Isu Terkini

Disember 2023

Personaliti / 19 September 2020

Khai Zabidin: Tidak Kenal Erti Putus Asa

Khaizatul Akmar bt Zabidin atau Khai (panggilan lebih mesra di kalangan rakan-rakannya), berasal dari Kuala Lumpur dan sejak di bangku sekolah lagi cukup aktif dalam dunia sukan. Minatnya yang mendalam untuk memiliki motosikal terpaksa ditangguh sehinggalah Khai bekerja dan mampu menyimpan wang secukupnya.

Motosikal pertama miliknya ialah Suzuki RG120 yang digunakan untuk berulang alik ke tempat kerja dan beriadah di waktu-waktu lapang. Pada tahun 1998, Khai memberi tumpuan sepenuhnya dalam kerjaya dan akhirnya memiliki sebuah Ducati 900SS. “Memang sukar nak gambarkan perasaan saya apabila melihat motosikal tu berada di depan mata. Sangat bangga dan gembira. Dengan Ducati inilah saya mula menunggang ke Awana Genting, Ulu Yam dan paling jauh ialah ke Betong, Thailand.”

Khai merupakan seorang ahli perniagaan yang sangat mementingkan kejujuran dan kepercayaan. Baginya dengan adanya sifat-sifat ini, segala yang diusahakan akan diberkati dan kita tidak mudah berputus asa atau terasa cemburu dengan kejayaan seseorang. Khai juga memiliki Executive Master dalam bidang Pengurusan Perniagaan Kejuruteraan dan kini sedang menyambung pelajarannya untuk Ijazah Kedoktoran dalam bidang Pentadbiran Perniagaan.

Khai adalah pencinta sukan motosikal lasak dan selepas beberapa tahun menunggang Ducati 900SSnya, pada tahun 2002 dia membeli sebuah KTM EXC450. Dia akui model tersebut sangat berkuasa, agak berat dan hanya sesuai untuk aktiviti 'trail'. Walaupun dengan kesedaran tersebut, Khai terus menunggang jentera ini agar skil dan tahap tunggangannya akan lebih baik. “Motocross banyak mengajar saya tentang cara kawalan dan pengendalian motosikal. Hampir setiap pelumba motosikal akan berlatih dengan menggunakan jentera motocross kerana ia akan membantu para penunggang agar lebih fokus, imbangi badan, counter steering dan macam-macam lagi.”

Khai kemudiannya membeli sebuah Ducati 916SP untuk kegunaan di litar. Terdapat sedikit masalah pada jentera itu lalu ditukar kepada Ducati 999S. Oleh kerana terlalu sukakan dunia perlumbaan, Khai mula berjinak-jinak dengan acara perlumbaan. Kali pertama ialah pada tahun 2005 dalam Kejuaraan Aprilia Cup dengan menunggang sebuah RS250. Ketika itu Aprilia Cup dijadikan perlumbaan sokongan dalam MotoGP Malaysia 2005. Oleh kerana ketika itu Aprilia Cup dijalankan serentak dengan Kategori Produksi, terdapat kira-kira 50 pelumba di grid permulaan. “Saya cuma sempat belajar menunggang Aprilia ini tidak sampai dua hari dan dapat berada di petak ke-22. Memang ia sangat membanggakan,” kata Khai.

Minatnya dalam dunia perlumbaan diteruskan dengan menyertai Kejuaraan Kawasaki Cup dan Piala Yamaha 135LC. Dalam usahanya untuk meraih kesempurnaan dalam menunggang, Khai telah terlibat dalam kemalangan ketika berlatih (offroad) dan kemudian semasa dalam persaingan yang menyebabkan tangannya patah.

Kecederaan yang dialaminya memaksa Khai untuk berehat beberapa bulan dan memberi tumpuan sepenuhnya untuk empat orang cahaya mata, Fiz Khan, Azim, Khaireena dan Aleeq. Khai kembali beraksi pada tahun 2007 dengan menyertai Kejuaraan Kawasaki Cup. Dengan semangat yang kental dan tunggangan yang semakin baik, Khai berjaya menamatkan cabarannya pada musim itu di kedudukan kelapan daripada 22 orang pelumba.

“Dalam mengharungi hari-hari bergelar ibu, ketua dalam kerjaya dan sebagai seorang pelumba, saya sentiasa positif, cekal dan sentiasa memajukan diri.” Sejak tahun 2006 sehingga tahun 2008, Khai terpilih untuk berada di bawah payung pasukan Raceline dalam perlumbaan FIM Asia Road Racing dan bersaing dengan menggunakan jentera Kawasaki RR. Walaupun cukup kompetitif, masalah teknikal yang dialami oleh motosikalnya menyebabkan Khai tidak dapat meneruskan perlumbaan. Menurut Khai, ia sangat mengecewakan kerana dia sudah mempunyai rentak untuk berada di hadapan.

Tahun 2008 hingga 2010 juga adalah detik penuh ujian dan dugaan dalam dirinya. Masalah ekonomi yang menimpa menyebabkan Khai terpaksa menjual hampir kesemua motosikal dan kereta kesayangannya. Walaupun dalam penuh keberatan, Khai terpaksa melakukannya demi kebajikan, pendidikan dan kehidupan anak-anaknya.

Selepas keadaan kembali pulih, sedikit demi sedikit, Khai 'menghidupkan' semula dirinya sebagai insan yang lebih cekal dan tabah. Cintanya pada motosikal tidak pernah hilang. Daripada seorang pelumba, Khai ketika itu lebih tenang dengan menyertai konvoikonvoi anjuran Lady Bikers dan kelab motosikal yang lain.

Bergambar kenangan bersama Troy Bayliss.
Bergambar kenangan bersama Troy Bayliss.

“Saya dijemput untuk menyertai pengembaraan “24 Hours Borneo International Ironman 2011.” Saya bertanggungjawab dalam hal ehwal urusan kargo untuk membawa motosikal dari Kuala Lumpur hingga ke Kuching. Pengembaraan lasak 24 jam itu disertai oleh 5 penunggang dari Semenanjung, 3 dari Kuching, 3 dari Sabah, seorang dari Indonesia dan 2 dari Brunei.”

Perjalanan tersebut sangat mengujakan dan cukup lasak. Jarak perjalanan mencecah 1,700 kilometer di pelbagai jenis jalan dan mukabumi. “Antara pengalaman yang tidak dapat saya lupa ialah ketika mengisi minyak di jalan pendalaman dari Serian ke Sarikei yang dikatakan sangat 'keras'. Sepanjang jalan saya terbau sekejap wangi dan sekejap busuk. Jam sudah 2.00 pagi dan dalam kegelapan tersebut saya kehabisan bahan api dan cuma doakan agar jika benar-benar ada mahluk, biarlah 'dia' menjelma untuk membantu saya mengisi minyak. Penat!”

Nasib baiklah ketika itu kumpulan belakang muncul dan salah seorang daripada mereka membantu menambah bahan api. Ketika tiba di Kudat, pemandangan kilauan cahaya bulan di permukaan laut sangat memukau dan secara tidak langsung bagaikan menyambut kehadiran para peserta. Kejayaan para penunggang motosikal ini telah diabadikan di dalam The Malaysia Book of Records.

“Inilah yang saya inginkan selama ini. Satu pengembaraan lasak memandangkan saya adalah pencinta sukan motocross.”

Bersama Ketua BMW Motorrad, En. Owen Riley di cabaran BMW GS Trophy.
Bersama Ketua BMW Motorrad, En. Owen Riley di cabaran BMW GS Trophy.

Oleh kerana terlalu sukakan pengembaraan di Sabah dan Sarawak, Khai kembali pada tahun 2012 kerana tertarik dengan pemandangannya yang cantik dan keramahan masyarakat di sana. Pengembaraan keduanya ialah dari Kota Kinabalu, Sabah ke Ba'kelalan, Sarawak sejauh lebih daripada 700 kilometer (pergi-balik). Khai menunggang Kawasaki KLX250 untuk pengembaraan yang cukup sukar ini.

Pada tahun yang sama juga Khai menerima jemputan khas untuk menyertai Phillipines Ducati Week. Khai amat bertuah kerana dapat bertemu dengan bekas pelumba pasukan Ducati, Troy Bayliss dan diberi peluang menunggang uji Ducati Panigale di Clark International Speedway. Khai sekali lagi ke sana (Filipina) beberapa bulan kemudian untuk mengembara bersama-sama PAR Motorrad. Dalam pengembaraan inilah Khai terbabas di sebuah jambatan besi yang menyebabkan dua tulang kakinya patah dan memerlukan pembedahan.

Tahun demi tahun, Khai semakin berani dan yakin untuk menyertai perlumbaan lasak (Enduro) yang dianjurkan di dalam dan luar negara. Antaranya ialah 8th 24 Hours BOSS (BMW Owner Safety Society) Challenge, tajaan BMW Motorrad Filipina pada tahun 2014. Perjalanan merentasi tiga buah gunung itu sejauh 1,200 kilometer tersebut disertai oleh 237 peserta dan Khai merupakan peserta wanita pertama yang tiba di garisan penamat menduduki tempat ke-30 keseluruhan.

Pada tahun itu juga, Khai turut mengulangi kejayaannya di BMW Motorrad Eco Challenge Langkawi dengan meraih pemenang di tempat kedua. Pada tahun berikutnya, dia menyertai pula Enduro Challenge Putrajaya seterusnya perlumbaan lasak BMW Motorrad GS Trophy yang telah mengharumkan nama Khai sebagai pelumba wanita terbaik dan mampu untuk mewakili Malaysia dalam persaingan yang lebih hebat.

Tiada saat yang paling membanggakan apabila mewakili Malaysia dalam persaingan BMW Motorrad GS Trophy International Female Team Qualifier yang diadakan di Afrika Selatan pada tahun 2017. Perlumbaan lasak ini disertai oleh 23 orang penunggang wanita dari 13 buah negara. Antara cabaran yang terpaksa dilalui ialah menunggang di laluan sukar dengan mata yang ditutup, laluan slalom, menaiki laluan berbukit, tunggangan teknikal di jalan sukar yang disediakan, ujian kawalan pendikit dan banyak lagi.

“Perlumbaan lasak di sana sangat mencabar dengan pelbagai laluan dan disiplin yang memerlukan pengalaman, skil dan pengetahuan teknikal mengenai jentera BMW khususnya. Peringkat pertama menguji kemahiran para peserta dalam pengendalian motosikal di pelbagai laluan sukar. Di peringkat separuh akhir pula, para peserta dibahagikan kepada empat kumpulan untuk menunggang di waktu malam sejauh 25 kilometer ke destinasi yang ditetapkan disamping menyelesaikan beberapa tugas seperti menampal tayar.”

Ternyata segala disiplin-disiplin yang ditugaskan itu hanya dapat dilakukan dengan kesabaran, ketekunan, pengalaman dan semangat berpasukan. Khai kini sedang memantapkan tahap kecekapannya menunggang dan mempertingkatkan keupayaan diri untuk meneruskan minatnya dalam dunia perlumbaan enduro lasak. RR

Isu Pada

Mei 2018

Popular

  • Model Baru

    Shineray 284 - Moped Menarik Dari China

  • Dari Litar

    WorldSBK: Pasukan BMW Makin Ceria Dengan Prestasi Toprak!

  • Model Baru

    Harley-Davidson Tobacco Fade 'Enthusiast Collection'

  • Warta Roda

    Cubaan Meragut Gagal, Suspek Telah Ditahan

  • Dari Litar

    WorldSBK 2024: Race Pertama, Tempat Pertama - Pilihan Tayar Terbaik oleh Nicholas Spinelli!

Artikel berkaitan

Pelumba Muda, Dharwin Lingam Lebih Semangat Harungi Musim Baru

Rewi Hamid Bugo - Usahawan & Pencinta Motosikal Sejati

Khairulamirin Yahaya - Pelumba Supermoto Negara

Md. Mikail Razlan - Terus Buru Kegemilangan

Bob Eden - Ingin Menabur Bakti Buat Pengguna Motosikal

Gary, Tina & Sam Sharman - Pencinta Motosikal Sejati

Azlan Shah Kamaruzaman: Semangat Juang Tidak Pernah Padam

Kenny Tan Kee Hooi: Cinta Pada Dua Roda Tak Pernah Padam

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Pemilik F1 Sah Beli MotoGP Pada Nilai Euro 4.2 billion

Selepas berbulan-bulan mendengar khabar angin, akhirnya kini sudah rasminya mengumumkan Liberty Media iaitu pemilik Formula 1 telah membeli dan memperoleh MotoGP.

Model Baru

Mforce Bike Lancarkan Dua Skuter Terbaru, SYM MAXSYM TL508 & HUSKY 150

Mforce Bike Holdings Sdn Bhd telah melancarkan dua buah skuter terbaru iaitu MAXSYM TL508 & HUSKY 150 yang didatangkan dengan rekabentuk yang cukup mantap serta spesifikasi yang padu.

Dari Litar

Peminat MotoGP di Itali Anggap Pedro Acosta sebagai Valentino terbaru!

Pedro Acosta telah mendapat pujiam tinggi dari masyarakat tanah air Valentino Rossi mengenai kehebatan dan masa depannya. Perbualan di Itali mengenai Pedro Acosta semakin rancak selepas kejayaan pelumba tersebut meraih podium di GP Portugal baru-baru ini dan mula membandingkannya dengan Valentino Rossi.

Model Baru

CFMOTO 450MT Masuk Pasaran Negara Mei Nanti. Harga bawah RM30 ribu....

Tahun iniĀ El Nido, Pulau Palawan di Filipina telah dipilih menjadi destinasi bagi memperkenalkan model adventure terbaru mereka iaitu CFMOTO 450MT.