Ride Santai Bersama Yamaha XMAX 250
Hari ni...kami (aku dan Redz) dapat ride antara skuter paling popular di Malaya. Skuter maksi ini pun banyak 'al-kisahnya' terutama sekali soal harganya, tapi biarlah otai-otai skuter teruskan perdebatan masing-masing. Ya... tentulah model Yamaha X-Max 250 V3. Untuk model versi terkini tidaklah begitu banyak bezanya kalau nak bandingkan dengan V2 selain paparan meter, ruang barang depan, windsheild automatik, ada ESS (Emergency Stop Signal) dan sistem navigasi yang sedia ada.
Disebabkan kami berdua memang suka ride jauh ke tempat yang sejuk, Cameron Highlands sekali lagi menjadi pilihan destinasi. Jalan ke sana ada lurus, ada highway, ada selekoh dan banyak tempat menarik untuk siapkan kerja (buat contect).


Angin pagi masih sejuk masa aku hidupkan enjin XMAX. Plan kami simple saja: ride 'leha-leha' naik ke Cameron Highlands, hirup udara sejuk, lepak minum teh, tidur satu malam, esok turun balik. Start tayar golek awal pagi dari Tol Sungai Buloh, perjalanan memang smooth walaupun kenderaan agak banyak. Bila angin dah kena badan, kepala pun rasa ringan. Masuk kawasan bukit, selekoh demi selekoh X-Max melayan dengan cukup steady.
Dengan enjin 250cc, 2 silinder, sistem penyejuk cecair yang berkuasa 22.5hp dan tork 24.3Nm, skuter ini mampu memecut dengan mudah lebih daripada 130km/j cuma dirasakan sistem saspensi belakang perlu dipertingkatkan agar lebih padu menyerap hentakan. Ruang barang bawah pelananya memang besar, nak bawa baju untuk ride 3-4 hari pun tak ada masalah.


Dengan adanya sistem sambungan Y-Connect, perjalanan lebih seronok. Kita dapat dengar muzik, boleh terima panggilan, boleh tengok peta dan cuaca. BIla dah ada windsheild auto ni, mudahlah kita nak adjust ketinggiannya. Kalau nak pecut atau elak hujan gerimis, laraskan ke paras tertinggi tapi bila sampai ke kawasan bandar, turunkan untuk dapat lebih banyak angin. Tapi hakikatnya, ramai je pemilik Yamaha X-Max tak kira V1, V2 atau V3 yang tukar pakai windsheild pendek untuk tampak lebih cantik. Cuma bila ride dalam hujan tu, lebih basahlah berbanding kawan-kawan yang pakai windsheild standard.
Sampai Tapah, kami tak buang masa...terus memerah tenaga skuter ini mendaki. Makin naik atas, makin dingin dengan udara pergunungan. Tapi naik ke Cameron Highlands ikut laluan Tapah memang perlu banyak sabar. Bila tersangkut belakang lori, memang kena ikut pace dia. Nak cilok pun kena fikir dua kali sebab ada banyak selekoh buta. Bila line clear, hamburan kuasa enjin X-Max memberi kepuasan.


Yamaha X-Max 250 dilengkapkan dengan tayar-tayar bersaiz 120/70-15 (depan) dan 140/70-14 (belakang) yang dipadankan dengan brek-brek jenis cakera berserta sistem ABS dan Traction Control. Cumanya tayar 'stok' baru pada skuter ini masih agak licin, terasa sangat bila sampai di permukaan jalan yang lembab. Tak kisah pun sebab bukannya nak meleper macam 'superbike'. Sepatutnya kami hendak berhenti lama sedikit di Latar Iskandar untuk menikmati pemandangan air terjun yang indah. Memandangkan kenderaan banyak dan parking pun tiada, kami teruskan perjalanan naik ke atas.
Aduhai...lepas je Tanah Rata, jalan dah start sibuk. Kereta memang banyak, motor jangan ceritalah. Banyak betul group bikers datang sini. Hampir semua jenis motosikal dari kecil hingga yang ber'cc' besar. Group moped paling banyak! Sahabat-sahabat yang pakai motor touring besar dilihat terpaksa bekerja keras. Dengan box kiri-kanan, memang susahlah nak mencilok tu!


Lepas minum teh yang rasanya tiba-tiba lebih sedap di sini, kami terus menuju ke Sungai Palas tapi.... kereta dah kian bertambah. Mujurlah X-Max ini tidaklah begitu 'gemuk', mudahlah kami menyelit. Kehijauan saujana mata memandang segenap panorama di ladang teh di Sungai Palas memang masih menakjubkan walaupun dah 'beratus' kali ke sini. Pokok-pokok teh seakan-akan permaidani hijau yang dikurniakan Ilahi untuk kita terus bersyukur hidup di bumi Malaysia.
Info: Tarikan utama di sini selain ladang teh ialah Taman Tea Valley, Taman Santorini, Pasar Malam Golden Hills, Ladang Strawberri, Mossy Forest, Taman Flora Cameron, Taman Lavender, KEA Farm Market wajib singgah), The Sheep Sanctuary, Taman Rama-Rama, Time Tunnel Museum, Ladang Lebah Madu dan banyak tempat untuk perkhemahan.


Tapi itulah dia, kadang-kadang, bukan semua ride kena ikut plan. Lepas berbincang dengan Redz, kami membuat keputusan untuk tidak bermalam di sini. Sebab utamannya, pengunjung terlalu ramai dan kesesakan lalu lintas. Baru ride beberapa kilometer, jem mula jadi serius. Berhenti… gerak sikit… berhenti balik.
Turun balik ikut jalan SImpang Pulai...kali ni jalan lebih clear, selekoh boleh layan balik. Rasa lega tu lain macam. Tengok side mirror, Redz pun dok asyik meratah setiap selekoh dengan cukup yakin. Mungkin ramai akan kata, skuter tak sesuai nak 'main corner' tapi bagi kami, kalau dah guna teknik yang betul. Tak laju-laju...nikmat tu tetap ada.


Kami singgah di Restoran Tasek Hijau Meletop-Letop untuk mengisi perut yang kosong, bergambar, serta menyelesaikan sesi rakaman. Terletak bersebelahan Tasik Hijau, suasana di restoran ini memang cukup memukau dengan pemandangan tasik yang menenangkan, lebih-lebih lagi pada waktu petang. Ditambah pula dengan hidangan yang sedap-sedap belaka, pengalaman di sini memang berbaloi.
Sebagai sebuah motosikal skuter yang praktikal, ruang simpanan bawah pelana Yamaha XMAX ini memang cukup luas. Boleh muat dua buah topi keledar. Bukan itu sahaja, kerusi camping pun boleh masuk tapi topi keledaqr kena keluarkan la... Penggunaan petrol pada jentera ini juga amat menjimatkan. Dengan isian satu tangki penuh seuas 13 liter, XMAX ini boleh di tunggang sekitar 250 hingga 300 kilometer.


Ride Santai Bersama Yamaha X-Max hampir ke penghujungnya. Kami perlahan-lahan masuk ke bandaraya Ipoh untuk berehat dan bermalam. Esoknya ride pulang ke Kuala Lumpur 100% melalui Lebuhraya PLUS. RR
Popular




