☰
Isu Terkini

Oktober 2024

Model Baru / 10 Julai 2014

Kawasaki Ninja 250SL Pamerkan Prestasi Memukau

Mesin dua lejang keluaran Kawasaki sememangnya antara model legend dan yang paling lama berada di pasaran tanahair. Pastinya tidak mudah untuk kita lupakan KRR 150 Kips, KRZ, KRX, ZSR150,Victor dan pastinya Ninja 150RR yang diperkenalkan pada tahun 2005. Model-model ini pilihan dan idaman anak muda hingga ke hari ini kerana ia cantik, tahan lasak dan pantas.

Dari kiri: En. Jeffrey Lim, Raja Dato’Hanipuddin, Datuk Razlan dan En. Faez Yahya melancarkan model terbaru Ninja 250SL.
Dari kiri: En. Jeffrey Lim, Raja Dato’Hanipuddin, Datuk Razlan dan En. Faez Yahya melancarkan model terbaru Ninja 250SL.

Sempena sambutan ulang tahun ke-30 keluarga Ninja, Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB) telah melancarkan model terbarunya iaitu Ninja 250SL bagi menggantikan model dua lejang sedia ada. Majlis pengenalan model baru ini telah diadakan di Litar Antarabangsa Sepang yang disempurnakan oleh Raja Dato’Hanipuddin bin Raja Dato’ Nong Chik (Pengerusi Eksekutif KMSB). Turut hadir memeriahkan lagi majlis pada hari itu ialah En. Jeffrey Lim (Pengurus Besar/Pengarah KMSB), Datuk Razlan (CEO SIC) dan En. Faez Yahya (Pengarah KMSB).

Ninja baru ini dilengkapkan dengan enjin empat lejang, satu silinder, berkuasa 28hp pada 9,700rpm dan tork 22.6Nm pada 8,200rpm yang menjanjikan prestasi mantap dalam semua kedudukan gear seperti mana yang ditawarkan pada model dua lejang 150cc dulu. Ninja 250SL ini menggunakan sistem pancitan bahan api yang bukan sahaja memberikan tindak balas sempurna antara pendikit dengan enjin tetapi juga amat baik dari segi penjimatan bahan api.

“Dengan pengenalan model ini, para peminat motosikal kini mempunyai lebih banyak pilihan selain model Ninja 250 (dua silinder) dan Z250. Kami menyasarkan penjualan Ninja baru ini sekitar 1,500 unit setahun. Pelancaran model ini juga membuktikan komitmen kami dalam usaha meningkatkan jumlah penjualan motosikal di negara ini,” kata Raja Dato’Hanipuddin. 

Untuk membuktikan keupayaan sebenar Ninja 250SL, para wartawan telah diberikan kesempatan untuk menguji mesin ini di litar. Ia adalah saat yang dinanti-nantikan. Selepas menerima taklimat daripada wakil SIC yang bertugas, para wartawan telah dipecahkan kepada empat kumpulan A,B, C dan D dengan masa diperuntukkan kepada setiap kumpulan ialah sekitar 15 minit.

Sebelum bercerita mengenai prestasi, jom kita perhatikan rekabentuknya. Berbanding model dua silinder, Ninja 250SL tampak lebih garang, radikal dan rekaan kali ini menampakkan banyak bahagian yang ‘ditajamkan’ terutamanya di bahagian lampu utama, fairing hadapan dan lampu belakang. Tangkinya dibentukkan ala model sport dan dengan ketinggian pelana yang hanya 780mm, SL ini dapat dinaiki dengan mudah tidak kira anda penunggang lelaki mahu pun wanita. Oleh kerana pelana pemboncengnya agak kecil, menunggang berdua mungkin tidak sesuai untuk satu-satu perjalanan jauh.

Bijak! Panel meter 250SL ini direka berbeza sama sekali dengan model Ninja 250. Panel meter baru ini terdiri daripada penunjuk digital untuk tahap rpm, kelajuan, jam, perjalanan dan tahap bahan api. Perbezaan karaktor tunggangan juga akan kita dapati menerusi rekaan bar hendal yang lebih mirip dengan model motosikal sport. Cukup menarik! Kualiti pembinaan ini bersesuaian dengan harganya iaitu RM17,689.

Walaupun ianya sebuah mesin bertubuh kecil, penunggang bersaiz apa sekali pun dapat menunggang dengan selesa. Prestasi mesin yang hanya seberat 151kg (kurang 17 kg daripada model dua silinder) memang cukup mengagumkan terutamanya di kedudukan gear-gear pertengahan. Gear kedua dapat ditarik sehingga 60km/j, gear ketiga boleh dilarikan sehingga 90/100, 120 dalam gear keempat seterusnya mencapai kelajuan maksimum sekitar 160km/j di laluan lurus litar SIC (bergantung pada saiz penunggang dan cuaca).

Kerangka jenis Trellis yang ringan dan bertegaran tinggi memudahkan kita memasuki selekoh dengan yakin. Mesin tidak akan bergoyang atau bergegar walaupun kita membrek dengan keras sebelum masuk ke selekoh pertama. Casis dan kerangka yang bertegaran tinggi ini juga amat sesuai ketika memecut laju dan ya… inilah yang kita akan dapati ketika bersama Ninja 250SL ini, langsung tiada gegaran. Ia memang cukup-cukup mantap!

Kawasaki sentiasa memberikan para pelanggannya produk yang terbaik, dibuktikan pada sistem penyerap hentaknya yang cukup sempurna. Saspensi hadapan dan saspensi belakang jenis ‘Uni-track’ berjaya menyerap bebanan dengan cemerlang sekali dan memberi kestabilan yang tinggi ketika mengubah posisi jentera ini ke kiri dan ke kanan dengan pantas.

Keseronokan menunggang Ninja 250SL sebenarnya bukan semata-mata terletak pada kelajuan maksimum, ia lebih kepada sebuah motosikal yang ringan dan mudah dikendalikan walaupun bagi mereka yang baru bersama dua roda. Seperti kebanyakan brek model-model Kawasaki sebelum ini, Ninja ini terus menggunakan brek hadapan (sepasang cakera 290mm) dan belakang jenis berkelopak bersaiz 220mm.

Ninja 250SL dilengkapkan dengan tayar bersaiz 110/80 17MC (depan) manakala saiz tayar belakang ialah 130/70 17MC yang mampu mencengkam setiap permukaan jalan dengan jayanya. Selepas beberapa lama dengan model ini, kami dapati satu tangki penuh 11 liter boleh membawa kita mengembara lebih daripada 200km/j. Sport rim berbentuk ‘Y’ yang dilengkapkan pada model ini bukan sahaja cantik tetapi ia kuat dan tegar – membantu memperkemaskan tunggangan kita.

Semestinya ia akan menjadi pilihan sesiapa sahaja yang inginkan sebuah motosikal yang cantik, ringan dan senang untuk dikendalikan. Ninja 250SL ini didatangkan dalam dua pilihan warna yang menarik iaitu Kuning dan Hijau Kasturi. RR

Isu Pada

Julai 2014

Spesifikasi

Enjin4-lejang tunggal, DOHC, 4 injap, sejukan cecair
Isipadu249cc
Gerek & Lejang72.0 x 61.2mm
Nisbah Mampatan11.3:1
Kuasa Maksimum28hp pada 9,700rpm
Tork Maksimum22.6Nm pada 8,200rpm
Tinggi Pelana780mm
Isi Tangki11 liter
Berat151kg
PengeluarKawasaki Motor (Malaysia) Sdn Bhd

Popular

  • Model Baru

    Ducati Panigale V4S 2027: Lebih Moden & Lebih Berkuasa

  • Pandu Uji

    Kawasaki KLE500 - Dari Lebuhraya ke Laluan lasak

  • Warta Roda

    Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 Lebih Meriah... Lebih Mencabar

  • Warta Roda

    Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

  • Model Baru

    Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

Artikel berkaitan

Ducati Panigale V4S 2027: Lebih Moden & Lebih Berkuasa

Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

Kawasaki Versys 900 2027: Versatil & Berkuasa

Honda PCX160 Kembali ke Malaysia Selepas 6 Tahun - RM12,998

Aveta Nova 250 G Elite Edition Diperkenalkan! Harga asas RM14,888

Suzuki GSX-8TT 2027 Tampil Dengan Warna Merah Serba Baru!

LETBE PUNK 500: Bobber Gaya 'Jahat' Mungkin Masuk Malaysia Tahun Depan!!

MORBIDELLI C252V Sudah Berada Di Pasaran Malaysia

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 Lebih Meriah... Lebih Mencabar

Seramai 393 penunggang motosikal dari seluruh negara menyertai Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 yang berlangsung di Gerik, Perak pada pertengahan September yang lalu.

Warta Roda

Pusat Servis & Pejabat Urusan Mforce KL Berpindah Ke Lokasi Baru!

Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. mengumumkan perpindahan Pusat Servis dan Pejabat Urusan Mforce cawangan Kuala Lumpur ke premis baharu yang lebih luas dan lengkap di Jalan Segambut Tengah. Langkah ini merupakan komitmen berterusan syarikat dalam memperkasakan perkhidmatan selepas jualan seiring dengan peningkatan jumlah pemilik motosikal-motosikal Mforce di Malaysia.

Dari Litar

Marco Bezzechhi Cemerlang di Mandalika

Marco Bezzecchi mencuri tumpuan apabila menjuarai Grand Prix Indonesia di Litar Antarabangsa Mandalika, sekali gus menghidupkan semula cabarannya dalam perebutan gelaran dunia MotoGP 2026.

Pandu Uji

Kawasaki Versys 1100SE: Empat Silinder, 1,099CC… Sesuai Untuk Kembara Jauh!

Kawasaki Versys 1100 SE adalah antara jentera yang berada dalam kategori tersebut dan nama Versys ini bukanlah asing. Sebelum ini kita sudah mengenali Versys 1000 dengan enjin empat silinder 1,043cc. yang jujurnya saya katakan, model tersebut memang padu dan praktikal.