SYM Tampilkan Skuter Konsep Dengan Teknologi Turbo 'MAXSYM TURBO'
SYM memperkenalkan model konsep iaitu skuter maxi berprestasi tinggi menerusi MAXSYM TURBO yang membawa gelaran ‘The Gladiator’ di pameran EICMA 2026. Model konsep ini tampil dengan pendekatan berbeza berbanding skuter maxi konvensional yang lazimnya memberikan tumpuan kepada keselesaan dan kegunaan harian. Mengambil inspirasi daripada pahlawan gladiator Rom purba, jentera ini menggabungkan empat elemen utama iaitu kekuatan, perlindungan, kawalan dan ketangkasan.
MAXSYM TURBO menampilkan penampilan agresif dengan bentuk badan tegap serta garisan kemas yang memberikan imej sebuah jentera berprestasi tinggi. Bahagian hadapan diinspirasikan daripada topi keledar pertempuran gladiator yang lengkap dengan lampu utama LED berbentuk tajam seakan bilah senjata. Profil badannya pula dibentuk dengan kedudukan yang sedikit menunduk ke hadapan serta pusat graviti rendah bagi menggambarkan karakter sebuah jentera yang bersedia untuk beraksi.

Bahagian belakang turut menerima sentuhan rekaan tersendiri menerusi lampu LED berbentuk mata lembing yang menjadi identiti utama model ini. Penggunaan panel badan dengan warna kontras pula memberikan penampilan seakan perisai pelindung bagi menyerlahkan konsep gladiator yang diterapkan pada keseluruhan rekabentuk MAXSYM TURBO.
Model konsep ini dikuasakan enjin dua silinder selari 465cc, DOHC, lapan injap dengan sistem penyejukan cecair yang dipadankan bersama pengecas turbo dan intercooler berkecekapan tinggi. Gabungan teknologi tersebut membolehkan enjinnya menghasilkan kuasa maksimum 52.3hp pada 6,500rpm dan tork 58.9Nm pada 5,500rpm. SYM turut mendakwa penggunaan pengecas turbo meningkatkan tork maksimum melebihi 40% yang membolehkan penghantaran kuasa lebih awal dan julat tork yang lebih luas.


Skuter konsep ini mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam tempoh 5.7 saat. Kelebihan ini menawarkan tahap pecutan setanding motosikal dalam kelas 650cc. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi CVT dan sistem suntikan bahan api elektronik (EFI). Bagi memastikan kestabilan ketika kelajuan tinggi, sistem pemasangan enjin serta agihan berat antara bahagian hadapan dan belakang turut dioptimumkan untuk memberikan tindak balas pengendalian lebih responsif.
Model ini turut menggunakan suspensi hadapan jenis USD manakala bahagian belakang menggunakan penyerap hentak tunggal jenis monoshock dengan sistem multi-link. Dari segi brek pula menggunakan cakera berkembar 288mm di hadapan dan cakera 275mm di belakang yang masing-masing dilengkapi sistem ABS. Jentera ini menggunakan tayar bersaiz 120/70-15 di hadapan dan 160/60-15 di belakang.


Tidak ketinggalan, MAXSYM TURBO turut dilengkapi pelbagai teknologi bantuan tunggangan moden termasuk sistem Ride-by-Wire, Cornering ABS dan Cornering TCS, Cruise Control, cermin penghadang angin elektronik dan meter TFT 7-inci yang menyokong sambungan aplikasi SYM+.
MAXSYM TURBO mempunyai panjang keseluruhan 2,192mm, lebar 902mm dan ketinggian antara 1,383mm hingga 1,507mm. Ketinggian pelana pula adalah 790mm manakala jarak roda 1,543mm. Sementara itu, sauz tangki bahan api model i i berkapasiti 16 liter.


Dengan kehadiran model ini dijangka memperlihatkan hala tuju baharu SYM dalam segmen skuter maxi berprestasi tinggi dengan menggabungkan teknologi pengecas turbo, sistem elektronik moden serta rekabentuk agresif berinspirasikan pahlawan gladiator. RR




