas pendikitnya yang lembut membolehkan kita memulas sesuka hati. Ketiadaan sebarang fairing dan cermin pengadang udara di hadapan tidaklah mengganggu tunggangan walaupun kita memerah pendikit ke tahap maksimum dalam setiap gear. Kemerduan bunyi Bolt ini menarik perhatian sesiapa sahaja yang berada di tepian jalan, bayangkan jika belasan Bolt masuk ke dalam sebuah bandar? Mesti gempak!!
Lampu utama Bolt ini memang cukup terang! Amat mudah untuk dilihat dari depan walaupun di waktu tengahari. Ini amat penting lebih-lebih lagi ketika dalam musim panas yang kadangkalanya pemandu mudah hilang tumpuan ketika memandu di bawah terik matahari. Dengan kuasa maksimum setinggi 52.1PS pada 5,500rpm dan tork 79.5Nm pada 3,000rpm, kita mudah untuk membuat pintasan ketika berada di lebuhraya. Hamburan kuasanya dalam mana-mana kedudukan gear bagaikan tiada batasan, pulas sahaja rasakan ia meluru bagaikan lipas kudung. Walaupun sebuah Bobber yang menggunakan sistem tali sawat, ia masih mampu memecut pada kelajuan maksimum sekitar 165km/j dengan lancar dan stabil.
Bolt mempunyai cermin sisi yang besar dan jelas, jeling sahaja sudah mencukupi untuk kita melihat keadaan trafik yang sedang berlaku di belakang. Ini amat berguna ketika kita ingin memintas atau menukar lorong. Saiz pelana pembonceng yang kecil agak memenatkan dan untuk mengatasi masalah ini, pihak Yamaha mungkin boleh meletakkan tempat sandar walaupun saiznya sederhana buat pembonceng agak lebih selesa dan pada masa yang sama, ia nampak kemas dan mantap. Tempat pemijak mesin ini direka cukup tepat agar penunggang tinggi atau rendah dapat memacunya dengan selesa dan yakin sekali.
Dengan tubuh badan yang ramping, Bolt memang tidak memberikan masalah buat kita untuk ditunggang di dalam bandar. Kelincahannya pasti menyebabkan penunggang-penunggang moped cemburu... lebih-lebih lagi apabila tiba di tempat yang sesuai untuk memecut. Walaupun mampu beraksi sebegitu, haba yang terhasil daripada enjinnya memang cukup panas dan ia berganda apabila terpaksa berhenti lama. Jika berlaku di Cameron Highlands mungkin tidaklah begitu menyeksakan tetapi kalau di tengah-tengah KL atau JB? Masak peha beb!

Kota kami tinggalkan untuk mencari lokasi tunggangan yang lebih segar. Enjin yang responsif sememangnya nikmat untuk semua penunggang dan inilah yang dimiliki oleh jentera 942cc ini. Pendikit dan klacnya yang lembut memudahkan kita mengawal kuasanya dengan tepat ketika melayari jalan-jalan berliku. Dengan brek enjin yang tidak begitu kuat, penunggang tidak tersentak-sentak jika tersalah gear dan masih mampu mengendalikan jentera seberat 251kg ini dengan tenang sekali. Dengan kelegaan tanah hanya 130mm, jangan terkejut jika tempat pemijak Bolt ini terseret ke permukaan jalan jika kita membuat miringan dengan agak dalam.
Kerangka jenis double-cradle yang tegar memudahkan kita membaringkan mesin ini dengan yakin sekali. Tidak kira selekoh pendek atau panjang, tarik sahaja Bobber ini dan lihat ia berada di laluannya dengan kemas dan stabil. Lebih meyakinkan kita untuk terus memacu Yamaha ini ialah kerana sistem fork hadapannya jenis teleskopik berdiameter 41mm menyerap segala hentakan dengan baik. Walaupun berada di jalan yang beralun atau tidak rata, kita dapat memaut bar hendal dan mengendalikannya dengan tenang dan yakin. Tidak ada langsung tanda-tanda hilang kawalan, memang baguslah. Cuma lengan ayun di belakang agak keras – penunggang mungkin tidak menyedarinya tetapi pembonceng di belakang akan melambung-lambung apabila berada di laluan yang tidak rata atau berbonggol.
Walaupun rekabentuk rim Bolt ini nampak retro, sistem breknya moden! Yamaha telah melengkapkan Bobber ini dengan brek hadapan dan belakang jenis cakera 298mm. ya... ia mencengkam dengan baik tetapi harus sedar bahawa posisi menunggang jentera Bobber, cruiser atau easyrider yang seperti bersandar menjadikan penunggang tidak cukup bersedia untuk menggunakan brek dengan pantas dan efisien dalam situasi kecemasan berbanding menunggang mesin sport, street atau dual purpose. Dari itu... janganlah suka memecut. Relaks dan santai sahaja.

Kiri... kanan... kiri... kanan... aduhai, memang seronok sekali membelok dengannya. Tayar-tayar yang dilengkapkan pada mesin ini mengigit setiap permukaan jalan dengan cemerlang sekali. Tidak kiralah Bolt ini dipacu di atas jalan atau di jalan kering, prestasi memang boleh menerima pujian. Gunakan sedikit berat badan, tekan bar hendal dan setiap sudut selekoh dirasakan cukup mudah untuk diratah. Melihat akan kemampuan jentera ini, dirasakan Bolt juga cukup sesuai untuk penunggang baru.
Sedang membelek-belek dan meregangkan otot-otot, kami disapa oleh beberapa orang pemilik jentera Bobber lain. Kesemua mereka telah mengubahsuai jentera masing-masing dan sempat juga berkongsi tips untuk pengubahsuaian dengan kami. Antara yang mereka cadangkan ialah menukar sistem ekzos agar bunyi lebih garang, gantikan pelana pembonceng dan bar hendal mengikut keselesaan. Yang lain... tidak perlu kerana Bolt ini memang sudah cukup cantik.

Tangki Bolt ini hanya sebesar 12 liter tetapi cukup jimat. Walaupun ditunggang dengan berbagai gaya, kelajuan dan tempat, ia berjaya ditunggang sejauh 180 kilometer sebelum lampu amaran menyala. Tahniah HLYM atas kejayaan memberikan nafas baru dalam segmen jentera cruiser di Malaysia dan sememangnya Yamaha XV950R Bolt ini cukup sesuai untuk mereka yang sukakan tunggangan santai. RR
Spesifikasi
| Enjin | 4 lejang, 4 injap, SOCH 2 silinder v-kembar, sistem penyejuk udara |
| Isipadu | 942cc |
| Gerek x Lejang | 85.0 x 83.0mm |
| Nisbah mampatan | 9.0:1 |
| Kuasa maksimum | 52.1 ps pada 5,500rpm |
| Tork maksimum | 79.5Nm pada 3,000rpm |
| Berat | 251kg |
| Tinggi pelana | 690mm |
| Isi tangki | 12 liter |
| Pengeluar | Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd |
Popular




