Isu Terkini

Oktober 2024

Model Baru / 15 Ogos 2018

Honda CB1000R & CB250R Bakal Digilai Ramai

Pasaran jentera jalanan di Malaysia sudah pasti lebih meriah dengan pengenalan dua buah model terbaru dari Boon Siew Sdn Bhd (BSH) yang diberi gelaran Neo Sports Cafe iaitu model CB1000R dan CB250R. Kedua-dua model baru ini menggabungkan rekabentuk luaran sporty dan bergaya disamping prestasi enjin yang mengagumkan. Hadir menyempurnakan majlis pelancaran model tersebut ialah En. Keiichi Yasuda (Pengarah Urusan dan CEO BSH), Koichi Tonouchi (Ketua Pegawai Pemasaran dan Perancangan BSH) dan En. Voon Yin Kong (Ketua Pengawai Penjualan BSH).

CB1000R merupakan sebuah jentera jalanan yang cukup anggun dengan menawarkan rekabentuk lampu utama jenis LED berbentuk bulat. Dari bahagian sisi memperlihatkan tubuh Honda ini cukup tegap yang datangnya dari bentuk enjin mantap, sistem ekzos terkini, casis bertegaran tinggi dan bentuk tangkinya.

Dari kiri: En. Koichi Tonouchi, En. Keiichi Yasuda dan En. Voon Yin Kong melancarkan CB1000R & CB250R.
Dari kiri: En. Koichi Tonouchi, En. Keiichi Yasuda dan En. Voon Yin Kong melancarkan CB1000R & CB250R.

CB1000R diperkemaskan dengan enjin 988cc berkuasa 107kW pada 7,500rpm dan tork 104Nm pada 8,250rpm. Model ini juga didatangkan dengan fork Showa Separate Function Fork-Big Piston (SFF-BP), traction control, ABS yang memberikan kepuasan buat sesiapa sahaja yang menunggangnya. Model ini didatangkan dalam dua warna iaitu Graphite Black dan Candy Chromosphere Red berharga RM74,999.

CB250R pula memiliki banyak persamaan jika dibandingkan dengan model 'abangnya' CB1000R. Ia dapat dilihat dengan jelas menerusi lampu utamanya jenis LED, (juga berbentuk bulat), bentuk sistem ekzos, tangki, rim, lampu isyarat dan banyak lagi. CB250R berkuasa 20.3kW pada 9,000rpm dan tork 23.3Nm pada 8,000rpm. Harga untuk sebuah CB250R ialah RM22,999 dan didatangkan dalam tiga warna menarik iaitu Matt Bullet Silver, Graphite Black dan Candy Chromosphere Red.

Bersempena majlis pelancarannya, pihak BSH telah memberi peluang buat para media untuk merasai kemampuan kedua-dua model baru ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bersama-sama dua buah model baru 2018 yang telah dilancarkan lebih awal ialah Honda Africa Twin dan Honda X-ADV.

Kami bermula dengan menunggang model CB1000R terlebih dahulu. Posisi menunggangnya mudah dan selesa membolehkan kita meratah selekoh-selekoh di litar SIC dengan yakin. Model ini dihasil berasaskan jentera sport CBR1000R yang telah ditala semula agar lebih sesuai untuk tunggangan di jalan biasa. Prestasi enjin amat kami sukakan kerana dalam gear-gear pertengahan, hantaran kuasanya cukup bertenaga. Walaupun begitu, CB1000R tidak liar, ia mudah dikendalikan dan sifat lincahnya pasti menambat hati setiap penunggang.

Dalam laluan lurus, ia boleh dipecut lebih daripada 230km/j dan dengan sistem brek yang efisien, kami dapat mengurangkan kelajuan dengan sempurna sebelum masuk ke selekoh pertama. Jujurnya, kita tidak perlu mengambil banyak masa untuk memiringkan jentera ini dengan rapat – CB1000R benar-benar stabil.

Dengan penunjuk posisi gear yang besar dan terang, kita mudah memilih gear-gear dengan tepat untuk memasuki selekoh. Untuk menambah keterujaan, Honda telah melengkapkan model ini dengan sistem elektronik moden seperti traction control, engine braking control, beberapa mod tunggangan, ABS dan banyak lagi.

Selepas tiga lap, kami bertukar pula menunggang model CB250R. Pastinya ia lebih ringan dan lebih mudah untuk dikawal cuma sedikit sedih apabila mendapati panel meter model baru ini tidak dilengkapi dengan penunjuk gear. Apa pun, sistem transmisi dan tuas klac yang lembut dan licin membolehkan proses penukaran gear dapat dilakukan dengan sangat lancar. Dalam laluan lurus, CB ini dapat kami pecut sekitar 130-140km/j tanpa sebarang gegaran pada bahagian hendal mahu pun kerangkanya.

Kerangka CB ini dibuat cukup ringan tetapi bertegaran tinggi. Ketika berada di selekoh 4, 5 dan 6, kami hanya layarkan jentera Honda ini ke kiri dan ke kanan sesuka hati dan CB250R tetap berada di laluannya dengan cemerlang. Kami tidak dapat menguji sistem breknya dengan lebih sempurna kerana agak kesuntukan masa cuma apa yang dapat dikongsi ialah brek hadapan dan belakang jenis cakera hidraulik ABS amat membantu menjadikan perjalanan lebih selamat.

Dari siri CB, kami melompat pula ke atas model X-ADV yang sudah lama diidam-idamkan. Dalam tunggangan ringkas tersebut, kami amat sukakan sistem Dual Clutch Transmission (DCT). Menerusi sistem ini, kami dapat memilih sama ada untuk menunggang jentera ini dengan sistem transmisi seperti motosikal biasa atau sistem penukaran gear automatik. Kami memilih untuk menggunakan sistem DTC automatik. Dalam mod ini, penggunaan gear dikawal secara automatik mengikut tahap kelajuan dan putaran enjin. Memang sangat mengujakan!

Ketika tiba di selekoh, kami menutup pendikit sambil menggunakan brek agak keras dan ketika inilah DTC berfungsi dengan cemerlang menurunkan kedudukan gear dengan tepat. Kami berharap dapat mengulas dengan lebih terperinci mengenai sistem DTC yang cukup menarik ini apabila dapat menunggang ujinya kembali nanti. Sama-sama kita tunggu!

Sistem yang sama turut dimiliki oleh model pengembaraan, Honda CRF1000L Africa Twin yang kami uji pada hari tersebut. Pada mulanya memang agak kekok memecut sebuah jentera pengembaraan tanpa perlu menggunakan tuas klac mahu pun tuas gear. Seperti menunggang X-ADV, apabila kita memilih mod A (automatik), penggunaan gear diuruskan sepenuhnya secara automatik. Terdapat suis (sebelah kanan) berhuruf D (Drive), S (Sport) & N (Neutral) yang boleh kita pilih sesuka hati. 'D' lebih sesuai untuk tunggangan biasa dan 'S' pula jika inginkan lebih kuasa.

Jika memilih untuk menggunakan sistem transmisi secara manual, penambahan dan pengurangan gear dilakukan menerusi dua suis (+ /- ) di bahagian kiri bar hendal. Dalam masa yang terhad, kami tidak dapat menerokai berbagai lagi ciri-ciri menarik yang dimiliki oleh model ini. Namun begitu, prestasi enjin yang mantap serta kemampuannya memecut dan meratah segala selekoh di SIC membuatkan kami cukup menyukainya.

Secara keseluruhannya, kedua-dua model CB1000R dan CB250R yang dilancarkan tersebut bukan sahaja menawarkan rekabentuk yang menarik tetapi juga lengkap dengan pakej tunggangan yang sempurna. Majlis pada hari tersebut diakhiri dengan sambutan Hari Raya bersama para VIP dan kakitangan Boon Siew Honda yang hadir di SIC. RR

Isu Pada

Ogos 2018

Popular

  • Dari Litar

    CP150: Afif Tewaskan Azroy Di Litar LYL

  • Warta Roda

    GLOBAL: Haojue GSX500 - Kemas dan Cantik

  • Warta Roda

    Dua Gadis Meninggal Dunia Dirempuh Lelaki Disyaki Pengedar Dadah

  • Pandu Uji

    Clutchless....Stressless.. Honda CBR650R & CB650R E-Clutch Memang Best!

  • Dari Litar

    Ujian Rasmi Litar Aragon: Hasil Positif Untuk Pasukan Honda HRC Castrol

Artikel berkaitan

Harley-Davidson Pan America 1250 Special 2025

Triumph Speed Triple RX tawarkan prestasi 'Sang Juara'

CFMOTO 800MT-X Sebuah Jentera Adventure Touring - RM48,888

Yamaha Tracer 7 & Tracer 7 GT: Prestasi 'Sport Touring' Era Baru

Harley-Davidson Fat Boy Gray Ghost: Lawa Lain Macam!

CFMOTO 250NK Lite - Harga Marhaen RM9,888

SYM ADXTG 400 Sudah Mendarat di Malaysia - RM29,888

QJMOTOR AX200S Panaskan Lagi Pasaran Segmen Skuter - RM7,988

Disyorkan untuk anda
Pandu Uji

Aveta Vanguard 250 SE: Prestasi Di Luar Jangkaan

Aveta telah menawarkan pelbagai model menarik khusus buat mereka yang inginkan kelainan.

Warta Roda

Boon Siew Honda Nafi Jentera Jenama Lain di Malaysia Gunakan Enjin Honda

Boon Siew Honda ingin menangani dakwaan yang tidak tepat baru-baru ini yang telah mula beredar. Dakwaan ini mencadangkan bahawa enjin Honda digunakan pada motosikal bukan jenama Honda.\

Warta Roda

Enam lebuhraya, 25 jalan utama ditutup, dilencongkan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN

Penutupan jalan raya secara berperingkat serta lencongan laluan akan dilaksanakan membabitkan enam lebuh raya utama dan 25 jalan strategik di sekitar Lembah Klang bermula 23 Mei ini.

Model Baru

Yamaha Tracer 7 & Tracer 7 GT: Prestasi 'Sport Touring' Era Baru

Yamaha TRACER 7 dan TRACER 7 GT 2025 hadir untuk memberikan takrif baru untuk segmen Sport Touring 'kelas pertengahan dengan menampilan wajah baharu yang lebih garang dan diberikan pelbagai peningkatan teknologi menarik bagi memastikan.