Isu Terkini

Februari 2024

Sudut RR / 8 Jun 2018

Nikmat Mengembara Ke Luar Negara

Setiap pencinta motosikal pasti menyimpan hasrat dan keinginan untuk menunggang ke luar negara. Ia adalah lumrah manusia untuk melihat dunia luar yang pastinya mempunyai banyak perbezaan berbanding apa yang kita lazim lakukan dan amalkan saban hari. Ini termasuklah corak kehidupan, budaya, agama, bahasa, rekabentuk pembinaan dan banyak lagi.

Dua puluh tahun yang lalu, hanya ada segelintir penunggang motosikal yang mampu ke negara-negara luar atas beberapa sebab. Antaranya ialah kemampuan untuk memiliki jentera yang sesuai, kadar kemasukan jentera pengembaraan yang terhad ketika itu, keadaan jalan yang masih belum sempurna, kerjasama diplomatik di antara negara-negara yang tidak seakrab seperti sekarang ini dan banyak lagi. Walaupun begitu, kita pastinya amat mengagumi mereka yang pulang ke tanahair dengan membawa 1001 cerita mengenai perjalanan dan kisah mereka.

Ternyata keadaan kini jauh berbeza. Semakin ramai warga Malaysia yang telah bermotosikal hampir ke seluruh dunia dengan menunggang pelbagai jenis motosikal daripada 125cc hinggalah 1400cc. Ternyata saiz enjin tidak penting lagi. Mental, fizikal, dokumentasi, ilmu, modal dan kajian tentang perjalanan yang dipilih itu adalah yang utama demi memastikan perjalanan itu berjaya atau tidak.

Negara-negara seperti Singapura, Thailand, Laos, Vietnam, Kemboja dan Indonesia kini sudah boleh kita terokai dengan mudah (dengan dokumentasi yang lengkap). Saban hari kita dapat melihat para penunggang motosikal pelbagai jenis dan saiz enjin berkunjung ke sana. Bagi mereka yang mempunyai lebih masa dan lebih modal, jarak pengembaraan dapat ditambah ke negara-negara Asia Tengah, Asia Timur, Eropah, Amerika Syarikat, Amerika Tengah malah hingga ke benua Afrika.

Apa yang diharapkan ialah setiap pengembara motosikal dapatlah membawa pulang pengalaman mereka agar dapat dikongsi dan dipelajari khususnya oleh generasi muda. Bagi mereka yang pernah mengembara ke negara-negara yang kadar ekonomi dan pembangunannya masih jauh ketinggalan, boleh dikongsi kesusahan masyarakat di sana bersama keluarga agar anak-anak kita sentiasa bersyukur dengan segala apa yang dimiliki. Seterusnya membakar semangat untuk cemerlang dalam pendidikan demi memartabatkan bangsa dan negara.

Tidak terkecuali untuk berkongsi dan dipraktikkan segala nilai-nilai murni yang dimiliki oleh sesetengah masyarakat untuk mempertingkatkan kualiti diri kita. Contohnya nilai tinggi disiplin, penjagaan kebersihan, kemesraan, kejujuran, rendah diri, bantu membantu, mengutamakan pengembara yang kesempitan, saling mempercayai dan banyak lagi.

Pastinya mereka yang pernah ke Jepun akan mengagumi kejujuran dan kebersihan masyarakat di sana. Kita juga boleh mempelajari sesuatu yang sangat berharga daripada beberapa negara di Amerika Tengah di mana pihak kerajaan dan penduduk tempatan bersedia bekerjasama untuk terus memelihara bangunan atau tempat bersejarah yang berusia ribuan tahun supaya terus dapat dilihat oleh manusia generasi kini dan akan datang.

Selain menawarkan keajaiban struktur pembinaan dan peradaban kuno untuk tatapan manusia kini, lokasi-lokasi ini turut menjadi tempat para penduduk setempat memajukan diri menerusi pelbagai jenis perniagaan dan perkhidmatan seperti rumah tumpangan, kedai cenderahati, restoran makanan tempatan, pembantu pelancong dan sebagainya.

Malaysia juga memiliki khazanah yang sangat bernilai dan pastinya dengan melipat gandakan usaha pemeliharaan dan mencantikkan lagi lokasi-lokasi ini, ekonomi dan taraf hidup penduduk tempatan juga menjadi bertambah baik.

Apabila berada di negara asing, secara tidak langsung kita akan lebih menghormati dan lebih bertolak ansur dengan orang di sekeliling. Dengan mengekalkan sifat murni tersebut, perjalanan kita di sana lebih teratur, lebih selamat dan lebih selesa. Biarlah ia berterusan walaupun sudah melepasi sempadan negara, jangan pula ‘tertinggal’ sifat tersebut di sana. Jangan pula bila ‘dah’ balik, bertukar jadi pentingkan diri sendiri dan ego.

Teruskan pengembaraan dengan selamat dan menghormati budaya serta amalan masyarakat setempat. Bawa pulang sesuatu yang berharga untuk kita sama-sama hargainya. Jauh perjalanan, luas pemandangan dan banyak pengalaman. Ingatilah peribahasa ini.. “Bawa rasmi padi, makin berisi makin tunduk... Jangan ikut rasmi lalang, makin tumbuh makin menjulang.”

Kepada mereka yang sudi berkongsi pengalaman mengembara dengan para pembaca RR selama ini, kami ucapkan ribuan terima kasih. Teruskan pengembaraan dan moga-moga segala impian anda tercapai dan menjadi inspirasi buat kita semua.


Selamat menunggang. RR

Salam Mesra,
Khairil Azuan
Ketua Pengarang

Isu Pada

Jun 2018

Popular

  • Warta Roda

    Boon Siew Honda (BSH) di Malaysia Autoshow 2024 - Bakal Lancar ADV350, CB750, XL750 dan NX500

  • Penunggang Motosikal Maut, Terlanggar Khinzir di Tengah Jalan

  • Warta Roda

    Ducati Monster Senna Edisi Terhad: Penghormatan Buat Ayrton Senna

  • Warta Roda

    Penunggang Motosikal Dihempap Pokok!

  • Warta Roda

    Blueshark Kembangkan Rangkaian Pengedar ke Seluruh Negara

Artikel berkaitan

Silau Akibat Lampu LED? Ramai Luahkan Perasaan yang Sama

5 Sebab Kenapa Tayar Slick tidak Sesuai untuk Jalanraya

Kematian Penunggang Jalan Raya Kian Bertambahm Salah Siapa?

Motosikal Kian Moden, Tabiat Menunggang Kekal Tak Berubah

Menghadapi Hari Dengan Penuh Cekal... Selamat Tahun Baru 2023!

Hukuman Lebih Berat Menanti Pelumba Haram

Hasrat Mengurangkan Kadar Kemalangan Motosikal Perlu Kesedaran

Saranan Haramkan Jualan Kapcai Prestasi Tinggi - Ketua Polis Negara

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Blueshark Kembangkan Rangkaian Pengedar ke Seluruh Negara

Blueshark, anak syarikat perintis Sharkgulf Technologies Group dan pengeluar skuter elektrik pintar di dunia iaitu Blueshark R1, mengumumkan pengembangan rangkaian pengedarnya di seluruh Malaysia.

Dari Litar

Bimota Bakal Kembali Dalam WorldSBK 2025

Pengeluar jenama motosikal ikonik Itali, Bimota bakal kembali ke pentas perlumbaan dunia pada tahun 2025 dengan menyertai Kejuaran Dunia Superbike (WorldSBK).

Dari Litar

WorldSBK: Pasukan BMW Makin Ceria Dengan Prestasi Toprak!

Pasukan ROKiT BMW Motorrad WorldSBK menyediakan jentera sebaiknya buat Toprak dan Michael Van Der Mark untuk sebarang senario di sini.

Dari Litar

WorldSBK 2024: Race Pertama, Tempat Pertama - Pilihan Tayar Terbaik oleh Nicholas Spinelli!

Tindakan berani Nicholas Spinelli (Barni Spark Racing Team) di Litar TT Assen dalam Perlumbaan 1 menggunakan tayar jenis 'Intermediate' telah menyumbang kepada gelaran juara dalam perlumbaan pertamanya di WorldSBK.