Isu Terkini

Oktober 2024

Dari Litar / 10 Mei 2016

MotoGP 2016 : Khairul Idham Pawi Cipta Sejarah Negara

Pastinya tanggal 3 April 2016, menjadi sejarah buat Malaysia apabila lagu ‘Negaraku’ berkumandang di Litar Autodromo Termas, Argentina selepas pelumba negara, Khairul Idham Pawi muncul juara dalam kelas Moto3. Pelumba kelahiran Perak itu telah menunjukkan tunggangan yang mengagumkan sejak perlumbaan dimulakan dengan memimpin dari awal hingga akhir.

Dari kiri: Jorge Navarro, Khairul Idham Pawi dan Brad Binder di atas podium Moto3.
Dari kiri: Jorge Navarro, Khairul Idham Pawi dan Brad Binder di atas podium Moto3.

Khairul dari pasukan Honda Team Asia ternyata dapat menyesuaikan diri dengan cepat untuk meraih antara pelumba paling pantas di sesi ujian masa dan pada perlumbaan akhir, pecutan yang sempurna di awal perlumbaan memberinya peluang besar untuk merebut kedudukan paling hadapan. Khairul juga antara beberapa pelumba yang memilih untuk menggunakan tayar jenis slick di litar yang tidak 100% kering berbanding kebanyakan pelumba menggunakan tayar jenis rain.

Kelebihan menggunakan tayar slick ini tentunya ia lebih mencengkam dan lebih ringan tetapi pelumba perlu memastikan suhunya tidak menurun. Untuk itu, dia (Khairul) perlu memecut dan sentiasa dalam kelajuan yang tinggi. Berisiko tetapi peluang untuk menang amat cerah. Dengan kecekapan dan skill yang tinggi, Khairul akhirnya muncul juara dan satu-satu pelumba negara yang pernah menaiki podium tertinggi dalam MotoGP.

Adam Norrodin.
Adam Norrodin.


Kejayaan pelumba muda ini telah menjadikannya pelumba paling muda luar Eropah yang berjaya memenangi perlumbaan iaitu pada umur 17 tahun dan 196 hari. Rekod ini telah berjaya mengatasi rekod Casey Stoner yang muncul juara pada perlumbaan 125cc di Valencia pada umur 18 tahun dan 17 hari. Khairul juga menjadi pelumba pertama dari Asia menjadi juara dalam lightweight-class sejak Tomoyoshi Koyama menjadi juara 125cc di Catalunya pada tahun 2007.


Tahniah juga diucapkan pada seorang lagi pelumba negara, Adam Norrodin dari pasukan Drive M7 SIC Racing yang hampir-hampir mendapatkan kemenangan di tempat kedua pada perlumbaan yang sama. Adam yang bersaing sengit dengan Jorge Navarro dari awal terbabas di selekoh akhir, hanya beberapa meter dari garisan penamat. Walaupun dalam kesakitan, pelumba muda ini bangun dan menolak jenteranya sehingga menerima bendera penamat di tempat kesebelas. Kesungguhan Adam telah mendapat tepukan gemuruh daripada para penonton dan mereka yang bertugas pada hari itu.


Kecemerlangan kedua-dua pelumba negara telah menjadi perbualan ramai di negara dan dengan sekelip mata Khairul Idham Pawi menjadi fenomena terbaru dan muncul sebagai ‘bintang’ di setiap akhbar, televisyen, radio dan media sosial. Sebagai anak Perak yang berjaya di pentas dunia, Khairul turut menerima insentif daripada Kerajaan Negeri Perak berjumlah RM100,000 sebagai pengiktirafan.

Selepas Argentina, Khairul dan Adam kedua-duanya meneruskan cabaran di Litar Americas, USA dan kali ini Adam ternyata lebih matang dengan keupayaannya mendapatkan petak keenam manakala keadaan cuaca yang tidak menentu menyukarkan Khairul untuk mendapatkan talaan terbaik.

Adam Norrodin beraksi cemerlang sebelum terjatuh di selekoh terakhir.
Adam Norrodin beraksi cemerlang sebelum terjatuh di selekoh terakhir.


Nasib sekali lagi tidak menyebelahi Adam selepas dilanggar oleh pelumba Jepun, Hiroki Ono di awal-awal perlumbaan, mengakibatkan dia terpaksa bersara lebih awal. Khairul mampu untuk memberi saingan bagi menamatkan cabarannya di tempat ke-20.

Demi memberi penghargaan ke atas kegemilangan Khairul, Boon Siew Honda (BSH) telah menyambut kepulangannya ke tanahair pada 13 April dengan penuh kemeriahan terutamanya dengan kehadiran CEO BSH, En. Nobohide Nagata bersama Timbalan CEO BSH, Dato’ Sri Tan Hui Jing. Khairul Idham Pawi yang juga popular dengan gelaran SuperKIP turut muncul di Litar Batu Kawan sempena perlumbaan Petronas Cub Prix 2016 April lalu.

Prestasi jentera Maverick Vinales (25) dan Aleix Espargaro (41) semakin meningkat dan sudah mampu menyaingi kelajuan Honda, Yamaha dan Ducati.
“Boon Siew Honda telah membawa saya ke tahap ini dan ia merupakan satu perancangan yang cukup teliti. Selepas muncul juara dalam perlumbaan satu jenama Honda pada tahun 2012, saya telah diserapkan ke dalam pasukan Kozi Yam Honda Racing selama dua tahun dalam kelas Wira. Saya berjaya menjuarai kelas tersebut,” kata Khairul.

“Pada tahun 2013 dan 2015, pihak Boon Siew Honda telah membuat tajaan untuk menyertai perlumbaan Asia Dream Cup dan saya berjaya muncul sebagai juara pada tahun 2014. Tahun 2015, saya menerima beberapa tawaran dan kontrak baru, tetapi saya sedar Boon Siew Honda mempunyai rancangan jangka masa lama untuk saya dan itulah sebabnya saya menyambung kontrak untuk terus bersama mereka pada tahun lalu,” tambahnya.

Marc Marquez melompat untuk menukar jentera ketika cuaca tidak menentu di litar Americas.
Marc Marquez melompat untuk menukar jentera ketika cuaca tidak menentu di litar Americas.

“Saya amat terharu dengan sokongan daripada seluruh warga Malaysia. Saya dan Adam merupakan pelumba rookies dalam Moto3. Selain Litar Sepang, kesemua litar-litar lain adalah baru buat kami dan semestinya kemenangan adalah sangat hebat tetapi kami perlu terus bekerja keras. Saya berharap agar semua penyokong terus mendoakan agar kami terus gigih untuk memberi lebih banyak kemenangan dan penghormatan buat Malaysia,” kata Khairul.

Masing-masing menunjukkan kehandalan untuk memasuki selekoh pertama di litar Americas.
Masing-masing menunjukkan kehandalan untuk memasuki selekoh pertama di litar Americas.

Selepas tiga pusingan berlalu, Marc Marquez kini sedang mendahului cabaran kelas prima dengan 66 mata diikuti Jorge Lorenzo (45 mata) dan Valentino Rossi di tangga ketiga dengan 33 mata. Pada perlumbaan pembuka tirai yang berlangsung di Litar Losail, Qatar pada 20 Mac lalu, pasukan Ducati terlebih dahulu memberi ‘amaran’ awal dengan prestasi yang sangat mengagumkan.

Jentera Ducati Desmosedici GP15 tunggangan Iannone dan Dovizioso ternyata lebih pantas berbanding para pencabar terutamanya di laluan lurus. Namun begitu, kejituan Yamaha M1 di dalam selekoh dan pecutan luar biasa Honda RC213V tidak boleh dipandang lekeh. Jorge Lorenzo dari pasukan Yamaha berjaya menewaskan Dovizioso untuk memenangi perlumbaan pusingan pertama manakala Marquez berjaya meraih tempat ketiga.

Dani Pedrosa terus mendapatkan Andrea Dovizioso untuk meminta maaf selepas perlanggaran di litar Americas.
Dani Pedrosa terus mendapatkan Andrea Dovizioso untuk meminta maaf selepas perlanggaran di litar Americas.

Ternyata perlumbaan pusingan pertama cukup penting untuk setiap pasukan menilai kekuatan dan kelemahan jentera-jentera mereka dan para pesaing agar segalanya dapat ditala semula untuk lebih berdaya saing.

Dari perlumbaan malam Litar Losail para pelumba terbang ke Argentina untuk mencari kejayaan seterusnya di Litar Autodromo pada 3 April lalu. Kepantasan para jurutera membuat talaan dan pengubahsuaian parameter enjin memang cukup hebat. Tahap pecutan, kuasa maksimum dan kestabilan ketika membrek dengan keras semuanya berjaya diperbaiki hanya dalam masa yang singkat.

Pol Espargaro (44) dan Tito Rabat (53) saling bersaing merebut kedudukan terbaik.

Pertarungan di antara dua musuh ketat, Marquez dan Rossi berlangsung cukup sengit apabila kedua-duanya saling memintas dan cuba membuktikan siapa lebih mantap. Lorenzo cuba mengekori kepantasan dua pelumba di hadapan tetapi sayangnya dia terbabas dan gagal untuk menyambung perlumbaan semula.

Sedang Rossi dan Marquez bergelut di hadapan, dua pelumba Ducati, Andrea Dovizioso dan Andrea Iannone pula semakin garang mengejar. Ketika Iannone cuba membuat pintasan di saat-saat akhir, tayarnya hilang cengkaman menyebabkan dia terbabas dan berlanggar dengan rakan sepasukannya, Dovizioso. Seperti Adam Norrrodin dalam Moto3, Dovizioso tetap menolak jenteranya hingga ke garisan penamat. Marquez dinobatkan sebagai juara, Rossi kedua dan pelumba paling bertuah tentulah Dani Pedrosa yang tiba-tiba mendapatkan tempat ketiga.

Kru pasukan meraikan kemenangan Marc Marquez di Litar Americas.
Kru pasukan meraikan kemenangan Marc Marquez di Litar Americas.

Jika Lorenzo ‘mangsa’ litar Argentina, Rossi pula gagal meraih sebarang mata apabila tayar hadapannya ‘membuang’ sewaktu bersaing dalam kelompok pertama yang dibarisi oleh Marquez, Lorenzo, Iannone dan Vinales. Litar Americas turut menjadi saksi betapa ramainya pelumba lain yang terbabas seperti Carl Crutchlow, Bradley Smith, Dovizioso dan Pedrosa.

Marquez kini dikejar pula oleh Lorenzo dan Iannone yang semakin lama semakin pantas. Pelumba Honda ini akhirnya berjaya muncul juara buat kali kedua manakala Lorenzo dan Iannone masing-masing di tempat kedua dan ketiga. Tahniah buat kedua-dua pelumba Suzuki iaitu Maverick Vinales dan Aleix Espargaro yang menamatkan perlumbaan di posisi keempat dan kelima.

Valentino Rossi.
Valentino Rossi.


Sayang seribu kali sayang buat Andrea Dovizioso, malang sekali lagi menimpa dirinya. Jika di Argentina dilanggar Iannone, perkara yang sama berlaku sekali lagi di Amerika ini. Sedang pelumba Ducati itu cuba menyaingi kepantasan kumpulan hadapan, tiba-tiba Pedrosa yang gagal membrek dengan kemas terus menghentam sisi kiri mesinnya menyebabkan kedua-dua pelumba terbabas.

Bradley Smith terkandas di litar Americas.
Bradley Smith terkandas di litar Americas.

Mengetahui ia adalah berpunca daripada kesilapannya, Pedrosa terus berlari mendapatkan Dovizioso untuk meminta maaf dan cuba memastikan rakannya itu tidak cedera. Pedrosa sekali lagi pergi ke ruang paddock pasukan Ducati untuk meminta maaf dan menceritakan bagaimana kejadian itu berlaku.

“Saya amat gembira dengan keputusan ini kerana litar ini merupakan antara yang terbaik dan yang paling saya sukai. Kejayaan ini adalah untuk semua dan kini perlu berusaha lebih gigih untuk pencapaian lebih baik,” kata Marc Marquez.

Dari kiri :Jorge Lorenzo Marc Marquez dan Andrea Iannone ‘berselfie’.
Dari kiri :Jorge Lorenzo Marc Marquez dan Andrea Iannone ‘berselfie’.

Selepas tiga pusingan berlalu, Marquez masih di kedudukan tertinggi bersama jentera Hondanya tetapi sedang diekori dengan rapat oleh para pencabarnya. Pastinya Ducati akan cuba memastikan persefahaman antara kedua-dua pelumbanya berada di tahap paling baik. Yamaha juga sedang berada di tahap sempurna untuk membuat talaan demi mengejar sesiapa sahaja di depan. RR

Isu Pada

Mei 2016

Popular

  • Warta Roda

    Pelajar Sekolah Maut Selepas Motosikal Dinaiki Rempuh Lori

  • Model Baru

    Hanway Heritage, Jentera Gaya Bobber Dilancarkan!

  • Model Baru

    ARIIC 318GT Secara Rasmi Dilancarkan – RM 22,888

  • Dari Litar

    Fabio Quartararo Kembali Julang Yamaha di Podium. Alex Marquez Raih Kemenangan Pertama

  • Warta Roda

    Kemalangan di Lebuhraya Karak. Penunggang Motosikal Dikesan Polis

Artikel berkaitan

Fabio Quartararo Kembali Julang Yamaha di Podium. Alex Marquez Raih Kemenangan Pertama

Pasukan Honda HRC Castrol Masih Mencari Rentak

CP150: Saingan Sengit di Garisan Penamat

CP150: Musim Pembuka Tirai 2025 Hujung Minggu Ini

MotoGP 2025 (Qatar): Minggu Sempurna Buat Marc Marquez!

Kejuaraan Petronas MAM Malaysian Cub Prix 2025 Dilancarkan

Espana Superbike Championship (ESBK):Qabil Irfan Raih Kemenangan Berganda di Jerez

Nama baru pasukan 'Honda Racing Malaysia' Sedia Menggalas Cabaran!

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Kemalangan Empat Buah Kenderaan, Pelajar Maut

Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Masjid Negeri, di sini pada petang Khamis.

Warta Roda

Honda Vario 160 Terima Tiga Warna Baru - Bermula RM10,198

Boon Siew Honda (BSH) telah memperkenalkan tiga warna terbaru untuk Honda Vario 160 iaitu Yellow, Matte Red dan Silver.

En. Kunitomo Asano, Pengarah Urusan & CEO Baru Boon Siew Honda

Boon Siew Honda mengalu-alukan En. Kunitomo Asano sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, menggantikan Encik Mitsuharu Funase yang telah dilantik sebagai Pengurus Besar Bahagian Lumba Motosikal di Honda Racing Corporation.

Warta Roda

Kebakaran Saluran Gas: Kenderaan Cair, Akuarium Menggelegak....

Akuarium menggelegak, kereta dan motosikal cair akibat bahang panas melampau susulan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya beberapa hari lalu yang diibaratkan sangat menakutkan, ibarat mimpi buruk kepada penduduk terlibat.