☰
Isu Terkini

Oktober 2024

Warta Roda / 29 Mei 2019

RE Malaysia Menikmati Kesegaran Di Cameron Highlands

Untuk menghargai kesetiaan dan sokongan para pelanggan, Royal Enfield Malaysia (RE Motorcycles Sdn Bhd) telah menganjurkan satu konvoi ke Cameron Highlands pada penghujung Mac lalu yang disertai oleh 37 buah jentera R.E pelbagai jenis. Ruang legar ibu pejabat R.E Malaysia mula dihadiri oleh para peserta seawal jam 7.30 pagi dan menjelang jam 8.15 pagi, suasana semakin meriah dengan deruman enjin jentera-jentera RE yang hadir dari pelbagai destinasi. Memang cukup seronok melihat keadaan pada pagi itu. Keceriaan terpancar di setiap wajah para peserta ketika semuanya berbual rancak mengenai aksesori baru dan cerita pengembaraan rakan-rakan di luar negara.

Lebih kurang pada jam 8.30 pagi, konvoi yang diketuai oleh Pengurus Besar Royal Enfield, En. M. Syahrul meninggalkan Shah Alam menuju ke R&R Rawang untuk bertemu dengan rakan-rakan lain. Ride ini turut disertai oleh Pengarah Urusan RE Motorcycles Sdn Bhd, Dato' Chear Kin Keong yang menunggang model terbaru Interceptor INT 650. Pergerakan konvoi turut dipantau oleh dua pemilik RE yang cukup berpengalaman iaitu Bro Muru dan Bro Kumar – memang kemas dan teratur.

Dengan kelajuan purata sekitar 100km/j, kami tiba di stesen PETRONAS, R&R Tapah kira-kira dua jam kemudian. Selain menambah bahan api, para peserta turut mengambil peluang untuk menghilangkan dahaga dan mengisi perut masing-masing. Lapar juga! Stesen PETRONAS di R&R Tapah menawarkan pelbagai jenis makanan dan minuman, kawasan yang serba lengkap dan cukup bersih. Kalau rakan-rakan ada plan nak ke utara, jangan lupa singgah rehat di sini!

Konvoi menggunakan jalan lama (Tapah-Cameron Highlands) yang cukup sesuai untuk jentera Royal Enfield. Kondisi jalan di sini juga sudah lebih baik dan apabila semakin jauh ke dalam, bumi hijau menyerlahkan keajaibannya dan udara juga semakin segar. Ramai di kalangan para penduduk tempatan yang kini lebih rancak berniaga. Barangan kraftangan semakin cantik, makin moden... ditambah pula dengan jualan pokok-pokok orkid yang menjadikan kawasan di tepi jalan meriah dan menarik.

Terdapat beberapa orang penunggang yang berhenti seketika di Air Terjun Lata Iskandar untuk melihat keindahan 'Mother Nature' dan bergambar kenangan. Melihat kepada keindahan dan kesegaran alam ini, pendidikan tentang cara-cara menjaga ekosistem dan kebersihan amat perlu diperkukuhkan sejak anak-anak kita kecil lagi. Dengan cara ini, kita berharap generasi akan datang terus dapat menghargai dunia yang kita kongsikan bersama ini.

Laluan ke Cameron Highlands cukup sesak dengan kenderaan ketika kami tiba di Tanah Rata. Ribuan pengunjung berasak-asak mendaki ke destinasi pilihan masing-masing dan konvoi 37 buah jentera RE terpaksa berhimpit-himpit untuk bergerak. RR yang menunggang Himalayan 400 mempunyai kelebihan untuk memecut lebih pantas berbanding model-model lain dan dengan ketinggian yang dimilikinya, kami mudah melihat trafik di hadapan.

Selepas makan tengahari, konvoi menyambung perjalanan ke Mossy Forest yang terletak di Gunung Brinchang. Pendakian ke Mossy Forest bermula di Ladang Teh Sungei Palas dan ia agak mencabar kerana jalannya berbatu dan pecah-pecah. Dato’ Chear mempamerkan kecekapannya mengawal setiap pergerakan Interceptor INT 650 untuk mendaki dengan pantas dan meyakinkan. Sekejap saja beliau sudah sampai ke puncak.

Bagi kami dan para pemilik Himalayan yang lain, ia memang saat yang menyeronokkan dan membuktikan tahap cengkaman tayar yang dimiliki oleh Pirelli MT60. Cuaca yang semakin dingin dan udara cukup segar menanti para penunggang dan selepas bergambar kenangan serta menikmati kehijauan di sini, konvoi bergerak turun menuju ke tempat penginapan iaitu di Mentigi Guesthouse.

“Memang agak mencabar dan perlukan keberanian untuk naik ke sini. Laluannya berbatu dan pecah-pecah yang boleh menyebabkan kita hilang imbangan jika tidak berhati-hati. Bila berjaya sampai ke sini, memang seronok betul!” Kata Eliza yang menunggang bersama-sama anaknya, Hannah.

Malam itu kami semua disajikan dengan juadah steambot dan nasi goreng yang cukup lazat dan mengenyangkan. Saat itu juga adalah waktu terbaik untuk berbual-bual dan merapatkan hubungan di antara rakan-rakan pemilik RE yang semuanya berkongsikan minat yang sama.

Ternyata dengan penganjuran seperti ini, ia berjaya mengumpulkan para pencinta motosikal khususnya jenama Royal Enfield tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang. Kita dapat melihat ahli perniagaan, ahli korporat, guru, pengurus syarikat, jurutera, pengurus pemasaran dan lain-lain bergelak ketawa tanpa ada jurang perbezaan di antara mereka. Itulah sifat brotherhood yang perlu sentiasa ada bersama para pencinta motosikal.

Malam berganti siang. Jadual aktiviti pada hari kedua lebih santai. Selepas sarapan di Tanah Rata, konvoi berlepas menuju ke Ladang Teh Boh yang terletak di Habu, Ringlet untuk menikmati teh dan kek. Memang sedap betul 'pekena' teh tarik dengan kek carrot pagi-pagi!

Dari Habu, ramai yang berpecah mengikut rancangan dan destinasi masing-masing. Ada yang ingin ke Pahang menggunakan jalan Sungai Koyan, ada yang turun melalui jalan Simpang Pulai, ada juga membuat keputusan untuk kekal di Cameron Highlands untuk sehari lagi dan selebihnya pulang semula ke Kuala Lumpur.

Walaupun menggunakan lebuhraya, perjalanan ke Kuala Lumpur agak perlahan kerana keadaan trafik yang agak sesak dan cuaca yang cukup panas. Syukurlah, konvoi selamat sampai di R&R Ulu Bernam dan selepas bersalaman, semua peserta pulang ke destinasi masing-masing.

“Ini merupakan kali pertama saya menunggang jentera Royal Enfield dalam perjalanan yang agak jauh. Ayah saya sepatutnya menyertai ride ini tetapi disebabkan dia kurang sihat, saya menggantikannya. Saya cukup berpuas hati dengan kelasakan jentera ini dan sememangnya ia satu pengalaman yang cukup menyeronokkan,” kata Fauzan Azmi dari Shah Alam yang menunggang Royal Enfield Bullet 500.

Bagi RR, perjalanan yang sejauh kira-kira 440 kilometer bersama para pencinta motosikal memberikan pengalaman cukup berharga. Selain menikmati keindahan alam semulajadi yang cukup indah, perkongsian pengalaman menunggang di luar bandar adalah suatu yang tidak boleh dibeli. Terima kasih buat RE Motorcycles atas jemputan ini dan semua pemilik RE yang cukup sporting! RR

Isu Pada

Mei 2019

Popular

  • Model Baru

    Ducati Panigale V4S 2027: Lebih Moden & Lebih Berkuasa

  • Pandu Uji

    Kawasaki KLE500 - Dari Lebuhraya ke Laluan lasak

  • Warta Roda

    Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 Lebih Meriah... Lebih Mencabar

  • Warta Roda

    Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

  • Model Baru

    Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

Artikel berkaitan

Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 Lebih Meriah... Lebih Mencabar

Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

Pusat Servis & Pejabat Urusan Mforce KL Berpindah Ke Lokasi Baru!

Honda ADV160 RoadSync Kini Dengan Warna Perlumbaan Trico

Voge DS800X Rally Sudah Berada di Pengedar Mforce Seluruh Negara

Yamaha XMAX 250 vs XMAX 300: Empat Media Kongsi Pengalaman

ETG (Eurotech Group) Memacu Fasa Baru

Tiga Jurutera ZXMOTO China Hadir Ke Malaysia, Kongsi Kepakaran Pemasangan Model

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Marco Bezzechhi Cemerlang di Mandalika

Marco Bezzecchi mencuri tumpuan apabila menjuarai Grand Prix Indonesia di Litar Antarabangsa Mandalika, sekali gus menghidupkan semula cabarannya dalam perebutan gelaran dunia MotoGP 2026.

Warta Roda

Honda ADV160 RoadSync Kini Dengan Warna Perlumbaan Trico

Boon Siew Honda Sdn. Bhd. memperkenalkan Honda ADV160 Trico Edition dengan Honda RoadSync, yang menampilkan corak warna merah, putih dan biru yang telah membawa semangat perlumbaan Honda sejak sekian lama.

Model Baru

Suzuki GSX-8TT 2027 Tampil Dengan Warna Merah Serba Baru!

Jentera 'retro-moden', Suzuki GSX-8TT bakal memasuki tahun model 2027 dengan perubahan yang cukup menarik dengan memperkenalkan warna Candy Daring Red.

Model Baru

MORBIDELLI C252V Sudah Berada Di Pasaran Malaysia

Morbidelli C252 sudah berada di pasaran negara.