☰
Isu Terkini

Oktober 2024

Sudut RR / 2 Januari 2023

Menghadapi Hari Dengan Penuh Cekal... Selamat Tahun Baru 2023!

Selamat Tahun Baru buat semua! Jutaan terima kasih atas sokongan yang terus diberikan buat RodaRoda yang kini sudah tidak begitu jauh dengan 'umur' 40 tahun. Dalam kehidupan manusia, 40 tahun dikira sudah mencapai waktu matang, berpengalaman, makin ceria dan selesa kerana dikatakan kebanyakan dari kita sudah mencapai/memiliki apa yang pernah dihajati. Betul atau tidak dengan kata-kata ini terpulangkan pada anda.

Apa pun, sepanjang 'umur' majalah ini, kami dan anda bersama-sama telah menempuh pelbagai era dan masa khususnya dalam dunia dua roda. Evolusi kejuruteraan berkembang pesat, sejajar dengan daya pemikiran umat manusia yang semakin moden dan terbuka. Cetusan pemikiran dan idea yang dahulunya mungkin hanya dongengan kini terbukti mampu dizahirkan di depan mata. Lihat sahaja model-model baru yang ditampilkan di pameran motosikal, semuanya hebat-hebat belaka!

Namun begitu, jiwa kita bagaikan kekal beku apabila tiba bab keselamatan. Tidak semua kawan-kawan motor ya, segelintir sahaja. Sedihnya kerana masalah atau isu ini tak pernah habis sejak dari dulu lagi. Kalau nak bincang memang banyak tapi kita suarakan tentang isu penting saja, antaranya seperti melanggar lampu isyarat, tidak memakai topi keledar, menunggang dengan 'mengkhinzir buta', berlumba di lebuhraya dan berlagak hero!

Terjebaknya sesetengah dari kita dalam perkara negatif dan ketaksuban terhadap sesuatu perkara adalah disebabkan ego, nafsu dan buta hati yang mengundang kepada masalah yang lebih teruk. Maka akhirnya, terpaksalah kita 'lepaskan' golongan ini seperti kisah “Si Luncai Terjun Dengan Labu-Labunya”.

Puas 'otai-otai' motor memberi nasihat, pihak berkuasa mengenakan denda, lakukan tangkapan, motosikal disita malah ramai yang terlibat dalam kemalangan tetapi kesedaran tetap sifar. Kemalangan maut memang sedih dan merugikan. Saban hari kita dapat melihat perkongsian kemalangan yang melibatkan para penunggang motosikal. Ada yang disebabkan kedegilan sendiri dan tidak kurang juga kerana sikap buruk pengguna jalan raya yang lain.

Menjelang tahun baru ini juga, ramai yang risaukan pada tahap kehidupan yang semakin hari semakin mencengkam. Ramai di antara kita nafasnya semakin sesak walaupun di alam yang hakikatnya terbentang luas. Nilai ringgit semakin merisaukan, harga barangan tinggi menggunung, pendapatan tidak lagi sebaik dulu dan sudah pasti kita khuatiri kehidupan tidak lagi makmur.

Jika terlalu memikirkan tentangan perihal untung rugi, wang harian semakin susut.... masalah ekonomi semata-mata, ia akan menjejaskan mental serta kewarasan kita dalam membuat keputusan. Akhirnya, ia akan tetap menjejaskan fizikal. Ini memang menakutkan. Tanpa sedar, mereka yang gagal menangani masalah mental juga akan bermasalah dalam pengurusan kewangan. Kajian membuktikan kedua-dua masalah ini berkait rapat dan mempunyai potensi besar untuk memberi kemudaratan.

Bukankah kita pernah diuji dengan kejadian pandemik dua tahun yang lalu. Ketika itu, kita langsung tidak bersedia dan tidak mempunyai sebarang 'pertahanan' untuk menghadapi kedatangan Covid-19. Dalam kebuntuan, seluruh 'dunia' ditutup, kita masih mampu meneruskan kehidupan hingga ke saat ini. Bersyukur dan berbanggalah di atas kejayaan kita itu.

Tahun baru ini ayuh kita sambut dengan penuh keazaman, kecekalan dan keberanian seperti mana yang pernah kita lakukan dahulu. “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.” “Bara yang digenggam, biar sampai jadi arang!” Usah biarkan sifat lemah dan negatif menjadi pakaian seharian.

Sentiasa cakna dengan perubahan zaman. Cepat mengubah cara pemikiran mengikut peredaran masa. Lihat pesaing di sekeling dan beradulah tenaga dengan kepakaran bukan hasutan. Kita diajar untuk bekerja keras, jujur dan bijaksana. Sesungguhnya “Yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang.”

Jangan bersedih kawan-kawan. Ceriakan dengan mendidik hati untuk sentiasa bersyukur. Kita tempuhi segala rintangan menerusi pengaturan strategi dengan bijak laksana sambil meneruskan doa agak dipermudahkan segala urusan. Yakin boleh!!

RR juga akan terus memberikan yang terbaik buat para pembaca semua. Kami akan cuba 'berlari' sama kencang dengan arus kemodenan. Doa dan sokongan kalian amat dihargai. Tungganglah dengan selamat dan ingat orang yang tersayang! RR

Isu Pada

Januari 2023

Popular

  • Model Baru

    Ducati Panigale V4S 2027: Lebih Moden & Lebih Berkuasa

  • Pandu Uji

    Kawasaki KLE500 - Dari Lebuhraya ke Laluan lasak

  • Warta Roda

    Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 Lebih Meriah... Lebih Mencabar

  • Warta Roda

    Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

  • Model Baru

    Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

Artikel berkaitan

Silau Akibat Lampu LED? Ramai Luahkan Perasaan yang Sama

5 Sebab Kenapa Tayar Slick tidak Sesuai untuk Jalanraya

Kematian Penunggang Jalan Raya Kian Bertambah Salah Siapa?

Motosikal Kian Moden, Tabiat Menunggang Kekal Tak Berubah

Hukuman Lebih Berat Menanti Pelumba Haram

Hasrat Mengurangkan Kadar Kemalangan Motosikal Perlu Kesedaran

Saranan Haramkan Jualan Kapcai Prestasi Tinggi - Ketua Polis Negara

Keselamatan Jalan Raya Tanggung Jawab Bersama

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Ducati Panigale V4S 2027: Lebih Moden & Lebih Berkuasa

Ducati terus menhangatkan pasaran superbike dengan melancarkan Panigale V4 S 2027, sebuah jentera sport yang menggabungkan enjin Desmosedici Stradale V4, Sistem Saspensi Elektronik Öhlins dan rekabentuk aerodinamik yang diinspirasikan daripada dunia perlumbaan.

Warta Roda

Pusat Servis & Pejabat Urusan Mforce KL Berpindah Ke Lokasi Baru!

Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. mengumumkan perpindahan Pusat Servis dan Pejabat Urusan Mforce cawangan Kuala Lumpur ke premis baharu yang lebih luas dan lengkap di Jalan Segambut Tengah. Langkah ini merupakan komitmen berterusan syarikat dalam memperkasakan perkhidmatan selepas jualan seiring dengan peningkatan jumlah pemilik motosikal-motosikal Mforce di Malaysia.

Warta Roda

PDRM & Harley-Davidson Jalankan Program POC Tiga Model Untuk Tugasan Rasmi

Route 77 Harley-Davidson of Kuala Lumpur telah menganjurkan majlis penyerahan tiga motosikal Harley-Davidson kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan Proof of Concept (POC).

Warta Roda

Kunjungan Rasmi TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ke Boon Siew Honda

Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli bin Ngah Talib, mengadakan kunjungan ke ibu pejabat Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (BSH) di Batu Kawan, Pulau Pinang.