Kisah Di Sebalik Penciptaan Honda CB1000F
Pada tahun 1981, ketika Freddie Spencer dan Honda menyertai Kejuaraan AMA Superbike dengan jentera CB750, Takayuki Haramoto masih lagi seorang kanak-kanak. Kini, Haramoto-san merupakan Ketua Projek Utama (Large Project Leader, LPL) di Honda yang mengetuai pembangunan CB1000F; sebuah motosikal jalanan gaya retro yang mengambil inspirasi daripada jentera lumba ikonik milik ‘Fast Freddie’.

Walaupun CB1000F menampilkan gaya yang kuat berinspirasikan era 1980-an, ia bukan sekadar motosikal retro yang dibina untuk mengimbau nostalgia. Kini mula tiba di pengedar Honda di seluruh Eropah, model ini menawarkan prestasi moden menerusi enjin yang berasal daripada Fireblade, kerangka moden, komponen saspensi mantap serta teknologi terkini.
“Matlamat utama kami dalam membangunkan CB1000F bukanlah untuk meniru CB750/900F secara langsung,” jelas Haramoto-san.

“Kami membangunkan CB1000F sebagai motosikal naked standard asas untuk pasaran Jepun; sebuah motosikal serba boleh yang sesuai digunakan dalam pelbagai keadaan. Ketika memikirkan masa depan model CB, khususnya bentuk ideal bagi sebuah motosikal roadster dan naked. Kami mengambil inspirasi daripada elemen reka bentuk siri F.”
Elemen reka bentuk siri F membawa gaya Bol d’Or yang tersendiri. Motosikal CB era 1970-an dan 1980-an ini mempunyai identiti ikonik, dengan nama Bol d’Or diambil daripada perlumbaan ketahanan 24 jam FIM yang terkenal. Ia menawarkan gaya motosikal kafe racer yang digabungkan dengan enjin berkuasa.


“CB750/900F sememangnya mempunyai daya tarikan yang luar biasa. Terutamanya reka bentuknya yang anggun dan dinamik, dengan keseluruhan badan motosikal dari tangki minyak hingga ke penutup ekor dibentuk sebagai satu rekaan yang menyeluruh. Pendekatan ini merupakan titik perubahan dalam reka bentuk motosikal,” jelas Haramoto-san.
“Sehingga hari ini, rekabentuknya masih kelihatan unik dan menarik. Saya tertarik dengan hakikat bahawa ia merupakan model Super Sport yang menggabungkan teknologi daripada jentera lumba ketahanan RCB1000 ke dalam sebuah motosikal produksi. Titik permulaan kami ialah mencari cara untuk menterjemahkan daya tarikan universal yang kekal relevan sepanjang zaman, seperti bentuk yang ringkas dan permukaan yang bersih, ke dalam era moden,” jelas Haramoto-san.

Hasilnya, pasukan tersebut menggunakan pendekatan yang sama ketika membangunkan CB1000F. Mengimbangi warisan lama dengan inovasi moden yang memerlukan pasukan itu melihat rekabentuk dari sudut yang lebih luas, tanpa terlalu terikat dengan nostalgia. Matlamatnya adalah untuk memberikan motosikal ini ‘penampilan yang gagah dan berwibawa, sesuai dengan sebuah motosikal berkapasiti besar’, sambil mengekalkan kemudahan pengendalian yang telah lama menjadi ciri utama keluarga CB.
Motosikal generasi awal menggunakan rangka jenis double cradle, sistem kemasukan udara mendatar serta kelengkapan elektrik yang minimum. Sebaliknya, platform moden menggunakan rangka jenis diamond, sistem kemasukan udara down-draft dan pelbagai sistem elektronik.

Dari segi sistem elektronik, CB baru ini telah disempurnakan dengan panel meter TFT, Honda RoadSync, Honda Smart Key, Honda Ignition Security System (HISS), Honda Selectable Torque Control (HSTC), Wheelie Control, Real-Lift Control, Mod Tunggangan dan Emergency Stop Signal.


"Motosikal generasi awal menggunakan rangka jenis double cradle, sistem kemasukan udara mendatar serta kelengkapan elektrik yang minimum. Sebaliknya, platform moden menggunakan rangka jenis diamond, sistem kemasukan udara down-draft dan pelbagai sistem elektronik. Perbezaan struktur rangka terbukti menjadi cabaran yang agak besar ketika mereka bentuk tangki minyak ikonik tersebut," jelas Haramoto-san.

Ini menunjukkan bahawa walaupun sesuatu perincian kelihatan ringkas dan mudah dikenali dari luar, pembangunannya tetap memerlukan rekabentuk semula serta kejuruteraan yang teliti untuk disesuaikan dengan platform jentera moden. Sebagai LPL, membangunkan CB750 Hornet dan Transalp model tahun 2023 merupakan antara pencapaian penting dalam kerjayanya. Beliau juga memberikan penghormatan khusus kepada Masatoshi Sato, LPL yang bertanggungjawab terhadap model-model tersebut serta CBR1000RR Fireblade.

Spesifikasi: Honda CB1000F
- Enjin: 1000cc, 4 silinder sebaris, DOHC, 16 injap, sistes penyejuk cecair
- Kuasa maksimum: 124hp padda 9,000rpm
- Tork maksimum: 103Nm pada 8,000rpm
- Laju maksimum: 230km/j
- Transmisi: 6 kelajuan
- Tinggi pelana: 795mm
- Isi tangki: 16 liter
- Berat (tangki penuh): 214kg
- Saspensi hadapan: Fork USD Showa SFF-BP 41mm
- Saspensi belakang: lengan ayun dengan penyerap hentak Pro-Link Showa
- Tayar hadapan: 120/70-ZR17 M/C (58W)
- Tayar belakang: 180/55 ZR17 M/C (73W)
- Brek hadapan: cakera 310mm
- Brek belakang: cakera 240mm




