KOVE 800X GT: Best Untuk Kembara...Syok Di Selekoh
Ada motosikal yang bila kita tengok je, kita automatik jatuh hati... kita akan duduk sekejap, pulas throttle dua tiga kali dan sudah boleh agak perangainya. Tapi hanya otai-otai sahaja yang memang level pakar...sudah berpuluh tahun dengan motosikal.

Untuk model yang baru sahaja saya pick-up iaitu KOVE 800X GT, saya rasa lebih baik kalau dibawa keluar jauh. Bukan setakat pusing-pusing bandar. Bukan sekadar naik lebuh raya 30 atau 40 kilometer. Tapi kena lebih daripada 600 kilometer, bak kata kawan saya... "Baru asyeee bang!"
Harga untuk model kembara 2 silinder ini ialah RM48,888 dan dengan setiap pembelian, kawan-kawan akan menerima 3 kotak barang sekaligus - best kan? Boleh bawa barang banyak-banyak, durian pun lepas!


Pandangan peribadi: Motosikal adventure sebenarnya hanya mula menunjukkan 'perangai' apabila kita sudah duduk atasnya beberapa jam. Baru kita dapat tahu tahap prestasi enjin, ketangkasan, sistem saspensi, sistem brek dan tahap penggunaan bahan api. Setuju tak?
Jadi kali ini, KOVE 800X GT saya bawa keluar dari Kuala Lumpur menuju ke Pulau Pinang. Dari sana perjalanan diteruskan ke Taiping, sebelum berpatah balik semula ke tapi singgah di Gopeng, layan laluan kampung sebelum memecut di atas lebuhraya untuk balik ke Kuala Lumpur. Bila kira-kira, boleh tahan juga jaraknya.
Tak nak kena hujan kalau bernasib baik dan paling penting, dapat tengok sama ada tuan badan masih boleh tahan selepas beberapa ratus kilometer dengan KOVE ini. Dari segi rupabentuknya, KOVE 800X GT nampak macam tidak ada masalah pun untuk diajak berjalan jauh.


Memang betul, dengan posisi duduk yang tegak dan tinggi, pandangan kita ke hadapan memang luas. Hendal pula memberikan posisi tangan yang selesa. Ruang kaki memang luas, tinggi pelana 826mm sebenarnya cukup sesuai untuk rider biasa dan yang tinggi lampai.
Enjinnya menggunakan konfigurasi enjin parallel-twin 799cc, DOHC, dengan kuasa maksimum 98hp pada 9,000rpm dan tork 80 Nm pada 7,500rpm memang cukup padu kalau nak memecut. Untuk menunggang santai dengan kelajuan purata sekitar 140-150km memang sudah mencukupi. Saya tidak rasa kita perlukan lebih daripada itu, nak laju sangat pun buat apa kan? Rugi duit kalau kena saman!

Dengan kotak barang di kiri, kanan dan belakang. Susah juga nak mencelah tapi semua ruang barang saya perlukan sebab nak isi barang dan untuk sesi foto nanti. Kadang-kadang terpaksa bagi laluan pada motor-motor di belakang yang terpaksa 'slow' ikut kita. Bila sudah keluar daripada kesesakan KL dan masuk ke laluan yang lebih terbuka, barulah saya mula dapat menikmati enjin ini.
Yes...panel meter jenis menegak 7-inci cukup menarik, jelas dah mudah untuk kita baca setiap maklumat yang dipaparkan. Antara info yang terdapat pada panel meter ini ialah Kelajuan, Tahap RPM, Mod Tunggangan, TPMS, Sistem Quick Shifter (QS), Sistem Traction Control, Sistem ABS, Kedudukan Gear, Suhu Enjin, Tahap Bahan Api dan Jarak Perjalanan. KOVE ini juga mempunyai sistem sambungan 'Bluetooth' yang membolehkannya berinteraksi dengan telefon pintar untuk mengaktifkan sistem navigasi, muzik dan panggilan masuk/keluar.
Buka throttle. KOVE ini bergerak dengan lancar. Pulas sikit lagi pendikitnya, kelajuan meningkat dengan cukup lancar. Inilah kelebihan enjin 800cc. Kuasanya 'ada' apabila kita perlukan. Bagi saya, sistem QS pada model ini agak kasar sedikit....tidak selicin yang saya inginkan. Pada awalnya mungkin kita tidak begitu kisah mengenai kewujudan sistem QS ini pada sesebuah model kembara. Tetapi selepas beberapa jam dan berpuluh-puluh kali menukar gear, kita mula menghargai benda ini.


Hampir seluruh perjalanan saya ke Pulau Pinang kali ini menggunakan lebuh raya. Untuk sebuah adventure, ini sebenarnya ujian yang bagus. Nak rasa bar hendal bergegar atau tidak?, ada haba panas ke tak ada? Macam-macam boleh rasa.
Selepas dua jam, tiga jam perjalanan, perkara-perkara kecil mula menjadi besar. Dah start boleh rasa tempat duduk tu keras atau lembut. Posisi kaki betul atau tidak... sistem elektronik berfungsi dengan bijak atau masih ketinggalan zaman. Semua itu kita dah boleh menilai.


Setakat perjalanan ke utara ini, KOVE memberikan posisi yang cukup natural untuk perjalanan panjang. Apabila hendak memotong, kuasa 98 hp itu memang membantu, terasa benar hantaran kuasanya yang mantap dalam gear-gear pertengahan. Cukup cepat KOVE ini memecut, satu karaktor yang saya benar-benar sukakan.
KOVE melengkapkan model ini dengan Mod Tunggangan yang terdiri daripada Comfort, Sport, Rain, Off-Road dan User. Bila dah jalan jauh, semua mod saya tekan. Eco menawarkan hantaran kuasa yang lancar dan agak lembut berbanding Sport yang lebih padu dan lebih cepat. Kalau hujan, tekan je mod Rain untuk respon pendikit yang lebih terkawal dan ketika ini sistem TC dan ABS berada di tahap tertinggi.
Mod Off-Road pula memberikan 'kebebasan' dari segi cengkaman dan hantaran kuasa yang bersesuaian dengan permukaan jalan lasak. Kalau nak tala sendiri, pilih USER.

Satu lagi ciri yang membantu untuk perjalanan jauh ialah cruise control. Bila lebuh raya mula panjang dan trafik tidak terlalu sibuk, tangan kanan boleh direhatkan sekejap. Pilih kelajuan yang sesuai, tekan butang Cruise Control dan kita tak perlu lagi guna pendikit. Kuranglah sedikit beban pada tangan kanan. Untuk mematikan sistem ini, tekan brek atau tutup 'throttle'. Nak sambung semula, pilih RESUME.
Bila sudah sampai di Pulau Pinang, suasana berubah. Daripada lebuh raya panjang, kita mula masuk jalan yang lebih sibuk. Kenderaan banyak. Simpang 'bersepah', ia memaksa untuk bergerak dengan lebih perlahan. Walaupun ini sebuah ADV 800cc, bentuknya tidak terlalu besar dan tidak terlalu berat. Bila dibandingkan dengan beberapa adventure yang jauh lebih besar dan berat, angka 185kg memang satu kelebihan.


Esoknya.... Selepas menikmati Pulau Pinang, saya patah balik ke Selatan dan singgah ke Taiping. Bahagian ini saya lebih suka. Suasana di bandar ini memang tenang, lebih-lebih lagi apabila sampai di Taman Tasik Taiping. Saya singgah di beberapa tempat untuk bergambar dan membeli sedikit ole-oleh untuk dibawa pulang. 'Box' ada tiga...macam-macam boleh sumbat.
Roda hadapan 21 inci dan belakang 18 inci menggigit permukaan jalan dengan baik terutama sekali apabila melalui laluan berselekoh dan di permukaan yang beralun. Saya puji sistem saspensi pada model ini. Fork hadapan KYB jenis terbalik (USD) boleh laras manakala di belakang terdiri daripada penyerap hentak tunggal yang juga boleh dilaras sepenuhnya.
Selepas berehat, tiba masanya berpatah balik. KOVE masih memberikan kuasa yang diperlukan. Hampir separuh perjalanan dalam hujan yang agak lebat. Mujurlah adanya Pemanas Pendikit dan Pemanas Pelana, tak lah menggigil sepanjang jalan.


Dengan tangki bersaiz 22 liter, KOVE 800X T ini telah membawa saya lebih daripada 300 kilometer dengan isian penuh. Memang jimat. Secara kesimpulannya, model ini tidak mengecewakan. Nak santai, boleh. Nak jalan jauh, boleh. Nak layan selekoh, boleh. KOVE sudah melalui lebuh raya, bandar, jalan berliku dan permukaan jalan yang pelbagai.
Lain kali jika ada peluang untuk kembara santai, saya tidak ragu-ragu untuk melompat semula ke atas KOVE 800X GT ini. Sebabnya mudah.... motor lasak ni memang best! RR




