Hakim Danish Gegarkan SIC. Nyaris Podium Di Laman Sendiri
Walaupun belum berjaya menghadiahkan podium buat rakyat Malaysia di laman sendiri, pelumba muda negara, Muhammad Hakim Danish Ramli membuktikan bahawa dirinya mempunyai semangat juang luar biasa apabila menamatkan perlumbaan Moto3 Grand Prix Malaysia 2026 di tempat keempat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalami.

Memulakan perlumbaan dari petak ketiga, Hakim Danish tampil penuh keyakinan dan memberikan tentangan sengit kepada barisan pelumba terbaik dunia. Pelumba berusia 19 tahun yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu bukan sekadar berlumba untuk dirinya sendiri, malah membawa harapan dan kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.



Lebih membanggakan, Hakim Danish berjaya melonjak ke tempat ketiga pada lap kesembilan sebelum mengukuhkan kedudukan di tempat kedua pada lap ke-11. Sokongan dan sorakan luar biasa penyokong Malaysia yang hadir memenuhi litar menyemarakkan lagi pelumba muda ini. Beliau mengakui sorakan peminat memberikan motivasi tambahan untuk memberikan aksi terbaik.

Kedudukan di tempat keempat bukan noktah kepada perjalanan Hakim Danish. Sebaliknya, ia menjadi pembakar semangat untuk kembali lebih kuat dalam perlumbaan seterusnya. Kini, tumpuan beliau beralih kepada GP Qatar dengan misi memburu keputusan lebih baik dan peluang menaiki podium. Seluruh rakyat Malaysia mungkin mengimpikan lagu Negaraku berkumandang di podium Sepang, tetapi semangat, keberanian dan perjuangan yang dipamerkan hari ini sudah cukup membuatkan kita bangga.
Tahniah Hakim Danish! RR




