Isu Terkini

Disember 2023

Kembara / 20 April 2023

Kembara Epik ke Lebuhraya Karakoram

Pada tarikh 28 September 2022 bermula lah pengembaraan kami dari Malaysia. KARAKORAM HIGHWAY! Kami berlepas ke Islamabad seramai 33 orang (26 motor + 7 menaiki van) dengan membawa bekalan minda dan fizikal yang kami harap mencukupi.

Tepat pada waktu tempatan 4.00 petang, kami selamat mendarat di International Airport of Islamabad dan disambut meriah oleh kru-kru agensi yang telah kami uruskan untuk menjaga konvoi kami sepanjang expedisi ini.

Seronok betul perasaan kami semua walaupun flight agak meletihkan dan proses masuk ke Pakistan di imigresen agak lama. Kami semua ditempatkan di Hotel Royal Islamabad yang pada pandangan kami sebuah hotel yang popular di kalangan rakyat Malaysia.

Hari Pertama: 30 September 2022

Dari bandar Islamabad kami menunggang motor melalui Karakoram Highway (KKH) sejauh lebih kurang 1,000 kilometer yang penghujungnya adalah di Khunjerab Pass (sempadan Pakistan dan China) pada ketinggian 4,800 meter. Secara rasmi diikhtirafkan sebagai sempadan di antara negara tertinggi di dunia.

Pada pagi yang indah dengan cuaca yang agak panas dalam 22 Celcius, masing-masing telah dianugerahkan dengan motor yang telah kami tempah untuk disewa. Motor semuanya adalah 150cc dengan jenama Suzuki, Honda dan Yamaha. Berbagai bentuk dan kondisi maklumlah motor sewa kan, bukan motor baru. Bersedialah dengan sebarang kemungkinan dan bakal menambah 'ajinomoto' bagi menyedapkan lagi pengembaraan kami ini. Target hari ini adalah 300 kilometer menuju ke Jallkhad.

Demi kelancaran perjalanan, kami check minyak, angin, brek, lampu, topi keledar dan semuanya. Tepat jam 10.00 pagi, kesemua 22 buah motosikal berderum meninggalkan bandar Islamabad dengan penuh semangat. Kami akan kembali ke bandar ini dalam masa 10 hari lagi.

Perjalanan meninggalkan bandar ini agak sukar juga kerana di sini trafiknya agak mencabar. Motosikal dan kereta agak suka hati boleh memandu ke sana ke mari dan rata-rata penunggang motosikal di sini tidak memakai topi keledar pun! Seperti biasa, konvoi yang ramai memerlukan fokus di tahap terbaik kerana tidak mahu ada motor yang sesat atau tertinggal jauh dalam keadaan trafik yang sesak di bandar.

Lebih kurang selepas 40 minit, perjalanan kami menjadi agak mudah disebabkan keadaan trafik yang sudah mula berkurangan. Seronok rasanya sudah menuju ke arah pergunungan dengan cuaca yang lebih baik.

Kami berhenti di Muree (40km dari Islamabad) untuk berehat dan menikmati keadaan di negara orang. Kami bergambar dan berinteraksi dengan anak-anak kecil yang datang menjual 'jajan'. Bukan itu saja, Polis Trafik/Pelancong Pakistan juga singgah untuk menegur sapa dengan kami. Konvoi diteruskan lagi sehingga sampai di Kohala dan kemudiannya di sempadan Kashmir.

Rasa lapar bermula ketika kami berhenti di Ambore. Di sini kami berpeluang untuk makan tengahari, solat dan mengisi minyak. Harga minyak di Pakistan adalah lebih mahal berbanding dengan apa yang di jual di Malaysia ya, jadi kami perlu berjimat cermat.

Ketika ini, waktu sudah menjelang petang dan kami masih meneruskan pengembaraan memanjat kawasan tinggi. Sasarannya adalah untuk sampai di Hotel Rockwood, Naran Valley, Jalkhad/Burawai. Setelah bergelut dengan jalan gunung yang berselekoh, bahaya, sempit dan berbagai-bagai, kami akhirnya sampai di hotel tersebut ketika malam sudah menjelma.

Perjalanan ini penuh dengan pandangan indah yang 'dipamerkan' di celah-celah perkampungan, anak anak kecil balik dari sekolah, di laluan pergunungan yang tinggi, dinasihatkan jangan 'korang' memandang ke bawah lebih-lebih lagi buat kawan-kawan yang jenis gayat.

Sungguh mencabar! Kami diuji dengan beberapa motor telah pecah tayar dan alami kerosakan yang lain. Namun begitu dengan persediaan “back-up car”, segala masalah tiada menjadi rintangan. Kami selamat sampai.

Hari Kedua

Target kembara kali ini adalah sejauh 200km yang akan berhenti di Gilgit. Pagi-pagi lagi semua rider sudah bersedia dengan meneliti jentera masing-masing supaya kekal gagah untuk 'episod' serba baru.

Perjalanan menjadi lebih menarik dan cantik apabila melalui di celah-celah gunung dan banjaran yang luas terbentang. Banyak kali kami bertembung dengan gembala kambing sambil membawa beratus-ratus jumlah ternakan. Sungguh cantik! Stop sebentar di bandar pelancongan Batakundi. Ia adalah sebuah bandar pelancongan yang terletak berhampiran Naran di Daerah Mansehra, terletak di Lembah Kagh.

Kami juga sempat berhenti di Lulusar Lake yang luas terbentang. Tasik Lulusar (juga dieja Lulusir) ialah sebuah tasik pada ketinggian 3,410m. Ia merupakan kepala air utama Sungai Kunhar yang mengalir ke barat daya melalui seluruh Lembah Kaghan, melepasi Jalkhand, Naran, Kaghan, Jared, Paras dan Balakot sehingga pertemuannya dengan Sungai Jhelum.

Namun begitu yang menjadi tumpuan utama adalah Babusar Top atau Puncak Babusar (ketinggian 4,173 meter) yang merupakan laluan gunung di Pakistan di utara Lembah Kaghan sepanjang 150km, menghubungkannya melalui Thak Nala dengan Chilas di Lebuhraya Karakoram (KKH). Ia adalah titik tertinggi di Lembah Kaghan yang boleh diakses dengan mudah oleh kereta.

Lebih kurang ketika masuknya waktu Zohor, kami berhenti rehat di sebuah restoran bernama Zero Point, daerah Chilas. Selepas mengisi perut, ada juga diantara kami yang ambil peluang untuk mandi di anak sungai yang airnya sungguh sejuk dan menyegarkan.

Setelah kembali bertenaga, kami terus berduyun-duyun meneruskan perjalanan menuju ke Gilgit. Dalam perjalanan itu, kami menempuh “border” yang menghampiri Silk Route yang terkenal. Perjalanan kami kali ini memang menakjubkan, Pemandangan luar alam yang sangat cantik seluas mata memandang - dikelilingi oleh gunung ganang yang tinggi dan tandus. Cuaca juga sudah mula sejuk. Sukar untuk digambarkan dengan tulisan seperti dipaparan ini, kecuali anda pergi sendiri.

Tepat pada pukul 6.30 petang waktu Pakistan, kami sampai di Hotel United, Jaglot. Pekan kecil yang terletak Juglot atau Jaglot (dahulunya Sai) ialah sebuah bandar yang terletak di daerah Gilgit di Gilgit-Baltistan, Pakistan. Ia terletak 45 kilometer tenggara ibu kota Gilgit di Lebuhraya Karakoram. Bandar ini terletak di persimpangan tiga banjaran gunung utama: Karakoram, Hindu Kush dan Himalaya. Tempat ini juga tidak jauh dari pertemuan Sungai Gilgit dan Sungai Indus.

Hari Ketiga

Pada jam seawal 8.00 pagi, kami bertolak ke Hunza. Lembah Hunza ialah sebuah lembah pergunungan di bahagian utara wilayah Gilgit-Baltistan di Pakistan, dibentuk oleh Sungai Hunza, bersempadan dengan Ishkoman di barat laut, Shigar di tenggara, Koridor Wakhan Afghanistan di utara, dan wilayah Xinjiang China di timur laut.

Perjalanan ini sejauh 110km namun begitu, ia penuh dengan cabaran yang memerlukan kecekapan dan kecekalan diri. Ketika kami di sini, Pakistan sedang dilanda banjir besar. Banyak laluan dan jalan yang kami lalu terdapat kesan besar tanah runtuh. Mujurlah tiada apa masalah yang menyebabkan kami perlu berhenti atau terhalang sepenuhnya. Paling utama pada hari itu tentulah peluang kami bergambar di Rakaposhi ViewPoint.

Rakaposhi adalah sebuah gunung di banjaran Karakoram di wilayah Gilgit-Baltistan Pakistan, kira-kira 100km utara bandar Gilgit. Ia menduduki tempat ke-27 tertinggi di dunia. Kemuncak gunung-gunung di sini semuanya dilitupi salji. Setelah itu kami juga singgah di pekan kecil berhampiran bandar Gilgit dengan tujuan untuk membeli buah buahan tempatan serta bergaul dengan para penjualnya.

Perjalanan diteruskan lagi. Kami kemudiannya singgah untuk rehat, solat dan menikmati makan tengahari di sebuah kedai makan yang beroperasi di tepi sungai. Kami pesan makanan tempatan yang amat enak. Selesai solat, kami sambung melompat ke atas jentera masing-masing. Kali ini kami terpaksa berhenti banyak kali untuk bergambar kerana pergunungan ini amat cantik dan tidak boleh disia-siakan tanpa sebarang memori dicipta.

Sementara matahari masih ada, kami berjaya sampai di Hunza. Sebaik sahaja selesai urusan check in di Hotel Hunza Elites, terus kami dibawa untuk melawat sekitar Hunza Valley yang banyak kota-kota lama seperti Altit Fort yang terletak jauh lebih tinggi di tebing gunung dan telah wujud 1,100 tahun lalu. Menakjubkan.

Hari Keempat

Sebaik sahaja pagi menyapa bumi yang kami diami, semua telah bersedia untuk menyambung impian bermotosikal di lokasi luar biasa ini. Kali ini kami menuju ke destinasi utama iaitu Khunjerab Pass (sempadan Pakistan-China) yang mengambil jarak lebih kurang 300km. Destinasi dan perjalanan kemuncak konvoi kami ini akan melalui banyak tempat menarik seperti Atabad Lake, Terowong Pakistan China dan Khunjerab National Park.

Kali ini perjalanan makin menarik denga suhu yang semakin turun dan altitude pula meningkat. Jalan-jalannya pula semakincmencabar dengan banyak batu-batu gunung jatuh ke muka bumi. Tepat pada pukul 3.00 petang waktu tempatan, akhirnya kami sampai di Khunjerab Pass tersebut. Alhamdullilah!

Ia adalah sempadan negara tertinggi di dunia. Kami meluangkan masa untuk bergambar dan di sini juga terletak mesin ATM paling tertinggi di dunia dan ianya berfungsi dengan baik. Salah seorang dari kami mengeluarkan duit di ATM ini, sejarah juga tu! Kawasannya amat luas terbentang dan terdapat Yak (sejenis lembu liar pergunungan) berkeliaran. Untuk melepasi sempadan ini ke China, ia tidak dibenarkan melainkan telah membuat kebenaran untuk ke negara tersebut terlebih dahulu.

Oleh kerana tempat ini tinggi, kebanyakan dari kami mengalami AMS (Acute Mountain Sickness) - tindak balas badan terhadap tahap oksigen yang berkurangan dalam udara yang disedut. Namun begitu kepuasan terpancar di setiap wajah peserta kerana kami telah mencipta kenangan sebagai salah seorang di antara para pengembara motosikal yang telah berjaya tiba di sini. Ya… kami ke sini dengan menunggang jentera motor tayar dua. TAHNIAH SEMUA!

Mentari semakin melabuhkan diri dan kami cepat-cepat beredar, suhu juga semakin sejuk. Namun begitu peluang untuk bergambar di tempat luar biasa pasti tidak dilepaskan. Maklum lah bukan senang hendak sampai ke sini. Kami singgah di Passu Lodge untuk bermalam dan bersedia untuk perjalanan kembali ke Islamabad.

Hari Kelima

Pagi ini perjalanan menuju kembali ke bandar Gilgit sejauh 150km. Konvoi kami lebih 'chill' kerana objektif utama telah tercapai dan hanya perlu 'ride' dengan selamat sambil menikmati pemandangan dan suasana yang akan menjadi kenangan hingga ke hari tua.

Namun begitu, kita hanya merancang tetapi Yang Esa menentukan. Terdapat juga ujian yang perlu ditempuhi. Motosikal salah seorang dari kami mengalami kerosakan dan perlu ditunda. Di sini lah skill kita sebagai 'rider' dari Malaysia digunakan. Motor yang rosak ditunda dengan kaki! Pengalaman tu lebih hebat kerana dilakukan di dalam laluan kawasan gunung Pakistan!

Selepas kami melepasi bandar Hunza, kami dan pengguna jalan raya yang lain terpaksa berhenti selama lebih kurang 40 minit kerana berlakunya tanah runtuh – dapat tengok secara LIVE. Sempat juga kami beramah mesra dengan anak-anak sekolah sementara menunggu. Perjalanan kemudiannya dapat diteruskan dan kami sampai di Gilgit sebaik sahaja azan maghrib berkumandang.

Hari Keenam

Rancangan kami hari ini adalah ke Raikot untuk meninggalkan motor-motor dan menaiki jip ke pergunungan Fairy Meadow. Fairy Meadow dikenali sebagai Joot oleh orang tempatan dan ia adalah padang rumput berhampiran dengan salah satu tapak perkhemahan asas Nanga Parbat yang terletak di Daerah Diamer, Gilgit-Baltistan, Pakistan.

Pada ketinggian kira-kira 3,300 meter di atas paras laut, jujurnya kami semua tidak tahu apa yang bakal kami hadapi ketika dalam perjalanan menaiki jip ini. Dalam minda kami agak gembira kerana dapat berehat daripada menunggang motosikal walaupun sebentar.

Tapi jangkaan kami jauh tersilap! Perjalanan menaiki jip sejauh 16 km ini merupakan jalan gunung yang kedua paling merbahaya di dunia! Ramai di kalangan kami menjerit-jerit dan mengucap sepanjang perjalanan tersebut. Ada juga yang diam membisu dan pucat terus. Lapan buah jip membawa kami ke atas gunung, dikawal oleh pemandu khas yang memiliki lesen khas pakar dalam laluan batu gunung. Anda boleh layari youtube dan cari “Most Dangerous Road in the World”.

Selepas menaiki jip, kami sambung aktiviti dengan treking yang sejauh 13km menuju ke puncak dan bermalam di situ. Betul... keadaan dan pemandangan alam di sini bagaikan berada di dunia asing. Terdapat perkampungan di sana dengan keindahan pergunungan salji di sekeliling.

Hari Ketujuh

Setelah turun dari Fairy Meadow, perjalanan kami selepas ini adalah menyusuri kembali jalan-jalan sama sebelum ini. Hanya gambar-gambar yang dapat kami sertakan untuk pembaca RodaRoda 'menikmatinya' sendiri.

Tiada ayat-ayat yang mampu untuk dinukilkan, “You have to experience it, be a traveller and a rider to embrace the excitement.” Terlalu banyak portrait, video dan mental picture yang tak mampu dikongsikan kerana ianya bakal membanjiri ruangan majalah ini.

Secara keseluruhan, pengalaman di KARAKORAM HIGHWAY ini akan tetap berada di antara puncak carta untuk semua peminat tegar kembara dua roda di Malaysia dan dunia untuk di nikmati.

Kami semua amat berterima kasih buat semua pihak yang terlibat dan berharap untuk bertemu lagi di pengembaraan lain di masa hadapan. RR

Oleh: Zack Ahmad

Popular

  • Warta Produk

    GIVI ASIA Lancarkan Kotak Simpanan Baru “THE MATTERHORN"

  • Dari Litar

    Pecco Juara GP Sepanyol...Tapi Marquez Sudah 'Kacau'!

  • Warta Roda

    Ducati Riding Experience (DRE) Road Academy: Tingkatkan Kemahiran Penunggang

  • Dari Litar

    Padu! Hakim Danish Raih Podium di Sepanyol

  • Model Baru

    Triumph Speed 400 & Scrambler 400 X Masuki Pasaran Negara

Artikel berkaitan

Sabah 360 Ride 1,800KM Loop (Bahagian II)

Ride Berdua ke Siam

Sabah 360 Ride 1,800km Loop (Bahagian 1)

Ride Ihya Ramadhan TM Bikers Ke Gua Musang, Kelantan

Ride & Camp - Round 360 Sabah

Kembara Royal Alloy GP180 ke Betong

Konvoi Honda Klasik 1000KM Dari Kuala Terengganu Ke Hatyai

Projek Menawan 5 Puncak Bersama Vexcom

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Harley-Davidson Tobacco Fade 'Enthusiast Collection'

Untuk tahun ini, satu lagi siri Edisi Terhad telah diperkenalkan oleh Harley-Davidson (H-D) iaitu Tobacco Fade Enthusiast Collection untuk tiga model iaitu H-D Low Rider ST, Ultra Limited dan Tri Glide Ultra.

Dari Litar

WorldSBK 2024: Race Pertama, Tempat Pertama - Pilihan Tayar Terbaik oleh Nicholas Spinelli!

Tindakan berani Nicholas Spinelli (Barni Spark Racing Team) di Litar TT Assen dalam Perlumbaan 1 menggunakan tayar jenis 'Intermediate' telah menyumbang kepada gelaran juara dalam perlumbaan pertamanya di WorldSBK.

Warta Produk

Arai Europe Persembahkan Topi Keledar Edisi Terhad, RX-7V EVO IOM TT 2024

Arai Helmet mempersembahkan topi keledar edisi terhad RX-7V EVO Isle of Man TT 2024 yang ke-15.

Warta Roda

Boon Siew Honda Anjurkan Program Gerak Bersama Honda, Bersama Di Hati

Boon Siew Honda Sdn. Bhd. atau Honda Motorcycle Malaysia telah menganjurkan program komuniti iaitu Gerak Bersama Honda, Bersama Di Hati.