Yamaha BLU NEXUS: Pengalaman Premium Dunia Yamaha
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) terus memperkukuhkan kedudukannya dalam industri motosikal Malaysia menerusi pengenalan Yamaha BLU Nexus, sebuah pusat pameran utama (flagship showroom) yang terletak di Kompleks Hong Leong Yamaha, Sungai Buloh, Selangor.

BLU Nexus diperkenalkan sebagai sebahagian daripada ekosistem baharu Yamaha yang dikenali sebagai BLU Network, bertujuan memberikan pengalaman lebih premium dan menyeluruh kepada pelanggan serta peminat motosikal Yamaha khususnya yang berkuasa 250cc dan ke atas.


Menariknya, BLU Nexus mengetengahkan enam kategori utama motosikal Yamaha iaitu SuperSport, Naked, Automatic, Touring, Sport Heritage dan Adventure. Konsep ini membolehkan pengunjung mengenali dengan lebih dekat pelbagai karakter motosikal Yamaha, termasuk reka bentuk, siaz enjin, teknologi, ergonomik dan keistimewaannya yang menjadi sebab utama ia terus diminati.
Selain ruang pameran motosikal, pengunjung turut berpeluang melihat koleksi aksesori, pakaian dan barangan gaya hidup rasmi Yamaha yang melengkapkan pengalaman sebagai pemilik serta peminat jenama tersebut.

Menurut En. Hoo Wan Tim, Penurus Besar Penjenamaan & Pemasaran HLYM, antara kelebihan utama pengenalan ekosistem BLU Network adalah usaha mempercepatkan kemasukan model-model baharu Yamaha ke pasaran tempatan. Beliau turun menjelaskan langkah meluncurkan ekosistem baru ini adalah respon kepada nilai pasaran motosikal berkuasa 250cc ke atas yang semakin meningkat.
Pihak HLYM menyasarkan perkembangan tawaran daripada 7 model kepada lebih daripada 20 model CBU dan CKD. Model pertama yang diperkenalkan ialah Yamaha YZF-R9 yang ditawarkan pada harga RM68,000. Lihat artikel berkaitan model ini di laman lain.

Selain BLU Neus, pihak HLYM turut memperkenalkan dua lagi rangkaian lain yang terdiri daripada BLU Universe (Rangkaian pengedar premium untuk motosikal 250cc dan ke atas) dan BLU Point (untuk jentera di bawah 50cc).
Inisiatif ini turut memperlihatkan komitmen HLYM untuk terus memenuhi kehendak pelanggan serta mengembangkan penawaran motosikal Yamaha di Malaysia. RR




