Isu Terkini

Februari 2024

Personaliti / 10 September 2015

Saliza Shahbuddin : Penunggang Yang Baik Disegani Semua

Dari kecil hingga kini, cinta saya pada motosikal tidak pernah padam. Bagi saya, dengan motosikal kita dapat banyak pengalaman dan ramai sahabat handai,” kata Saliza dari Shah Alam yang juga merupakan seorang Pengurus Jualan Bahagian Motosikal di sebuah syarikat automobil di Selangor.

Ketika berumur 17 tahun, Saliza sudah pernah menunggang Cagiva Mito dan Yamaha TZM tetapi motosikal pertama miliknya ialah Yamaha RXZ135 yang dibelinya pada tahun 1993. Ketika itu Saliza masih lagi menuntut di Universiti Teknologi Mara dan dengan motor inilah Saliza meronda-ronda seluruh Kuala Lumpur. Selepas berkahwin pada 1995, dia membeli pula sebuah Kawasaki Vulcan tetapi apabila kerjanya bertambah dan memerlukan Saliza bekerja luar selalu, dia akhirnya terpaksa melupakan seketika dunia motosikal semata-mata untuk mengejar kariernya.

“Dunia automobil sentiasa dekat di hati saya. Sebelum bekerja di dunia permotoran, saya pernah bertugas di DRB Hicom dalam bahagian automotif yang pastinya memberikan peluang untuk mengenali dunia permotoran dengan lebih dekat. Saya amat bersyukur kerana dididik dari kecil untuk menjadi seorang yang berdikari dan berdisiplin demi mencapai kejayaan,” tambah Saliza.

Tahun 2000, Saliza kembali bermotosikal dengan menunggang Yamaha TZR250 tetapi ketika itu dia masih belum benar-benar aktif hinggalah kira-kira dua tahun yang lalu. “Saya membeli Kawasaki ER6n kerana ia merupakan sebuah jentera yang mudah dan ringan – sesuai untuk perempuan. Saya juga antara ahli Kawasaki Lady Bikers yang awal dan sememangnya mempunyai ramai kenalan yang rapat di dalam kumpulan ini.”

Selepas setahun bersama ER6n, Saliza bertukar selera daripada menunggang sebuah jentera jalanan kepada mesin sport dengan membeli BMW S1000RR. “Walaupun saya sudah bertukar motor, hubungan saya dengan pihak Kawasaki masih kekal baik dan rapat hingga kini. Saya sering kali menerima jemputan untuk menyertai konvoi atau menunggang uji jentera baru mereka. Terima kasih diucapkan.”

“Apabila bekerja sebagai Pengurus Jualan Motosikal, saya kini lebih gembira kerana dapat bertugas dalam dunia yang saya cintai. Saya kini sudah mengembara ke seluruh semenanjung dan ke Thailand bersama jentera saya ini dan antara kenangan paling indah buat saya ialah ketika menyertai konvoi ke Krabi, Thailand tahun lepas. Masa tu S1000RR ini baru sahaja sehari keluar kedai! Saya menunggang selama 17 jam dalam pengembaraan itu dan paling mengejutkan tentulah posisi menunggangnya yang cukup selesa walaupun ia sebuah sportbike...jatuh cinta dibuatnya dengan model ini”.

Dengan menyertai ekspedisi atau berkonvoi terutamanya ke luar negara, Saliza bukan sahaja dapat kenalan baru tetapi juga mengenal pasti undang-undang jalan raya yang berbeza, corak kehidupan dan kebudayaan masyarakat luar. Kesempatan itu juga diambil sebaik-baiknya oleh Saliza untuk bertanya kepada para penunggang 'otai' cara-cara menunggang dan penggunaan gear dengan betul dan tepat. “Apa yang penting buat penunggang wanita yang menyertai mana-mana ekspedisi ialah cara kita bergaul dan paling penting tidak melampaui batas pergaulan. Kita akan berdepan dengan pelbagai jenis penunggang motosikal dengan macam-macam ragam, paling penting nilai persahabatan.”

“Pernah sekali, saya menghabiskan berjam-jam bersama Pak Wan (otai motosikal di Simpang Pulai) semata-mata untuk mendengar nasihat dan tunjuk ajar daripadanya. Pak Wan mengajar saya tentang pemerhatian (mata) di dalam selekoh, penggunaan gear yang sesuai dengan kelajuan dan segala ilmu ini terus saya praktikkan sebaik sahaja memanjat di atas motor. Ia memang berhasil, pengendalian lebih mantap! Apabila keyakinan lebih tinggi, saya pun terus mencuba keberanian dengan memecut ke tahap 290km/j untuk seketika. Saya melakukannya untuk mencabar kemampuan dan keberanian saya. Berjaya.”

Saliza turut menekankan kepada rakan-rakan yang sering berkonvoi agar sentiasa peka, berwaspada dan mematuhi segala arahan yang diberikan oleh marshal yang bertugas. Dengan mematuhi segala arahan dengan baik, nyawa dan keselamatan kita lebih terjamin terutamanya ketika berada di lokasi yang asing buat kita. Nampak macam senang tetapi percayalah menunggang di negara luar memang sukar terutamanya apabila berada di kawasan persimpangan, round about dan kawasan sekolah. Mereka yang dipilih untuk menjadi marshal selalunya terdiri daripada para penunggang yang banyak pengalaman, jadi...lebih baik mendengar arahan yang diberikan.

“Pengalaman pahit buat saya ialah kemalangan yang berlaku di Dungun tiga bulan yang lepas. Ketika kami dalam perjalanan, terdapat sebuah jentera 4x4 yang berhenti betul-betul di tengah jalan. Saya yang sedang menunggang dalam kelajuan 60km/j tidak dapat mengelak rakan di hadapan. 'Bammm!' Saya melanggar rakan di hadapan menyebabkan saya tercampak manakala tayar hadapan motor saya retak! Akibat perlanggaran itu, saya mengalami cedera di bahagian siku dan tangan yang terpaksa menerima 14 jahitan!”

Selepas dua minggu barulah Saliza menunggang semula motosikalnya. Walaupun masih trauma tetapi semangat yang tinggi menyebabkan Saliza pantas ceria dan yakin seperti sedia kala. Untuk meningkatkan kemahirannya mengendali motosikal, Saliza kini turut aktif dalam dunia motosikal offroad malah pernah bermotor ke dalam hutan (Mat Daling, Ulu Tembeling) selama 3 hari 2 malam dengan menunggang Kawasaki KLX150. Sebagai pencinta motosikal dan pengembaraan, Saliza mengimpikan untuk memiliki sebuah R1200 GS Adventure yang akan dibawa menikmati perjalanan ke destinasi terkenal dunia iaitu 1000 Corners.

“Bagi saya semua pencinta motosikal sama sahaja, tidak kira jenama apa, berapa cc kuasanya atau model apa sekalipun. Selain disiplin yang tinggi, seorang penunggang motosikal itu tidak perlu berlagak sombong sebaliknya jadikan aktiviti bermotor ini sebagai satu jalan untuk menambah kenalan dan persahabatan. Apabila hubungan terjalin, kita juga yang akan mendapat segala kebaikannya seperti tips dan ilmu tunggangan, lokasi bengkel yang bagus atau barangan motosikal yang dapat dibeli pada harga yang menarik. Percayalah...tanpa persahabatan, segala ini tidak mungkin terjadi,” kata Saliza menutup cerita. RR

Isu Pada

September 2015

Popular

  • Model Baru

    Vmoto Sudah Berada Di Malaysia. Lancarkan CPx PRO dan TC Max

  • Warta Roda

    Konvoi 'High Speed Hill Journey' Bersama Pengedar Yamaha Taiwan

  • Model Baru

    KTM 990 RC R Versi Jalanan Sah Masuki Pasaran

  • Warta Roda

    Kemalangan Motosikal Dengan Pacuan 4 Roda, Penuntut IPT Maut

  • Warta Roda

    Warna Baru Untuk Yamaha MT-15

Artikel berkaitan

Pelumba Muda, Dharwin Lingam Lebih Semangat Harungi Musim Baru

Rewi Hamid Bugo - Usahawan & Pencinta Motosikal Sejati

Khairulamirin Yahaya - Pelumba Supermoto Negara

Md. Mikail Razlan - Terus Buru Kegemilangan

Bob Eden - Ingin Menabur Bakti Buat Pengguna Motosikal

Gary, Tina & Sam Sharman - Pencinta Motosikal Sejati

Azlan Shah Kamaruzaman: Semangat Juang Tidak Pernah Padam

Kenny Tan Kee Hooi: Cinta Pada Dua Roda Tak Pernah Padam

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Aveta 'Ride & Camp' - Meraikan 20 Pemenang 'Time To Explore'

Tahniah kepada 20 pemenang pertandingan 'Time To Explore' kerana telah dipilih dan berpeluang untuk menyertai aktiviti Rida & Camp ajuran Aveta Malaysia.

Dari Litar

Pecco Juara GP Sepanyol...Tapi Marquez Sudah 'Kacau'!

Saingan kali ini lebih 'syiok' apabila Pecco diberi tentangan sengit oleh Marc Marquez yang dilihat sudah semakin memahami karaktor jenteranya.

Warta Roda

Ducati Riding Experience (DRE) Road Academy: Tingkatkan Kemahiran Penunggang

Ducati Riding Experience (DRE) kembali untuk tahun ini menerusi sesi Road Academy yang diadakan di Gemuda Gardens, Rawang. Penganjuran ini ditawarkan oleh Ducati Malaysia untuk semua penunggang dan peminat dua roda tanpa mengira jenis motosikal.

Model Baru

Triumph Speed 400 & Scrambler 400 X Masuki Pasaran Negara

Triumph Motorcycles Malaysia telah melancarkan model Speed 400 dan Scrambler 400 X untuk pasaran negara.