☰
Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 23 September 2026

Kawasaki Versys 1100SE: Empat Silinder, 1,099CC… Sesuai Untuk Kembara Jauh!

Setuju atau tidak jika saya katakan bahawa motosikal jenis adventure touring ini memang semakin mendapat tempat di kalangan peminat motosikal berkuasa tinggi khususnya di Malaysia. Kalau dulu kita nampak motosikal sebegini, terus terbayang nak masuk hutan, kembara jauh meredah jalan tanah dengan laluan-laluan lask. Tetapi saya pasti sekarang ini para pengeluar motosikal lebih fokus untuk menghasilkan produk-produk baru yang sesuai untuk perjalanan jauh dan dekat.

Kawasaki Versys 1100 SE adalah antara jentera yang berada dalam kategori tersebut dan nama Versys ini bukanlah asing. Sebelum ini kita sudah mengenali Versys 1000 dengan enjin empat silinder 1,043cc. yang jujurnya saya katakan, model tersebut memang padu dan praktikal. Selain itu, Versys 650 juga merupakan antara model kembara Kawasaki yang sangat 'kebal' untuk perjalanan jauh dan dekat.

Untuk model terbaru ini, kapasiti enjin telah ditingkatkan kepada 1,099cc dan kuasa maksimum pula meningkat kepada 133hp pada 9,000rpm dengan tork maksimum 112Nm pada 7,600rpm. Kali pertama melihat Versys 1100 SE, perkara yang paling mudah menarik perhatian sudah tentu saiz badannya. Ia besar!!! Fairingnya besar, tangki besar dan kedudukan hendal juga cukup tinggi dan bagi saya secara peribai, ketinggian bar hendal ini cukup sempurna.

Pelananya pula berada pada ketinggian 820mm, memberikan posisi menunggang yang memang menyenangkan. Duduk tegak....Pandangan ke hadapan luas, melepasi bumbung-bumbung kereta. Tangan pula tidak terlalu membongkok macam kita baik motosikal sport. 'So'....Kalau perjalanan jauh, memang ini yang kita mahukan iaitu keselesaan.

Tetapi ada satu lagi angka yang perlu kita ambil kira iaitu berat. Untuk Versys 1100 SE, beratnya ialah 260kg. Jadi kalau berhenti di tempat yang senget atau nak mengundur keluar parking, jangan terlalu yakin. Silap-silap kaki tak sempat menampung, kita pula yang kena cari kawan untuk tolong tegakkan. Bila dah bergerak, berat itu tidaklah terasa seperti masa kita menolak motosikal.

Walaupun enjinnya padu, bila kita bergerak perlahan dalam bandar, Kawasaki ini cukup jinak. Tak perlu pulas banyak pun, sikit saja dah cukup untuk melarikannya dengan sangat pantas...ya, sangat pantas. Untuk mencelah di dalam kawasan bandar juga tidak ada masalah, Versys ini memang mudah dikendalikan.

Bila sampai sahaja ke lebuhraya, kita akan dapat rasa perbezaannya lebih-lebih lagi apabila rpm mula naik. Bunyi enjin pula semakin sedap didengar...garang + merdu! Kawasaki Quick Shifter untuk model baru ini juga telah dipertingkatkan. Kini, proses penukaran gear sudah boleh dilakukan pada rpm yang lebih rendah, sekitar 1,500rpm. Ini sangat berguna terutamanya ketika berada di laluan berselekoh atau berbukit. Tapi nikmat sebenarnya tentulah apabila memecut dalam kelajuan tinggi kan..kan?

Sistem elektronik yang dipadatkan pada model ini memang banyak membantu. Kawasaki menyediakan  Kawasaki Traction Control (KTRC), Kawasaki Cornering Management Function (KCM), Power Modes, Kawasaki Quickshifter, Kawasaki Intelligent Anti-Lock Braking System (KIBS), Electronic Cruise Control, Kawasaki Electronic Control Suspension (KECS), Electronic Cornering Light, Kawasaki Riding Modes, Kawasaki Rideology dan semestinya Inertial Measurement Unit (IMU).

Semua sistem electronik yang ditawarkan itu menyumbang kepada kenikmatan menunggang dan tahap keselamatan yang tinggi ketika menunggang. Mana satu kita nak cerita dulu? Antara sistem elektronik yang akan kita hargai selepas beberapa jam di atas jalan ialah Sistem Cruise Control. Di lebuh raya, bila jalan lurus panjang dan trafik tidak begitu sibuk, kita boleh tetapkan kelajuan menggunakan sistem ini dan sedikit sebanyak, ia dapat kurangkan kerja tangan kanan.

Mod Tunggangan pula membolehkan kita memilih tahap hantaran kuasa enjin untuk lebih sesuai dengan keadaaan dan laluan yang dipilih. Ada empat pilihan terdiri daripada Sport, Road, Rain dan Rider (Custom). Sport dan Road memberikan hantaran kuasa paling padu cuma dibezakan dari segi respon pendikit (lebih mantap) dan tahap cengkaman sistem TC (paling minimum).

Mod Rain memang 100% akan gunakan bila menunggang dalam waktu hujan kerana tindak balas pendikit dengan enjin sangat lembut dan terkawal. Dalam mod ini, sistem TC berada di tahap tertinggi untuk lebih stabil di permukaan licin. Oleh kerana model ini juga lengkap dengan Pemanas Pendikit, tangan kita tidaklah terlalu sejuk.

Versys 1100SE turut didatangkan dengan sistem saspensi moden iaitu Kawasaki Electronic Control Suspension (KECS) dengan teknologi Showa Skyhook pada sistem saspensi hadapan dan belakang. Ya... satu perbezaan ketara berbanding varian standard. Sistem ini akan mengawal tahap redaman secara automatik menerusi maklumat daripada beberapa sensor yang mengenal pasti Kelajuan Motosikal, Pergerakan Fork, Tahap Pecutan, Kedudukan Motosikal dan Tahap Miringan.vTujuannya? Sistem ini akan memastikan jentera kita kekal stabil dan selesa untuk menyusuri jalan-jalan yang tidak rata, ketika membrek dan sewaktu mengambil selekoh.

Antara ciri-ciri paling menarik tentunya pada sistem pencahaaan yang terdiri daripada lampu-lampu jenis LED beserta Lampu Selekoh (Kawasaki Cornerin Light) di setiap sisi yang akan menyala apabila jentera ini dimiringkan khususnya di laluan berselekoh.

Versys 1100SE dilengkapkan dengan tayar hadapan bersaiz 120/70 ZR17 dan belakang 180/55 ZR17 yang dipadankan dengan sistem brek cakera berserta ABS dan TC. Dengan saiz cakera 30mm (depan) dan 250mm (belakang), kita lebih yakin mengendalikan jentera ini walaupun dengan barangan atau bersama pembonceng. Tetapi harus kita ingat, walaupun teknologi semakin canggih, kita tetap kena tahu kemampuan sendiri atau musibah mungkin berlaku. Jadi...hati-hati!

Dengan tangki minyak 21 liter, kami berjaya meraih perjalanan lebih daripada 300 kilometer dengan sekali isi. Betul....Versys ini memang sesuai untuk perjalanan jauh. Namun begitu, masih ada beberapa perkara yang pada saya agak kurang menyenangkan. Pertamanya dari segi berat, 260kg bukan ringat mat! Ketika bergerak mungkin tidak kisah, tetapi masa parking atau mengundur, kena lebih berhati-hati. Saya sentiasa akan pastikan tidak akan berhenti di jalan-jalan berbukit,  berpasir, condong atau licin....takut!

Secara keseluruhannya, Kawasaki Versys 1100 SE ini memang sebuah motosikal yang menarik dan 'lejen' di kalangan para penunggang motosikal di Malaysia. Lihat sahaja sejarahnya. Berapa ramai pemilik model Versys (250, 650, 1000 & 1100cc) mengembara ribuan kilometer ke seluruh dunia. Enjin tahan, alat ganti mudah dan senang nak bawa. Apa lagi mau?

Enjin empat silinder 1,099cc yang menghasilkan 133hp itu memang menjadi tarikan utama tetapi pada masa yang sama, sistem elektronik moden seperti KECS, Quickshifter, Cruise Control, Traction Control dan lain-lain menjadikan motosikal ini lebih lengkap untuk perjalanan jauh.

Dengan Kawasaki ini, saya boleh bawa perlahan. Boleh menikmati pemandangan. Boleh berhenti di kedai kopi tepi jalan. Boleh berbual dengan orang kampung dan tengok motosikal apa yang mereka guna dan sambung perjalanan semula. RR

Popular

  • Warta Roda

    PDRM & Harley-Davidson Jalankan Program POC Tiga Model Untuk Tugasan Rasmi

  • Warta Roda

    Kunjungan Rasmi TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ke Boon Siew Honda

  • Model Baru

    Jenama Sepanyol, BULTACO Kembali

  • Warta Roda

    Sah... Yamaha XMAX 300 TECH MAX Diserahkan Kepada 200 Pemilik Pertama

  • Dari Litar

    Hakim Danish Raih 7 Mata Untuk Naik Kedudukan Ketujuh Moto3

Artikel berkaitan

Honda CRF1100L Africa Twin 2026: Pengembaraan Baru Bermula

Honda CBR650R E-Clutch - Sebuah Supersport Mesra Pengguna?

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Hampir 1000 kilometer Dengan Aveta NOVA 250 - Apa Rasanya?

Media Test Ride Kawasaki Z900: Glenmarie ke Sekinchan - Bukan Sekadar Kuasa

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Moped 150cc Klac Auto Bakal Tiba Tahun Depan di Malaysia?

Segmen kapcai 150cc di Malaysia dijangka menjadi lebih menarik tahun depan?

Dari Litar

Qabil Irfan Cedera Dalam FP2 Moto4

Qabil Irfan mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan ketika sesi Free Practice 2 (FP2) Moto4 European Cup.

Dari Litar

Helmi Juara CP150 di Terengganu

Tahniah buat pelumba TAB SPORTS SCK HONDA RACING iaitu Md Helmi Azman menjuarai siangan CP150 Pusingan 5.

Model Baru

Yamaha YZF-R2 Diperkenalkan Untuk Pasaran India

Yamaha Motor India secara rasmi melancarkan YZF-R2 sebagai model baharu dalam keluarga R-Series.