Isu Terkini

Oktober 2024

Dari Litar / 14 Mei 2017

Vinales Sapu Bersih Dua Pusingan

Pelumba terkini pasukan Movistar Yamaha Racing dari Sepanyol yang baru berusia 22 tahun, Maverick Vinales sudah pasti merupakan pencabar terbaru dalam persaingan MotoGP untuk musim 2017 ini. Sejak dia bertukar khemah dari Suzuki ke Yamaha, prestasinya semakin hari semakin hebat dan dibuktikan bukan hanya dengan catatan masa terpantas pada sesi latihan bebas mahu pun ujian masa tetapi pada perlumbaan sebenar.

Perlumbaan pembuka tirai di Litar Losail telah berlangsung dalam keadaan yang agak tegang. Para pelumba MotoGP diuji terlebih dahulu dengan keadaan litar yang basah di beberapa tempat yang memaksa perlumbaan dilewatkan sedikit. Selepas disahkan selamat oleh Race Director, barulah kesemua pelumba dibenarkan keluar untuk berada di petak grid masing-masing.

Vinales bermula di petak pertama tetapi segera dipintas Iannone dan Juara Moto2 2016, Johan Zarco. Johan Zarco yang kini bersama pasukan satelit Yamaha Tech3 memberi kejutan apabila memimpin perlumbaan sulungnya dalam MotoGP dengan bergaya sekali. Keyakinan pelumba ini wajar dipuji walaupun para pelumba di belakangnya bukan calang-calang orang. Hasrat Zarco untuk mencipta sejarah akhirnya terkubur apabila dia terbabas pada lap keenam seterusnya memaksa untuk berundur diri.

Maverick Vinales, juara berganda di Litar Qatar dan Litar Argentina.
Maverick Vinales, juara berganda di Litar Qatar dan Litar Argentina.
Hari gembira buat Yamaha. Kemenangan 1-2 di Autodromo Termas.
Hari gembira buat Yamaha. Kemenangan 1-2 di Autodromo Termas.

Persaingan diteruskan di antara Dovizioso, Marquez, Iannone, Vinales dan Rossi. Selepas Iannone pula terbabas, Vinales memerah tenaga Yamahanya untuk memintas Marquez seterusnya mengejar Dovizioso yang cuba membuka jarak. Kekuatan jentera Ducati GP17 di laluan lurus cukup mengagumkan tetapi kemantapan casis Yamaha M1 di dalam selekoh membolehkan Vinales dan Rossi mendekatkan diri.

Vinales berjaya memintas di dalam selekoh tetapi posisinya dicuri kembali oleh Dovizioso setiap kali tiba di laluan lurus sehinggalah dua lap sebelum tamat apabila Vinales berjaya mengekalkan momentumnya untuk menidakkan segala cubaan dari Dovizioso. Vinales akhirnya muncul juara diikuti Andrea Dovizioso di tempat kedua manakala Rossi yang berjaya menewaskan seteru utamanya, Marquez melintasi garisan penamat di tempat ketiga.

Para pelumba kemudiannya terbang ke Litar Autodromo Termas, Argentina pada 7 April lalu untuk mengejar sasaran sebagai juara pusingan kedua. Antara pelumba yang cukup bersedia untuk menggegar litar ini ialah pelumba baru pasukan Ducati, Jorge Lorenzo, Iannone semestinya ingin menebus kekecewaan lalu dan juara musim lepas Marc Marquez.

Marc Marquez perlu lebih fokus untuk cabaran musim baru ini.
Marc Marquez perlu lebih fokus untuk cabaran musim baru ini.

Marquez kembali ke petak pertama selepas mencatatkan masa terpantas manakala pelumba harapan Yamaha, Vinales bermula di petak keenam. Sebaik sahaja perlumbaan akhir dimulakan, Lorenzo yang bermula di petak ke 16 telah membuat kesilapan dan terbabas ke luar litar. Dia gagal untuk menyambung perlumbaan. Marquez yang cuba membuka jarak terbabas di selekoh dua dalam lap ketiga dan memaksanya untuk bersara lebih awal diikuti Alex Rins yang turut terbabas tidak lama kemudian.

Ini memberi peluang keemasan buat Vinales yang memintas Crutchlow untuk mencari kemenangan bergandanya manakala Rossi cekal mengejar di tempat ketiga. Pasukan Repsol yang telah kehilangan Marquez dikejutkan pula dengan kegagalan Pedrosa yang juga terbabas sewaktu dalam proses mengejar para pelumba di hadapan. Drama berterus di Argentina apabila Aleix Espargaro pula terhempas ke tanah dan lebih menyedihkan turut 'membawa' Andrea Dovizioso sekali ke luar litar ketika perlumbaan berbaki 11 lap sahaja lagi.

Vinales terus memecut tanpa ragu-ragu dan semakin jauh meninggalkan Crutchlow dan Rossi yang berentap di belakang. Pertarungan di antara Crutchlow dan Rossi menghangatkan suasana. Di dalam litar yang cukup teknikal ini, pemilihan tayar cukup penting untuk mendapatkan cengkaman yang paling sempurna. Michelin yang merupakan tayar rasmi perlumbaan MotoGP musim ini sudah tentu mempunyai kepakaran untuk memberikan produk terbaik buat para jagoan ini.

Iannone (29) melakukan ‘jump start’ dan terpaksa melupakan segala hasratnya untuk menang di Argentina.

Rossi dan Vinales memilih tayar slick jenis medium di hadapan dan belakang manakala Crutchlow menggunakan tayar slick jenis keras di hadapan dan medium di belakang. Ternyata bukan mudah untuk Rossi, 'The Doctor' menjinakkan pelumba dari Great Britain itu sehinggalah mendapat ruang pada lap ke-18 untuk membuat pintasan. Crutchlow cuba melawan semula tetapi akhirnya terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.

Khemah pasukan Yamaha bergema dengan sorakan apabila Vinales dan Rossi kedua-duanya menerima bendera penamat di tempat pertama dan kedua. Sejarah buat Vinales kerana berjaya meraih kemenangan buat kali kedua berturut-turut dan juga sejarah terbaru buat Rossi kerana ia meraikan perlumbaan grand prix ke-350 dalam kariernya.

“Kami semua melakukan kerja yang sempurna. Kami membuat keputusan untuk pemilihan tayar pada pagi ini dan ia mencengkam dengan baik sekali. Saya rasa cukup bertenaga dan Michelin telah berjaya melakukan yang terbaik. Saya sangat gembira dan yakin, saya mahukan ia terus kekal begini,” komen Maverick Vinales.

Johan Zarco, bekas juara Moto2 sememangnya cukup berpotensi untuk berada di podium pada musim ini.
Johan Zarco, bekas juara Moto2 sememangnya cukup berpotensi untuk berada di podium pada musim ini.
Andrea Dovizioso gagal mengulangi kecemerlangannya di Qatar selepas disondol oleh Espargaro di Argentina.
Andrea Dovizioso gagal mengulangi kecemerlangannya di Qatar selepas disondol oleh Espargaro di Argentina.

“Mekanik saya katakan ia adalah perlumbaan ke-350 dan biarlah satu perlumbaan yang baik. Secara fizikalnya saya cukup kuat kerana saya telah berlatih dengan keras. Konsentrasi saya juga amat baik dan saya berjaya menewaskan Crutchlow. Litar ini memang cukup tricky dan memerlukan tumpuan sepenuhnya. Kemenangan ini amat penting untuk pungutan mata dalam kejuaraan musim ini,” kata Rossi.

Ketika majalah ini berada di pasaran, para pelumba telah pun bersaing di dua lagi pusingan iaitu di Americas Circuit, USA pada 23hb April dan di Jerez, Sepanyol, 7hb Mei. Siapa menang agaknya? RR

Isu Pada

Mei 2017

Popular

  • Warta Roda

    WMOTO Griffin 205 Sudah Berada di Pusat Pengedar Mforce Smartshop

  • Warta Roda

    Art of Speed 2026: 15 Tahun Menyatukan Jiwa Kustom

  • Warta Roda

    Honda ADV160 Edisi Terhad Versi Spider-Man Dilancarkan - Bermula RM14,149

  • Berita Kelab

    Kembara Road Rider Crew Taiping 3.0 Sempena Ulang Tahun Kelab ke-4

  • Dari Litar

    Hakim Danish Kutip Mata Berharga Walaupun Berdepan Cabaran di Sachsenring

Artikel berkaitan

Hakim Danish Kutip Mata Berharga Walaupun Berdepan Cabaran di Sachsenring

Hakim Danish Mahu Kekalkan Momentum di GP Jerman

Motul Jadi Penaja Rasmi Pasukan Honda Racing Malaysia bagi Musim 2026

Qabil Irfan Raih Podium Pertama Musim Ini

Jerez Jadi Medan Kebangkitan Qabil Irfan

MotoGP Malaysia Kekal Di Sepang Hingga 2031

Hakim Danish Terus Perkukuhkan Kedudukan di Moto3

Yamaha Jadi Pembekal Tunggal Moto3 Bermula 2028

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Motul Jadi Penaja Rasmi Pasukan Honda Racing Malaysia bagi Musim 2026

Motul kini penaja rasmi bagi pasukan Honda Racing Malaysia untuk tahun 2026.

Dari Litar

Qabil Irfan Raih Podium Pertama Musim Ini

Qabil Irfan Azlan melakar sejarah peribadi apabila meraih podium sulung dalam saingan Moto4 European Cup

Warta Roda

CFMOTO Flagship Store Kuala Selangor Dirasmikan

Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. terus memperkukuhkan rangkaian pengedarnya menerusi perasmian CFMOTO Flagship Store Kuala Selangor.

Warta Roda

Honda Vario 125 Baharu Tampil Dengan Ciri Dipertingkatkan - RM7,268

Boon Siew Honda (BSH) memperkenalkan Honda Vario 125 Baharu yang tampil dengan beberapa pembaharuan.