Aveta Falcon 180 Diperkenalkan - RM9,798
Aveta Malaysia secara rasmi melancarkan Falcon 180 sempena Aveta Mega Gathering 2026 yang berlangsung di Setia City Convention Centre, Setia Alam, Selangor pada 18hb Oktober 2026. Kemunculan model ini menambah lagi pilihan buat pengguna mahukan sebuah skuter adventure yang sesuai untuk tunggangan harian.


Model ini dikuasakan enjin satu silinder 174cc, SOHC, empat injap dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api elektronik Bosch EFI. Falcon 180 mampu menghasilkan kuasa sekitar 18.2hp pada 8,500rpm dan tork 17.2Nm pada 6,500rpm yang turut dipadankan dengan transmisi jenis CVT.


Menariknya, Falcon 180 menggunakan fork hadapan jenis USD manakala belakang penyerap hentak berkembar dengan sub-tank. Skuter ini turut dilengkapi rim 14-inci bersama tayar 110/80 di hadapan dan 13-inci di belakang dengan tayar bersaiz 130/70. Selain itu, ketinggian pelana pula adalah 790mm dan tangki bahan api sekitar 14 liter.


Dari segi keselamatan merangkumi sistem ABS dua saluran dan traction control yang boleh dinyahaktifkan mengikut keperluan. Selain itu, Falcon 180 mempunyai pemijak kaki tambahan untuk membolehkan penunggang berdiri ketika melalui offroad ringan.


Antara kelengkapan lain termasuk skrin sentuh TFT 7-inci, Dashcam (hadapan), lampu LED, lampu kabus (boleh on/off) dan sistem kunci pintar, soket USB Type-A dan Type-C, ruang simpanan bawah tempat duduk, berat 155kg, kelegaan tanah 140mm serta penghadang angin hadapan boleh laras secara manual.


Aveta Falcon 180 hadir dalam tiga pilihan warna iaitu Sahara Bronze, Alpine White dan Storm Grey yang ditawarkan pada harga asas bermula RM9,798. RR






