Isu Terkini

Oktober 2024

Dari Litar / 18 Mac 2020

Penantian Lima Tahun Berakhir

Ahmad Syukran muncul Juara Keseluruhan CP115 2019.
Ahmad Syukran muncul Juara Keseluruhan CP115 2019.

Litar Sepang telah menjadi litar paling bermakna buat Ahmad Syukran Aizat dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing selepas menamatkan penantian selama lima tahun untuk meraih gelaran juara keseluruhan CP115 dengan penuh bergaya. “Kemenangan ini sangat bermakna buat saya kerana telah menunggu selama lima tahun dan kini akhirnya tercapai,” komen Syukran.

Sebelum itu, perlumbaan akhir kelas ini tertumpu kepada pertembungan lima pelumba hebat iaitu Adib, Syarifuddin, Syukran, Syafiq dan Fareez. Keluasan litar SIC ternyata memberikan peluang buat para pelumba ini mencari ruang untuk menyerang dan kelima-kelima mereka berjaya mempamerkan kualiti tunggangan yang cukup mengagumkan. Kira-kira 8,000 penonton yang hadir cukup teruja dengan kemampuan para pelumba mengendalikan jentera masing-masing dengan begitu cemerlang.

Walaupun sudah menghampiri lap-lap terakhir, sukar untuk meneka siapa bakal merebut kemenangan kerana mereka berlima terlalu rapat. Bagi pelumba yang ketinggalan, setiap peluang diambil sebaik-baik untuk meloloskan diri manakala pelumba di depan sibuk menutup segala ruang.

Para pemenang CP115. Dari kiri: Syarifuddin, Adib Rosley & Syukran.
Para pemenang CP115. Dari kiri: Syarifuddin, Adib Rosley & Syukran.

Selepas lapan lap bertarung, pelumba 'otai', Adib Rosley berjaya muncul juara dengan catatan masa 11:24.147s diikuti Syarifuddin yang hanya 0.025s di belakang untuk naib juara manakala tempat ketiga dimenangi oleh Ahmad Syukran. Syafiq yang mengharapkan kemenangan terpaksa berpuas hati di tempat keempat dan akhirnya gagal menggugat Syukran dalam pungutan mata keseluruhan selepas ketinggalan 10 mata di belakang. Tahniah buat Ahmad Syukran!

Azroy Hakeem dari pasukan Honda Yuzy Racing (tengah) gembira dengan kemenangan di SIC.

CP150

Pelumba pasukan Honda Yuzy Racing, Azroy Hakeem terpaksa bermati-matian mempertahankan posisinya sepanjang perlumbaan sebelum dinobatkan juara pusingan 10. Pertarungan bermula sengit dengan tunggangan cukup pantas dipamerkan oleh pelumba senior, Ahmad Fazrul Sham yang unggul di sesi superpole. Walaupun begitu, nasib tidak menyebelahinya apabila terbabas pada lap ketujuh yang meranapkan impiannya bergelar juara.

Ketiadaan Fazrul memberi peluang buat para pelumba lain seperti Afif, Akid, Hafiza dan Azroy mencari jalan untuk menang. Walaupun sudah bergelar juara, Afif tidak membiarkan kemenangan jatuh ke tangan pelumba lain dengan mudah. Dia cuba untuk memimpin tetapi kecekalan Azroy untuk terus memberi tekanan wajar diberi pujian.

Azroy akhirnya berjaya memintas dan mengekalkan rentak agar tidak mampu dicabar oleh para pelumba lain. Penat lelah dan kesabarannya membuahkan hasil apabila berjaya menerima kibaran bendera penamat 0.104 lebih awal daripada Afif yang sekali lagi mendapat tempat kedua. Pelumba dari Selangor, Md Muzakkir berjaya meraih podium pertamanya selepas menewaskan para pelumba lain untuk memenangi tempat ketiga.

Wira

Selepas menang pada pusingan 9 di Jempol, perbezaan di antara Aliff Danial dan Md Zaki hanya sebanyak enam mata dan litar SIC adalah penentuannya. Apa yang diharapkan oleh Zaki tidak menjadi apabila pelumba dari Selangor ini bermula agak di belakang dan gagal mendapat rentak seperti mana yang diharapkan. Walaupun begitu, semangat juangnya wajar dijadikan contoh oleh para pelumba muda khususnya.

Qayyum (55) unggul dalam perlumbaan akhir Wira dengan menewaskan Awal (33) & Idlan (19).

Perebutan juara tertumpu kepada kelompok hadapan yang dibarisi oleh Qayyum, Idlan, Awal M, Aliff dan Sharul. Seperti saingan lain, litar SIC yang luas memberi banyak peluang untuk seseorang pelumba mencari laluan terbaik bagi membuat serangan dan itulah yang digunakan oleh para pelumba muda ini.

Qayyum mengulangi kejayaannya di Jempol untuk sekali lagi berdiri megah di tangga pertama podium diapit oleh dua pelumba cukup berbakat iaitu Md Idlan di tempat kedua dan Awal M ketiga. Aliff Danial yang tamat di tempat keempat telah berjaya menjarakkan dirinya dengan selamat dari Zaki untuk menjuarai kelas Wira bagi musim 2019 dengan 145 mata.

Juara Yamaha Petronas Super Series, Afiq diapit oleh Afiq Kharith (kiri) dan Aliff Izwan (kanan).

Cabara Yamaha PETRONAS Super Series

Pusingan akhir telah memberikan kenangan paling manis buat Md Afiq M Hamdan apabila berjaya mempamerkan tunggangan bertenaga dengan menewaskan tiga pencabar utamanya untuk memenangi saingan ini. Kedudukan terbaik yang berjaya dicapai oleh Afiq di sepanjang musim ialah di tempat kelima iaitu pada pusingan kedua yang berlangsung di Litar Batu Kawan.

Sudah tentu usaha gigih di lapan perlumbaan berikutnya telah membuahkan hasil dan amat bertepatan dengan peribahasa, “Yang Bulat Tidak Datang Bergolek, Yang Pipih Tidak Datang Melayang” yang bermaksud sesuatu kejayaan itu tidak datang tanpa usaha.

Tahniah buat para pemenang dan bagi mereka yang belum berjaya ke podium, contohi Afiq dan teruskan usaha. Kejayaan pasti akan tiba suatu hari nanti.

Cabaran Honda Dash 125

Sasaran di SIC ialah untuk menamatkan saingan di depan Md Zuhailnabil dan gelaran naib juara adalah miliknya. Itulah yang berjaya dicapai oleh Ahmad Syamil Akmal walaupun hanya mampu berada di tempat keenam dalam saingan terakhir pada musim ini. Dengan pungutan 10 mata, dia berjaya mengenepikan Zuhailnabil yang hanya mampu tamatkan cabaran di tempat ke-15.

Apapun, sekalung tahniah buat Danish dan Md Faiz yang berjaya meraih kemenangan cukup berharga, masing-masing di tempat pertama dan kedua. Tempat ketiga dimenangi oleh juara 2019, Md Farid Hakimi dengan catatan masa 9:36.573 saat.

Cabara Yamaha NVX

Awal Mohamad bersama jentera bernombor 24 telah menamatkan cabaran musim ini penuh dramatik apabila membuktikan kemantapan tunggangannya untuk menewaskan Md Adib Kharith dan Hazim Rosmaza dalam satu pertarungan yang cukup sengit.

Md Ashraffi M Razi, Juara Cabaran Yamaha NVX musim ini.
Md Ashraffi M Razi, Juara Cabaran Yamaha NVX musim ini.

Sekurang-kurangnya 9 orang pelumba bersaing rapat untuk mencari kemenangan dalam saingan penutup tirai ini dan kesemuanya cukup tangkas meratah setiap selekoh dengan penuh keyakinan. Inilah semangat yang perlu dimiliki oleh setiap pelumba agar sentiasa turun beraksi dengan keinginan yang membuak-buak untuk mencari kemenangan.

Adib Kharith (21) mengerahkan seluruh tenaga bagi menyekat kemaraan Awal Mohamad (24).

Musim 2019 kita tinggalkan dengan 1001 kenangan pahit manis yang harus dijadikan tauladan oleh semua pihak agar perlumbaan ini terus menambat hati para pencinta motosikal di seluruh negara. RR

Isu Pada

Januari 2020

Popular

  • Warta Roda

    WMOTO Griffin 205 Sudah Berada di Pusat Pengedar Mforce Smartshop

  • Warta Roda

    Art of Speed 2026: 15 Tahun Menyatukan Jiwa Kustom

  • Warta Roda

    Honda ADV160 Edisi Terhad Versi Spider-Man Dilancarkan - Bermula RM14,149

  • Berita Kelab

    Kembara Road Rider Crew Taiping 3.0 Sempena Ulang Tahun Kelab ke-4

  • Dari Litar

    Hakim Danish Kutip Mata Berharga Walaupun Berdepan Cabaran di Sachsenring

Artikel berkaitan

Hakim Danish Kutip Mata Berharga Walaupun Berdepan Cabaran di Sachsenring

Hakim Danish Mahu Kekalkan Momentum di GP Jerman

Motul Jadi Penaja Rasmi Pasukan Honda Racing Malaysia bagi Musim 2026

Qabil Irfan Raih Podium Pertama Musim Ini

Jerez Jadi Medan Kebangkitan Qabil Irfan

MotoGP Malaysia Kekal Di Sepang Hingga 2031

Hakim Danish Terus Perkukuhkan Kedudukan di Moto3

Yamaha Jadi Pembekal Tunggal Moto3 Bermula 2028

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Art of Speed 2026: 15 Tahun Menyatukan Jiwa Kustom

Selama 15 tahun, festival ini berkembang daripada sebuah perhimpunan kecil komuniti kustom kepada acara gaya hidup yang menjadi tumpuan peminat automotif bukan sahaja di Malaysia, malah dari seluruh Asia.

Warta Roda

CFMOTO Flagship Store Kuala Selangor Dirasmikan

Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. terus memperkukuhkan rangkaian pengedarnya menerusi perasmian CFMOTO Flagship Store Kuala Selangor.

Dari Litar

Pedro Acosta Bersama Ducati Untuk Musim 2027 dan 2028. Marc Marquez Sambung Kontrak!

Pedro Acosta kini dengan rasminya menyertai pasukan Ducati bersama dengan Juara MotoGP tujuh kali, Marc Marquez.

Model Baru

Harga Rasmi BMW F 450 GS Trophy Diumumkan - Bermula RM39,900

BMW Motorrad Malaysia secara rasmi mengumumkan harga bagi BMW F 450 GS Trophy Baharu yang ditawarkan bermula RM39,900.