☰
Isu Terkini

Oktober 2024

Warta Roda / 17 Julai 2026

Art of Speed 2026: 15 Tahun Menyatukan Jiwa Kustom

Ada acara automotif yang sekadar mempamerkan jentera. Ada juga yang menghimpunkan pemilik dan peminat untuk berkongsi minat. Namun, Art of Speed (AOS) sentiasa berada dalam kelas tersendiri.

Selama 15 tahun, festival ini berkembang daripada sebuah perhimpunan kecil komuniti kustom kepada acara gaya hidup yang menjadi tumpuan peminat automotif bukan sahaja di Malaysia, malah dari seluruh Asia. Kini, sempena ulang tahun ke-15, AOS ke Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Serdang pada 1 dan 2 Ogos 2026 dengan pelbagai pembaharuan yang menjanjikan pengalaman lebih besar daripada sebelumnya.

Dengan tema "Summer Festival – Kustom Bergaya", AOS 2026 terus mengekalkan identitinya sebagai sebuah festival yang menggabungkan dunia automotif, seni, muzik dan budaya kreatif dalam satu ruang yang meraikan kebebasan berkarya. Di sinilah lahirnya pelbagai idea baharu, persahabatan rentas pelbagai negara dan inspirasi seni yang sukar ditemui di acara lain.

Menurut Pengarah Festival Art of Speed Malaysia, Asep Ahmad Iskandar, perjalanan selama satu setengah dekad ini merupakan hasil sokongan padu komuniti yang tidak pernah berhenti mempercayai visi dan misi 'Art of Speed'.

En. Asep Ahmad Iskandar.
En. Asep Ahmad Iskandar.

"Apa yang bermula sebagai sebuah acara komuniti kini berkembang menjadi platform antarabangsa yang menghimpunkan pembina, artis, pengumpul dan peminat budaya kustom dari seluruh rantau. Sambutan ulang tahun ke-15 ini adalah milik semua yang telah bersama kami sejak hari pertama," katanya.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, dewan pameran MAEPS bakal dipenuhi deretan motosikal kustom, cafe racer, chopper, tracker, hot rod, kereta klasik dan pelbagai jentera modifikasi yang mencerminkan kreativiti tanpa batas. Setiap jentera mempunyai kisahnya tersendiri. Ia dibina dengan penuh ketelitian, kesabaran dan minat yang mendalam terhadap dunia automotif.

AOS 2024.
AOS 2024.

Namun, tarikan AOS tidak pernah terhad kepada kenderaan semata-mata. Festival ini terus menjadi medan terbaik buat artis ilustrator, pembuat barangan buatan tangan, pereka fesyen, pengumpul permainan serta gaya hidup yang mempersembahkan hasil kreativiti mereka kepada ribuan pengunjung. Di acara ini,  para pengunjung bukan sahaja melihat produk, malah berpeluang berinteraksi dengan individu di sebalik setiap karya.

AOS 2025.
AOS 2025.

Edisi 2026 turut menyaksikan penyertaan nama-nama besar dunia kustom dari Jepun, Indonesia, Thailand, Singapura, Filipina dan beberapa negara lain. Kehadiran mereka bukan sahaja mengukuhkan reputasi AOS di peringkat antarabangsa, malah membuka peluang pertukaran idea serta inspirasi dalam kalangan komuniti tempatan.

Bagi melengkapkan pengalaman festival, SoundCircus Festival kembali menghidupkan suasana selepas berehat selama dua tahun. Persembahan artis tempatan dan antarabangsa di enam pentas bakal menjadikan suasana lebih meriah, sekali gus mengubah MAEPS menjadi sebuah festival gaya hidup yang berlangsung dari pagi hingga ke petang.

Dalam masa sama, komuniti pengumpul miniatur tidak ketinggalan apabila Hot Wheels Collectors Convention Malaysia (HWCCM) kembali dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran koleksi, sesi perkongsian bersama pengumpul berpengalaman serta pelancaran model eksklusif yang sentiasa menjadi buruan peminat.

Apa yang menjadikan AOS terus relevan selepas 15 tahun bukanlah sekadar jumlah jentera yang dipamerkan atau kehadiran tetamu antarabangsa. Sebaliknya, festival ini berjaya membina sebuah komuniti yang berkongsi minat, menghargai seni pertukangan dan meraikan kreativiti tanpa mengira jenama, usia atau latar belakang.

Selepas 15 tahun, AOS membuktikan bahawa budaya kustom di Malaysia bukan lagi sebuah gerakan kecil. Ia telah berkembang menjadi satu gaya hidup yang mempunyai identiti tersendiri, dan AOS kekal sebagai nadi yang menyatukan semuanya. RR

Info: Art of Speed Malaysia 2026

  • Tarikh: 1–2 Ogos 2026
  • Lokasi: MAEPS, Serdang
  • Masa: 10.00 pagi – 7.00 malam
  • Harga Tiket: RM35 (Early Bird) | RM40 (Biasa)
  • Percuma: Kanak-kanak bawah 12 tahun & pemegang kad OKU

Popular

  • Model Baru

    Honda PCX160 Kembali ke Malaysia Selepas 6 Tahun - RM12,998

  • Model Baru

    Aveta Nova 250 G Elite Edition Diperkenalkan! Harga asas RM14,888

  • Warta Roda

    Pusat Servis & Pejabat Urusan Mforce KL Berpindah Ke Lokasi Baru!

  • Dari Litar

    Marco Bezzechhi Cemerlang di Mandalika

  • Warta Roda

    Honda ADV160 RoadSync Kini Dengan Warna Perlumbaan Trico

Artikel berkaitan

Pusat Servis & Pejabat Urusan Mforce KL Berpindah Ke Lokasi Baru!

Honda ADV160 RoadSync Kini Dengan Warna Perlumbaan Trico

Voge DS800X Rally Sudah Berada di Pengedar Mforce Seluruh Negara

Yamaha XMAX 250 vs XMAX 300: Empat Media Kongsi Pengalaman

ETG (Eurotech Group) Memacu Fasa Baru

Tiga Jurutera ZXMOTO China Hadir Ke Malaysia, Kongsi Kepakaran Pemasangan Model

ZXMOTO 500RR Mula Masuki Pasaran Minggu Ini!

PDRM & Harley-Davidson Jalankan Program POC Tiga Model Untuk Tugasan Rasmi

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Honda PCX160 Kembali ke Malaysia Selepas 6 Tahun - RM12,998

Honda PCX160 tiba semula ke pasaran negara pada harga RM12,998.

Warta Roda

Pusat Servis & Pejabat Urusan Mforce KL Berpindah Ke Lokasi Baru!

Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. mengumumkan perpindahan Pusat Servis dan Pejabat Urusan Mforce cawangan Kuala Lumpur ke premis baharu yang lebih luas dan lengkap di Jalan Segambut Tengah. Langkah ini merupakan komitmen berterusan syarikat dalam memperkasakan perkhidmatan selepas jualan seiring dengan peningkatan jumlah pemilik motosikal-motosikal Mforce di Malaysia.

Warta Roda

Tiga Jurutera ZXMOTO China Hadir Ke Malaysia, Kongsi Kepakaran Pemasangan Model

Tiga orang jurutera teknikal diterbangkan khas dari ZXMOTO China ke Malaysia bagi menjalankan sesi latihan dan bimbingan berkaitan kaedah pemasangan model-model motosikal keluaran syarikat berkenaan.

Dari Litar

Hakim Danish Bangkit Dari Petak Ke-25

Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mempamerkan aksi konsisten untuk menamatkan perlumbaan moto3 dalam GP San Marino di tempat ke-12